Perlukah Anak Ganti Puasa Yang Ditinggalkan Ibu Bapa Meninggal Dunia
Ibu atau bapa meninggal dunia dalam masa yang sama diketahui oleh anak bahawa orang tuanya mempunyai puasa yang belum diqada. Dalam hal ini adakah seseorang anak itu perlu menggantikan puasa ibu bapa yang sudah mati.
Memberi penjelasan tentang perkara ini, menurut Datuk Dr Zulkifli Mohamad Al Bakri terlebih dahulu perlu difahami puasa yang ditinggalkan oleh orang yang mati terbahagi kepada dua bahagian.
Ia seperti mana disebut dalam kitab Mughni al-Muhtaj dan Bidayah al-Mujtahid
2 keadaan puasa orang yang mati
Keadaan yang pertama sekiranya si mati tidak sempat menggantikan puasa, sama ada kerana kesempitan waktu, uzur disebabkan sakit atau bermusafir atau hal lain yang menghalang dari berpuasa, maka di sisi ulama tidak ada sebarang tanggungjawab kepadanya atau warisnya untuk menggantikan puasa.
Sekiranya si mati meninggalkan puasa dan tidak menggantikan ketika kesempatan yang ada dalam hidupnya, maka dalam hal ini para fuqaha’ mazhab Syafie meletakkan dua keadaan:
i) Boleh untuk warisnya berpuasa untuk si mati hal ini berdasarkan hadis yang ya oleh Aishah R.anha, bahawa Nabi SAW bersabda:
مَنْ مَاتَ وَعَلَيْهِ صِيَامٌ صَامَ عَنْهُ وَلِيُّهُ
Maksudnya: “Barangsiapa yang meninggal dan mempunyai puasa (yang tertunggak), maka disempurnakan oleh warisnya.” Riwayat Bukhari (1952) Muslim (1147)
Namun bukanlah suatu kewajipan ke atas waris-waris si mati untuk menggantikan puasa si mati.
ii) Sekiranya waris-waris tidak melakukan puasa ganti maka perlu diambil dari harta pusaka si mati dan dibayar untuk satu hari, satu cupak beras mengikut hari yang ditinggalkan oleh si mati.
Hal ini wajib dilakukan berdasarkan hadis yang diriwayatkan oleh Ibn Abbas:
جَاءَ رَجُلٌ إِلَى النَّبِيِّ صلى الله عليه وسلم فَقَالَ يَا رَسُولَ اللَّهِ إِنَّ أُمِّي مَاتَتْ وَعَلَيْهَا صَوْمُ شَهْرٍ أَفَأَقْضِيهِ عَنْهَا فَقَالَ: لَوْ كَانَ عَلَى أُمِّكَ دَيْنٌ أَكُنْتَ قَاضِيَهُ عَنْهَا . قَالَ: نَعَمْ . قَالَ : فَدَيْنُ اللَّهِ أَحَقُّ أَنْ يُقْضَى
Maksudnya: Bahawa seorang lelaki datang kepada Nabi SAW, lalu berkata: Wahai Rasulullah, Sesungguhnya ibuku telah meninggal, dan dia mempunyai puasa (yang belum diganti) selama sebulan, apakah aku perlu tunaikan untuknya? Lalu baginda berkata: “Sekiranya ibumu mempunyai hutang, apa kau akan bayar hutang untuknya?” Lelaki itu berkata: “Ya”. Maka berkata Nabi SAW: “Hutang kepada Allah lebih berhak untuk ditunaikan.”
Secara kesimpulannya sekiranya ibu bapa sakit atau uzur berterusan hingga tidak dapat mengqadakan puasanya sehingga meninggal dunia maka ia tidak dikira berdosa.
Tidak wajib mengqadakan puasa ke atasnya dan walinya (saudara terdekat) kerana kewajipan berpuasa tidak dapat dilaksanakan sehinggalah dia meninggal dunia memandangkan telah gugur hukum berpuasa buatnya.
Namun sekiranya sebelum meninggal dunia ibu bapa dalam keadaan mampu untuk mengqadakan puasa yang ditinggalkan namun tidak diqadha’kan sehingga dia mati, menurut mazhab al-Qadim (dan ia adalah yang rajih dan disahihkan oleh golongan muhaqqiq), dalam keadaan begini dibolehkan bagi wali untuk berpuasa bagi pihak si mati namun tidaklah dilazimi (wajib) akan perbuatan tersebut.
Ini berdasarkan hadis `Aisyah R.Anha yang mana Nabi SAW telah bersabda:
مَنْ مَاتَ وَعَلَيْهِ صِيَامٌ صَامَ عَنْهُ وَلِيُّهُ
Maksudnya: “Siapa yang mati dan padanya terdapat puasa yang belum digantikan, maka berpuasa bagi pihak (si mati) walinya.” Riwayat al-Bukhari (1952) dan Muslim (1147)