Dalam dunia perubatan, pelbagai kajian telah dilakukan sejak dahulu lagi bahkan teknologi ini telah berkembang pesat mengikut arus semasa.
Bukan saja terhadap manusia tetapi pelbagai haiwan turut dijadikan bahan ujikaji termasuk menggunakan organ babi yang dikatakan “sangat dekat” dengan manusia khususnya bagi merawat masalah injap jantung.
Dipetik dari Maktabah Al Bakri yang dikongsi oleh Datuk Dr Zulkifli Mohamad Al Bakri, beliau berkongsi apakah hukum pemindahan organ khinzir kepada manusia? Bukankah khinzir ni najis mughalllazah dalam Islam?
JAWAPAN
Saya telah menghuraikan hukum berkaitan pendermaan dan pemindahan organ dan tisu di sini. Adapun pemindahan organ ataupun tisu satu spesies kepada spesies yang lain atau diistilahkan sebagai xenotransplantation, ia memerlukan perincian yang mendalam. Xenotransplantation adalah (i) pemindahan sel hidup, tisu, atau organ-organ haiwan yang berasal dari manusia atau (ii) pemindahan cecair atau sel badan manusia yang mempunyai hubungan dengan sel atau tisu bukan manusia langsung.[1] Prinsip asas bagi pemindahan organ melibatkan manusia-haiwan adalah, haram menggunakan najis untuk berubat jika ada bahan yang suci. Bahan najis boleh digunakan jika ia adalah keperluan yang mendesak dan tidak ada bahan yang suci yang boleh digunakan.
Asas pengharaman khinzir adalah jelas di sisi syarak sebagaimana firman-Nya:-
Maksudnya: “Sesungguhnya Allah hanya mengharamkan kepada kamu memakan bangkai, dan darah, dan daging babi, dan binatang-binatang yang disembelih tidak kerana Allah maka sesiapa terpaksa (memakannya kerana darurat) sedang ia tidak mengingininya dan tidak pula melampaui batas (pada kadar benda yang dimakan itu), maka tidaklah ia berdosa. Sesungguhnya Allah Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani.”[2]
Maksudnya: “Sesungguhnya Allah telah mengharamkan arak dan harganya, mengharamkan bangkai dan harganya, serta mengharamkan khinzir dan harganya.” Para ulama’ bersepakat tentang haramnya penggunaan najis sebagai bahan ubat namun berbeza pada keharusannya atas sebab darurat. Bagi mazhab Syafie, penggunaan tulang yang dikira najis, tidak dibenarkan kecuali pada keadaan yang amat mendesak dan tidak ada alternatif lain daripada tulang yang suci.
Kata Imam al-Nawawi: “Jika tulangnya patah, maka perlulah ia disambung dengan tulang yang suci. Para ulama’ Syafi’iyyah berkata, ‘Tidak dibenarkan untuk menyambungkannya dengan najis selagi mana mampu dicari yang suci. Sekiranya disambung dengan najis atas hajat, dan tidak ditemui yang suci, ia dianggap uzur (dimaafkan). Sekiranya dia tidak memerlukannya atau menjumpai tulang yang suci [tetapi masih memilih tulang yang najis], dikira berdosa dan wajib untuk dicabut tulang itu [untuk digantikan dengan tulang yang suci] jika dia tidak khuatir memudaratkan dirinya.”[3]
Majma’ al-Fiqh al-Islami Rabitah al-‘Alam al-Islami yang bersidang pada 28 Rabi’ al-Akhir hingga 7 Jamadil Awwal 1405H telah memutuskan bahawa pemindahan organ haiwan kepada manusia mestilah daripada haiwan yang boleh dimakan dan disembelih dengan cara yang syar’ie sahaja. Selain daripada itu, hanya dibenarkan jika ada darurat.[4]
Ads
Hal ini juga sebagaimana yang ditegaskan oleh Syeikh ‘Atiyyah Saqar, mantan Mufti Republik Arab Mesir dalam fatwanya bertarikh Mei 1997 pada soalan “Sekiranya tulang seseorang itu patah dan tidak ditemui tulang melainkan tulang haiwan yang dianggap najis, bolehkah disambungkan dengannya?”[5] Pandangan yang sama juga dikemukakan oleh Syeikh Jad al-Haq ‘Ali Jad al-Haq, mantan Mufti Mesir pada 5 Disember 1979 dalam fatwanya.[6]
Apabila bertembung antara pengharaman dan mudarat, kaedah fiqh ini perlu diambil kira:
Maksudnya: “Apabila bertembungnya dua mafsadah, maka dipelihara (ditolak) mudarat yang paling besar dengan melakukan mudarat yang lebih ringan.”[7]
Syeikh Mustafa Al-Zarqa berkata: “[Yang dimaksudkan dengan] meraikan yang paling berat dari keduanya adalah dengan cara meninggalkannya. Ini kerana, mafsadah-mafsadah diraikan dengan dinafikan seperti mana maslahah-maslahah diraikan dengan melakukannya.”[8]
Ads
Berbalik kepada Surah al-Baqarah ayat 173 di atas, Allah SWT menyimpulkan di hujungnya,
Maksudnya: “…maka sesiapa terpaksa (memakannya kerana darurat) sedang ia tidak mengingininya dan tidak pula melampaui batas (pada kadar benda yang dimakan itu), maka tidaklah ia berdosa. Sesungguhnya Allah Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani.”
Guru kami, Syeikh Dr. Muhammad bin Muhammad al-Mukhtar al-Syinqiti meletakkan dua syarat bagi pemindahan organ haiwan yang bersifat najis iaitu:
Pesakit tersebut memerlukan pemindahan organ haiwan najis tersebut, dan disahkan oleh pakar perubatan akan keperluannya.
Tidak ada alternatif organ yang suci.
Jika dua syarat ini dipenuhi, maka tidak ada masalah untuk pemindahan organ tersebut. Ia juga tidak memberi kesan kepada solat dan ibadah yang mensyaratkan kesucian, atas faktor keuzuran dalam menggunakan najis tersebut.[9]
Kesimpulannya, saya berpendapat bahawa pemindahan organ khinzir kepada manusia adalah dibolehkandengan syarat ia adalah darurat yang disahkan oleh pakar perubatan dan tidak ada alternatif lain yang lebih sesuai. Jika sudah ada alternatif lain yang halal, maka terbatallah keharusan ini. Walaupun begitu, organ khinzir yang telah dipindahkan kepada pesakit, tidak perlu digantikan jika ia boleh mendatangkan mudarat kepada pesakit. Saya juga berpandangan sudah sampai masanya bagi Jawatankuasa Muzakarah Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia mengeluarkan pandangan dalam isu ini. Sesungguhnya kajian seperti ini adalah amat penting untuk menyelesaikan masalah yang kritikal pada masa kini yang terkait dengan rawatan dan perubatan. Wallahu a’lam.
[1] https://www.fda.gov/vaccines-blood-biologics/xenotransplantation [2] Surah al-Baqarah: 173. [3]Al-Majmu’ Sharh al-Muhazzab, 3/145. [4]Qararat al-Majma’ al-Fiqh al-Islami bi Makkah al-Mukarramah (1977-2004), m. 158 [5]Al-Fatawa al-Islamiyyah, 10/258 [6] Ibid., 7/356. [7]Al-Ashbah wal-Naza’ir, m. 76 [8]Sharh al-Qawa’id a-Fiqhiyyah, m. 201. [9]Ahkam al-Jirahah al-Tibbiyyah wa al-Athar al-Mutarattibah ‘Alayha, m. 402.
Isian rohani buat semua peringkat umur, semoga kita KASHOORGA bersama. Insya-Allah, kita download seeNI sekarang ya?
Sah atau tidak solat bagi wanita yang pakai menstrual cup ketika istihadah dan keputihan.
Selalu kita dengar masa fasa period, jika seseorang wanita tak menggunakan pad mengikut kebiasaan, mereka mempunyai option lain iaitu menggunakan menstrual cup.
Biarpun masih ramai belum memakai menstrual cup ketika datang bulan, tapi penggunaannya sudah tentu lebih jimat dan tahan lama.
Namun bagaimana kesnya bila seseorang wanita yang nak pakai menstrual cup ketika istihadah ataupun keputihan. Sah atau solatnya…
Sebelum ini, pernah kami kupaskan mengenai pemakaian Suci Cup semasa seseorang wanita itu sedang mengalami keputihan. Dan kami juga turut menerima maklum balas yang banyak dan timbul soalan seperti dibawah bagi wanita yang beragama islam.
Bagi Wanita
Sah ke solat kalau pakai suci cup semasa keputihan?
Imam al-Khatib al-Syirbini mendefinisikan haid seperti berikut:
دم جبلة أي تقتضيه الطباع السليمة يخرج من اقصى رحم المراة بعد بلوغها على سبيل الصحة من غير سبب في أوقات معلومة
Maksudnya:
Darah semula jadi sebagai kejadian normal yang keluar daripada pangkal rahim seorang wanita yang telah baligh dalam keadaan sihat tanpa sebab-sebab tertentu dan pada waktu-waktu yang diketahui.
Haid merupakan tanda baligh yang semulajadi bagi seseorang wanita. Ianya bermula dalam lingkungan umur sembilan tahun ke atas dan berakhir dengan Iyas (putus haid).
Haid dari segi bahasa ialah (السيلان) yang memberi makna mengalir. Manakala dari segi syarak pula ialah darah semulajadi yang keluar daripada kemaluan wanita ketika badannya dalam keadaan sihat dalam tempoh-tempoh yang tertentu.
Darah haid ialah darah yang normal bagi seorang wanita kalau ia keluar ikut tempohnya.
Jika darah yang keluar selepas daripada itu, maka ia dihukum sebagai darah istihadah atau darah yang berpenyakit. Apabila seseorang menyedari bahawa darah yang keluar bukan lagi darah haid tetapi darah istihadah, ia hendaklah mandi wajib dan mengerjakan solat sebagaimana wanita yang suci. Ia juga tidak wajib menggantikan semula solat yang telah ditinggalkan pada tempoh itu.
Manakala, keputihan atau nama saintifiknya Flour Albus atau Leukore adalah satu kondisi yang terjadi hanya kepada seorang wanita dimana cecair yang berwarna putih atau sedikit kekuningan keluar daripada bahagian faraj (vagina).
Ketika Istihadah & Keputihan
Cara untuk menunaikan solat jika menggunakan menstrual cup.
Penggunaan menstrual cup bagi wanita yang istihadah dianggap sebagai menanggung najis (darah istihadah).
Justeru, ia hendaklah dicuci sebelum berwuduk bagi menunaikan setiap kali solat fardhu, satu wuduk untuk satu solat fardhu, adapun solat sunat boleh berbilang-bilang. Justeru, membersihkan diri termasuk dalam syarat sah solat.
Walaupun ia bukan darah haid, tetapi hendaklah seorang wanita membersihkan diri (badan) dan pakaian setiap kali hendak menunaikan solat.
Kashoorga: Kesimpulannya, menstrual cup bukan sahaja boleh dipakai ketika kita datang bulan, tetapi boleh juga digunakan untuk ketika dalam istihadah dan juga keputihan.
Assalamualaikum. Saya mempunyai soalan. Apakah hukum kita mengambil wudhu’ dalam keadaan tidak berpakaian?
Jawapan:
Waalaikumussalam wbt,
Alhamdulillah, segala puji dan syukur diucapkan kepada Allah SWT, selawat dan salam kami panjatkan ke atas junjungan besar Nabi Muhammad SAW, kepada ahli keluarga Baginda, para sahabat, serta golongan yang mengikuti jejak langkah Baginda Rasulullah SAW sehingga hari kiamat.
Dari segi bahasa, wudhu’ ialah nama bagi sesuatu perbuatan menggunakan air pada anggota-anggota tertentu. Manakala dari segi syara‘ pula, wudhu’ bermaksud membersihkan sesuatu yang tertentu dengan beberapa perbuatan yang tertentu yang dimulakan dengan niat, iaitu membasuh muka, membasuh kedua-dua belah tangan, menyapu kepala dan akhirnya membasuh kedua belah kaki dengan syarat-syarat dan rukun-rukun yang tertentu (rujuk al-Budur al-Tali`ah Syarh Risalah al-Jami`ah, m/s 123).
Merujuk kepada soalan di atas, suruhan untuk menutup aurat ketika mengambil wudhu’ tidak ada dinyatakan sebagai satu perkara wajib atau sunat untuk dilakukan. Akan tetapi, di dalam bab mandi ada dinyatakan bahawa menutup aurat adalah satu daripada perkara sunat. (rujuk kitab al-Taqrirat al-Sadidah fi al-Masail al-Mufidah, m/s 120).
Namun begitu, ia berlainan pada keadaan mengambil wudhu’ atau mandi tanpa berpakaian di tempat awam, maka hukumnya jelas wajib untuk menutup aurat. Ini berdasarkan kepada Hadis Nabi SAW:
Maksudnya: Saya bertanya: “Wahai Nabi Allah, aurat kita manakah yang harus kita tutup dan manakah yang boleh kita nampakkan?” Nabi menjawab: “Jagalah auratmu kecuali terhadap isterimu atau hamba wanitamu.” Saya bertanya: “Jika lelaki bersama lelaki?” Nabi menjawab: “Jika engkau mampu agar auratmu tidak dilihat oleh sesiapa maka (usahakan) jangan sampai ada orang yang boleh melihatnya.” Saya bertanya: “Wahai Nabi Allah, jika berada dalam keadaan sendirian?” Nabi menjawab: “Allah lebih berhak baginya untuk malu terhadapNya daripada (malu) terhadap manusia”.
Hadis riwayat al-Tirmidzi (no. 2769)
Menurut mazhab Syafie, wajib kepada seseorang muslim yang berada di dalam keadaan bersendirian dan ditempat yang tertutup untuk menutup aurat. Pandangan ini juga disokong oleh ulama’ dari kalangan Hanafi dan Hanbali. Adapun begitu, dari kalangan Ulama’ mazhab Maliki mereka menyatakan sunat untuk menutup aurat ketika berada dalam keadaan bersendirian dan ditempat yang tertutup (rujuk kitab Mausuah Fiqhiyah Quwaitiyah, 24/176)
Namun begitu, dibenarkan seseorang itu untuk tidak menutup aurat ketika bersendirian dengan syarat ia perlu disertakan dengan hajat seperti mandi atau untuk menyejukkan badan (rujuk kitab Mughni Muhtaj, m/s 185).
Justeru, dalam keadaan tidak memakai pakaian ketika wudhu’ adalah sah tetapi tidaklah dilakukan di tempat terbuka atau dilihat oleh orang lain. Begitu juga sepatutnya seseorang Muslim hendaklah menjaga maruahnya dan tidak mendedahkan aib diri sendiri di hadapan orang lain.
Walaupun sah wudhu’nya tetapi dia berdosa kerana mendedahkan aurat kepada orang yang haram melihatnya.
Bahkan Rasulullah SAW bersabda:
الحَيَاءُ مِن الإِيمَان
Maksudnya: “Malu itu sebahagian daripada Iman.”
Hadis Riwayat Bukhari (no. 24)
فَاللَّهُ أَحَقُّ أَنْ يُسْتَحْيَا مِنْهُ
Maksudnya: “Allah lebih berhak baginya untuk malu terhadapNya daripada (malu) terhadap manusia”
Hadis riwayat al-Tirmidzi (no. 2769)
Walaupun tidak dinyatakan sebagai perkara sunat atau wajib menutup aurat ketika mengambil wudhu’, tetapi adalah lebih baik dan utama untuk menutup aurat sepertimana yang disunatkan ketika mandi.
Solat merupakan salah satu Rukun Islam yang perlu setiap orang Islam lakukan dengan solat fardu 5 kali setiap hari. Ia wajib dilakukan tanpa gagal kecuali bagi mereka yang dalam keuzuran seperti mana yang dibenarkan syarak.
Sering kali kita dengar bahawa solat itu adalah tiang agama. Dengan solat kehidupan seharian kita akan lebih aman, teratur dan diberkati oleh Allah SWT.
Setiap umat Islam pasti mengharapkan agar ibadah yang dilakukan diterima sebaiknya oleh Allah SWT untuk mencari keredaan-Nya.
Walaupun kadangkala ibadah sudah dilakukan namun berapa pastikah anda bahawa ia diterima oleh ALLAH SWT?
Terdapat banyak sebab mengapa solat itu tidak diterima, antaranya tidak sempurna rukun dan pergerakan dalam solatnya.
Tapi bagaimana kita nak tahu solat yang dilakukan selama ini diterima atau tidak?
KASHOORGA tertarik dengan perkongsian dilakukan oleh pendakwah Ustaz Mohd Fahmi Rusli. Beliau menjelaskan antara tanda ibadah berkenaan diterima apabila solat berkenaan mampu menghalang kita daripada melakukan perkara keji dan mungkar.
Jelas beliau lagi, ALLAH SWT menyifatkan solat sebagai benteng yang menjadi penghalang kita daripada melakukan perbuatan yang tidak disukai-NYA.
Ini kerana, dalam menyifatkan solat Allah S.W.T menyatakan :
Maksudnya : Sesungguhnya solat menghalang kita dari melakukan perkara keji dan mungkar.
Surah Al-Ankabūt (45)
Manakala meninggalkan perkara keji dan mungkar adalah termasuk dalam ketakwaan.
Demikian Allah S.W.T menyatakan :
إِنَّمَا يَتَقَبَّلُ اللَّهُ مِنَ الْمُتَّقِينَ
Ustaz Mohd Fahmi menambah, ALLAH SWT turut menyatakan perihal amalan orang yang bertakwa menerusi kalam-NYA.
ALLAH SWT berfirman: “Sesungguhnya ALLAH hanya menerima (amalan) daripada orang yang bertakwa.” (Surah al-Ma’idah, ayat 27)
“Maka, gabungan dua ayat ini menatijahkan kenyataan: ‘Antara tanda solat kita diterima adalah saat ia menghalang kita daripada melakukan perkara keji dan mungkar’ di atas,” katanya.
Di dalam kitab al-Targhib wa Tarhib, Zakiyuddin al-Mundziri ada menjelaskan tentang sebuah hadis qudsi berkaitan tanda-tanda yang mengisyaratkan solat seorang hamba diterima oleh-NYA.
Antaranya adalah:
1. ALLAH SWT menerima solat seseorang yang tawaduk ketika menunaikan ibadah itu di hadapan kebesaran-NYA. Sifat tawaduk itulah akan memunculkan kekhusyukan dalam solat seseorang berkenaan.
2. Orang yang tidak menyombongkan diri.
3. Orang yang tidak terus-menerus berada dalam kemaksiatan.
4. Orang yang menggunakan waktu siang untuk terus mengingati ALLAH SWT dan merasakan ALLAH selalu berada dekat dalam hidupnya. Bahkan, dirinya selalu merasakan ALLAH sentiasa memerhati setiap inci gerak-gerinya.
5. Mereka yang cintakan kepada fakir miskin, ibnu sabil (orang yang bermusafir) dan mengambil berat mereka yang ditimpa musibah.
Selain melakukan perubatan moden untuk menyembuhkan sesuatu penyakit, terdapat juga pelbagai kaedah yang diamalkan sebagai alternatif dan ikhtiar untuk merawat penyakit.Antaranya adalah dengan perawatan...