Ramai yang beranggapan andai bernazar, ianya wajib ditunaikan. Namun bila menyentuh tentang nazar ada sesuatu yang harus kita fahami dari konteks apa nazar itu disebut. Ketua Penolong Mufti Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan, Dr Syed Shahridzan Syed Mohamed berkongsi mengenai nazar poligami yang wajar diberi perhatian oleh golongan lelaki yang sering menyebutnya.
Nazar Poligami
(Sesiapa yang malas baca semua, boleh skip ke point no. 7 dan seterusnya)
1) Apabila seseorang itu bernazar untuk melakukan sesuatu ibadah yang sunat, maka wajib ke atasnya untuk melakukan ibadah itu, sebagai contoh: ‘Aku bernazar kerana Allah melakukan puasa Asyura pada tahun ini’. Hukum asal puasa pada hari Asyura ialah sunat, namun apabila dinazarkan maka ia menjadi wajib. Jika dia tidak melakukan puasa Asyura pada tahun itu, maka dia wajib membayar kaffarah kerana melanggar janji kepada Allah.
2) Namun begitu tidak semua amalan sah atau ‘valid’ untuk dijadikan amalan yang dinazarkan(Manzur). Oleh itu sesiapa yang ingin bernazar maka dia perlu mengenal pasti dahulu amalan manakah yang sesuai untuk dinazarkan. Imam Syahabuddin al-Ramli(Ramli Kabir) menjelaskan piawaian amalan yang sah untuk dijadikan amalan nazar di dalam karangan beliau “Fathul Rahman”(Syarah Matan Zubad):
وأما المنذور: فهو قربة غير واجبة وجوب عين، سواء أكانت عبادة مقصودة بأن وضعت للتقرب بها وعرف من الشارع الاهتمام بتكليف الخلق بإيقاعها عبادة؛ كصلاة وصوم وحج، واعتكاف وصدقة، أو فرض كفاية
Maksudnya: “Manakala ‘manzur’(amalan yang dinazarkan) adalah qurbah(ibadah) yang bukan fardu ain, samaada ibadah maqsudah iaitu dilakukan untuk mendekatkan diri (kepada Allah) dan ditakrifkan oleh Pensyariat(Allah Ta’ala) sebagai satu komitmen yang ditaklifkan (dipertanggungjawabkan) kepada makhluk yang dikira sebagai ibadah, seperti solat, puasa, haji, iktikaf, sedekah atau fardu kifayah”.
3) Kenyataan Imam Ramli di atas menunjukkan bahawa amalan yang layak dinazarkan hanya tertakluk kepada ibadah sahaja yang bukan ketogari fardu ain seperti solat 5 waktu dan puasa Ramadan. Selain dari ibadah khusus seperti solat dan puasa sunat, apa sahaja amalan yang dipuji oleh syarak, sah dan wajib diamalkan sebagai nazar, perkara ini disebut dengan jelas oleh Imam Ramli dalam rujukan yang sama:
وإنما هي أعمال وأخلاق مستحسنة رغب الشارع فيها؛ لعظم فائدتها، وقد يبتغي بها وجه الله تعالى فيثاب عليها؛ كعيادة المريض، وتطييب الكعبة وكسوتها، وتشميت العاطس، وزيارة القادم والقبور، وإفشاء السلام على المسلمين، وتشييع الجنائز.
Maksudnya: “Ia(qurbah) hanyalah amalan-amalan dan akhlak yang baik yang mana ia digalakkan oleh Pensyariat(Allah) untuk melakukannya kerana faedahnya yang sangat besar. Adakalanya ia (dilakukan) demi mendekatkan diri pada Allah maka ia diberi ganjaran melalui amalan-amalan itu seperti menziarahi orang sakit, mewangikan kaabah, meletakkan kiswah pada kaabah, mendoakan orang yang bersin, menziarahi orang yang pulang dari musafir, menziarahi kubur, memberi salam pada orang-orang Islam dan mengiringi jenazah”.
4) Perbuatan yang tidak dikira sah untuk diamalkan sebagai nazar adalah perkara yang melibatkan perbuatan maksiat dan perbuatan yang diharuskan/dibolehkan oleh syarak. Fakta ini dinyatakan dengan jelas oleh Imam al-Ramli:
وخرج بـ (القربة): المعصية، فلا يصح نذرها، والمباح كأكل ونوم، فلا يصح نذره؛ لخبر أبي داوود: "لا نذر إلا فيما ابتغي به وجه الله"، فلو نذر ذلك وخالف .. لم تلزمه كفارة.
Maksudnya: “Perkara yang terkeluar dari ketogari qurbah ialah maksiat, maka tidak sah nazar untuk maksiat. Begitu juga perkara yang harus hukumnya seperti makan dan tidur, maka tidak sah nazarnya, berdasarkan hadis yang diriwayatkan oleh Abu Daud, “Tiada nazar melainkan pada perkara yang mendekatkan diri pada Allah”. Jika seseorang itu bernazar (untuk perkara yang harus hukumnya) lalu dia tidak menunaikan nazar itu, maka tidak diwajibkan kaffarah ke atasnya”.
5) Jelas di sini bahawa hukum bernazar dengan amalan yang harus dilakukan menurut syarak tidak sah nazarnya menurut mazhab Syafi’ie, malah ia adalah perkara yang sia-sia dan pada zahirnya tiada ganjaran yang dikurniakan oleh Allah. Malah jika seseorang tidak menunaikan nazar tersebut maka dia tidak dikira melanggar janji pada Allah dan tidak diwajibkan kaffarah sebagai ganti. Perkara ini dibuktikan melalui hadis yang diriwayatkan oleh Saidina Ibn Abbas radiyallahu ‘anhuma:
بَيْنَمَا النَّبِيُّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ يَخْطُبُ، إِذَا هُوَ بِرَجُلٍ قَائِمٍ فِي الشَّمْسِ فَسَأَلَ عَنْهُ؟ قَالُوا: هَذَا أَبُو إِسْرَائِيلَ نَذَرَ أَنْ يَقُومَ، وَلَا يَقْعُدَ، وَلَا يَسْتَظِلَّ، وَلَا يَتَكَلَّمَ، وَيَصُومَ، قَالَ: «مُرُوهُ فَلْيَتَكَلَّمْ، وَلْيَسْتَظِلَّ، وَلْيَقْعُدْ، وَلْيُتِمَّ صَوْمَهُ». رواه أبو دأود
Maksudnya: Ketika Nabi ﷺ berkhutbah, pada masa yang sama ada seorang lelaki yang berdiri di tengah matahari terik, lalu Baginda bertanya tentang lelaki itu. Lalu para sahabat menjawab, ‘Dia Abu Israel bernazar untuk berdiri dan tidak duduk, tidak berteduh (dari kepanasan matahari), tidak bercakap dan berpuasa’. Lalu Baginda bersabda, “Suruh dia bercakap, berteduh dan duduk. Hendaklah dia menyempurnakan puasanya”. (HR Abu Daud)
6) Jelas yang dinyatakan oleh hadis di atas, Rasulullah ﷺ tidak membenarkan Abu Israel RA meneruskan amalan nazar yang bukan dalam ketogari ibadah. Namun Baginda memerintah agar beliau menuruskan nazar puasanya kerana ia termasuk dalam ibadah.
7) Bagi menjawab soalan di atas, hukum asal perkahwinan adalah sunat dan ia termasuk dalam kategori qurbah (ibadah) yang dipuji dan digalakkan oleh syariat, bahkan ia adalah sunnah yang amat dituntut Rasulullah ﷺ. Oleh itu sesiapa yang telah bernazar untuk berkahwin sama ada poligami atau monogami, maka dia wajib menunaikannya lebih² lagi bagi mereka yang mampu.
8)) Hukum meninggalkan nazar bagi mereka yang mampu melaksanakan adalah berdosa dan disifatkan sebagai orang yang bersifat munafik kerana mengingkari janjinya kepada Allah. Selagi dia mampu untuk melaksanakan nazar itu dia tidak boleh berpindah kepada kaffarah.
9) Melainkan jika seseorang itu tidak mampu atau terhalang untuk melaksanakan nazar oleh keuzuran syar’ie, maka dia wajib menunaikan “Kaffarah Yamin”, iaitu memilih salah 1 dari 3 cara, a) Membebaskan seorang hamba mukmin b) Memberi makan 10 orang fakir miskin c) Memberi pakaian lengkap kepada 10 orang fakir miskin d) Jika tiada ketiga² di atas, maka puasa 3 hari.
10) Satu perkara penting yang ditekankan di sini bahawa sesuatu nazar tidak sah dan tidak wajib dilaksanakan jika sekadar berniat di hati, iaitu niat nazar itu tidak dilafazkan dengan lidah. Maksudnya jika bernazar untuk poligami hanya di dalam hati dan tidak dilafazkan di mulut, maka tidak termetrai nazar itu dan tidak wajib dilaksanakan. Namun jika sebaliknya ia menjadi kewajipan yang tidak boleh diabaikan.
11) Dinasihat agar kita semua perlu berfikir panjang sebelum berniat dan melafazkan sesuatu nazar, apakah implikasinya di kemudian hari? agar tidak menyesal di suatu hari nanti, jangan sampai periuk dan belanga terbang di sana sini.
Wallahu A’lam
Dr. Syed Shahridzan Ben-Agil
@ Abu Ruqayyah Ba ‘Alawi