Kita selalu mendengar perkataan saidina ketika berselawat iaitu dengan menyebut Allahumma Solli ala Saidina Muhammad.
Malah ketika membaca tahiyyat dalam solat juga ada perkataan saidina ini. Namun apa sebenarnya pengertian saidina ini dan adakah ia sebahagian daripada amalan sunat?
Menurut penceramah terkenal Ustaz Azhar Idrus, perkataan saidina bererti pemimpin kami yang berasal dari perkataan sayyid yang bererti pemimpin.
Jadi bila disebut sayyidina Muhammad maka ertinya pemimpin kami Nabi Muhammad sollallahu alaihi wasallam.
Para ulama dan salafus solih sehingga orang-orang yang kemudian selalu memanggil Muhammad dengan Nabi Muhammad atau Sayyidina Muhammad sollallahu alaihi wasallam.
Ketika membaca selawat oleh orang yang sembahyang di dalam tahiyyat sama ada tahiyyat awal atau tahiyyat akhir telah berlaku perbezdaan pendapat dalam kalangan ulama tentang perkara ini.
Sebahagian mereka mengatakan tidak disunatkan menambah perkataan sayyidina sebelum menyebut nama Nabi Muhammad sollallahu alaihi wasallam.
Maka bacaan selawatnya hanyalah :
اللَّهُمَّ صَلِّ عَلَى مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِ مُحَمَّدٍ كَمَا صَلَّيْتَ عَلَى آلِ إِبْرَاهِيمَ وَبَارِكْ عَلَى مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِ مُحَمَّدٍ كَمَا بَارَكْتَ عَلَى آلِ إِبْرَاهِيمَ فِى الْعَالَمِينَ إِنَّكَ حَمِيدٌ مَجِيدٌ.
Manakala sebahagian ulama pula mengatakan sunat menambah perkataan sayyidina sebelum menyebut nama Nabi Muhammad sollallahu alaihi wasallam.
Maka jadilah bunyi selawatnya :
اَللهُمَّ صَلِّ عَلَى سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِ سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ، كَمَا صَلَّيْتَ عَلَى سَيِّدِنَا اِبْرَاهِيْمَ وَعَلَى آلِ سَيِّدِنَا اِبْرَاهِيْمَ وَبَارِكْ عَلَى سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِ سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ كَمَا بَرَكْتَ عَلَى سَيِّدِنَا اِبْرَاهِيْمَ وَعَلَى آلِ سَيِّدِنَا اِبْرَاهِيْمَ فِى الْعَالَمِيْنَ إِنَّكَ حَمِيْدٌ مَجِيْدٌ
Ulama-ulama yang mengatakan sunat ditambah perkataan sayyidina itu berdalil dengan beberapa hadith yang antaranya :
Telah diriwayatkan dari Abu Hurairah r.a. katanya Rasulullah sollallahu alaihi wasallam telah bersabda :
أَنَا سَيِّدُ وَلَدِ آدَمَ يَومَ القِيَامَةِ ، وَأَوَّلُ مَن يَنشَقُّ عَنهُ القَبرُ
Ertinya : “Aku adalah sayyid bagi keturunan Adam pada hari kiamat. Akulah orang yang pertama kali terbelah kuburnya.” (Hadith riwayat Muslim)
Allah Taala juga telah memberi gelaran sayyid kepada Nabi Yahya a.s. dalam firman-Nya :
فَنَادَتْهُ الْمَلَائِكَةُ وَهُوَ قَائِمٌ يُصَلِّي فِي الْمِحْرَابِ أَنَّ اللَّهَ يُبَشِّرُكَ بِيَحْيَىٰ مُصَدِّقًا بِكَلِمَةٍ مِنَ اللَّهِ وَسَيِّدًا وَحَصُورًا وَنَبِيًّا مِنَ الصَّالِحِينَ
Ertinya : “Maka menyeru Nabi Zakaria a.s. olih malaikat dan baginda sedang bersembahyang di mihrab bahawa Allah memberi khabar gembira kepada mu dengan Nabi Yahya a.s. yang membenarkan kalimah dari Allah dan sebagai sayyid dan yang menjaga diri dan seorang Nabi dari kalangan solihin.” (Ali-Imran : 39)
Telah diriwayatkan daripada Abdullah bin Mas’ud r.a. berkata :
إِذَا صَلَّيْتُمْ عَلَى رَسُولِ اللَّهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ، فَأَحْسِنُوا الصَّلَاةَ عَلَيْهِ، فَإِنَّكُمْ لَا تَدْرُونَ، لَعَلَّ ذَلِكَ يُعْرَضُ عَلَيْهِ، قَالَ: فَقَالُوا لَهُ: فَعَلِّمْنَا، قَالَ، قُولُوا: (اللَّهُمَّ اجْعَلْ صَلَاتَكَ، وَرَحْمَتَكَ، وَبَرَكَاتِكَ عَلَى سَيِّدِ الْمُرْسَلِينَ، وَإِمَامِ الْمُتَّقِينَ، وَخَاتَمِ النَّبِيِّينَ، مُحَمَّدٍ عَبْدِكَ وَرَسُولِكَ، إِمَامِ الْخَيْرِ، وَقَائِدِ الْخَيْرِ، وَرَسُولِ الرَّحْمَة
Ertinya : “Apabila kamu sekelian berselawat ke atas Rasulullah sollallahu alaihi wasallam maka hendaklah kamu sekelian elokkan selawat ke atasnya mudah-mudahan yang demikian itu dilentangkan atasnya. Berkata sekelian hadirin kepada Ibnu Mas’ud : Maka ajarkanlah akan kami. Kata Ibnu Mas’ud : Ucapkan olih kamu sekelian begini : Ya Allah jadikanlah selawat-Mu dan rahmat-Mu dan barakah-Mu atas Sayyid Al-Mursalin dan Imamul Muttaqin dan Khatamun Nabiyyin Muhammad hamba-Mu dan Rasul-Mu Imamul Khairi dan Penegak Kebaikkan dan Rasul yang kasih sayang.” (Hadith riwayat At-Tabarani dan Baihaqi dan lainnya)
Berkata Imam As-Syarwani :
وتقدم عن شيخنا أن المعتمد طلب زيادة السيادة وعبارة الكردي واعتمد النهاية استحباب ذلك وكذلك اعتمده الزيادي والحلبي وغيرهم وفي الايعاب الاولى سلوك الادب أي فيأتي بسيدنا وهو متجه اه
Ertinya : “Dan telah terdahulu perkataan guru kami bahawa yang muktamad ialah menuntut tambahan sayyidina. Dan ibarat Syeikh Kurdy dan yang muktamad pada kitab Nihayah disunatkan yang demikian itu. Dan seperti demikian berpegang akan dia olih Syeikh Az-Ziady dan Syeikh Al-Halaby dan selain mereka itu. Dan pada kitab Al-I’ab yang utama ialah menjalani jalan beradab yakni mendatangkan lafaz sayyidina dan yaitu satu wajah (pendapat).” (Kitab Hasyiah Syarwani ‘ala At-Tuhfah)
Pandangan Syeikh Zainudin Al-Malibari :
ولا بأس بزيادة سيدنا قبل محمد
Ertinya : “Dan tidak mengapa dengan tambahan perkataan sayyidina sebelum nama Nabi Muhammad.” (Kitab Fathul Muin)
Syeikh Zakaria Al-Ansari mengulas :
قَالَ ابْنُ ظَهِيرَةَ الْأَفْضَلُ الْإِتْيَانُ بِلَفْظِ السِّيَادَةِ كَمَا صَرَّحَ بِهِ جَمْعٌ وَبِهِ أَفْتَى الْجَلَالُ الْمَحَلِّيُّ جَازِمًا بِهِ قَالَ ؛ لِأَنَّ فِيهِ الْإِتْيَانَ بِمَا أُمِرْنَا بِهِ وَزِيَادَةَ الْإِخْبَارِ بِالْوَاقِعِ الَّذِي هُوَ أَدَبٌ فَهُوَ أَفْضَلُ مِنْ تَرْكِهِ
Ertinya : “Telah berkata Imam Ibnu Zohirah yang afdhal ialah menyebut lafaz sayyidina sebagaimana telah menerangkan dengannya olih satu kumpulan ulama dan dengannya berfatwa olih Syeikh Jalaluddin Al-Mahalli yang memutuskan dengannya. Berkata ia : Kerana padanya ia mendatangkan dengan perkara yang disuruh kita dengannya dan tambahan menyatakan yang waqi’ yang ialah adab dan yaitu afdhal daripada ditinggalkan.” (Asnal Matholib)
Berkata Syeikh Muhmmad Abdul Rahman Al-Maliki :
عَنْ الشَّيْخِ عِزِّ الدِّينِ بْنِ عَبْدِ السَّلَامِ أَنَّ الْإِتْيَانَ بِهَا فِي الصَّلَاةِ يَنْبَنِي عَلَى الْخِلَافِ هَلْ الْأَوْلَى امْتِثَالُ الْأَمْرِ أَوْ سُلُوكُ الْأَدَبِ؟ ( قُلْت ) وَاَلَّذِي يَظْهَرُ لِي وَأَفْعَلُهُ فِي الصَّلَاةِ وَغَيْرِهَا الْإِتْيَانُ بِلَفْظِ السَّيِّدِ وَاَللَّهُ أَعْلَمُ
Artinya : “Daripada Imam ‘Izzuddin Ibnu Abdissalam bahwa menambah lafaz sayyid dalam sembahyang berdasarkan perbedaan pendapat apakah yang utama antara mengikuti perintah Nabi atau menjalani adab? Saya berkata: Yang jelas bagi saya dan yang saya lakukan di dalam sembahyang atau lainnya adalah menyebut Sayyid.” (Kitab Mawahib al-Jalil Syarah Mukhtasar Syeikh Khalil)
Sumber: Ustaz Azhar Idrus
Artikel berkait: Kedudukan Selawat Berbanding Zikir, Mana Lebih Tinggi?