Banyak perniagaan terkesan dek pandemik Covid 19. Ramai usahawan garu kepala bagaimana hendak selamatkan perniagaan yang sudah lama diusahakan.

Perniagaan mengalami kesulitan dan keuntungan merudum, rugi malah ada yang terpaksa gulung tikar. Ada persoalan di kalangan ahli pernigaan kecil tentang perlukan mereka membayar zakat sedangkan pernigaan mengalami kerugian. Mufti Wilayah Persekutuan ada jawapannya.

SOALAN
Assalamualaikum wbt Tuan Mufti. Adakah masih perlu mengeluarkan zakat sekiranya perniagaan yang diusahakan tersebut telah mengalami kerugian?

JAWAPAN
Perkara utama yang perlu difahami dalam menjawab persoalan ini ialah zakat yang dikeluarkan bukanlah bertujuan merugikan atau mengurangkan harta yang dimiliki. Malah sistem zakat ini akan lebih menyuburkan harta yang ada.

Dalam satu hadis yang diriwayatkan oleh Abu Hurairah R.A bahawa Nabi SAW telah bersabda:
مَا نَقَصَتْ صَدَقَةٌ مِنْ مَالٍ
Maksudnya: “Zakat itu tidak mengurangkan harta.”Riwayat Muslim (2588)

Imam al-Nawawi menjelaskan hadis di atas mengandungi dua penafsiran:

Harta yang dizakatkan tersebut akan diberkati dan dihilangkan daripadanya kemudaratan. Kekurangan harta tersebut akan ditutup dengan keberkatan. Hal ini dapat dirasai dengan pancaindera dan kebiasaan.
Sekalipun fizikal harta tersebut dilihat berkurang, namun kekurangan tersebut akan digantikan dengan pahala di sisi Allah SWT serta digandakan dengan gandaan yang banyak.

Kewajipan mengeluarkan zakat perniagaan ini adalah berdasarkan kepada nas-nas daripada al-Quran dan al-Sunnah. Firman Allah SWT:

IKLAN

يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا أَنفِقُوا مِن طَيِّبَاتِ مَا كَسَبْتُمْ وَمِمَّا أَخْرَجْنَا لَكُم مِّنَ الْأَرْضِ
Maksudnya:

“Wahai orang-orang yang beriman! Belanjakanlah (pada jalan Allah) sebahagian dari hasil usaha kamu yang baik-baik, dan sebahagian dari apa yang Kami keluarkan dari bumi untuk kamu.” (Surah al-Baqarah: 267)

Berdasarkan kepada persoalan di atas, kewajipan berzakat di atas harta perniagaan adalah sekiranya telah mencukupi syarat-syarat berikut:

Akad Tukar Ganti:

Pemilikan harta itu hendaklah dengan akad tukar ganti (jual beli, sewa-menyewa). Jika sekiranya pemilikan tersebut disebabkan oleh warisan, wasiat atau hibah, maka ianya tidak dikira sebagai barang perniagaan.

Niat Niagakan Harta

Pemilik hendaklah berniat untuk meniagakan harta tersebut ketika memiliki harta tersebut dan niat tersebut hendaklah berterusan. Jika tidak berbuat demikian, harta tersebut tidak dikatakan barang perniagaan walaupun dia berniat selepas itu.

Jika dia berniat untuk meniagakan barang tersebut semasa membelinya, kemudian berniat pula menyimpannya tanpa diniagakan, maka barang itu tidak dikira sebagai barang perniagaan dan tidak wajib zakat.

IKLAN

Artikel berkaitan:Lepas Selesai Zakat Fitrah, Jangan Lupa Pula Bayar Zakat Emas  Wang Simpanan. Ini Syarat Membayarnya Ustaz Mustafar

Artikel berkaitan:Usah Ragu-Ragu Bayar Zakat Melalui Online, Tetap Sah Walaupun Tanpa Akad

Menjawab kepada persoalan di atas, zakat perniagaan adalah wajib ditunaikan sekiranya telah memenuhi syarat-syarat zakat perniagaan serta telah mencukupi tempoh haul (tempoh setahun) dan nisab (nilai harta) yang mewajibkan zakat.

Kerugian yang dialami dalam perniagaan bukanlah satu penyebab atau ‘illah yang membolehkan meninggalkan kewajipan berzakat.

IKLAN

Adapun begitu zakat yang dikeluarkan akan lebih memberkati dan menyuburkan lagi perniagaan yang sedang diusahakan.

Perniagaan Rugi, Perlukah Bayar Zakat Juga? Kena Tahu Supaya Bisnes Berkat

KESIMPULAN
Sebagai kesimpulan, kami jelaskan bahawa hakikat pensyariatan zakat perniagaan itu sendiri adalah bertujuan untuk membersihkan harta yang diniagakan di samping menyuburkan lagi harta tersebut.

Kerugian serta kejatuhan dalam sesuatu perniagaan bukanlah penyebab kepada terangkatnya kewajipan berzakat selagimana harta tersebut masih memenuhi syarat-syarat wajib zakat yang ditetapkan.

Justeru, zakat perniagaan wajib dikeluarkan sekiranya memenuhi tempoh haul dan nilai nisab. Semoga penjelasan yang diberikan ini membuka minda dan fikiran kita semua dalam menunaikan kewajipan berzakat dalam kehidupan. Amin.

Sumber artikel: muftiwp

Isian rohani buat semua peringkat umur, semoga kita KASHOORGA bersama.
Insya-Allah, kita download seeNI sekarang ya?

KLIK DI SEENI