Ibu atau bapa meninggal dunia dan kita tahu mereka ada meninggalkan puasa Ramadan kerana keuzurannya. Dalam hal ini wajibkah seorang anak qada puasa tersebut.
Persoalan ini dirungkai melalui petikan portal Mufti Wilayah Persekutuan.
Bagi persoalan di atas, sekiranya keuzuran seseorang itu berterusan sehingga dia meninggal dunia seperti sakit tua, penyakit dan sebagainya maka ia tidak dikira berdosa. Tidak wajib ke atasnya, begitu juga bagi pihak walinya (saudara terdekat) kerana kewajipan berpuasa tidak dapat dilaksanakan sehinggalah dia meninggal dunia, maka telah gugur hukum berpuasa buatnya.
Sekiranya seseorang itu mampu untuk mengqadha’kan puasa yang ditinggalkan sama ada sebab uzur ataupun tidak, namun tidak diqadha’kan sehingga dia mati, mazhab al-Qadim (dan ia adalah yang rajih dan disahihkan oleh golongan muhaqqiq), dalam keadaan begini dibolehkan bagi wali untuk berpuasa bagi pihak si mati namun tidaklah dilazimi (wajib) akan perbuatan tersebut.
Ini berdasarkan hadis `Aisyah R.Anha yang mana Nabi SAW telah bersabda:
مَنْ مَاتَ وَعَلَيْهِ صِيَامٌ صَامَ عَنْهُ وَلِيُّهُ
Maksudnya: Siapa yang mati dan padanya terdapat puasa yang belum digantikan, maka berpuasa bagi pihak (si mati) walinya. Riwayat al-Bukhari (1952) & Muslim (1147)
Al-Imam al-Nawawi Rahimahullah di dalam kitabnya al-Minhaj menyebutkan bahawa bagi mereka yang berbuka puasa kerana uzur dan berpanjangan uzur atau sakitnya itu sehinggalah mati, maka tidak ada puasa ke atasnya, dan tidak perlu membayar fidyah baginya dan tidak pula orang lain berpuasa baginya.
Dalam sebuah hadis yang lain, daripada Ibn `Abbas R.Anhuma, telah datang seorang lelaki kepada Nabi SAW lalu berkata: Wahai Rasulullah SAW, sesungguhnya ibuku telah mati dan masih ada padanya baki puasa sebulan (yang belum diqadha’kan). Adakah aku perlu menggantikannya?.
Jawab Nabi SAW:
فَدَيْنُ اللَّهِ أَحَقُّ أَنْ يُقْضَى
Maksudnya: Adapun hutang Allah itu lebih berhak untuk dilunaskan. Riwayat Abu Daud (3310)
Puasa tersebut boleh digantikan oleh wali si mati dari kalangan ahli keluarga yang terdekat dan boleh juga untuk mengupah orang lain berpuasa bagi si mati. Sekiranya terdapat orang luar (bukan dari kalangan wali si mati) yang berpuasa bagi si mati tanpa izin atau tiada wasiat dari si mati maka tidak sah puasa tersebut.
Sekiranya wali tidak berpuasa bagi si mati, dan tidak juga orang yang lain, maka dikeluarkan fidyah bagi setiap hari yang ditinggalkan dengan satu mud (cupak). Sekiranya si mati tiada harta maka dibolehkan untuk orang lain mengeluarkan hartanya bagi menyelesaikan hutang puasa si mati dalam bentuk fidyah.