Khamis ini, kita akan menyambut peristiwa agung Israk dan Mikraj.
Sebagai umat Islam, peristiwa ini sangat besar dan perlu dihayati kerana ia perjalanan Rasulullah SAW naik ke langit ke tujuh. Peristiwa pada malam hari ini dengan izin Allah taala bermula dari Masjidil Haram menuju ke Masjidil Aqsa.
Firman Allah di dalam Surah Al-Israk ayat 1: "Maha Suci Allah yang telah menjalankan hamba-Nya (Muhammad) pada malam hari, dari Masjid Al-Haram (di Mekah) ke Masjid Al-Aqsa (di Palestin), yang kami berkati sekelilingnya untuk memperlihatkan kepadanya tanda-tanda (kekuasaan dan kebesaran) Kami. Sesungguhnya Allah jualah Yang Maha Mendengar lagi Maha Mengetahui.”
Baginda Rasulullah SAW kemudian naik ke langit sampai ke Sidratil Muntaha, bahkan ke Mustawa dan sampai di bawah Arasy Allah (suatu tempat di mana alam ini diatur) dengan menembusi tujuh lapis langit, lalu kembali semula ke Makkah pada malam yang sama.
Kisah-kisah dalam peristiwa Israk dan Mikraj mengandungi sesuatu yang amat menakjubkan kerana ia tidak sama dengan cara perjalanan ditempuh oleh manusia biasa. Perjalanan ini adalah perjalanan istimewa menggunakan kenderaan Allah (dikatakan burqa) yang kelajuannya tidak boleh ditandingi dengan apa saja kenderaan yang direka oleh manusia.
Di sebalik perjalanan ini, timbul satu pertanyaan, adakah perjalanan Rasulullah ini dengan roh dan jasad atau hanya roh sahaja semasa perjalanan agung itu terjadi? Dipetik dari Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan, Mufti menjawap persoalan mengenai perjalanan agung ini.
Jawapan: Alhamdulillah, segala puji dan syukur kami panjatkan kepada Allah S.W.T. Selawat dan salam kami ucapkan ke atas junjungan besar Nabi Muhammad S.A.W, para isteri dan ahli keluarga baginda, para sahabat seterusnya golongan yang mengikuti jejak langkah baginda sehingga hari kiamat.
Dalam isu ini, tidak dapat dinafikan bahawa terdapat beberapa pandangan para ulama yang berbeza di antara satu sama lain. Sebahagian mereka berpendapat bahawa Rasulullah S.A.W diperjalankan daripada Masjid al-Haram menuju ke Masjid al-Aqsa adalah dengan roh sahaja dan bukannya dengan jasad baginda. Manakala pendapat lain pula menyatakan bahawa baginda S.A.W diperjalankan oleh Allah S.W.T dengan roh dan juga jasad. Di antara ayat yang menjadi fokus perbincangan di dalam isu ini adalah firman Allah S.W.T:
Maksudnya: Maha suci zat yang telah memperjalankan hamba-Nya pada suatu malam daripada Masjid al-Haram ke Masjid al-Aqsa yang telah Kami berkati kawasan sekelilingnya, untuk Kami tunjukkan kepadanya sebahagian daripada tanda-tanda kebesaran Kami, sesungguhnya Dia adalah Tuhan yang Maha Mendengar lagi Maha Melihat. Surah Al-Isra’(1)
Ads
Ketika menafsirkan ayat ini, Imam Al-Thabari Rahimahullah berkata: Para ulama berbeza pendapat berkenaan sifat (cara-cara) Allah S.W.T memperjalankan Nabi-Nya S.A.W daripada Masjidil Haram ke Masjid al-Aqsa. Sebahagian mereka berkata: Allah memperjalankan baginda dengan jasadnya. Maka Nabi S.A.W diperjalankan pada satu malam dan baginda berada di atas buraq daripada Baitullah al-Haram menuju ke Al-Aqsa sehinggalah baginda sampai ke sana. Lalu Allah menunjukkan kepada baginda apa yang dikehendaki dari sudut keajaiban-keajaiban perintah-Nya di samping keagungan dan kebesaran kerajaan-Nya. Kemudian baginda berkumpul di sana bersama dengan para Nabi, dan solat bersama mereka di sana. Kemudian Nabi dinaikkan ke atas langit sehingga ke langit yang ketujuh. Kemudian Allah mewahyukan kepada baginda di sana, dengan kadar yang Dia kehendaki dan seterusnya baginda pulang semula ke masjid al-haram pada malam yang sama dan baginda solat subuh di sana.
Kemudian Imam Al-Thabari menukilkan pendapat yang kedua yang menyatakan bahawa Rasulullah S.A.W tidak diperjalankan dengan jasad baginda akan tetapi dengan roh baginda. Ini sebagaimana yang diriwayatkan daripada Saidina Mu’awiyah bin Abi Sufian apabila beliau ditanyakan berkenaan dengan isra’ Nabi S.A.W beliau menjawab: Ia berlaku dengan cara mimpi yang benar.
Manakala Umm al-Mu’minin Aísyah R.anha pula berkata: Tidaklah hilang jasad Rasulullah S.A.W akan tetapi Allah S.W.T memperjalankannya dengan rohnya. Berkenaan dengan kenyataan daripada Saidina Mu’awiyah dan juga Umm al-Mu’minin A’isyah R.anha, ia diriwayatkan oleh Muhammad bin Ishak dengan katanya:
Maksudnya: Telah menceritakan kepada aku sebahagian daripada keluarga Abu Bakar, bahawasanya A’isyah R.anha berkata: Tidaklah hilang jasad Rasulullah S.A.W. Akan tetapi Allah memperjalankannya dengan rohnya.
Athar ini diriwayatkan daripada Ibn Hisyam di dalam kitabnya Sirah Al-Nabawiyyah (2/46). Riwayat ini bagaimanapun dikritik oleh ramai ulama besar. Kata Al-Syeikh ‘Alawi Al-Saqqaf: Athar ini dhaif, ia diriwayatkan oleh Ibn Ishaq dengan sanad yang terputus. Lihat Takhrij Ahadiith al-Zhilal (Hlm. 246).
Ads
Bahkan melalui riwayat tersebut juga jelas kelihatan bahawa Ibn Ishaq tidak menamakan individu dari keluarga Abu Bakr yang menceritakan kepadanya. Ia dianggap sebagai mubham iaitu terdapat kesamaran pada perawi. Jika dinamakan sekalipun, kita perlulah meneliti berkenaan status individu tersebut, adakah ia thiqah ataupun sebaliknya. Maka jelaslah bahawa riwayat ini dhaif dan tidak boleh untuk dijadikan hujah sebagai sandaran.
Imam al-Thabari apabila mengeluarkan pendapat beliau dan mentarjihkan kedua-dua pendapat di atas beliau mengatakan: Pendapat yang tepat di sisi kami adalah:-
Sesungguhnya Allah S.W.T memperjalankan hambanya Muhammad S.A.W daripada Masjid al-Haram ke Masjid al-Aqsa sebagaimana yang telah Allah khabarkan kepada para hamba-Nya. Dan sebagaimana yang telah jelas perkhabaran-perkhabaran daripada Nabi S.A.W, bahawasanya Allah S.W.T meletakkan baginda di atas buraq sehinggalah Nabi sampai dengan menaikinya serta solat di sana (Masjid al-Aqsa) bersama-sama dengan para Nabi dan Rasul, serta Allah S.W.T menunjukkan kepadanya tanda-tanda kebesaran-Nya. Maka tiada makna bagi golongan yang berpendapat: Nabi diperjalankan dengan rohnya dan bukan dengan jasadnya. Ini kerana, sekiranya keadaannya sedemikian rupa, sudah tentu perkara tersebut tidak menjadi suatu dalil kenabiannya serta tidak ada hujah ke atas kerasulan baginda. Maka Allah S.W.T apabila mengkhabarkan di dalam al-Quran bahawa Dia memperjalankan hamba-Nya, dan Dia tidak menyatakan yang Dia memperjalankan roh hamba-Nya. Maka tidak boleh untuk seseorang itu untuk berlebih-lebih terhadap apa yang dikatakan oleh Allah kepada pendapat lainnya. Lihat Tafsir al-Thabari, Ibn Jarir (17/328).
Demikian juga Imam al-Thabari berpendapat bahawa dalil-dalil yang sahih telah jelas menunjukkan bahawa baginda Rasulullah S.A.W diperjalankan di atas haiwan yang dinamakan sebagai buraq. Sekiranya isra’ itu berlaku dengan roh baginda, nescayalah roh tidak dipikul di atas buraq. Ini kerana, haiwan tidak menanggung selain daripada jisim.
Berkenaan perjalanan Nabi S.A.W dengan menaiki buraq tersebut, hal ini dinyatakan di dalam sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Anas bin Malik R.anh bahawa Rasulullah S.A.W bersabda:
Maksudnya: Kemudian aku didatangkan dengan seekor haiwan yang berwarna putih yang dinamakan sebagai al-buraq. Bentuknya lebih tinggi berbanding keldai dan rendah sedikit berbanding baghal.
Hal ini jelas menunjukkan bahawa baginda melihat dengan jelas warna, bentuk, dan keadaan haiwan yang didatangkan kepada baginda. Kemudian baginda S.A.W menceritakan bahawa baginda dibawa naik ke atas belakang haiwan tersebut dengan sabdanya:
Maksudnya: Aku dibawa naik ke atasnya (Buraq) kemudian kami pun bertolak sehinggalah kami sampai ke langit dunia. Riwayat Muslim (164)
Sebagaimana yang dinyatakan oleh Imam al-Thabari sebelum ini, perkataan menaiki dan duduk di atas sesuatu itu jelas menunjukkan yang ia berlaku dengan jasad dan bukannya dengan roh sahaja. Inilah juga pendapat yang dipersetujui oleh Imam Al-Nawawi Rahimahullah apabila mensyarahkan hadis ini. Beliau menukilkan pendapat daripada Imam al-Qadhi ‘Iyadh Rahimahullah yang berkata: Para ulama berbeza pendapat berkenaan isu isra’ Rasulullah S.A.W.
Maka dikatakan bahawa: Keseluruhan peristiwa itu berlaku di dalam mimpi. Kebenarannya, yang dipegang oleh majoriti manusia, kebanyakan para salaf, serta ramai dari kalangan para fuqaha, ahli hadis, dan para mutakallimin bahawa baginda S.A.W diperjalankan dengan jasadnya. Athar-athar jelas menunjukkan kepada perkara ini bagi sesiapa yang meneliti dan mengkajinya. Dan adalah tidak boleh untuk mengalih hal ini daripada zahirnya. Bahkan tiada kemustahilan untuk ia berlaku sehingga memerlukan kepada takwil. Lihat Al-Minhaj Syarah Sahih Muslim, Al-Nawawi (2/357).
Kesimpulan
Setelah kami meneliti beberapa pendapat yang dikemukakan di atas, kami cenderung kepada pendapat yang menyatakan bahawa kejadian isra’ (perjalanan) Rasulullah S.A.W daripada Masjidil Haram ke Masjid al-Aqsa itu berlaku dengan roh dan jasad baginda S.A.W. Ini dengan mengambil kira penelitian yang dilakukan terhadap nas ilahi di samping hadis-hadis yang sahih lagi jelas yang menyatakan hal tersebut. Semoga Allah S.W.T memberikan kefahaman yang jelas kepada kita dalam beragama. Ameen.
Isian rohani buat semua peringkat umur, semoga kita KASHOORGA bersama. Insya-Allah, kita download seeNI sekarang ya?
Nampak pokok bunga cantik tepi jalan atau lebuh raya kita pun berhenti dan cantas sedikit batangnya untuk buat benih tanam di rumah.
Mungkin dah biasa kita lakukan tapi harus diingat ada hukum dan adab yang termaktub tentang perkara ini dalam Islam. Persoalan ini dibangkitkan oleh netizen kepada Mufti Pulau Pinang dan berikut adalah penjelasan yang diberikan. Moga dijadikan panduan buat kita.
Soalan
Apakah hukum mengerat sedikit ranting dan tunas atau mengambil anak yang tumbuh dari pokok bunga yang hidup di tepi jalan raya atau di taman. Tujuannya adalah untuk mendapat benih/baka bagi tumbuhan tersebut. Cara mengerat dibuat dengan baik dan tidak merosakkan tumbuhan tersebut.
Jawapan
Hukum asal adalah haram mengambil atau mengerat walaupun sedikit ranting atau tunas pada pokok di tepi jalan atau taman kerana ia adalah milik orang lain kecuali dengan izinnya.
Perkara ini termasuk dalam kategori mengambil atau memakan harta orang lain secara batil (salah) yang telah diharamkan oleh Allah SWT seperti dalam firmannya:
Maksudnya: “Dan janganlah kamu makan (atau mengambil) harta (orang lain) di antara kamu dengan jalan salah.”
(Surah al-Baqarah: 188)
Namun syarak mengiktiraf adat dan budaya baik setempat. Jika adat dan budaya sesuatu tempat masyarakat yang hidup berjiran saling membenar dan menghalalkan sesama mereka, maka ia adalah dibenarkan mengambil dan memakannya dengan tidak berlebih-lebihan sekadar untuk keperluan dirinya sahaja.
Akan tetapi berasaskan kepada sifat wara’, adalah baik tidak mengambil dan memakannya kecuali telah diketahui secara pasti bahawa jiran atau tuan tanah tersebut sememangnya seorang yang baik hati atau terus sahaja meminta izin daripadanya atau orang yang menguruskannya.
Hal ini juga termasuk tanah milik kerajaan atau kawasan rizab yang telah ditentukan, maka sebaiknya hendaklah mendapat keizinan terlebih dahulu. Demikianlah adab-adab yang dititik beratkan dalam Islam. Moga kita dapat mempraktikkannya, insya Allah.
Masa kini, kesedaran ibu ayah tentang membuka tabung simpanan atas nama anak-anak dilihat sudah semakin meluas di mana sejak kecil, anak-anak sudah memiliki simpanan sendiri biarpun wang itu ibu yang beri atau simpankan setiap bulan.
Di sebalik simpanan yang adakalanya sudah mencecah belasan atau puluh ribu itu, namun tahukah ibu ayah bahawa wang simpanan kanak-kanak itu sebenarnya wajib dibayar zakat simpanan sebanyak 2.5 peratus dari jumlah simpanan.
Terpakai syarat sama seperti orang dewasa, wang simpanan ini wajib dibayar zakat dan ia perlu diuruskan oleh ibu bapa kerana anak-anak masih kecil.
Berikut adalah perkongsian dari Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur berkaitan zakat simpanan untuk kanak-kanak dan orang tua dalam siri Al Khafi #1564.
Assalamualaikum Sahibus Samahah Mufti. Saya ada satu persoalan, jika sekiranya orang gila atau kanak-kanak mempunyai harta, adakah wajib untuk dikeluarkan zakat daripada harta mereka tersebut? Mohon penjelasan Tuan Mufti. Terima kasih.
JAWAPAN
Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT Tuhan semesta alam, selawat serta salam ke atas junjungan teragung Nabi Muhammad SAW dan ke atas ahli keluarga serta mereka yang mengikuti jejak langkah Baginda SAW hingga ke hari Kiamat.
Sesungguhnya Allah SWT mewajibkan umat Islam mengeluarkan zakat berdasarkan firman-Nya, ayat 103, surah al-Taubah:
Maksudnya:Ambillah (sebahagian) dari harta mereka menjadi sedekah (zakat), supaya dengannya engkau membersihkan mereka (dari dosa) dan mensucikan mereka (dari akhlak yang buruk). (Surah al-Taubah: 103)
Para fuqaha’ telah menyenaraikan syarat-syarat yang mewajibkan seseorang mengeluarkan zakat daripada hartanya. Antaranya yang disebut Imam Khatib al-Syarbini menyebutkan di dalam kitab al-Iqna’ Fi Halli alfaz Abi Syuja’ bahawa terdapat lima syarat, iaitu:
Beragama Islam, tidak wajib ke atas orang kafir
Merdeka, iaitu bukan hamba.
Pemilikan yang penuh. Tidak wajib ke atas hamba al-mukatab kerana mempunyai pemilikan yang lemah terhadap hartanya.
Cukup nisab, iaitu kadar tertentu bagi harta tertentu yang diwajibkan zakat sekiranya mencukupinya.
Sempurna haul, iaitu cukup tempoh yang menjadikan harta yang disimpan wajib untuk dikeluarkan zakat.
Digembalakan, iaitu syarat tambahan bagi zakat haiwan ternakan yang wajib dikeluarkan zakat hendaklah digembalakan di padang-padang ragut yang harus. (Rujuk al-Iqna’ Fi Halli Alfaz Abi Syuja’, 1:212-213)
Jika dilihat pada syarat wajib zakat di atas, tiada syarat baligh dan berakal seperti kebiasaannya yang ada pada ibadat-ibadat wajib yang lain seperti solat dan puasa. Walaubagaimanapun, para fuqaha’ tidak meletakkan syarat baligh dan berakal sebagai syarat wajib zakat, menunjukkan bahawa kanak-kanak dan orang gila wajib untuk menunaikan zakat jika sekiranya memenuhi syarat-syarat yang telah disebutkan di atas. Hal ini disebut secara jelas di dalam kitab-kitab fiqh, antaranya: Imam al-Mawardi menyebut dalam kitabnya, al-Hawi al-Kabir dengan menukilkan pandangan Imam al-Syafie:
Maksudnya:Zakat hukumnya wajib bagi setiap orang yang memiliki harta dengan pemilikan sempurna (tam al-milk), dari pemilik orang merdeka (bukan hamba), meskipun anak kecil atau orang gila atau wanita. Tidak ada perbezaan antara mereka dalam kewajiban berzakat. (Rujuk al-Hawi al-Kabir, 3:329)
Di dalam kitab al-Taqrirat al-Sadidah fi al-Masail al-Mufidah pula, Syeikh Hasan al-Kaff menyebutkan bahawa:
Maksudnya: Justeru, tidak termasuk dalam syarat-syarat wajib zakat, syarat baligh dan berakal. Oleh itu, wajib dikeluarkan zakat ke atas harta kanak-kanak dan orang gila. Dan yang diperintahkan untuk melaksanakan demikian bagi pihak mereka ialah wali mereka. (Rujuk al-Taqrirat al-Sadidah fi al-Masail al-Mufidah: 397)
Kesimpulan
Secara kesimpulannya, kami menyatakan bahawa wajib dikeluarkan zakat ke atas harta kanak-kanak dan orang gila jika sekiranya mencukupi syarat-syarat wajib zakat yang telah disebutkan. Syarat-syarat tersebut tidak termasuk syarat baligh dan berakal, oleh sebab itu maka wajib dikeluarkan zakat ke atas harta kedua-duanya. Oleh itu, para wali yang menjaga mereka seperti ibu bapa dan penjaga bertanggungjawab untuk menunaikan zakat bagi pihak kanak-kanak dan orang gila tersebut kerana mereka tidak mampu untuk memahami dan menguruskannya sendiri. Semoga Allah SWT memberikan kita kefahaman yang sahih dalam memahami syariat-Nya serta taufiq dan hidayah untuk melaksanakan ibadah ikhlas semata-mata kerana-Nya. Amin. WaAllahu a’lam.
Isian rohani buat semua peringkat umur, semoga kita KASHOORGA bersama. Insya-Allah, kita download seeNI sekarang ya?
Ramai suka menggunakan android box kerana ia membolehkan kita mengakses siaran berbayar secara percuma. Biar dilihat perbuatan ini seperti tiada apa tapi sebenarnya jadi haram jika kita menonton siaran berbayar itu seperti percuma melalui android box tersebut.
Baca penjelasan hukum dikongsikan oleh pejabat Mufti Wilayah Persekutuan berkaitan, hukum kita beli android box? Contoh, kita boleh tengok siaran astro tapi tak bayar pada astro. Mohon pencerahan pejabat mufti.
Jawapan Ringkas
Asal hukum bagi membeli dan menggunakan android box adalah harus. Namun begitu, sekiranya tujuan pembelian dan penggunaan peranti tersebut adalah untuk mengakses siaran berbayar dan hak cipta lain dengan cara yang salah maka ianya adalah diharamkan kerana mencerobohi hak dan menzalimi pihak lain.
Huraian Jawapan
Android Box adalah alat atau peranti yang digunakan untuk membolehkan televisyen mendapat siaran-siaran dari seluruh dunia. Tambahan lagi, peranti tersebut dapat membolehkan televisyen menyiarkan perkhidmatan siaran strim (streaming services) lain yang biasanya hanya boleh diakses melalui laptop, komputer, telefon dan peranti pintar yang lain.[1]
Selain itu, ia juga akan membolehkan pengguna mendapat akses terhadap aplikasi-aplikasi peranti pintar seperti playstore, internet dan lain-lain.
Terdapat dua bentuk siaran yang akan diperoleh melalui penggunaan peranti tersebut iaitu siaran berbayar dan siaran percuma. Justeru, tidak timbul sebarang isu syariah bagi kategori siaran percuma kerana ia boleh digunakan oleh semua orang.
Namun begitu, timbul isu syariah bagi kategori siaran berbayar yang sepatutnya pengguna bayar terlebih dahulu untuk mendapat akses siaran tersebut. Terdapat keadaan di mana pengguna peranti tersebut mendapat akses kepada siaran berbayar tanpa melanggannya yang seterusnya menyebabkan kerugian kepada syarikat penyiaran.
Justeru, permasalahan ini adalah sama mengambil hak orang lain dengan cara yang batil dan menzalimi syarikat penyiaran serta pihak-pihak berkaitan dengannya. Perbuatan ini juga telah dilarang oleh Allah SWT melalui firmanNya berikut:
وَلَا تَأۡكُلُوٓاْ أَمۡوَٰلَكُم بَيۡنَكُم بِٱلۡبَٰطِلِ Maksudnya:Dan janganlah kamu makan (atau mengambil) harta (orang-orang lain) di antara kamu dengan jalan yang salah. Surah al-Baqarah (188)
Selain itu, permasalahan ini juga berkait rapat dengan hak cipta dan lesen penyiaran. Hak cipta, penyiaran dan seumpama dengannya adalah merupakan hak yang diiktiraf syarak.
Ini dapat dilihat melalui kenyataan Dr Abu Ghuddah yang menyatakan bahawa cap dagangan, nama syarikat, tulisan atau ciptaan seseorang dalam konteks semasa dianggap mempunyai nilai di sisi syarak.
Oleh itu, tidak boleh untuk seseorang mencerobohi hak tersebut atau menggunakannya dengan cara yang salah seperti mencetak tanpa kebenaran, menggodam atau menggunakannya tanpa membayar atau melanggannya. (Rujuk Majalah Majma’ Fiqh al-Islami 2080/5[2]; Fiqh Nawazil 165/2[3])
Adapun bagi perbuatan membeli dengan tujuan untuk menonton siaran percuma atau fungsi-fungsi lain yang tidak melibatkan hak pihak lain dan mencerobohi hak-hak mereka, maka pembelian atau penggunaannya adalah diharuskan syarak sekiranya menepati syarat dan rukun jual beli. Hal ini juga berdasarkan kaedah fiqh berikut:
Maksudnya: Hukum asal suatu perkara adalah harus sehingga terdapat perkara yang membawa kepada pengharamannya. (Rujuk al-Asybah wa al-Nazoir h.60) Namun begitu, sekiranya pembelian peranti tersebut adalah bertujuan untuk mendapatkan akses siaran berbayar dengan cara yang salah maka ianya adalah haram sebagaimana perbincangan di atas. Ini adalah bertepatan dengan kaedah fiqh berikut:
الْأُمُورُ بِمَقَاصِدِهَا Maksudnya:Setiap perkara itu bergantung dengan niat tujuannya. (Rujuk al-Asybah wa al-Nazoir h.8)
Kesimpulan
Asal hukum bagi membeli dan menggunakan android box adalah harus. Namun begitu, sekiranya tujuan pembelian dan penggunaan peranti tersebut adalah untuk mengakses siaran berbayar dan hak cipta lain dengan cara yang salah maka ianya adalah diharamkan kerana mencerobohi hak dan menzalimi pihak lain.
Wallahualam. [1]https://www.radiotimes.com/technology/technology-guides/what-is-android-tv-box/ [2] أولا: الاسم التجاري، والعنوان التجاري، والعلامة التجارية، وحق الترخيص، وحق التأليف، هي ملك خاص لأصحابها وقد أصبح لها في العرف المعاصر قيمة مالية معتمدة لتمول الناس بها وعنيت القوانين بتنظيمها وبيان طرق التصرف فيها، وهذه الحقوق يعتد بها شرعا [3] إن هذه الفقرات التي تعطي التأليف الحماية من العبث، والصيانة عن الدخيل عليه وتجعل للمؤلف حرمته والاحتفاظ بقيمته وجهده هي مما علم من الإسلام بالضرورة وتدل عليه بجلاء نصوص الشريعة وقواعدها وأصولها مما تجده مسطراً في (آداب المؤلفين) وكتب الاصطلاح
Isian rohani buat semua peringkat umur, semoga kita KASHOORGA bersama. Insya-Allah, kita download seeNI sekarang ya?
Memasuki bulan Syaaban ini menandakan Ramadan semakin menghampiri. Menurut Ustazah Asma' Harun banyak kelebihan yang terkandung di bulan ini namun ramai yang masih terleka...