Dah ganti puasa Ramadhan? Puasa yang tertinggal ini wajib diganti segera sebelum Ramadhan berikutnya tiba.
Bagi wanita bergelar isteri, anda wajib tahu sama ada perlu dapatkan izin suami atau sebaliknya untuk ganti puasa Ramadhan.
Ikuti nasihat Mufti Wilayah ini.
Soalan
Assalamualaikum. Saya ingin bertanya berkenaan dengan puasa qadha’ Ramadhan. Adakah perlu untuk saya meminta izin suami saya atau tidak.
Jawapan
Waalaikumsalam,
Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga baginda, para sahabat baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah baginda sehingga Hari Kiamat.
Ringkasan Jawapan
Hukum menggantikan puasa Ramadhan bagi seorang isteri adalah wajib untuk meminta keizinan suaminya, sekiranya tempoh untuk menggantikannya masih panjang dan suaminya berada di rumah.
Ini kerana kewajipan seorang isteri adalah memenuhi hak suaminya.
Huraian Jawapan
Berbalik kepada persoalan yang diajukan di atas, bahawa pada asalnya seorang isteri itu wajib meminta keizinan suaminya untuk berpuasa sunat.
Ini sepertimana hadis yang diriwayatkan oleh Hammam bin Munabbih R.A, sabda Nabi SAW:
لاَ تَصُمِ الْمَرْأَةُ وَبَعْلُهَا شَاهِدٌ إِلاَّ بِإِذْنِهِ
Maksudnya: Tidak dibenarkan berpuasa bagi seorang wanita (isteri) dan suaminya ada disisinya melainkan dengan keizinannya
Riwayat Muslim (1026)
Imam Nawawi dalam mensyarahkan hadis di atas menyebut:
هَذَا مَحْمُولٌ عَلَى صَوْمِ التَّطَوُّعِ وَالْمَنْدُوبِ الَّذِي لَيْسَ لَهُ زَمَنٌ مُعَيَّنٌ وَهَذَا النَّهْيُ لِلتَّحْرِيمِ صَرَّحَ بِهِ أَصْحَابُنَا
Maksudnya: larangan ini bermaksud ke atas puasa sunat (yang memiliki waktu tertentu seperti puasa hari arafah) dan puasa yang disunatkan yang tidak memiliki waktu tertentu. Larangan ini merupakan larangan yang menunjukkan pengharamannya sebagaimana yang dijelaskan oleh ashab al-Syafi’eyyah
(Lihat Syarh al-Nawawi ala Muslim, 7/115)
Selain itu, bagi menjelaskan berkenaan dengan puasa qadha’ Ramadhan para ulama menerangkan bahawa tidak dibenarkan bagi seseorang isteri untuk menggantikan puasa Ramadhan tanpa keizinan suami sekiranya waktu untuk menggantikannya masih mempunyai tempoh yang panjang.
Ini sepertimana yang dijelaskan oleh Imam Ibnu Hajar al-Haithami di dalam kitabnya:
وَيَحْرُمُ عَلَى الزَّوْجَةِ أَنْ تَصُومَ تَطَوُّعًا أَوْ قَضَاءً مُوَسَّعًا وَزَوْجُهَا حَاضِرٌ إلَّا بِإِذْنِهِ أَوْ عَلِمَ رِضَاهُ
Maksudnya: Dan diharamkan ke atas seorang isteri untuk berpuasa sunat atau puasa qadha’ sekiranya tempoh menggantikannya masih berpanjangan dan suaminya datang kepadanya melainkan dengan keizinan suaminya atau dia mengetahui suami meredhainya berpuasa.
(Lihat Tuhfah al-Muhtaj fi Syarh al-Minhaj, 3/461)
Imam al-Syirwani menyebut di dalam hasyiahnya bahawa sekiranya seorang isteri itu berpuasa tanpa keizinan suaminya maka sah puasanya akan tetapi perbuatannya itu haram dan berdosa.
Walau bagaimanapun sekiranya suaminya tidak berada di tempat tinggalnya maka diharuskan baginya untuk berpuasa.
(Lihat Hasyiah al-Syirwani ala Tuhfah al-Muhtaj, 3/461)
Justeru, berbalik kepada persoalan dan dalil yang diberikan dapat kami simpulkan bahawa seseorang isteri wajib meminta izin suaminya apabila hendak melakukan puasa ganti atau puasa sunat sekiranya suami berada di rumah.
Ini kerana wajib bagi seorang isteri untuk memenuhi hak bagi suaminya. Namun sekiranya suaminya tidak ada di rumah, maka ia boleh berpuasa qadha’ atau sunat.
Bahkan sebaiknya meminta keizinan suaminya bagi menunjukkan rasa hormat ke atasnya.
Wallahua`lam.