Haiwan peliharaan kesayangan Rasulullah ialah kucing. Dan hari ini memang ramai yang menjadikannya sebagai haiwan peliharaan kesayangan. Comel, manja dan lincah.
Namun haiwan peliharaan ini, jika dibiarkan sahaja ia mengawan, maka akan lahirlah banyak anak-anaknya. Dalam usaha mengurangkan kadar kelahiran sebagai contoh kucing, ramai pemilik kucing mengembiri atau mengkasinya.
Adakah perbuatan ini dibenarkan dalam Islam dan adakah perlu bayar zakat atas haiwan yang telah dikasi tadi? Soalan ini kerap ditanya oleh orang ramai kepada Pusat Zakat. Dan bagi menjelaskan duduk perkara, pihak mereka telah memberi input yang perlu pemilik haiwan tahu.
Sebelum menjawab persoalan, terlebih dahulu secara ringkas perlu disebutkan tentang hukum mengembiri atau mengkasi (spay / castration / neuter).
Di dalam al-Mausu’ah al-Fiqhiyyah (19/112) menyebutkan bahawasanya para ulama dari mazhab al-Hanafi berpendapat tidak mengapa mengkasi haiwan, kerana ada padanya manfaat kepada binatang dan juga manusia.
Ulama mazhab Malik pula berpendapat harus mengkasi haiwan yang dimakan dagingnya tanpa ada hukum makruh, untuk penghasilan daging yang lebih baik.
Ulama mazhab Syafi’e pula membezakan antara haiwan yang dimakan dagingnya dan yang tidak dimakan dagingnya.
Mereka berpendapat adalah harus mengkasi haiwan yang dimakan dagingnya ketika ia kecil, dan diharamkan selain daripada itu (yang tidak dimakan dagingnya) dengan syarat proses mengkasi itu tidak mendatangkan kecelakaan kepada haiwan.
Ulama Hanbali pula mengharuskan mengkasi kambing untuk mengelokkan dagingnya. Dikatakan bahawasanya makruh hukumnya mengkasi kuda dan haiwan lain.
Kesimpulannya, sebagaimana yang disebut oleh Syeikh Muhammad bin soleh al-Uthaimain r.h.m bahawasanya,
“Dalam masalah mengkasi haiwan, hukumnya adalah harus jika ada maslahah (kebaikan), akan tetapi mestilah menggunakan proses-proses yang dapat mengelakkan daripada menyakiti haiwan tersebut”
Masalah haiwan peliharaan seperti kucing dan seumpamanya, jika banyak jumlahnya dan menyusahkan serta proses mengkasinya tidak memudaratkannya maka perbuatan ini tidak menjadi masalah. Ini kerana mengkasi dalam keadaan ini lebih baik dari membunuhnya selepas Allah menciptakannya.
Namun, jika jumlah kucing itu tidak banyak (jumlah yang biasa) dan tidak menyusahkan, mudah-mudahan membiarkan dia berkembang (membiak) itu adalah lebih baik. (Lihat Fatawa Islamiyah 4/448).
Bagaimanapun, persoalan perlu dizakatkan atau tidak selepas haiwan tersebut dikembirikan atau dikasikan, zakat itu tidak wujud. Cuma, adalah baik sekiranya kita menganggarkan sejumlah wang untuk disedekahkan sebagai ganti perbuatan kasi yang dilakukan.
Hal ini pernah disebut oleh Syeikh Abu Bakar bin Jabir al-Jazairi hafizahullah dalam salah sebuah kuliah beliau di Masjid Nabawi.
Artikel berkaitan: Kucing Bukan Sekadar Makhluk Yang Suka Tidur, Tapi Lindungi Kita Di Malam Hari Dari Roh Jahat
Artikel berkaitan: InsyaAllah Rezeki Jadi Berganda Pelihara Haiwan Kesayangan Rasulullah. Syaratnya Tak Boleh Kedekut Beli Makanan Kucing!