Kerohanian

Persediaan Sebenar Menyambut Ramadan, Ini Yang Perlu Kita Lakukan

Share

Menjelang bulan Ramadan beberapa hari lagi, ramai antara kita membuat persiapan. Tapi kebanyakan persiapan ini berkait hal makanan dan keperluan raya.

Sedangkan apa yang perlu kita lakukan adalah persediaan untuk meningkat ibadah pada bulan yang mulia ini kerana ganjaran pahala pada bulan Ramadan ini amatlah banyak.

Namun begitu belum terlambat untuk kita membetulkan persediaan kita. Berikut adalah antara perkara yang boleh dilakukan untuk persiapan menuju Ramadan yang berbaki 2-3 hari lagi.

1. Berdoa

Banyakkan berdoa supaya Allah mengampunkan dosa-dosa kita yang lalu dan dan berdoalah bersungguh-sungguh agar kita dipertemukan dengan bulan Ramadan kerana ajal maut hanya Allah Taala yang tahu.

2. Siapkan jadual amalan khusus bulan Ramadan

Ini  supaya kita tidak terleka sewaktu bulan Ramadan untuk merebut pahala-pahala sunat disertai dengan amalan-amalan sunat pada bulan Ramadan. Sebagai contoh sehari berapa helaian al-Quran yang akan dibaca, berapa surah yang ditadabur sepanjang Ramadan, dan sebagainya.

3. Dekatilah rakan atau kumpulan yang ingin beramal

Berkawanlah dengan orang yang baik-baik yang boleh diajak untuk melakukan amal ibadah. Dekatilah rakan yang mengajak kita solat berjemaah, bersedekah dan mengaji.

Kita dituntut untuk sentiasa berdamping dengan orang-orang soleh atau alim agar sifat atau perkara yang ada pada diri mereka itu terkesan kepada diri kita juga. Hal ini ada dinyatakan di dalam sebuah hadis sahih:

Maksudnya: “Perumpamaan teman yang baik dan teman yang buruk adalah seperti seorang penjual minyak wangi dan seorang tukang besi. Adapun, penjual minyak wangi akan memberi kamu (minyak wangi tersebut), atau kamu membeli daripadanya, atau kamu mendapat bau yang harum daripadanya. Sedangkan tukang besi pula, akan membakar bajumu dan juga kamu mendapatkan bau yang busuk.” [HR Bukhari (5534) dan Muslim (2628)]

4. Buat persiapan Aidilfitri awal

Sepuluh malam terakhir adalah waktu yang perlu disibukkan dengan ibadah, bukannya dengan persiapan raya. Namun, persiapan untuk menyambut Aidilfitri tidak harus dilupakan kerana ia adalah hari kemenangan buat umat Islam. Adalah lebih baik membuat persediaan awal untuk Aidilfitri kerana 10 malam terakhir adalah waktu turunnya malam Lailatulqadar sepertimana firman Allah:

Maksudnya: “Sesungguhnya Kami menurunkannya pada suatu malam yang diberkati dan sesungguhnya Kamilah yang memberi peringatan”. [Surah Ad-Dukhan: 3]

5. Wujudkan suasana ibadah dalam keluarga seperti amalan Rasulullah

Sabda Rasulullah:

Maksudnya: “Baginda Nabi apabila masuknya hari 10 terakhir Ramadan, Baginda akan mengetatkan kain (bersungguh-sungguh beribadah dan tidak melakukan hubungan suami isteri), menghidupkan malam tersebut dan mengejutkan ahli keluarganya (untuk turut menghidupkan malam).” [HR Bukhari 2024]

Adalah lebih baik jika di bulan puasa kita tetapkan merancang rutin ibadah seperti waktu untuk sekeluarga solat berjemaah dan mengaji bersama agar sekeluarga dapat meraih pahala.

Sumber: Mstar

 

Published by
Team Kashoorga