Tiada kata yang mampu dilafazkan namun itulah yang telah tersurat. Hasrat seorang ibu berada di samping anak lelaki yang terlantar di wad lantaran ditimpa kemalangan jalan raya tidak kesampaian. Lebih memilukan si ibu hanya mampu ‘menonton’ pengebumian anak lelakinya melalui panggilan video.
28 Mei lalu telah berlaku satu kemalangan di hadapan stesen minyak Petronas Serendah. Penunggang motosikal, Rozaimy Adam, 21 meninggal dunia di tempat kejadian dalam kemalangan tersebut.
MENYUSULI PEMERGIAN SAHABAT BAIK
Pembonceng motosikal Abdul Syaid Abdul Razak, 21, menghembuskan nafas terakhir kira-kira jam 8.15 malam di Hospital Selayang selepas 20 hari bertarung nyawa akibat kecederaan parah menyusuli pemergian sahabatnya yang telah kembali ke rahmatullah terlebih dahulu.
Ketika kemalangan itu berlaku, dua sahabat itu dalam perjalanan pulang dari Serendah ke Selayang. Abdul Syaid menghembuskan nafas terakhir kira-kira jam 8.15 malam di Hospital Selayang selepas 20 hari bertarung nyawa akibat kecederaan parah.
Menurut Raihan Adam, 34, iaitu kakak kepada arwah Rozaimy, kedua-dua Allahyarham bersahabat baik sejak berusia 7 tahun dengan menetap di Flat Taman Seri Murni, Selayang. Katanya, motosikal ditunggang dua sahabat itu melanggar sebuah lori tangki di hadapan stesen minyak berkenaan.
“Dalam kemalangan malam 23 Ramadan, adik saya meninggal dunia manakala Abdul Syaid parah dengan pendarahan di otak, paru-paru dan mata.
MENINGGAL SELEPAS PEMBEDAHAN
“Abdul Syaid berada di unit rawatan rapi (ICU) selama 15 hari sebelum
diletakkan di wad biasa sejak lima hari lalu.
“Kelmarin arwah menjalani pembedahan di bahagian paru-paru namun ALLAH lebih menyayanginya apabila menghembuskan nafas terakhir selepas satu jam tamat pembedahan,” katanya.
Raihan berkata, arwah Abdul Syaid bekerja di kedai komputer dan tinggal bersama seorang adik lelaki berusia 14 tahun selepas kematian bapa dua tahun lalu.
Menurutnya, ibu kepada dua-beradik itu merupakan warga negara Indonesia dan terpaksa kembali ke Jakarta pada tahun lepas kerana tamat tempoh visa.
“Mereka ada seorang lagi adik orang kurang upaya (OKU) tapi sudah meninggal dunia sebelum emak mereka pulang ke Indonesia.
“Sepanjang arwah berada di hospital akibat kemalangan, adiknya berusia 14 tahun tinggal sendirian di rumah yang diwakafkan oleh kawan arwah bapa mereka.
“Memandangkan sudah lama kenal, keluarga saya dan jiran berdekatan turut membantu makan minum adiknya itu,” katanya.
IBU TAK SEMPAT PERBAHARUI VISA
Raihan berkata, mereka turut mengutip sumbangan daripada kenalan bagi memastikan ibu kepada arwah Abdul Syaid dapat datang ke negara ini untuk menemani anak di hospital.
Menurutnya, ibu yang dikenali dengan panggilan Cik Wati tidak berkemampuan untuk menampung kos memperbaharui visa.
“Meskipun sebanyak RM2,000 berjaya diperoleh namun urusan berkenaan tidak sempat diselesaikan.
“Arwah pergi buat selama-lamanya tanpa ibu di sisi dan jenazah selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Lama Kampung Selayang.
“Saya membuat panggilan video bagi membolehkan ibunya menyaksikan pengebumian arwah anak dan kubur Allahyarham Abdul Syaid bersebelahan dengan kubur arwah adik saya,” katanya.
Sumber kredit: Sinar Harian
VIDEO KASHOORGA: