Ramai yang beranggapan andai bernazar, ianya wajib ditunaikan. Namun bila menyentuh tentang nazar ada sesuatu yang harus kita fahami dari konteks apa nazar itu disebut. Ketua Penolong Mufti Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan, Dr Syed Shahridzan Syed Mohamed berkongsi mengenai nazar poligami yang wajar diberi perhatian oleh golongan lelaki yang sering menyebutnya.
Nazar Poligami (Sesiapa yang malas baca semua, boleh skip ke point no. 7 dan seterusnya)
1) Apabila seseorang itu bernazar untuk melakukan sesuatu ibadah yang sunat, maka wajib ke atasnya untuk melakukan ibadah itu, sebagai contoh: ‘Aku bernazar kerana Allah melakukan puasa Asyura pada tahun ini’. Hukum asal puasa pada hari Asyura ialah sunat, namun apabila dinazarkan maka ia menjadi wajib. Jika dia tidak melakukan puasa Asyura pada tahun itu, maka dia wajib membayar kaffarah kerana melanggar janji kepada Allah.
2) Namun begitu tidak semua amalan sah atau ‘valid’ untuk dijadikan amalan yang dinazarkan(Manzur). Oleh itu sesiapa yang ingin bernazar maka dia perlu mengenal pasti dahulu amalan manakah yang sesuai untuk dinazarkan. Imam Syahabuddin al-Ramli(Ramli Kabir) menjelaskan piawaian amalan yang sah untuk dijadikan amalan nazar di dalam karangan beliau “Fathul Rahman”(Syarah Matan Zubad):
وأما المنذور: فهو قربة غير واجبة وجوب عين، سواء أكانت عبادة مقصودة بأن وضعت للتقرب بها وعرف من الشارع الاهتمام بتكليف الخلق بإيقاعها عبادة؛ كصلاة وصوم وحج، واعتكاف وصدقة، أو فرض كفاية
Maksudnya: “Manakala ‘manzur’(amalan yang dinazarkan) adalah qurbah(ibadah) yang bukan fardu ain, samaada ibadah maqsudah iaitu dilakukan untuk mendekatkan diri (kepada Allah) dan ditakrifkan oleh Pensyariat(Allah Ta’ala) sebagai satu komitmen yang ditaklifkan (dipertanggungjawabkan) kepada makhluk yang dikira sebagai ibadah, seperti solat, puasa, haji, iktikaf, sedekah atau fardu kifayah”.
Ads
3) Kenyataan Imam Ramli di atas menunjukkan bahawa amalan yang layak dinazarkan hanya tertakluk kepada ibadah sahaja yang bukan ketogari fardu ain seperti solat 5 waktu dan puasa Ramadan. Selain dari ibadah khusus seperti solat dan puasa sunat, apa sahaja amalan yang dipuji oleh syarak, sah dan wajib diamalkan sebagai nazar, perkara ini disebut dengan jelas oleh Imam Ramli dalam rujukan yang sama:
وإنما هي أعمال وأخلاق مستحسنة رغب الشارع فيها؛ لعظم فائدتها، وقد يبتغي بها وجه الله تعالى فيثاب عليها؛ كعيادة المريض، وتطييب الكعبة وكسوتها، وتشميت العاطس، وزيارة القادم والقبور، وإفشاء السلام على المسلمين، وتشييع الجنائز.
Maksudnya: “Ia(qurbah) hanyalah amalan-amalan dan akhlak yang baik yang mana ia digalakkan oleh Pensyariat(Allah) untuk melakukannya kerana faedahnya yang sangat besar. Adakalanya ia (dilakukan) demi mendekatkan diri pada Allah maka ia diberi ganjaran melalui amalan-amalan itu seperti menziarahi orang sakit, mewangikan kaabah, meletakkan kiswah pada kaabah, mendoakan orang yang bersin, menziarahi orang yang pulang dari musafir, menziarahi kubur, memberi salam pada orang-orang Islam dan mengiringi jenazah”.
4) Perbuatan yang tidak dikira sah untuk diamalkan sebagai nazar adalah perkara yang melibatkan perbuatan maksiat dan perbuatan yang diharuskan/dibolehkan oleh syarak. Fakta ini dinyatakan dengan jelas oleh Imam al-Ramli:
Ads
وخرج بـ (القربة): المعصية، فلا يصح نذرها، والمباح كأكل ونوم، فلا يصح نذره؛ لخبر أبي داوود: "لا نذر إلا فيما ابتغي به وجه الله"، فلو نذر ذلك وخالف .. لم تلزمه كفارة.
Maksudnya: “Perkara yang terkeluar dari ketogari qurbah ialah maksiat, maka tidak sah nazar untuk maksiat. Begitu juga perkara yang harus hukumnya seperti makan dan tidur, maka tidak sah nazarnya, berdasarkan hadis yang diriwayatkan oleh Abu Daud, “Tiada nazar melainkan pada perkara yang mendekatkan diri pada Allah”. Jika seseorang itu bernazar (untuk perkara yang harus hukumnya) lalu dia tidak menunaikan nazar itu, maka tidak diwajibkan kaffarah ke atasnya”.
5) Jelas di sini bahawa hukum bernazar dengan amalan yang harus dilakukan menurut syarak tidak sah nazarnya menurut mazhab Syafi’ie, malah ia adalah perkara yang sia-sia dan pada zahirnya tiada ganjaran yang dikurniakan oleh Allah. Malah jika seseorang tidak menunaikan nazar tersebut maka dia tidak dikira melanggar janji pada Allah dan tidak diwajibkan kaffarah sebagai ganti. Perkara ini dibuktikan melalui hadis yang diriwayatkan oleh Saidina Ibn Abbas radiyallahu ‘anhuma:
Maksudnya: Ketika Nabi ﷺ berkhutbah, pada masa yang sama ada seorang lelaki yang berdiri di tengah matahari terik, lalu Baginda bertanya tentang lelaki itu. Lalu para sahabat menjawab, ‘Dia Abu Israel bernazar untuk berdiri dan tidak duduk, tidak berteduh (dari kepanasan matahari), tidak bercakap dan berpuasa’. Lalu Baginda bersabda, “Suruh dia bercakap, berteduh dan duduk. Hendaklah dia menyempurnakan puasanya”. (HR Abu Daud) 6) Jelas yang dinyatakan oleh hadis di atas, Rasulullah ﷺ tidak membenarkan Abu Israel RA meneruskan amalan nazar yang bukan dalam ketogari ibadah. Namun Baginda memerintah agar beliau menuruskan nazar puasanya kerana ia termasuk dalam ibadah.
7) Bagi menjawab soalan di atas, hukum asal perkahwinan adalah sunat dan ia termasuk dalam kategori qurbah (ibadah) yang dipuji dan digalakkan oleh syariat, bahkan ia adalah sunnah yang amat dituntut Rasulullah ﷺ. Oleh itu sesiapa yang telah bernazar untuk berkahwin sama ada poligami atau monogami, maka dia wajib menunaikannya lebih² lagi bagi mereka yang mampu.
8)) Hukum meninggalkan nazar bagi mereka yang mampu melaksanakan adalah berdosa dan disifatkan sebagai orang yang bersifat munafik kerana mengingkari janjinya kepada Allah. Selagi dia mampu untuk melaksanakan nazar itu dia tidak boleh berpindah kepada kaffarah.
9) Melainkan jika seseorang itu tidak mampu atau terhalang untuk melaksanakan nazar oleh keuzuran syar’ie, maka dia wajib menunaikan “Kaffarah Yamin”, iaitu memilih salah 1 dari 3 cara, a) Membebaskan seorang hamba mukmin b) Memberi makan 10 orang fakir miskin c) Memberi pakaian lengkap kepada 10 orang fakir miskin d) Jika tiada ketiga² di atas, maka puasa 3 hari.
10) Satu perkara penting yang ditekankan di sini bahawa sesuatu nazar tidak sah dan tidak wajib dilaksanakan jika sekadar berniat di hati, iaitu niat nazar itu tidak dilafazkan dengan lidah. Maksudnya jika bernazar untuk poligami hanya di dalam hati dan tidak dilafazkan di mulut, maka tidak termetrai nazar itu dan tidak wajib dilaksanakan. Namun jika sebaliknya ia menjadi kewajipan yang tidak boleh diabaikan.
11) Dinasihat agar kita semua perlu berfikir panjang sebelum berniat dan melafazkan sesuatu nazar, apakah implikasinya di kemudian hari? agar tidak menyesal di suatu hari nanti, jangan sampai periuk dan belanga terbang di sana sini. Wallahu A’lam Dr. Syed Shahridzan Ben-Agil @ Abu Ruqayyah Ba ‘Alawi
Isian rohani buat semua peringkat umur, semoga kita KASHOORGA bersama. Insya-Allah, kita download seeNI sekarang ya?
Ramai yang melakukan solat secara duduk di atas kerusi dek masalah kesihatan terutama bagi golongan yang berusia.
Namun selalu menjadi persoalan tentang solat duduk di atas kerusi ini adalah perihal had sujud. Ini kerana bila solat duduk di atas kerusi kebanyakannya sujud dalam bentuk rukuk.
Antara dalil yang membolehkan seseorang untuk menunaikan solat dalam keadaan duduk sekiranya tidak mampu adalah berdasarkan sebuah hadis yang diriwayatkan daripada ‘Imran bin Husain RA bahawa Rasulullah SAW bersabda:
Maksudnya: “Solatlah kamu dalam keadaan berdiri, sekiranya kamu tidak mampu (untuk berdiri) maka solatlah dalam keadaan duduk dan sekiranya kamu tidak mampu untuk solat secara duduk, maka solatlah di atas lambung.” (Riwayat al-Bukhari)
Berdasarkan kepada keumuman maksud hadis ini dapat difahami bahawa paling utama adalah solat duduk di atas lantai dan duduk secara iftirasy (duduk antara dua sujud)[1] lebih utama berbanding duduk secara tawarruk[2] (duduk tahiyat akhir) dan tarabbu`[3] (bersila).
Namun dibolehkan menunaikan solat dengan cara duduk di atas kerusi bagi orang yang tidak mampu untuk sujud dengan sempurna atau tidak mampu untuk duduk di atas lantai.
Had sujud bagi solat duduk
Secara asasnya bagi pesakit yang mampu solat berdiri dan mampu rukuk tetapi tidak mampu sujud, maka hendaklah dia sujud dalam bentuk rukuk dengan menundukkan kepala lebih daripada had kesempurnaan rukuk.
Sekiranya tidak mampu, maka dia boleh sujud dalam bentuk rukuk. Perkara ini sebagaimana yang diterangkan oleh Imam Syamsuddin al-Ramli:
ولو قدر المصلي على الركوع فقط كرره للسجود، ومن قدر على زيادة على أكمل الركوع تعينت تلك الزيادة للسجود لأن الفرق واجب بينهما على المتمكن ولو عجز عن السجود إلا أن يسجد بمقدم رأسه أو صدغه وكان بذلك أقرب إلى الأرض وجب، فإن عجزأومأ برأسه والسجود أخفض من الركوع
Maksudnya: “Sekiranya orang bersolat itu hanya mampu untuk rukuk sahaja maka dia perlu mengulangi rukuk untuk menggantikan sujud. Sesiapa yang mampu untuk melebihkan daripada kadar kesempurnaan rukuk maka hendaklah dia melakukannya. Hal ini kerana wajib membezakan antara rukuk dan sujud bagi orang yang mampu untuk melakukannya walaupun dia tidak mampu untuk sujud. Sekiranya dia mampu sujud dengan bahagian hadapan kepalanya atau dengan bahagian tepi wajah menjadikannya lebih rapat ke bumi maka wajib dia melakukannya. Jika dia tidak mampu maka boleh menggunakan isyarat dan sujud mestilah lebih rendah daripada rukuk[5].
Cara rukuk bagi solat duduk
Manakala rukuk bagi orang yang solat dalam keadaan duduk adalah dengan membongkokkan badan sekira-kira dahi setentang dengan lutut dan paling sempurna adalah dengan membongkokkan badan sekira-kira dahi setentang dengan tempat sujud.[6]
Realitinya, kebanyakan jemaah di masjid yang solat menggunakan kerusi akan melakukan rukuk terlebih dahulu sebelum melakukan sujud dengan cara duduk di atas kerusi.
Hal ini bukanlah suatu kesalahan kerana menurut Syeikh al-Bujairimi tidak disyaratkan melakukan sujud itu dalam keadaan berdiri malahan boleh dilakukan dalam keadaan duduk kerana itu lebih hampir dengan sujud. Syeikh al-Bujairimi berkata:
وقوله: يجلس ثم يقوم ويومئ انظر هل القيام شرط؟ وما المانع من الإيماء للسجود الثاني من جلوس مع أنه أقرب؟ تأمل.
Maksudnya: “Perkataan pengarang “Dia duduk, kemudian berdiri dan membuat isyarat sujud”, Lihat, adakah berdiri itu merupakan syarat? Apakah halangan untuk memberi isyarat pada sujud kedua sambil duduk, sedangkan ia lebih hampir? renungkan![7]”
Selain itu, duduk untuk melakukan sujud tidak dianggap menambah rukun kerana menambah rukun yang boleh menyebabkan batalnya solat ialah seperti menambah sujud dan rukuk dengan sengaja. Melakukan duduk sebelum sujud tidak termasuk dalam menambah rukun.
‘Tak berdosa, suami tak dayus.’ Ini penjelasan UIA atau Ustaz Azhar Idrus bila darurat dan tiada pilihan sewaktu isteri nak beranak. Proses melahirkan bukan sesuatu yang mudah, malah melibatkan nyawa.
Oleh itu jangan mudah menjatuhkan hukum pada suami kerana tidak semua lelaki berkemampuan. Malahan jika berkemampuan sekalipun, jika kandungan bermasalah dan perlu merujuk kepada doktor lelaki, memang tiada pilihan lain buat suami.
Beberapa hari lalu tular di media sosial mengenai seorang ustazah mengatakan seorang suami itu ‘dayus’ apabila membenarkan doktor lelaki menyambut kelahiran bayi.
Kenyataan beraninya itu telah mencetuskan perdebatan ramai kerana masing-masing tidak bersetuju dengan ustazah berkenaan termasuklah suaminya yang berkata perkara yang sama.
Apatah lagi bagi wanita yang mempunyai pengalaman bersalin dengan doktor lelaki di hospital kerajaan. Di hospital kerajaan tidak semua ibu yang bakal melahirkan bernasib baik dan mempunyai pilihan.
Disebabkan kontroversi yang berlaku, penceramah selebriti, Ustaz Azhar Idrus tampil memberi penjelasan mengenai isu tersebut.
Suami Tak Dayus
Menerusi video dimuat naik di laman TikTok, UAI mengatakan pada asalnya para wanita perlulah berubat dengan golongan sejantina sahaja.
“Dengar baik-baik, hukumnya asal perempuan itu berubat dengan perempuan. Lelaki berubat dengan lelaki kerana masalah aurat. Perempuan sesama perempuan, haram melihat tetapi lebih berat jika berlainan jantina,”ujar beliau.
Ini Penjelasan UAI
Pun begitu, berbeza hukumnya jika seseorang itu berdepan dengan situasi getir terutama melibatkan nyawa.
“Barangsiapa yang masuk kepada situasi yang tidak boleh membuat pilihan, bukan sengaja dan tidak berlebih-lebihan, tidak berdosa.
“Keadaan darurat itu membolehkan apa yang tidak boleh,”jelasnya lagi.
Bila Darurat & Tiada Pilihan
Tambahnya lagi, seseorang suami tidak dayus seperti yang diperkatakan sebelum ini sekiranya tiada pilihan lain sewaktu isteri hendak melahirkan anak.
“Jika berkait dengan nyawa, iaitu ibu dan anak dalam kandungan, maka oleh kerana tidak ada doktor perempuan, maka tidak berdosa doktor lelaki menyambut kelahiran. Kenapa pergi cakap suami dayus pula? Tak haram,”jelas Ustaz Azhar Idrus panjang lebar.
Sewaktu Isteri Nak Beranak
Tambahnya lagi, hukum ‘haram’ jatuh apabila adanya doktor perempuan tetapi si suami tetap menginginkan doktor lelaki menyambut kelahiran anaknya.
Ustaz Azhar juga menjelaskan, hukum doktor lelaki menyambut kelahiran bagi wanita Muslim adalah harus kerana tidak mempunyai pilihan terutamanya kepada mereka yang tidak mampu menghantar isteri bersalin di hospital swasta.
Adakah perlu membasuh tuala wanita sebelumnya membuangnya kerana saya ada terdengar yang mana jika tidak dibasuh sebelum membuangnya Jin akan makan darah haid yang ada pada tuala tersebut. Adakah terdapat sebarang hadis atau athar yang berkaitan?
Jawapan :
Alhamdulillah, segala puji dan syukur dipanjatkan kepada Allah S.W.T. Selawat dan salam kami ucapkan ke atas junjungan besar Nabi Muhammad S.A.W, para isteri dan keluarga baginda, para sahabat, seterusnya golongan yang mengikuti jejak langkah baginda sehingga hari kiamat.
Tiada sebarang athar atau hadis yang menunjukkan bahawa tuala wanita yang terkandung darah haid perlu dibasuh terlebih dahulu sebelum membuangnya. Bahkan tidak ada riwayat dari para Sahabat dari kalangan wanita menyatakan bahawa mereka membasuh tuala tersebut sebelum membuangnya. Juga tidak terdapat arahan dari Nabi agar membasuhnya. Yang Nabi arahkan adalah jika darah tersebut terkena pakaian sepertimana hadis yang diriwayatkan oleh Asma’ Binti Abu Bakar. Kata beliau :
Maksudnya :” Aku bertanya kepada Nabi saw tentang darah haid yang terkena pada pakaian. Nabi saw bersabda : basuhlah ia dan gosoklah ia dengan air serta siramlah ia (setelah digosok). Kemudian solatlah dengan pakaian tersebut.”
Riwayat al-Tirmizi (138) & Abu Daud ( 362)
Adapun membasuh tuala wanita sebelum membuangnya, tidak pernah diarahkan oleh Nabi saw. Ini dapat dilihat dari zahir hadis Nabi saw yang diriwayatkan oleh Abu Said al-Khudri. Seorang lelaki bertanya kepada Rasulullah saw :
Maksudnya :” Adakah boleh kami mengambil wuduk dari perigi yang mana dibuang di dalamnya kain-kain yang terkandung darah haid, nanah dan daging anjing. Sabda Nabi saw : Air itu suci dan tidak dinajiskan oleh sesuatu,”
Riwayat al-Tirmizi (66) & Ahmad (11257) di dalam Musnadnya
Zahir hadis menyatakan bahawa الحِيض iaitu kain tuala wanita dibuang tanpa dibasuh terlebih dahulu. Jika kain tersebut dibasuh, masakan ada yang bertanya tentang kesucian air perigi tersebut.
Kami menyatakan bahawa tiada sebarang hadis atau athar yang menyatakan perlu membasuh tuala tersebut sebelum membuangnya. Adalah tidak benar jika ada yang mengatakan bahawa ia perlu dibasuh terlebih dahulu kerana dibimbangi akan menjadi makanan jin. Namun tidak dinafikan bahawa syaitan adalah antara kalangan yang memang menyukai perkara-perkara yg kotor & najis. Ini berdasarkan hadis daripada Anas bin Malik yang menyebut doa Rasulullah saw ketika masuk ke dalam tandas. Rasulullah berdoa :
Maksudnya :” Ya Allah aku berlindung dengan Engkau dari al-Khubuth dan al-Khabaith.”
Riwayat al-Bukhari (6322)
Kata al-Khattabi :
“al-Khubuth adalah kata jamak bagi al-Khabith yang membawa makna syaitan jantan. Manakala al-Khabaith adalah kata jamak bagi al-Khabithah yang membawa makna syaitan betina.”
Rujuk Ma’alim al-Sunan (1/10)
Cuma kami mengesyorkan beberapa perkara :
Tuala tersebut perlu dibuang di tempat yang khusus. Jika boleh asingkan dari tempat buangan yang biasa digunakan seperti mana yang dilakukan di hospital.
Jangan dibuang merata-merata seperti di mangkuk tandas dan lain lain tempat yang tidak sesuai. Ini kerana, ia boleh menimbulkan suasana tidak selesa.
Seronok beraya, pergi rumah terbuka bertemu saudara mara dan rakan taulan tapi tanpa sedar kita turut sama melakukan dosa.Dikongsi oleh Ustazah Asma' Harun, terdapat...