Pengaruh Mendengar Al-Quran Pada Otak Manusia, Kajian Doktor Pakar Dapati Jiwa Tenang & Penyembuhan Penyakit

Share

Esok kita akan menyambut Nuzul Quran. Diturunkan pada 17 Ramadan, kalamullah ini mempunyai 1001 mukjizat bagi yang mengamalkannya dan merupakan kitab suci tiada tandingan.

Bagi yang kurang memahami apa maksud di sebalik Nuzul Quran, kami kongsikan pandangan dari Mufti Wilayah pengertiannya selain pengaruh Al-Quran pada otak manusia.

Pengertian Nuzul Al-Quran

Daripada segi bahasa, perkataan ‘Nuzul’ bererti menetap di satu tempat atau turun dari tempat yang tinggi. Kata perbuatannya ‘nazala’ (نزل) membawa maksud ‘dia telah turun’ atau ‘dia menjadi tetamu’. Sebenarnya penggunaan istilah Nuzul al-Quran ini secara majaz atau (simbolik) sahaja yang bermaksud pemberitahuan al-Quran. Tujuannya untuk menunjukkan ketinggian al-Quran.

Secara teknikalnya Nuzul al-Quran bererti penurunan al-Quran dari langit kepada Nabi Allah yang terakhir. Perkataan Nuzul dalam pelbagai wajah sama ada kata nama, kata perbuatan atau lainnya digunakan dalam al-Quran sebanyak lebih kurang 290 kali. Sebagai contoh:-

وَأَنْزَلَ مِنَ السَّمَاءِ مَاءً

Maksudnya: “Dia yang telah menurunkan hujan.” (Surah al-Baqarah:22)

نَزَّلَ عَلَيْكَ الْكِتَابَ بِالْحَقِّ

Maksudnya: “Dialah yang menurunkan Taurat Dan Injil.” (Surah Ali-Imran:3)

Keistimewaan Al-Quran

Sebenarnya al-Quran cukup istimewa berbanding dengan mana-mana kitab. Oleh kerana tajuk ini cukup besar, penulis hanya menyebut sepintas lalu dengan satu dalil sahaja dengan setiap satunya. Dipetik daripada karya Dr. Yusuf al-Qaradhawi yang bertajuk “Bagaimana kita berinteraksi bersama dengan al-Quran al-Azim.”

Antara lain menyebut:-
Al-Quran kitab Ilahi. Hal ini dijelaskan dengan banyak ayat antaranya:

الر كِتَابٌ أُحْكِمَتْ آيَاتُهُ ثُمَّ فُصِّلَتْ مِنْ لَدُنْ حَكِيمٍ خَبِيرٍ

Maksudnya: “Alif, Lam, Ra. Al-Quran sebuah Kitab yang tersusun rapi ayat-ayatnya, kemudian dijelaskan pula kandungannya satu persatu yang diturunkan daripada Allah SWT Yang Maha Mendalam pengetahuannya.(Surah Hud:1)

Al-Quran adalah kitab mahfuz (terpelihara). Firman Allah SWT:-

إِنَّا نَحْنُ نَزَّلْنَا الذِّكْرَ وَإِنَّا لَهُ لَحَافِظُونَ

Maksudnya: “Sesungguhnya Kamilah yang menurunkan al-Quran dan memeliharanya.” (Surah al-Hijr: 9)

Maksud hafizun dalam ayat ini dengan pemeliharaan Allah dari sebarang perubahan dan pertukaran seperti kata Ibn Kathir.

Al-Quran adalah mukjizat. Firman Allah SWT:

قُلْ لَئِنِ اجْتَمَعَتِ الإنْسُ وَالْجِنُّ عَلَى أَنْ يَأْتُوا بِمِثْلِ هَذَا الْقُرْآنِ لا يَأْتُونَ بِمِثْلِهِ وَلَوْ كَانَ
بَعْضُهُمْ لِبَعْضٍ ظَهِيرًا

Maksudnya: “Katakanlah (hai Muhammad) sesungguhnya jika sekalian manusia dan jin berhimpun demi mendatangkan sesuatu yang sebanding dengan al-Quran, mereka tidak akan mampu mendatangkannya walaupun mereka saling membantu.” (Surah al-Isra’:88)

Dalam buku al-I’jaz al-Ilmi oleh Yusuf al-Haj Ahmad antara lain menyebut: “Tidak diragukan lagi bahawa sudut kemukjizatan al-Quran al-Karim begitu pelbagai dan tepat. Dari aspek kepelbagaiannnya antara lain kemukjizatan saintifik, kemukjizatan legislatif, kemukjizatan retorik, kemukjizatan metafisik, kemudian yang terakhir kemukjizatan artistik-ilustratif. Sementara dari ketepatannya, kita boleh melihat sejumlah amaran yang dibuktikan kebenarannya oleh sains moden dari waktu ke waktu. Fakta-fakta alamiah (bahanal) mahupun imbahanal ini semakin menegaskan dan mendukung isyarat yang diberitakan al-Quran.

Al-Quran kitab nyata lagi mudah. Firman Allah SWT:

فَإِنَّمَا يَسَّرْنَاهُ بِلِسَانِكَ لَعَلَّهُمْ يَتَذَكَّرُونَ

Maksudnya: “Maka sesungguhnya kami memudahkan al-Quran dengan bahasamu (hai Muhammad) semoga mereka mengambil pengajaran.” (Surah ad-Dukhan: 58)

Al-Quran kitab zaman semuanya. Ianya bermaksud kitab yang kekal dan bukan hanya sesuai pada suatu masa sahaja dan bukan untuk satu generasi sahaja. Tetapi al-Quran sesuai sepanjang zaman dan semua tempat. Justeru tidak pelik sehingga sekarang al-Quran tetap menjadi panduan dan pedoman dalam menempuh kehidupan.

Al-Quran kitab agama keseluruhannya. Maksudnya ialah ianya menjadi asas kepada agama dan roh Islamnya dan daripadanya diambil roh akidah, ibadat, akhlak dan juga usul tasyri’ dan hukum hakam.

Al-Quran merupakan kitab insani sejagat. Hal ini dapat difahami berdasarkan kepada sifat al-Quran itu sendiri yang banyak menekankan kehidupan manusia dengan kalimahnya dan untuk alam sejagat. Benarlah firman Allah SWT:

إِنْ هُوَ إِلا ذِكْرٌ لِلْعَالَمِينَ

Maksudnya: “Al-Quran itu tidak lain hanya peringatan bagi seluruh penduduk alam.”(Surah al-Takwir: 27).

Pengaruh Al-Quran pada otak manusia

Jelas Mufti Wilayah, dipetik Detik Islam yang bertarikh 10 Ogos 2012 berkenaan dengan pengaruh bacaan al-Quran pada saraf, otak dan organ tubuh lain antaranya menyatakan: “Tidak ada lagi bacaan yang dapat meningkatkan terhadap daya ingatan dan memberikan ketenangan kepada seseorang kecuali membaca al-Quran.”

Dr. Al-Qadhi, melalui penelitiannya yang panjang dan serius di Klinik Besar Florida, Amerika Syarikat, berjaya membuktikan hanya dengan mendengar bacaan ayat-ayat al-Quran, seorang muslim, baik mereka yang berbahasa Arab mahupun bukan, dapat merasakan perubahan fisiologi yang sangat besar.

Penurunan tekakanan, kesedihan, memperoleh ketenangan jiwa, merungkai pelbagai macam penyakit merupakan pengaruh am yang dirasakan orang-orang yang menjadi objek kajiannya. Penemuan kajian ini dilihat tidak menentu.

Penelitiannya disokong dengan bantuan peralatan elektronik terkini untuk mengesan tekanan darah, degupan jantung, ketahanan otot, dan ketahanan kulit terhadap aliran elektrik. Dari hasil kajiannya, beliau telah membuat kesimpulan, bahawa bacaan al-Quran berpengaruh besar sehingga 97% dalam melahirkan ketenangan jiwa dan penyembuhan penyakit.

Kajian Dr. Al-Qadhi ini diperkuat pula oleh kajian lain yang dilakukan oleh doktor yang berbeza. Dalam laporan sebuah kajian yang disampaikan dalam Persidangan Pertubuhan Islam Amerika Utara pada tahun 1984, disebutkan, al-Quran terbukti mampu mendatangkan ketenangan sehingga 97% bagi mereka yang mendengarkannya.


Kesimpulan hasil kajian tersebut diperkuatkan lagi oleh kajian Muhammad Salim yang diterbitkan Universiti Boston. Sasaran kajiannya terhadap 5 orang sukarelawan yang terdiri dari 3 lelaki dan 2 wanita.

Kelima orang tersebut sama sekali tidak mahir bahasa Arab dan mereka pun tidak diberitahu bahawa mereka akan diperdengarkannya adalah al-Quran.

Kajian yang dilakukan sebanyak 210 kali ini terbahagi kepada dua sesi, iaitu membaca al-Quran dengan tartil dan membacakan Bahasa Arab yang bukan dari al-Quran.

Kesimpulannya, responden mendapatkan ketenangan sehingga 65% ketika mendengar Bacaan al-Quran dan mendapatkan ketenangan hanya 35% ketika mendengar Bahasa Arab yang buka dari al-Quran.

Al-Quran memberikan pengaruh besar jika diperdengarkan kepada bayi. Hal tersebut diungkapkan Dr. Nurhayati sewaktu Seminar Kaunseling Psikoterapi Islam di Malaysia pada tahun 1997. Menurut penyelidikan yang dijalankan, bayi berusia 48 jam yang diperdengarkan ayat-ayat al-Quran dari perakam suara menunjukkan respon tersenyum dan menjadi lebih tenang.

Sungguh suatu kebahagiaan dan merupakan nikmat yang besar., kita mempunyai al-Quran. Selain menjadi ibadah dalam membacanya, bacaannya memberikan pengaruh besar bagi kehidupan jasmani dan rohani kita.

Jika mendengar muzik klasik boleh mempengaruhi kecerdasan intelektual (IQ) dan kecerdasan emosi (eq) seseorang, bacalah al-Quran mempengaruhi kecerdasan spiritual (SQ).

Published by
almaswa Haji Che Ros