
Innalillahiwainailaihirojiun.
Kepada Allah kita datang dan kepada Allah kita kembali. Semoga kesemua mangsa terlibat diampuni Allah dan ditempatkan di kalangan orang beriman dan beramal soleh.
Tengah malam tadi, negara dikejutkan dengan berita sedih apabila lima pelajar rentung dalam kemalangan di Kilometer 245.2 Lebuhraya Utara Selatan arah utara berhampiran Terowong Menora. Kesemuanya di kenal pasti sebagai pelajar Universiti Sultan Azlan Shah (USAS), Perak.
Mereka adalah Muhammad Nasrun Aidol Munir Akbar, 22, pemandu kereta, Ahmad Naim Najmi Ahmad Hafizan, 21, penumpang hadapan, Iqbal Hasnun Halimi, 23, Muhammad Nabil Haikal Muhammad Fariz, 19, dan Ahmad Akmal Ahmad Mokhlis, 20, masing-masing duduk di bahagian belakang.


Memetik Sinar Harian, Dekan Bahagian Hal Ehwal Pelajar USAS, Dr Ahmad Zaki Hasan ketika dihubungi mengesahkan kelima-lima mangsa merupakan penuntut universiti berkenaan.
Menurutnya, dua daripada mangsa merupakan pelajar diploma manakala tiga lagi adalah pelajar ijazah sarjana muda.
“Kesemua mereka sudah pun dikenal pasti oleh pihak hospital dan pihak polis,” jelasnya.
Dalam kejadian sekitar 12.52 malam tadi, kesemua mangsa terperangkap selepas berlaku kebakaran melibatkan sebuah kereta dan treler. Lebih menyayat hati kesemuanya ditemui rentung. Difahamkan kesemua pelajar ini dalam perjalanan balik ke universiti mereka sebelum diuji dengan kemalangan maut ini.
Dalam pada itu, dari satu komen di Tik Tok @rin yang mengenali seorang dari mangsa iaitu, Ahmad Naim Najmi Ahmad Hafizan, 21 memaklumkan pelajar ini merupakan wakil Majlis Perwakilan Pelajar USAS.

“Sangat baik dan bijak, seorang hafiz quran dan kalau bercakap sangat sopan santun,” tulisanya sambil memaparkan emoji kesedihan.

Dalam pada itu memetik sumber pejabat Mufti Wilayah Persekutuan, mati terbakar di kategorikan sebagai syahid akhirat.
Secara ringkasnya, di sini kami simpulkan beberapa golongan yang diberi pahala syahid akhirat berdasarkan banyaknya hadis sahih yang menyebutkan sebab-sebab kesyahidan (tersebut) serta ia merupakan ciri-ciri yang masyhur dalam kalangan para ulama’, antaranya seperti berikut:
- Orang yang mati kerana penyakit berjangkit.
- Orang yang mati kerana penyakit perut.
- Orang yang mati lemas.
- Orang yang mati dihempap bangunan.
- Orang yang mati kerana kebakaran.
- Orang yang mati kerana dizalimi.
- Orang yang mati kerana berkata benar dihadapan pemimpin yang zalim.
- Orang yang mati dalam keadaan menuntut ilmu.
- Wanita yang mati ketika bersalin.
- Orang yang mati kerana mempertahankan agamanya, nyawanya, hartanya dan keluarganya. (Rujuk: Syarh al-Nawawi ‘ala Muslim, 13/62-63; Fath al-Bari, 6/51-52)
Insya-Allah, kita download seeNI sekarang ya?
KLIK DI SEENI
Ibu Mengeluh Anak Darjah 1 Tak Dibenar Bawa Bekal Air, Ini Penjelasan Mufti Usia Berapa Sesuai Didik Anak Berpuasa

Viral di media sosial apabila admin fb Cikgu Fadli Salleh berkongsi mengenai luahan seorang ibu yang anaknya belajar di tahun satu tak dibenarkan bawa bekal air ke sekolah di bulan Ramadan ini.
Dalam perkongsiannya Minmin menulis :-
Ni zalim namanya. Tidak meletakkan sesuatu perkara pada tempatnya. Budak usia 6-9 tahun perintah wajib belum jatuh atas mereka untuk buat amal ibadah termasuk puasa.
Mewajibkan anak-anak sebesar ini puasa, paksa mereka jangan makan jangan minum, tidak membenarkan mereka bawa air dan bekal bagi yang jelas tak puasa adalah tindakan yang tidak betul.
Benda tak betul kena tegur dan betulkan. Ada parent mendakwa ia adalah peraturan dari Kementerian Pendidikan Malaysia. Betul ke? Harap KPM respon. Ni isu semasa yang perlu respon segera.
Karang ada budak pitam, budak pengsan, budak gastrik asbab hal ini, siapa nak bertanggungjawab? Tolong jangan menzalimi anak-anak belum baligh. Jika ada anak-anak mampu dan larat untuk puasa penuh, tahniah. Boleh teruskan. Namun jika ada anak-anak tak mampu, usah dipaksa-paksa pula.
Kadang aku sedikit pelik, bab puasa dipaksa sungguh-sungguh. Bab solat tidak ditekankan. Terbalik tu. Kata seorang guru aku, “Orang puasa belum tentu solat. Namun orang yang menjaga solat dah tentu takkan meninggalkan puasa”.Begitulah.
– Minmin (admin Cg Fadli) –
Dan dari perkongsian ini ia mendapat respon pelbagai dari ibu bapa yang ada bersetuju dan ada berkongsi pendapat.Dalam pada itu, tentu ibu bapa millenial mahu tahu berapa usia sebenarnya mendidik anak-anak berpuasa. Ikuti penjelasan dari Unit Buhuth, Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan mengenai isu di atas.
Pada umur berapakah seorang kanak-kanak itu perlu didik supaya berpuasa?
Jawapan:-
Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga baginda SAW, sahabat baginda SAW serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah baginda SAW.
Puasa dan kanak-kanak
Para ulama bersepakat bahawa kanak-kanak yang belum baligh tidak diwajibkan berpuasa, berdasarkan hadith yang menyebut bahawa tidak terdapatnya taklif dan tanggungjawab ke atas seorang kanak-kanak sehinggalah dia baligh. Saidina Ali bin Abi Tolib meriwayatkan bahawa Rasulullah SAW bersabda:-
رُفِعَ الْقَلَمُ عَنْ ثَلاَثَةٍ عَنِ الصَّبِيِّ حَتَّى يَبْلُغَ وَعَنِ النَّائِمِ حَتَّى يَسْتَيْقِظَ وَعَنِ الْمَعْتُوهِ حَتَّى يَبْرَأَ
Maksudnya: Terdapat tiga golongan yang amalan mereka tidak dicatat: seorang kanak-kanak sehinggalah dia baligh, orang yang tidur sehinggalah dia terjaga dan seorang yang hilang akalnya sehinggalah dia kembali waras. Sunan Abi Dawud (4402)
Namun, jika seorang kanak-kanak yang telah mumayyiz itu berpuasa, maka hukumnya adalah sah. Kata Imam al-Qalyubi:-
(وَالْعَقْلُ) أَيْ التَّمْيِيزُ فَيَصِحُّ صَوْمُ الْمُمَيِّزِ
Maksudnya: (Dan salah satu syarat sah puasa itu) ialah beraqal, dalam erti kata tamyiz, iaitu mampu membezakan antara baik dan buruk; maka sah puasa seorang kanak-kanak yang sudah mumayyiz. (Rujuk Hasyiyata al-Qalyubi wa ‘Umairah 2/76)

Timbul pula persoalan, pada umur berapakah seorang kanak-kanak itu perlu diajar dan dididik untuk berpuasa?
Menurut Imam Zainuddin Ahmad al-Malibari dan Syeikh Dr. Muhammad Hassan Hito, ibu bapa atau wali perlu menyuruh kanak-kanak untuk berpuasa seawal umur tujuh tahun, dan mendidiknya dengan ‘pukulan kecil’ yang tidak menyakitkan ketika dia berumur sepuluh tahun jika dia engggan. Hal ini diqiyaskan dengan hadith suruhan mendidik anak-anak untuk solat:
مُرُوا الصَّبِيَّ بِالصَّلاَةِ إِذَا بَلَغَ سَبْعَ سِنِينَ وَإِذَا بَلَغَ عَشْرَ سِنِينَ فَاضْرِبُوهُ عَلَيْهَا
Maksudnya: Ajarilah kanak-kanak untuk solat setelah dia berusia tujuh tahun, dan apabila dia berumur sepuluh tahun, pukullah dia (dengan pukulan yang tidak menyakitkan dan melukakan dengan tujuan untuk mendidik). Sunan Abi Dawud (494) (Rujuk Fath al-Mu’in bi Syarh Qurrah al-‘Ain bi Muhimmat al-Din, hlm. 38 dan Fiqh al-Siyam hlm. 23)
Namun, ibu bapa atau wali hendaklah memastikan puasa itu tidak menyebabkan kemudaratan kepada kanak-kanak tersebut, dan menilai sejauh mana kemampuan mereka untuk meneruskan puasa.
Kesimpulan
Tuntasnya kami nyatakan bahawa ibu bapa atau wali perlu mengajar dan menyuruh anak-anak supaya berpuasa seawal umur tujuh tahun, dan mendidik dengan pukulan yang ringan ketika dia berumur sepuluh tahun jika dia enggan. Hukum ini diqiyaskan dengan hadith mendidik anak-anak untuk solat yang dinyatakan di atas.
Wallahu a’lam.
Insya-Allah, kita download seeNI sekarang ya?
KLIK DI SEENI
Dr Maza Tegur Segelintir Golongan Asnaf, Miskin Bukan Alasan Jadi Malas & Hanya Harap Bantuan. Minta Berubah Demi Kebaikan!

Isi Kandungan
ToggleAllah memberikan rezeki kepada setiap insan itu berbeza-beza. Ada yang dilimpahi rezeki berganda dan ada juga yang hidup serba kekurangan.
Namun ada segelintir mereka yang diuji dengan cara hidup sederhana ini tidak mahu keluar dari alam kemiskinan berkenaan.
Dan perkara ini mendapat perhatian atau teguran dari Mufti Perlis, Datuk Dr Mohd Asri Zainul Abidin atau dikenali dengan nama Dr Maza.

Beliau yang muat naik status di laman sosial Facebook mendapat perhatian warganet apabila memberikan pandangan terhapa kekesalannya pada golongan asnaf yang didakwa tidak mahu megubah kehidupan kerana selesa menerima bantuan.
Walaupun sudah diberitahu ada kunjungan dari DYTM Raja Muda Perlis tetapi tiada usaha untuk mbembersihkan kawasan sekitar dan dalam perumahan sedangkan jelasnya untuk membersihkan hanya perlukan kudrat.
Tambah megecewakan ada penerima bantuan yang tidak menjaga kebersihan rumah kerana kawasan didapati kotor dan tidak terurus.
Beliau kemudiannya menegaskan bantuan zakat harus diteliti dan diberikan kepada golongan yang benar-benar saja kerana ada segenlintir mengambil kesempatan dengan alasan anak-anak kecil untuk terima bantuan.
Hari ini, saya kembali mengiringi DYTM Raja Muda Perlis dalam kayuhan MAIPs Peduli. Disebabkan PKPB, maka jumlah kami tidak ramai dan in sha ALLAH telah mematuhi SOP yang ditetapkan. Tujuan kayuhan seperti biasa ialah untuk menyantuni asnaf, mengambil tahu perkembangan dan keperluan mereka.
Mohon maaf, kali ini saya ingin meluahkan rasa yang terpendam selama ini dalam coretan kali ini. Dukacita dan sedih, terdapat rumah asnaf yang miskin yang kami lawati begitu kotor halaman dan kawasan rumah mereka.
Padahal, untuk mencuci atau membersihkan sampah sarap tersebut, tidak memerlukan belanja, cuma perlu sedikit kerajinan. Bayangkan, walaupun mereka tahu bahawa rombongan bersama DYTM Raja Muda akan ke rumah mereka untuk memberikan wang sumbangan, tapi tiada sedikit pun usaha untuk membersihkan kawasan rumah sendiri. Padahal tubuh masih sihat.
Lebih daripada itu, tempoh PKP dan PKPB sekitar 2 bulan mereka sentiasa di rumah, gagal dimanfaatkan untuk kemaslahatan diri sendiri. Ini bukan kes terpencil. Sering kami saksikan.
𝗧𝗲𝗿𝗸𝗲𝗰𝘂𝗮𝗹𝗶
Satu perkara yang sering saya luah dalam ucapan dan kuliah saya sejak dahulu, bahawa salah satu punca utama kemiskinan, iaitu kemalasan. Orang utara sebut dalam bahasa pasar yang agar kasar balo’. Lebih keras lagi disebut bolo’ liat. Ertinya, pemalas yang amat.
Walaupun, kita sedar terdapat mereka yang miskin tapi rajin berusaha, cuma peluang belum muncul. Golongan miskin tapi rajin tidak termasuk dalam apa yang hendak saya bicara di sini. Harap jangan ada yang tersalah sangka. Mereka terkecuali dari perbincangan. Ini terutama anak-anak yang miskin disebabkan keadaan keluarga, mereka yang ditimpa bencana, kekurangan peluang dan seumpamanya. Golongan ini, -in sha ALLAH- jika mereka rajin berusaha, suatu hari nasib mereka akan berubah.
𝗣𝗲𝗺𝗮𝗹𝗮𝘀
Saya kembali ingin membicarakan golongan yang miskin disebabkan kemalasan ini. Sesiapa yang pernah berpengalaman berurusan dengan golongan ini, akan faham apa yang saya coretkan ini. Golongan ini seakan-akan selesa dengan kemiskinan yang membolehkan mereka mendapat bantuan orang lain tanpa perlu bekerja keras.
Gambaran kehidupan yang miskin itu seakan mahu mereka jadikan identiti diri bagi membolehkan segala bantuan yang diminta diperolehi dengan mudah. Di Perlis, MAIPs telah membina ribuan rumah untuk golongan miskin. Bukan sedikit, berjuta-juta telah dibelanjakan. Ada yang berusaha ke arah yang lebih baik, namun ada yang mengecewakan.
Ada yang menerima rumah yang cantik dan teratur, namun apabila kita datang semula beberapa bulan, rumah bertukar menjadi kotor. Lalang dan rumput di keliling rumah tidak dipotong. Sampah-sarap menghiasi dalam dan luar rumah. Kerjanya hanya bersandar menunggu bantuan. Tubuh masih sihat, tapi mempunyai pelbagai alasan. Demikianlah kemalasan mencengkam kehidupan mereka.
𝗗𝘂𝗱𝘂𝗸 𝗦𝗮𝗷𝗮
Kediaman kita sekalipun lama dan tidak mewah, jika ada kerajinan boleh dibersih dan dikemaskan. Bahkan boleh bercucuk tanam sayur-sayuran asas yang sekurang-kurang dapat menjimat sebahagian belanja dapur. Hari ini, dalam pasu dan tin kosong pun boleh diusahakan tanaman. Tapi, kalau pemalas, kerjanya hanya tidur dan duduk saja menunggu bantuan orang menjelma.
𝗠𝗮𝗹𝗮𝘀 𝗗𝘂𝗻𝗶𝗮 𝗔𝗸𝗵𝗶𝗿𝗮𝘁
Bukan sahaja malas berusaha untuk kehidupan dunia, bahkan malas untuk akhirat juga. Pada wajah mereka tidak terlihat tanda dan sinar insan yang bersujud pada Tuhannya. Jika dijemput mereka datang untuk bantuan di masjid, kita meminta bersolat dahulu, mereka datang selepas solat jamaah selesai lantas terus duduk.
Jika kita beri bantuan dan meminta selepas menerima bantuan tunggu solat berjamaah bersama, mereka lari selepas wang diberikan. Kalau diminta datang bantuan di masjid pada Hari Jumaat, ada pula yang mewakilkan isteri, atau anak perempuan untuk ambil bantuan. Si bapa ‘kabur’ dari Solat Jumaat. Walaupun, bukan semuanya begitu, tapi jumlah yang sebegitu juga bukan sedikit.
𝗟𝗮𝗻𝗴𝗸𝗮𝗵 𝗠𝗔𝗜𝗣𝘀 𝗠𝗲𝗻𝗲𝗻𝘁𝗮𝗻𝗴 𝗛𝗮𝗻𝘁𝘂 𝗠𝗮𝗹𝗮𝘀
Saya percaya MAIPs akan mengambil langkah memerangi kemalasan sebelum cuba mengatasi kemiskinan. Insan kurang upaya, orang tua yang uzur, orang yang ditimpa bencana, anak-anak yang masih kecil dan seumpama mereka, yang hidup dalam lingkungan kemiskinan, mereka mempunyai keuzuran dan alasan.
Golongan ini patut diutamakan. Adapun yang berbadan sihat yang meminta-minta atas alasan tiada kerja, golongan ini mesti disemak. Mereka ini sering menjadikan anak-anak kecil mereka alasan kukuh untuk mereka mendapat bantuan.
Malangnya, sebahagian mereka mengambil kesempatan untuk bertambah malas dengan bantuan yang diberikan.MAIPs sebenarnya telah menyediakan terlalu banyak program untuk memajukan asnaf dengan membekalkan mereka kemahiran dan modal. Ratusan juta dibelanjakan untuk pelbagai latihan dan pendidikan supaya kehidupan asnaf berubah dan mampu berdiri sendiri.
Alhamdulillah, banyak juga yang berjaya. Ramai yang sudah tidak miskin lagi, khususnya yang muda. Namun, golongan pemalas juga masih banyak. Peluang pekerjaan dicari dan diberikan. Seminggu dua mereka bekerja, kemudian mereka lari. Saya masih ingat, kami bermesyuarat menghantar sejumlah golongan miskin mengikuti kursus menjadi pemandu lori kontena canggih.
Elaun kursus MAIPs berikan, pihak syarikat juga bantu. Selepas itu, akan diserap terus bekerja yang pendapatannya sekitar 4 ribu ringgit sebulan. Malangnya, sebahagian besar lari balik rumah. Atas alasan tak biasa duduk luar lama-lama. Itulah syaitan kemalasan yang menguasai urat nadi sebahagian manusia.
𝗔𝗸𝘂𝗿
Hal ini sebenarnya, bukan sahaja di Perlis, tapi di semua tempat dan negeri. Meriwayatkan hal ini memang merobek perasaan kita sendiri. Namun, suka atau tidak suka, kita kena akur bahwa bukan sedikit ‘melayu yang malas’. Dalam masa yang sama, juga memang akur ramai juga Melayu yang rajin dan berjaya. Namun, kita tidak boleh nafikan masih ramai orang kita sangat pemalas. Inilah juga sebabnya, kita gagal dalam bersaing dengan pihak lain. Akhirnya, kita hanya menyalahkan pihak lain semata, lalu melupakan penyakit malas yang ada dalam masyarakat kita.
Kemalasanlah yang menyebabkan ramai orang kita kerja ‘lebih-kurang’. Produknya tidak berkualiti. Sehingga masyarakat kita sendiri kadang-kala terpaksa mengutamakan produk pihak lain di sudut kualiti dan kesungguhan. Natijahnya, peniagaan orang kita tidak berdaya saing di sudut kualiti, ataupun di sudut kesungguhan kerja. Dengan saya akur, ada banyak juga produk orang Melayu-Muslim yang berkualiti dan sangat bagus.

𝗝𝗶𝗵𝗮𝗱 𝗠𝗲𝗻𝗲𝗻𝘁𝗮𝗻𝗴 𝗞𝗲𝗺𝗮𝗹𝗮𝘀𝗮𝗻
Berjihad menentang kemiskinan tidak akan berjaya jika kita tidak berjihad menentang kemalasan. Saya melihat, -dengan izin ALLAH- harta dunia ini dapat diperolehi dengan pemikiran yang bijak walaupun usahanya tidak begitu hebat. Jika akalnya hebat dan usahanya juga hebat, dengan izin ALLAH pasti banyak rezekinya. Kedua, harta dunia diperolehi dengan kesungguhan usaha walaupun kebijaksanaan tidak begitu tinggi. Dengan kerajinan akan membina pengalaman. Dengan pengalaman, orang kurang bijak akan membuat keputusan yang bijak. Akhirnya, dengan kerajinan dan pengalaman, rezeki yang banyak -dengan izin ALLAH- hadir ke dalam kehidupan.
Sebenarnya, memerangi kemalasan itu adalah tanggungjawab kita dalam beragama. Sabda Nabi s.a.w:
لَأَنْ يَأْخُذَ أَحَدُكُمْ حَبْلَهُ، فَيَأْتِيَ بِحُزْمَةِ الحَطَبِ عَلَى ظَهْرِهِ، فَيَبِيعَهَا، فَيَكُفَّ اللَّهُ بِهَا وَجْهَهُ خَيْرٌ لَهُ مِنْ أَنْ يَسْأَلَ النَّاسَ أَعْطَوْهُ أَوْ مَنَعُوهُ
“Jika seseorang kamu mengambil talinya, kemudian membawa satu ikatan kayu api di atas belakangnya lalu menjualnya, -dengan sebab itu ALLAH memelihara maruahnya- maka itu lebih baik daripada dia meminta-minta kepada manusia, samada mereka memberikannya atau tidak” (Riwayat al-Bukhari dan Muslim)
Kata Anas bin Malik r.a
فَكُنْتُ أَسْمَعُهُ يُكْثِرُ أَنْ يَقُولَ: اللَّهُمَّ إِنِّي أَعُوذُ بِكَ مِنَ الهَمِّ وَالحَزَنِ، وَالعَجْزِ وَالكَسَلِ، وَالبُخْلِ وَالجُبْنِ، وَضَلَعِ الدَّيْنِ، وَغَلَبَةِ الرِّجَالِ
“Aku mendengar Nabi s.a.w sering berdoa: “Ya ALLAH sesungguhnya daku berlindung denganMU daripada kerisauan dan dukacita, daripada lemah dan malas, daripada kebakhilan dan kebaculan, daripada bebanan hutang dan daripada ditewaskan oleh orang” (Riwayat al-Bukhari dan Muslim).
Maafkan coretan ini. Namun, ia sesuatu yang terpaksa diluahkan demi kepentingan kita semua. Masyarakat muslim kita ramai yang berharta dan suka membantu. Alhamdulillah. Namun, jika kita tidak teliti dalam strategi kita membantu, saya bimbang kita bukan berjaya menghapuskan kemiskinan tapi meramaikan lagi golongan pemalas.
Untuk memberikan bantuan dengan gambar yang gah mungkin mudah. Namun, untuk mencabut akar masalah, mungkin tidak semudah sekadar menghulurkan bantuan wang ringgit. Kita perlu gembeling tenaga mengubah mentaliti dan sikap ‘malas’. Inilah -in sha ALLAH- usaha yang mesti kami di MAIPs laksanakan.
Semoga ALLAH mengampuni saya..
Dr MAZA,
12.30 malam
Insya-Allah, kita download seeNI sekarang ya?
KLIK DI SEENI
Inai Masih Merah Di Jari & Sempat 2 Hari Bergelar Pengantin Baru, Isteri Masih Tidak Percaya Suami Meninggal

Tiada apa yang lebih menyedihkan saat menerima berita suami yang dicintai sudah tiada. Apa tah lagi, pemergian itu bersifat kekal abadi. Tatkala inai masih merah di jari kerana baru dua hari bergelar isteri, seorang isteri terpaksa menerima bahawa suami dicintainya sudah pergi selama-lamanya.
Dua hari lalu, Sharifah Erin Nurshafieka Saiyed Azman, 20, bahagia tatkala dirinya sah menjadi ratu kepada sang suami tercinta dalam satu majlis akad nikah yang dihadiri sanak saudara dan semalam, dirinya seakan tidak percaya bahawa suaminya, Muhammad Mustaqim Mustafa, 25 meninggal dunia selepas terbabit dalam kemalangan.
Di saat dirinya dalam kesedihan teramat sangat, menjadikannya dirinya seolah-olah belum dapat menerima hakikat suami tercinta sudah meninggal dunia dalam nahas di Kampung Surau Panjang, di sini, kelmarin apabila masih mengingatkan ibu mentuanya agar memaklumkan kepadanya seandainay Mustaqim pulang dari menghantar makanan dipesannya.
Dikongsikan oleh ibu mentuanya, Zaiton Yusof, 57, memaklumkan menantunya itu masih menunggu suami, Muhammad Mustaqim Mustafa, 25, pulang membawa makanan yang dipesan, teh ais bersama apam balik walaupun sudah dimaklumkan mengenai nahas yang menimpa.
“Erin ada memesan teh ais dan apam balik sebelum anak saya keluar menghantar ikan air tawar diternak ayahnya, Mustafa Ahmad, 50, ke sebuah restoran di Kampung Surau Panjang, kira jam 12 tengah hari semalam. Dia pun tahu suaminya meninggal, tetapi masih menunggu Muhammad Mustaqim pulang membawa makanan yang dipesan,” katanya.
Ditemui di kediamannya di Kampung Beladau Kepong, di sini hari ini, Zaiton berkata, Muhammad Mustaqim yang juga anak bongsu daripada tujuh beradik dan Sharifah Erin Nurshafieka melangsungkan akad nikah di masjid kampung berkenaan, kira-kira jam 12 tengah hari Khamis lalu.
Muhammad Mustaqim meninggal dunia apabila motosikal ditunggangnya terbabit kemalangan dengan sebuah lori ketika dia dalam perjalanan pulang ke rumah selepas menghantar ikan air tawar ke sebuah restoran di Kampung Surau Panjang, kira-kira jam 1.10 petang semalam.
Terdahulu, Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Terengganu, Superintendan Ismail Man, berkata mangsa menunggang skuter Yamaha Ego bertembung dengan sebuah lori lalu tercampak ke bahu kanan jalan dan meninggal dunia di lokasi akibat cedera parah pada kepala serta muka, manakala pemandu lori berusia 31 tahun tidak cedera.
Jenazah Muhammad Mustaqim dibawa ke Unit Forensik Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) dan kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.


Mengulas lanjut, Zaiton berkata, menantunya sempat menatap wajah suaminya itu buat kali terakhir sebelum urusan pengebumian disempurnakan petang semalam, malah turut bersama ahli keluarga lain menyiapkan juadah untuk majlis tahlil yang diadakan di masjid malam tadi.

“Selepas selesai majlis tahlil, saya lihat Erin dalam keadaaan gelisah dan masih menunggu suaminya pulang, dia tunggu sehingga lewat malam,” katanya sambil menambah menantunya itu sudah pulang ke rumah keluarga sendiri, tetapi berulang kali berpesan supaya menghubunginya apabila Muhammad Mustaqim kembali ke rumah.
“Sebelum pulang ke rumah keluarganya pagi tadi, Erin juga beberapa kali berpesan supaya Muhammad Mustaqim datang mengambilnya nanti,” katanya.
Kata Zaiton lagi, malam sebelum hari kejadian, arwah beberapa kali bertanya kepadanya dan suami sama ada mahu memesan apa-apa makanan dan kemudian bersalam serta mencium tangannya sebelum keluar ke kedai makan.
Menurutnya, arwah anaknya tidak sempat menyiapkan rumah sendiri walaupun bahan binaan sudah dibeli dan sebelum ini bercadang berpindah ke kediaman baharu itu selepas selesai majlis sambut menantu yang dijadual awal bulan depan. Sumber : Berita Harian
Insya-Allah, kita download seeNI sekarang ya?
KLIK DI SEENI