PKP Bakal Dilaksanakan Semula? Kerisauan Jangkitan COVID-19 Konsisten & Agak Tinggi

Share

Kala ini kita patut risau dengan kadar jangkitan COVID-19 yang agak konsisten dan tinggi di mana lebih 2000 kes dilaporkan setiap hari. Masa yang sama, kapasiti menampung jumlah pesakit di Malaysia hampir mencapai tahap maksimum.

Semalam dilaporkan, Malaysia telah merekodkan kes harian baharu tertinggi iaitu sebanyak 2,593 kes. Ini menjadikan jumlah kes positif COVID-19 di Malaysia sebanyak 125,438 kes. Manakala, jumlah kes aktif dengan kebolehjangkitan COVID-19 pula adalah 24,347 kes. Daripada jumlah kes baharu berkenaan, terdapat empat (4) kes import yang mendapat jangkitan dari luar negara manakala penularan COVID-19 dalam negara pula adalah sebanyak 2,589 kes.

Mungkinkah Perintah Kawalan Pergerakan akan dikuatkuasakan semula khususnya di negeri-negeri yang kadar jangkitannya tinggi seperti Pulau Pinang, Kuala Lumpur, Selangor, Melaka, Johor dan Sabah? Ini bagi membolehkan pihak kerajaan mengawal volume penularan supaya fasiliti kesihatan dapat menampung jumlah pesakit COVID-19.


Malah semalam juga BERNAMA melaporkan, Kementerian Kesihatan (KKM) sedang mengkaji strategi baharu untuk dikemukakan kepada Majlis Keselamatan Negara (MKN) bagi mengawal penularan kes #COVID19 yang meningkat secara konsisten setiap hari.


Antara strategi yang sedang diperhalusi ialah melaksanakan tindakan bersasar berbeza antara negeri-negeri zon merah dan hijau serta memperketat kawalan sempadan antara negeri – Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah.

Bagi negeri-negeri merah, tindakan yang lebih drastik dan bersasar perlu dijalankan dengan melihat kepada kluster-kluster di negeri terlibat. KKM juga akan memperketatkan kawalan sempadan iaitu menghalang mereka rentas negeri dan daerah.

Sekatan pergerakan diperlukan untuk mengawal, mengurangkan jumlah kes daripada 2,000 kepada 200 sebelum kita boleh menguruskan keseluruhan situasi dengan lebih baik.
Perbincangan sedang berjalan, KKM akan memberi nasihat tapi ‘kebijaksanaan’ kerajaan untuk membuat keputusan.

Walaupun tindakan yang diambil sejak 14 Oktober 2020 berjaya mengelakkan lonjakan kes secara mendadak, ia masih tidak berjaya menurunkan kebolehjangkitan yang masih pada R-naught 1.1 kepada 0.5.

Selain itu, KKM juga sedang mempertimbangkan untuk menempatkan kes positif tidak bergejala dan bergejala ringan di pusat kuarantin yang digunakan untuk pengembara pulang dari luar negara manakala pekerja asing pula dirawat di Pusat Kuarantin dan Rawatan COVID-19 Berisiko Rendah (PKRC).

Dalam pada kita berasa risau dengan jumlah peningkatan kes, jangan sesekali lupa bawakan doa ini untuk menghindari wabak ini demi negara yang tercinta.

بِسْمِ اللَّهِ الرَّحْمَـٰنِ الرَّحِيمِ

الحَمْدُ لِلَّهِ رَبِّ العَالَمِينَ، وَالصَّلاَةُ وَالسَّلاَمُ عَلَى سَيِّـدِنَا مُحَمَّدٍ أَشْرَفِ الأَنْـبِيَاءِ وَالمُرْسَلِينَ، وَعَلَى آلِهِ وَصَحْبِهِ أَجْمَعِينَ.

اَللَّهُمَّ ادْفَعْ عَنَّـا البَلآءَ وَالغَلاَءَ وَالوَبَاءَ وَالطَّاعُونَ وَالفَحْشَاءَ وَالمُنْـكَرَ وَالبَغْيَ وَالسُّوءَ المُخْتَـلِفَ وَالشَّدَائِدَ وَالمِحَنَ مَا ظَهَرَ مِنْهَا وَمَا بَطَنَ مِنْ بَلَدِنَا وَقَرْيَتِـنَا هَذِهِ خَآصَّةً وَمِنْ بُلْدَانِ المُسْلِمِينَ كَآفَّةً عَآمَّةً إِنَّكَ عَلَى كُلِّ شَيْءٍ قَدِيرٌ وَبِالإِجَابَةِ جَدِيرٌ.

تَحَصَّـنَّا بِذِى العِزَّةِ وَالجَبَرُوتِ، وَاعْتَصَمْـنَا بِرَبِّ المَلَـكُوتِ، وَتَوَكَّـلْنَا عَلَى الحَيِّ الَّذِي لاَ يَمُوتُ، اَللَّهُمَّ اصْرِفْ عَنَّا هَذَا الوَبَاءَ، وَقِنَا شَرَّ الرَّدَى، وَنَجِّنَا مِنَ الطَّعْنِ وَالطَّاعُونِ وَالبَلاَءِ، بِلُطْفِكَ يَا لَطِيفُ، يَا خَبِيرُ، إِنَّكَ عَلَى كُلِّ شَيْءٍ قَدِيرٌ، وَصَلَّى اللهُ عَلَى سَيِّـدِنَا مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِهِ وَصَحْبِهِ وَسَلَّمَ وَالحَمْدُ لِلَّهِ رَبِّ العَالَمِينَ.

Yang bermaksud, Segala puji bagi Allah Tuhan sekelian alam, selawat dan salam ke atas Saidina Muhammad semulia-mulia nabi dan rasul, ahli keluarga dan para sahabatnya

Ya Allah! Jauhilah kami daripada bala’ bencana, wabak penyakit, taun, pelbagai perlakuan keji dan mungkar, segala kepayahan dan dugaan yang zahir dan yang tersembunyi. Ya Allah! Selamatkanlah negeri kami ini khususnya, dan negara umat Islam amnya daripada segala bencana tersebut. Sesungguhnya Engkau Maha Berkuasa ke atas segala-galanya dan Engkaulah yang selayaknya memberi perkenan.

Published by
almaswa Haji Che Ros