Kerohanian

3 Perkara Yang Akan Berlaku Saat Kita Sendirian Di Alam Barzakh

Share

Tinggal bersendirian di rumah yang besar di siang hari pun ada  yang sudah rasa seram, apatah lagi bersendirian di alam barzakh!

Bagaimana agaknya? Takut dalam kegelapan, sepi dan dingin, seram,mahu menangis? Mahu berteriak? Kita tidak tahu bagaimana kerana belum lagi ke sana, namun Allah banyak memberikan gambaran buat pedoman agar kita terus mengabdikan diri kepadaNya sepanjang hayat kita.

Alam barzakh merupakan ‘dinding’ pemisah di atara dua alam yang akan dialami oleh setiap manusia iaitu di anatara alam dunia dan alam akhirat. Ia adalah alam bagi orang yang meninggal dunia sementara menunggu hari kebangkitan semula pada hari akhirat.

Ikuti penjelasan Ustaz Ahmad Dusuki Abd Rani berkenaan perkara ini.

Peringatan tentang kematian sering diingatkan oleh Allah SWT di dalam firman-Nya:

“Katakanlah (wahai Muhammad): Sebenarnya maut yang kamu melarikan diri daripadanya itu, tetaplah ia akan menemui kamu; kemudian kamu akan dikembalikan kepada Allah yang mengetahui segala yang ghaib dan yang nyata, lalu ia memberitahu kepada kamu apa yang telah kamu lakukan (serta membalasnya)”. (Surah al-Jumuah, ayat 8).

Rasulullah SAW menyebut: “Jika sekiranya kamu berjaya di alam (barzakh) itu, berjayalah kamu di alam-alam yang akan datang nanti. Tetapi sekiranya kamu tidak berjaya di alam itu, maka tidak mungkin kamu berjaya pada masa yang akan datang nanti.”

1.Kita Akan Disapa Mungkar Dan Nakir

Apabila jasad dikebumikan dan ditinggalkan, dalam keadaan yang sunyi kita boleh melihat berdirinya malaikat Mungkar dan Nakir di hujung kaki.

Di saat ini perkara yang pertama yang akan berlaku ialah amalan-amalan akan mula mengelilingi diri kita. Hadis oleh Abu Hurairah RA yang disebutkan oleh Abu ad-Dunya : Jika mayat itu diletakkan di dalam kubur, amalan-amalan salihnya akan datang dan mengelilinginya.

Kita mula melihat bagaimana solat, zakat dan semua amalan datang mengelilingi. Jika didatangi malaikat pada sisi kepala, perkara yang pertama yang akan datang ialah bacaan al-quran yang berada di hujung kepala kita.

Jika didatangi malaikat pada sisi kedua iaitu di bahagian kaki, bangun malam juga akan menanti di hujung kaki. Kemudian apabila malaikat datang di kedua-dua belah tangan, tangan akan menyebut, “Demi Allah, dia telah menghulurkan kami sedekah di atas dunia dahulu dan banyak berdoa sehingga tidak ada jalan bagi kalian menujunya di sini.”

Selepas itu malaikat pula datang ke bahagian mulutnya, zikir dan puasa sudah menanti di situ. Zikir berkata: “Wahai malaikat, dia sentiasa berzikir dan tidak pernah berhenti menyebut nama Allah dan sentiasa berpuasa.”

Abu Hurairah r.a. berkata: “Jika ada tempat yang terbuka, akulah yang akan menjaganya. Demikian kata-kata daripada solat dan sabar.” Sabar dan solat akan menjaga mana-mana ruang yang terbuka agar tidak diganggu oleh malaikat. Semua amal salih akan melindunginya, sebagaimana seseorang yang melindungi saudaranya.

Amalan-amalan juga menjaga agar mayat tidak perlu menjawab persoalan kubur yang akan diajukan malaikat yang datang dan memastikannya sentiasa berada di dalam keadaan tenteram dan selamat.
Menurut Rasulullah SAW, sahabat-sahabat yang sebenarnya ialah amalan-amalan yang dilakukan oleh seseorang ketika hidup di dunia yang akan melindungi ketika berada di dalam kubur.

2. Roh Kita akan didudukan oleh malaikat

Seterusnya, perkara yang kedua yang berlaku kepada diri kita di alam barzakh ialah roh akan di sandar dan didudukkan oleh malaikat. Berdasarkan kepada hadis yang disebut oleh Jabir bin Ibnu Abdillah, Rasulullah SAW bersabda; “ Jika satu mayat itu diletakkan di kuburannya, akan diperlihatkan padanya setelah saat selesai dijaga oleh amalannya, keadaan yang seumpama matahari yang mula terbenam pada hari itu.

Lalu dia terkejut sambil mengusap kedua matanya dan berkata kepada malaikat: “Biarkan aku mengerjakan solat.” Malaikat pula menjawab sebagaimana yang terdapat di dalam hadis yang diriwayatkan oleh Ibnu Majah, Ibnu ad-Dunya dan Ibnu Abi Asim: “Sudah tidak ada solat untuk kamu, tidak ada puasa untuk kamu, tidak ada lagi zakat untuk kamu. Tidurlah kamu hari ini, bagaikan hari pengantin baru untuk diri kamu.”

3. Akal Akan Dipulangkan Semula Kepada Kita

Perkara ketiga akan datangnya malaikat Mungkar dan Nakir dalam keadaan yang amat menggerunkan. Seperti yang disebutkan oleh Rasulullah SAW kepada Umar al-Khattab RA, pada saat ini, akal akan dipulangkan semula kepada si mati.
Allah SWT akan memperlihatkan sebagaimana kita dapat melihat ketika di dunia. Rasulullah bersabda: “Wahai Umar, apakah yang akan dilakukan oleh mu jika kamu meninggal dunia nanti?

Setelah orang yang menghantarmu ke kuburan berlalu, kamu seterusnya didatangi malaikat Mungkar dan Nakir. Suara mereka itu seperti halilintar yang menggegarkan dan sorot matanya bagaikan petir yang menyambar.

Rambutnya terseret sampai ke tanah, kemudian mereka mencakar-cakar kubur dengan taring hingga membuat kamu rasa takut. Kamu tidak pernah merasai suasana seperti ini, lalu apa yang akan kamu lakukan?” Umar bertanya kembali kepada Rasulullah, “Apakah saat itu aku masih mempunyai akal seperti sekarang ya Rasulullah?”.

Kemudian Rasulullah berkata, “Ya, kamu dalam keadaan waras, tidak bingung dan memerhati bahawa keadaan itu benar-benar berlaku di saat itu.” Umar berkata, “Kalau begitu, aku tidak tahu dan tidak mampu berbuat apa-apa sekiranya berhadapan dengan suasana seperti itu.”

4. Al-Quran Pelindung Kita

Perkara keempat, di saat datangnya malaikat Mungkar dan Nakir akan datang satu kekuatan kepada diri kita. Hadis yang diriwayatkan Ubadah bin Ibnu Samid, diriwayatkan oleh Ibnu Ubaid al-Dunya dalam tahajudnya: Jika salah seorang di antara kalian bangun pada satu malam, kalian hendaklah membaca al-Quran dengan kuat sedikit, kerana suara kuat itu akan mengusir syaitan dan jin yang fasik yang mengganggu kamu, menyebabkan jiwamu menjadi kuat.

Kemudian para malaikat yang berada di udara serta para penduduk mendengar bacaan tersebut, dan akan solat bersama kamu.

Al-Quran akan melindungi kita ketika dihampiri malaikat dan berkata: “Demi Allah aku tidak akan melepaskan diriku darinya sehinggalah aku dapat memasukkannya ke dalam syurga Allah”

Oleh itu jadikan membaca al-Quran sebagai amalan walau berhadapan dengan pelbagai kesukaran, kerana ia akan memberi kekuatan, pelindung dan teman paling akrab kepada kita sewaktu berada di alam barzakh nanti.

 

Published by
Team Kashoorga