Pilih Pasangan Hidup, Selain Beragama, Si Dia Penyokong Kuat Cita-Cita Dan Impian Kita

Share

Zaman sekarang, bab pilih pasangan hidup kebanyakan generasi millennial jauh lebih maju daripada era Baby Boomers. Sekarang dunia serba moden dengan gaya hidup kontemporari, anak-anak muda lebih suka pilih pasangan hidup sendiri.

Jika ada jodoh yang diuruskan keluarga, ia sudah tidak banyak. Masakan tidak, generasi millennial ini lebih berani dan canggih apabila ada yang bertemu jodoh di sosial media. Ini semua kemudahan yang telah dimanfaatkan.

Artikel berkaitan: Sebelum Kahwin, Nak Tahu Dia Baik Atau Tak, Bukan Tengok Pada Janjinya. Tapi Pada Solat Dia

Artikel berkaitan: Wanita Sebenarnya Digalakkan Ada Simpanan Sendiri Sebelum Berkahwin Pesan Dr Azizul Azli

Cuma jangan dipinggirkan pula nilai-nilai Islam yang perlu dipegang sepanjang misi mencari dan memilih pasangan hidup. Ya lah kita ini kalau berkahwin, bukan untuk sebulan dua, tapi hingga ke akhir hayat; membentuk keluarga sakinah.

Untuk penjelasan ringkas yang lebih mudah difahami untuk anda yang tengah sibuk mencari dan memilih teman sehidup semati, kita tambahkan ilmu menerusi tulisan Abdullah Hussin, menerusi entri facebooknya. Satu nukilan yang sangat baik untuk pengetahuan semua.

“Islam meletakkan garis panduan yang dinamik bagi lelaki dan wanita dalam memilih pasangan hidup masing-masing. Bagi lelaki, Rasulullah SAW berpesan supaya memilih wanita yang kuat agama, memiliki jiwa yang penuh dengan kasih sayang dan mampu melahirkan zuriat yang ramai,”ujarnya.

Sabda Rasulullah SAW:

“Nikahilah wanita yang penyayang yang subur punya banyak keturunan karena aku bangga dengan banyaknya umatku pada hari kiamat kelak.” (HR. Abu Daud no. 2050 dan An Nasai no. 3229. Al Hafizh Abu Thohir mengatakan bahwa hadits tersebut hasan)

Wadud bermaksud seorang yang penyayang. Walud pula bermaksud seorang yang mampu melahirkan zuriat yang ramai.

Namun begitu, asas utama pemilihan adalah berdasarkan agama dan akhlak yang ada pada diri seseorang muslimah.

Sabda Rasulullah Sollahu alaihi wasallam :
تُنْكَحُ المَرْأَةُ لأَرْبَعٍ لِمَالِهَا وَلِحَسَبِهَا وَجَمَالِهَا وَلِدِينِهَا، فَاظْفَرْ بِذَاتِ الدِّينِ تَرِبَتْ يَدَاكَ

“Dikahwini wanita kerana empat perkara iaitu harta, keturunan, kecantikan dan agama. Maka pilihlah yang beragama, nescaya engkau akan beruntung.”

Imam Ibnu Hajar Al-Asqalani menjelaskan kelebihan memilih isteri yang beragama iaitu dia akan lebih setia kepada suaminya. Pemilihan agama dan akhlak seseorang muslimah hendaklah menjadi prioriti utama dalam membuat keputusan.

“Jangan hanya terpesona dengan kecantikan fizikal semata-mata, lantas membutakan mata daripada melihat kecantikan dan keindahan akhlak budi pekerti

“Kecantikan zahir akan membuat matamu terpesona buat seketika, namun keindahan akhlak akan membuatmu bahagia dan tenang jiwa selamanya”

Bagi perempuan pula, Rasulullah SAW ada meninggalkan garis panduan untuk menerima atau menolak lelaki.

Sabda Nabi SAW :
إذا جاءكم من ترضون دينه وخلقه فزوجوه إلا تفعلوه تكن فتنة في الأرض وفساد كبير
Hadis Riwayat Tirmizi.

“Bila datang kepada kamu seseorang yang kamu redha agama dan akhlaknya, maka kahwinkanlah. Jika tidak, akan terjadi fitnah di bumi dan fasad yang besar.”

“Hadis ini merupakan khitab Rasulullah kepada wali agar mengahwinkan anak perempuan sekiranya ada lelaki yang masuk meminang. Lihat agama dan akhlaknya. Jika agamanya kurang, maka tolaklah dengan baik. Jika diredhai agamanya, maka terima dia seadanya.

“Soal sekufu adalah hak bagi pihak perempuan. Ianya sangat penting bagi memastikan kedua pasangan serasi. Bahkan dalam fekah, seorang perempuan boleh menolak pilihan wali mujbir untuk mengkahwinkannya dengan seseorang yang tidak sekufu baginya,”ulasnya lanjut

‘Berhati-hati dalam memilih, namun jangan sampai merumitkan. Pemilihan nakhoda sangat penting dalam sebuah pelayaran. Sebab itu dalam bahtera rumah tangga, suami memainkan peranan yang amat penting dalam mencorakkannya.

“Adakah rumah tangga yang dibina berdasarkan adab dan nilai Islam, atau Islam hanya pada akad nikah sahaja. Sehubungan dengan itu, pemilihan fikrah cara berfikir juga penting bagi memastikan hubungan kedua mempelai bertahan lama.

Pilihlah seseorang yang boleh mendokong cita-cita dan impian kita. Jika dia tidak dapat membantu, sekurang-kurangnya tidak menghalang.

Jika berkahwin dengan pejuang agama, separuh masanya untuk umat, sepenuh jiwanya untuk Islam, seluruh cintanya untuk Allah dan Rasul.

 

Published by
Emma Masri