Penjualan Air Zam-Zam, Bagaimana Ada Keberkatan Kalau Ia Dijual Secara Haram

Share

Sejak dahulu lagi, ramai mempercayai air zam-zam mujarab untuk menyembuhkan penyakit selepas dibacakan ayat-ayat suci. Dan tidak hairanlah, ramai mencari air zam-zam dan membelinya pada harga yang agak mahal walau sebenarnya air ini tidak boleh dijual beli.

Baca pandangan Mutawif Rare, Ustaz Shauqi Hasan di fbnya mengenai persoalan air zam-zam yang terus dijual di pasaran terbuka sedangkan ia tidak dibenarkan penjualannya.

Ustaz Shauqi Hasan mengupas isu penjualan air zamzam

Bagi orang Melayu Islam Nusantara kalau pergi umrah tak bawa balik air zamzam macam tak berapa nak sedap hati tu. Itulah dilema bila dah sampai Mekah tapi tak bawa pulang ‘buah tangan’ dari Tanah Haram.

Semenjak dibuka pintu umrah bermula November tahun lalu, air zamzam sudah tidak dijual dan tidak dibenarkan untuk dibawa pulang melalui airport baru Jeddah. Di airport Madinah dan airport Jeddah lama masih boleh seperti biasa.

Isu ini dijangka hanya bersifat sementara. Berikutan Lapangan Terbang Antarabangsa Raja Abdul Aziz (KAIA) di Jeddah yang baru belum dilengkapi mesin conveyor.

Apabila timbul isu air zamzam tidak dibenarkan dibawa pulang maka ramailah yang ‘berusaha’ untuk memastikan jemaah dapat membawa balik melalui pelbagai jalan. Paling mudah ialah mendapatkannya melalui pembekal dan penjual di tanah air.

Untuk makluman, Kerajaan Arab Saudi telah menyatakan export Air Zam Zam telah lama diHARAMkan semenjak dahulu lagi. Pembawaan keluar Air Zam Zam hanya dibenarkan kepada jemaah Haji dan Umrah sahaja dengan setiap seorang hanya dibenarkan bawa 1 botol 5 liter sahaja.

Menjual Air Zam Zam dari segi hukum juga dilarang dalam agama.

Air Zam Zam adalah air yang berkah tapi persoalannya macamana nak dapat keberkatan melalui jalan yang HARAM?

Selagi kita melihat air zamzam itu sesuatu yang ajaib dan bersifat superficial tanpa memahami maksud dan maqasid di sebalik falsafah zamzam maka kita akan terus mencari keajaiban air sampai bila-bila.

Sedangkan cetusan zamzam yang sebenar adalah ilmu yang Allah simpan di dalam telaga yang tersembunyi. Khusus buat mereka yang berusaha ‘berjalan’ mencari ilmuNya di Tanah Haram bermula dengan IQRA’.

Setelah selesai tawaf mencari batu hitam, melihat kembali kehidupan dengan memutarkan usia dari hari pertama kita hidup mengaku sebagai Muslim.

Bersaie ‘di antara dua bukit’ mencari air yang telah lama hilang ditelan masa dan dunia yang berubah.

Jadi air apa yang kita sedang cari selama ini?

Sejauh ke tanah suci Mekah kita mencarinya, adakah hanya untuk menghilangkan dahaga atau menyucikan hati dengan mengharapkan keajaiban semata-mata?

Air itu analogi ILMU

Shauqi Hasan
Mutawif Rare

Published by
almaswa Haji Che Ros