Isi Kandungan
ToggleSoalan
Saya mempunyai kebun dan sering dikacau oleh babi yang merosakkan tanaman. Ada masa saya akan membetulkan kembali tanam yang dirosakkan oleh haiwan ini dengan menanam semula. Bagaimana kedudukannya, perlukan disertu Dato, tuan tuan.
Sekian terima kasih.
Jawapan
Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT Tuhan semesta alam, selawat serta salam ke atas junjungan teragung Nabi Muhammad SAW dan ke atas ahli keluarga serta mereka yang mengikuti jejak langkah Baginda SAW hingga ke hari Kiamat.
Pada awalannya kami bawakan di sini dalil serta pandangan ulama berkenaan kenajisan babi.
Ulama telah berijmak bahawa babi adalah najis secara zatnya. Ini berdasarkan nas al-Quran. Kesemua bahagian babi sama ada rambut, dagingnya, tulang, kulitnya adalah najis walaupun disembelih.[1]
Dalil Kenajisan Babi
Firman Allah SWT:
قل لا أَجِدُ فِيمَا أُوحِيَ إِلَيَّ مُحَرَّمًا عَلَى طَاعِمٍ يَطْعَمُهُ إِلا أَنْ يَكُونَ مَيْتَةً أَوْ دَمًا مَسْفُوحًا أَوْ لَحْمَ خِنْزِيرٍ فَإِنَّهُ رِجْسٌ أَوْ فِسْقًا أُهِلَّ لِغَيْرِ اللَّهِ بِهِ فَمَنِ اضْطُرَّ غَيْرَ بَاغٍ وَلا عَادٍ فَإِنَّ رَبَّكَ غَفُورٌ رَحِيمٌ
Maksudnya: Katakanlah (wahai Muhammad): “Aku tidak dapati dalam apa yang telah diwahyukan kepadaku, sesuatu yang diharamkan bagi orang yang hendak memakannya melainkan kalau benda itu bangkai, atau darah yang mengalir, atau daging babi – kerana sesungguhnya ia adalah kotor – atau sesuatu yang dilakukan secara fasik, iaitu binatang yang disembelih atas nama yang lain dari Allah”. Kemudian sesiapa yang terpaksa (memakannya kerana darurat) sedang ia tidak mengingininya dan tidak melampaui batas, maka sesungguhnya Tuhan mu Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani.
(Surah al-An’am: 145)
Rasulullah SAW bersabda:
طُهُورُ إِنَاءِ أَحَدِكُمْ إِذَا وَلَغَ فِيهِ الْكَلْبُ أَنْ يَغْسِلَهُ سَبْعَ مَرَّاتٍ أُولاَهُنَّ بِالتُّرَابِ
Maksudnya: “Untuk membersihkan bejana kamu apabila dijilat anjing hendaklah kamu membasuhnya sebanyak tujuh kali. Basuhan pertama hendaklah dengan air bercampur tanah.”
Riwayat Muslim (279)
Pandangan mazhab Syafie dan Ḥanbalī terhadap nas hadis ini, mereka menqiaskan babi dengan anjing di mana anjing merupakan najis seperti yang disebut dalam hadis (إذا ولغ الكلب), maka babi lebih najis dari anjing kerana keadaannya lebih buruk daripada anjing.[2]
Pembahagian Najis: Najis ‘Aini dan Najis Hukmi
Najis Aini ialah semua najis yang berjisim yang dapat dilihat atau mempunyai sifat zahir iaitu warna atau bau seperti tahi, kencing dan darah.
Najis Hukmi ialah semua najis yang telah kering dan kesannya telah hilang. Dengan kata lain, kesan warna atau bau najis tersebut tidak ada lagi. Contohnya baju yang terkena kencing kemudian ia kering dan kesannya tidak zahir lagi.[3]
Kategori Kenajisan Babi
Khinzir dikategorikan sebagai najis mughallazah (مُغَلَّظَةٌ) ialah najis jenis yang berat, iaitu anjing dan babi. Dalil menunjukkan najis ini jenis yang berat ialah ia tidak memadai membasuhnya dengan air sekali sahaja seperti najis-najis yang lain. Dalam hal ini, ia mestilah dibasuh dengan air sebanyak tujuh kali. Satu daripadanya dengan air tanah. Diqiaskan hukum babi kepada hukum anjing sebagai najis mughallazah kerana babi lebih buruk keadaannya daripada anjing.[4]
Cara Bersuci daripada Najis
Cara-cara bersuci daripada najis mughallazah iaitu anjing dan babi dibasuh dengan air sebanyak tujuh kali, dan satu daripadanya adalah dengan air tanah sama ada najis tersebut najis aini atau hukmi, dan sama ada terkena pada pakaian, badan atau tempat.[5]
Berdasarkan pendapat para ulama, maka menurut pendapat yang muktamad dalam mazhab Syafie bahawa babi terdiri daripada najis ‘ain dan perlu disamak sebanyak tujuh kali dan satu daripadanya ialah dengan air tanah apabila terkena najisnya.
Huraian
Namun begitu dalam persoalan yang diajukan hanya kesan perbuatan babi merosakkan tanaman sahaja yang didapati di kebun yang diusahakan. Akan tetapi tidak dapati kesan najis dalam kawasan tersebut. Oleh yang demikian tidaklah dihukumkan kawasan tersebut bernajis. Ini kerana pada asalnya tiada najis maka tidak dihukum najis sehinggalah dibuktikan adanya najis disertakan dengan salah satu sifatnya iaitu bau, rasa atau warna.
Adapun, bekas tapak kaki atau kawasan ia bermain atau mencari makanan dengan memusnahkan tanaman yang sukar dielak maka ia termasuk dalam perkara umum balwa iaitu perkara yang sukar dielakkan. Oleh yang demikian maka berpeganglah kepada konsep umum iaitu selagi tidak ada najis yang jelas sifatnya iaitu bau, rasa atau warnanya, maka tidaklah perlu disamak.
Sumber: Jabatan Mufti Pulau Pinang
Insya-Allah, kita download seeNI sekarang ya?
KLIK DI SEENI
Ahli Keluarga Bergaduh Ketika Pengebumian. Bacaan Talkin Sunnah Atau Bidaah?
Kita sering mendengar bacaan talkin dibacakan ketika upacara pengkebumian. Ia satu ingatan untuk mereka yang masih hidup.
Ikuti perkongsian dari Ustaz Iqbal Zain Al-Jauhari mengenai isu bacaan talkin ini menurut mazhab-mazhab dan pandangan ulama terdahulu. Bidaah atau sunnah?
Pernah saya menghadiri sebuah pengurusan jenazah dan ketika pengebumian, para ahli keluarga inginkan agar talqin dibacakan, namun anak kepada jenazah berkeras tidak mahu talqin dibacakan kerana menurutnya ia adalah perbuatan bid’ah dan tidak ada hadith sahih yang mensabitkannya. Maka berlaku sedikit ketegangan antara sesama ahli keluarga sehinggalah akhirnya talqin tidak dibacakan.
Saya sedih melihat keadaan tersebut, bukan kerana talqin tidak dibacakan, sebab hukumnya sunat, tidak wajib dan pengebumian tetap sah tanpa talqin. Tapi apa yang menyedihkan ialah kesalahfahaman segelintir pihak terhadap status hadith da’if sehingga ia menjadi penghalang baginya untuk melakukan sunnah yang telah disepakati oleh jumhur Ulama.
Tambahan pula, dia menganggap bahawa talqin adalah bid’ah yang patut dijauhi hanya kerana ia berdasarkan hadith da’if.
Ya benar hadith mengenai talqin adalah hadith da’if yang berat. Namun ia tidak menghalang para Ulama untuk menghukumnya sebagai sunnah. Demikian adalah kerana sunnah bukan sabit hanya bersandar kepada hadith sahih semata-mata, akan tetapi juga sabit menerusi hadith da’if berat sekalipun.
Amalan talqin ke atas si mati di tepi kuburnya adalah diriwayatkan hadithnya dari Sayyidina Abu Umamah al-Bahili. Menurut Imam Ibnu Hajar al-Asqalani, terdapat dua jalur riwayat Sayyidina Abu Umamah al-Bahili pada hadith talqin yang kedua-duanya adalah bertaraf da’if jiddan. (Ruj: al-Futuhat al-Rabbaniyyah Sharh al-Adhkar al-Nawawiyah li Ibni ‘Allan, 4/196).
Sungguhpun hadith talqin bertaraf da’if jiddan (da’if berat), penerimaan Ulama secara meluas (Talaqqi bi al-Qabul) terhadapnya menyebabkan statusnya naik kepada sahih dan mutawatir. Hal tersebut dijelaskan oleh Imam Ibnu Hajar al-Asqalani dalam Nuzhat al-Naẓar (Fasl al-Khabar al-Muhtaffu bi al-Qarā’in wa Bayānuha), beliau menyatakan bahawa dalam penilaian sesebuah hadith, selain daripada melihat kewujudan riwayatnya terdapat dalam Sahih al-Bukhari dan Muslim, serta penilaian terhadap jalur sanadnya, qarinah yang terkuat lebih dari itu semua adalah al-Talaqqi bi al-Qabul iaitu kesepakatan para Ulama untuk menerima sesuatu fakta yang terdapat dalam sesebuah hadith itu sehingga hanya dengan wujudnya al-Talaqqi bi al-Qabul itu satu sahaja sudah mencukupi untuk beramal dan mengakuinya kerana kekuatannya bahkan melebihi daripada hadith yang mempunyai jalur sanad yang banyak.
Imam al-Sakhawi dalam Fath al-Mughith berkata, “Dan demikianlah, apabila para Ulama secara Talaqqi bi al-Qabul telah menerima sesebuah hadith da’if sebagai maqbul, maka ianya diamalkan serta dianggap sahih. Sehinggakan ia boleh menjadi pada darjat mutawatir yang boleh memansukhkan hukum-hakam yang lain.
Mawlana Abd al-Hayy al-Laknawi dalam al-Ajwibah al-Fadilah (ms.228) menegaskan bahawa mana-mana hadith da’if yang telah mencapai Talaqqi bi al-Qabul adalah WAJIB untuk mengakui dan mengamalkannya sebagaimana hal tersebut ditegaskan oleh Imam Ibnu Hajar al-Asqalani dalam al-Ifṣah ‘ala Nukat Ibni al-Ṣalah dan demikian itulah apa yang dipegang oleh para imam-imam Usul.
Seluruh mazhab yang empat menyatakan bahawa talqin adalah sunnah dibacakan. Di bawah ini adalah keterangan Ulama dari empat mazhab:-
1. Mazhab Shafi’i
Imam al-Nawawi al-Shafi’i dalam kitabnya al-Majmu’ (j.5, ms. 303) berkata:-
يُسْتَحَبُّ تَلْقِينُ الْمَيِّتِ عَقِبَ دَفْنِهِ فَيَجْلِسُ عِنْدَ رَأْسِهِ إنْسَانٌ
“Disunnahkan mentalqin mayat segera setelah menguburnya, di mana seseorang duduk di depan kepala mayat, dan berkata: Wahai fulan anak fulan….sehingga akhir”.
2. Mazhab Maliki
Imam Al-Mawwaq Al-Maliki, al-Taj Wa al-Iklil li Mukhtasar al-Khalil (j.2, ms. 375) berkata:
إذَا أُدْخِلَ الْمَيِّتُ قَبْرَهُ فَإِنَّهُ يُسْتَحَبُّ تَلْقِينُهُ فِي تِلْكَ السَّاعَةِ، وَهُوَ فِعْلُ أَهْلِ الْمَدِينَةِ الصَّالِحِينَ مِنَ الْأَخْيَار
“Jika mayat telah dimasukkan ke dalam kuburnya, maka sesungguhnya disunnahkan mentalqinnya pada saat itu. Hal ini merupakan perbuatan penduduk Madinah yang saleh lagi baik”.
3. Mazhab Hanafi
Imam al-Zayla’i al-Hanafi dalam kitabnya Tabyin al-Haqa’iq Sharh Kanz al-Daqa’iq (j.3, ms. 153) menyebutkan:-
أَنَّ تَلْقِينَ الْمَيِّتِ مَشْرُوعٌ، لِأَنَّهُ تُعَادُ إلَيْهِ رُوحُهُ وَعَقْلُهُ، وَيَفْهَمُ مَا يُلَقَّنُ
“Sesungguhnya mentalqin mayat itu disyariatkan, sebab ruhnya dikembalikan kepadanya, begitu pula akalnya. Dia memahami apa yang ditalqinkan (diajarkan)”.
4. Mazhab Hanbali
Imam al-Buhuti al-Hanbali dalam kitabnya Sharh Muntaha al-Iradat (j.1, ms. 374) menulis:
وَسُنَّ تَلْقِيْنُهُ أَيْ: الْمَيِّتِ بَعْدَ الدَّفْنِ عِنْدَ الْقَبْرِ؛ لِحَدِيْثِ أَبِي أُمَامَةَ البَاهِلِي رَضِيَ اللهُ عَنْهُ
“Dan disunnahkan mentalqin mayat setelah dikebumikan dalam kuburan, bersandar kepada hadith riwayat Abi Umamah Al-Bahili radhiyallahu anhu”.
Imam Ibnu Qayyim yang bermazhab Hanbali dalam kitabnya al-Ruh (ms.29) mengatakan bahawa amalan talqin adalah sunnah meskipun ia bersandar kepada hadith yang tidak sabit.
Ketika beliau membicarakan mengenai riwayat berkenaan kelakuan orang hidup diketahui orang-orang mati, beliau berkata, “Hal tersebut menunjukkan bahawa sesungguhnya orang-orang yang telah mati mengetahui keadaan orang-orang hidup, mengetahui kunjungan ziarah mereka, dan mendengar salam mereka ke atasnya, sebagaimana amalan yang telah berlangsung sejak awal sehingga saat ini dari pembacaan talqin ke atas mayat di kuburnya. Dan telah ditanya Imam Ahmad bin Hanbal akan hal tersebut maka beliau telah memandangnya sebagai amalan yang baik dan beliau berhujah dengan pengamalan ahli ilmu terhadapnya”.
Selanjutnya Imam Ibnu Qayyim menyebutkan sebuah hadith da’if secara penuh dari al-Mu’jam li al-Tabrani mengenai amalan talqin ke atas si mati di tepi kuburnya, lalu beliau berkomentar:-
“Sungguhpun hadith ini tidak sabit, namun pengamalannya yang berterusan secara turun temurun oleh orang ramai (ahli ilmu) di segenap tempat dan setiap era tanpa sebarang penafian, adalah cukup untuk menjadi bukti untuk diamalkan.
Demikian itu adalah kerana Allah Ta’ala tidak sekali-kali mentakdirkan sebuah kebiasaan ke atas umat yang merata di Timur dan Barat, yang mana umat ini adalah umat yang paling sempurna akalnya dan paling banyak pula pengetahuannya, untuk mengungkapkan perbicaraan kepada sesuatu yang tidak dapat mendengar atau mengerti?
Padahal seluruh umat telah menganggapnya sesuatu yang baik dan tidak ada sesiapa yang menafikannya. Bahkan ia merupakan SUNNAH yang bermula dari golongan terdahulu lalu diikuti oleh yang terkemudian. Kalaulah orang yang ditujukan perbicaraan itu tidak dapat mendengar, nescayalah ia sama seperti berbicara kepada tanah, kayu dan batu nisan atau kepada seseorang yang tiada (al-ma’dum)”.
Kesimpulan:-
Amat penting untuk membezakan apa yang dimaksudkan dengan perkataan “sunnah” dan “bukan sunnah”, adakah ianya sunnah dalam definisi Fuqaha’ atau Muhaddithin. Definisi yang sepatutnya digunakan oleh masyarakat awam ialah apa yang disebut oleh para Fuqaha’ iaitu “sunnah ialah apabila melakukannya mendapat pahala, meninggalkannya tak dapat apa-apa”, bukan definisi sunnah yang dipegang oleh Muhaddithin iaitu “Segala peninggalan Nabi Muhammad shallallahu ‘alaihi wasallam baik berupa perkataan, perbuatan, keputusan, mahupun sifat”.
Mengheret masyarakat awam kepada definisi Sunnah yang diguna pakai oleh para muhaddithin dengan menggesa mereka untuk semak status hadith dan mencari dalil pada setiap gerak geri ibadah adalah sebenarnya meletakkan sesuatu bukan pada tempatnya. al-Hafiz Ibn al-‘Arabi al-Maliki (m. 543 H) sangat keras terhadap literalis yang menuntut dalil berbentuk nas bagi setiap masalah hukum. Dalam ‘Aridah al-Ahwadhi (Abwab al-Zakat, ms.104), Syarah Sunan al-Tirmidhi, beliau menyebut sikap ini menyalahi Salaf, bahkan menyebut mereka sebagai “keldai”.
Ulama mensyariatkan amalan talqin bukanlah hanya sebagai tazkirah untuk orang yang masih hidup, akan tetapi ia turut membantu orang yang sudah meninggal dunia dalam meneguhkan dan memantapkan si mati menghadapi alam barzakh dan persoalan Munkar dan Nakir kerana pendengaran orang yang sudah meninggal itu lebih tajam berbanding orang-orang hidup yang hadir pengebumian sebagaimana hal itu sabit secara sahih dalam peristiwa Nabi Muhammad SAW berbicara di Badar yang ditujukan buat orang-orang yang telah meninggal. (al-Bukhari).
Selain amalan talqin, berdoa adalah cara orang yang masih hidup dapat membantu si mati sesuai dengan sabda RasuluLlah SAW: “Mintalah pengampunan untuk saudara kamu, dan mintalah kepada Allah supaya dia mendapat ketetapan, sesungguhnya dia (jenazah) sekarang ini sedang disoal”. (Riwayat Abu Daud).
Amalan talqin adalah SUNNAH dan status hadithnya telah naik kepada sahih dan mutawatir disebabkan faktor penerimaan Ulama secara meluas terhadapnya (Talaqqi bi al-Qabul).
Diharapkan selepas ini, tidak ada lagi isu bid’ah membid’ah dalam amalan talqin yang dilaksanakan oleh masyarakat Islam.
Kita boleh berbeza pendapat, akan tetapi jauhi sikap tergesa-gesa dan gopoh dalam melabelkan ke atas orang lain dengan sesat dan bid’ah.
Jangan hanya kerana melihat status sesebuah hadith itu da’if walau berat sekalipun, terus ia menjadi harga mati untuk amalan tersebut ditolak. Demikian adalah kerana mengetahui status hadith bukanlah produk terakhir dalam pembentukan sesebuah hukum dan amalan dalam agama kita.
Sesungguhnya kaedah pendalilan disisi Ulama Muktabar bukanlah sesimple itu. Cukuplah kita mengikut apa yang telah dihidangkan oleh Ulama Muktabar kepada kita untuk mengamalkan apa yang patut diamalkan dan meninggalkan apa yang patut ditinggalkan.
HADITH TALQIN
Dibawah ini adalah hadith yang digunakan para Ulama dalam pensyari’atan talqin ketika pengebumian.
حديث أبي أمامة في التلقين . أخرجه الطبراني في ” الكبير ” عن سعيد بن عبد الله الأودي قال : ” شهدت أبا أمامة الباهلي وهو في النزع فقال : إذا أنا مت فاصنعوا بي كما أمر رسول الله ( صلى الله عليه وسلم ) فقال : أذا مات أحد من إخوانكم فسويتم التراب عليه فليقم أحدكم على رأس قبره ثم ليقل : يا فلان بن فلان بن فلانة فإنه يسمع ولا يجيب ثم يقول : يا فلان بن فلانة فإنه يستوي قاعدا ثم يقول : يا فلان بن فلانة فانه يقول : أرشدنا رحمك الله ولكن لا تشعرون فليقل : اذكر ما خرجت عليه من الدنيا شهادة : أن لا اله الا الله وأن محمدا عبده ورسوله وأنك رضيت بالله ربا وبالاسلام دينا وبمحمد نبيا وبالقرآن إماما فان منكرا ونكيرا يأخذ كل واحد منهما بيد صاحبه ويقول : انطلق بنا ما نقعد عند من لقن حجته فيكون الله حجيجه دونهما قال رجل : يا رسول الله فإن لم يعرف أمه ؟ قال : فينسبه إلى حواء : يا فلان بن حواء ”
Sayyidina Abu Umamah al-Bahili berkata “Apabila aku mati nanti, maka lakukan kepadaku seperti yang disuruh oleh Rasulullah SAW, Baginda bersabda:-
“Jika salah seorang di antara kalian mati, maka ratakanlah tanah pada kuburnya (kuburkanlah). Hendaklah salah seorang dalam kalian berdiri di pinggir kuburnya dan hendaklah berkata :-
“Wahai fulan (sebutkan nama orang yang mati) anak fulanah (sebutkan ibu orang yang mati)” sebab dia boleh mendengarnya tetapi tidak boleh menjawabnya.
Kemudian berkata lagi : “Wahai fulan (sebutkan nama orang yang mati) anak fulanah (sebutkan ibu orang yang mati)” sebab dia akan duduk.
Kemudian berkata lagi : “Wahai fulan (sebutkan nama orang yang mati) anak fulanah (sebutkan ibu orang yang mati)” sebab dia akan berkata : “Berilah kami petunjuk –semoga Allah merahmatimu-“ dan kalian tidak akan merasakannya.
Kemudian hendaklah berkata : “Sebutlah sesuatu yang kamu bawa keluar dari dunia, iaitu persaksian bahawa tiada Tuhan kecuali Allah ﷻ, Muhammad hamba dan utusan-Nya, dan sesungguhnya kamu reda Allah menjadi Tuhanmu, Muhammad menjadi Nabimu, dan Al-Qur’an menjadi imammu”, sebab Munkar dan Nakir saling berpegangan tangan dan berkata : “Mari kita pergi. Kita tidak akan duduk (menanyakan) di sisi orang yang telah ditalqini (dipimpin) hujjahnya (jawapannya), maka Allah menjadi hajiij (yang mengalahkan dengan menampakkan hujah) baginya bukan Munkar dan Nakir”.
Kemudian seorang sahabat lelaki bertanya : “Wahai Rasulullah! Jika dia tidak tahu ibu si mati?” Maka Rasulullah ﷺ menjawab: “Nisbahkan kepada Hawa, wahai fulan bin Hawa”
(Riwayat al-Tabrani dalam Mu’jam al-Kabir).
Semoga bermanfaat
Disediakan oleh : iqbal Zain al-jauhari
Insya-Allah, kita download seeNI sekarang ya?
KLIK DI SEENI
Derhaka Kah Anak Bantah Kata Ibu Paksa Ceraikan Isteri
Isi Kandungan
ToggleDerhaka pada orang tua adalah satu dosa besar. Kita tahu, syurga itu di bawah telapak kaki ibu. Menjadi anak derhaka merupakan perbuatan yang ditakuti.
Namun apa hukumnya jika sang ibu meminta anak kandungnya menceraikan isteri yang dikasihi? Isu derhaka ini sangat berat. Tentu ada penjelasan lanjut kerana tidak semudah itu boleh menceraikan isteri. Kita baca kupasan oleh Ustaz Azhar Idrus ini.
SOALAN :
Saya mewakili kawan saya nak tanya ustaz masalah rumah tangga dia. Isteri kawan saya ini selalu tidak sefahaman dengan keluarga suaminya dan kadang-kadang bertegang lidah tapi tidak sampai bergaduh.
Masalahnya ialah ibu kepada suami telah beberapa kali menyuruh kawan saya menceraikan isterinya kerana ibunya tidak suka. Adakah wajib dia ikut perintah ibunya itu sedangkan dia tidak mahu bercerai dengan isterinya?
JAWAPAN :
Menurut pendapat sebahagian ulama jika orang tua menyuruh anaknya menceraikan isterinya dan isterinya memang perempuan yang jahat perangainya maka wajib anak itu taat pada perintah orang tuanya.
Akan tetapi jika isterinya bukan perempuan yang jahat perangainya sekali pun bukan perempuan yang solehah maka anak tidak wajib taat kepada suruhan orang tua untuk menceraikan isterinya dan anak itu tidak dikira derhaka pada tidak taatnya itu.
Telah berkata oleh Imam Ahmad :
“Tidak wajib seorang itu taatkan kedua ibu bapa dengan menceraikan akan isterinya.” (Kitab Adab As-Syar’iyyah)
Dan begitu juga jika kedua orang tua adalah orang yang tidak cerdik atau kurang akalnya dalam melakukan suatu perkara.
Berkata Syeikh Ibnu Hajar :ولكن لو كان –الوالد– في غاية الحمق أو سفاهة العقل، فأمر أو نهى ولده بما لا يعد مخالفته فيه في العرف عقوقاً، لا يفسق ولده بمخالفته حينئذ لعذره، وعليه فلو كان متزوجاً بمن يحبها فأمره بطلاقها، ولو لعدم عفتها، فلم يمتثل أمره لا إثم عليه كما سيأتي التصريح به عن أبي ذر رضي الله عنه، لكنه أشار إلى أن الأفضل طلاقها امتثالاً لأمر والده، وعليه يُحمَل الحديث الذي بعده: أن عمر أمر ابنه بطلاق زوجته فأبى، فذكر ذلك لرسول الله صلى الله عليه وسلم فأمره بطلاقها
Ertinya : “Akan tetapi kalau bapanya seorang yang tidak cerdik atau bodoh akalnya lalu menyuruh anaknya dengan suatu perkara yang tidak dikira derhaka pada adat kalau tidak mentaatinya maka anaknya tidaklah berdosa dengan sebab tidak mentaatinya pada ketika itu kerana uzurnya”
Dan atasnya juga andai anaknya berkahwin dengan seorang perempuan yang dia sukai lalu disuruhnya anaknya menceraikannya sekali pun isterinya ketiadaan solehah lalu anak itu tidak taatkan suruhannya itu nescaya tidaklah anak itu berdosa.
Sebagaimana akan datang sebutnya pada kisah Abu Zarr r.a. akan tetapinya mengisyaratkan kepada yang afdal ialah mentaati suruhan bapanya itu kerana menjunjung perintah orang tua.
Dan atasnya lah ditanggungkan hadis Umar r.a. menyuruh anaknya menceraikan isterinya lalu enggan ia dan bertanyakan kepada Nabi saw dan baginda menyuruhnya menceraikan.” (Kitab Az-Zawajir)
Artikel berkaitan:Tak Untung Benci Ibu, Sebaliknya Buatlah Baik. Insan Mulia Ini Jalan Kita Ke Syurga& Pesan Imam Muda Hassan
Artikel berkaitan: Awas! Ibu Bapa, Jangan Sampai Derhaka Kepada Anak
KESIMPULAN
Jika ibu bapa menyuruh ceraikan isteri dan memang isteri itu seorang yang jahat perangainya maka hendaklah ditaati akan suruhan ibu bapanya itu.
Ada pun jika isterinya bukan perempuan yang jahat maka suami tidak wajib taat suruhan ibu bapa. Mintalah kepada ibu bapa dengan perkataan yang baik dan beradab.
Ibubapa yang tidak puas hati dengan menantu hendaklah bersabar dan selesaikan dengan jalan yang baik kerana menyuruh cerai adalah memberatkan akan hidup anaknya.
Wallahua’lam
Ustaz Azhar Idrus
Insya-Allah, kita download seeNI sekarang ya?
KLIK DI SEENI
Anak TAK WAJIB Bayarkan Hutang Arwah Ibu Bapa! Semasa Hidup Penghutang Wajib Bayar Hutangnya
Biasa bila berlaku kematian, kita akan mendengar waris menyebut begini.
“Bagi pihak ayah atau ibu saya, kalau mereka ada berhutang, minta dihalalkan atau datanglah bertemu ahli waris untuk menuntut hutang yang dipinjam oleh arwah sebelum membawa jenazah ke tanah perkuburan.
Persoalannya, benarkah hutang yang ditinggalkan oleh kedua ibu bapa wajib dibayar oleh anak? Bagaimana jika si mati tidak meninggalkan sebarang harta dan anak-anak juga tidak berkemampuan membayar hutang ditinggalkan oleh ibu bapanya?
Tahukah anak TIDAK WAJIB MEMBAYAR HUTANG IBU BAPANYA kerana hutang wajib dibayar oleh penghutang semasa hayatnya secara berdikit-dikit dan bukan membiarkan hutang begitu sahaja. Namun jika anak berkemampuan membayar hutang dibuat ibu bapanya, itu dikira sedekah dari si anak untuk orang tuanya.
Ikuti penjelasan dari Pejabat Mutfi Wilayah Persekutuan mengenai hutang ibu bapa dan penjelasan video dari Ustaz Abdul Somad dalam perihal hutang ini.
Assalamualaikum SS Dato’ Seri Mufti. Ayah saya ada berhutang banyak dengan orang. Dan setahu saya roh orang yang berhutang akan tergantung sehingga dia langsaikan hutang. Dalam isu ini, bagaimana penyelesesaian sedangkan saya tiada duit untuk langsaikan hutang ayah saya?
Jawapan :-
Alhamdulillah, pujian dan syukur kepada Ilahi dengan pelbagai kurniaan dan anugerah yang tidak terhitung buat kita semua. Selawat dan salam ke atas Nabi SAW, keluarga, sahabat dan yang mengikut jejak langkahnya hingga hari kesudahan.
Dalam isu ini, kami mulakan dengan hadis Nabi SAW sepertimana yang diriwayatkan oleh Abu Hurairah RA:
نَفْسُ الْمُؤمِنِ مُعَلَّقَةٌ بِدَيْنِهِ حَتَّى يُقْضَى عَنْهُ
Maksudnya: “Jiwa orang yang beriman itu tergantung disebabkan hutang, sehingga dibayarkan untuknya (hutang tersebut).”
Riwayat Ibnu Majah (2413), al-Tirmizi (1079) dan al-Baihaqi (6891)
Imam al-Suyuti berkata: “Maksud hadis ini bahawa jiwa atau roh orang yang beriman akan terhalang dari kedudukannya yang mulia.” (Lihat Tuhfah al-Ahwazi, 4/193 dan Mir’at al-Mafatih, 8/152)
Justeru, menjawab persoalan di atas, hendaklah dilangsaikan hutang terlebih dahulu. Adapun anak yang mampu untuk melangsaikan hutang ayahnya, maka ia termasuk dari berbakti dan berbuat baik serta ihsan kepada ibu bapanya. Sudah pasti pahalanya cukup besar. Rasulullah SAW pernah mengkiaskan isu berkenaan ibadat yang ditinggalkan oleh ibu sahabat dengan hutang yang wajib dilangsaikan seperti yang diriwayatkan oleh Ibn Abbas R.Anhuma:
جَاءَ رَجُلٌ إِلَى النَّبِيِّ صلى الله عليه وسلم فَقَالَ يَا رَسُولَ اللَّهِ إِنَّ أُمِّي مَاتَتْ وَعَلَيْهَا صَوْمُ شَهْرٍ أَفَأَقْضِيهِ عَنْهَا فَقَالَ ” لَوْ كَانَ عَلَى أُمِّكَ دَيْنٌ أَكُنْتَ قَاضِيَهُ عَنْهَا ” . قَالَ نَعَمْ . قَالَ ” فَدَيْنُ اللَّهِ أَحَقُّ أَنْ يُقْضَى ”
Maksudnya: Bahawa seorang lelaki datang kepada Nabi SAW, lalu berkata: Wahai Rasulullah, Sesungguhnya ibuku telah meninggal, dan dia mempunyai puasa (yang belum diganti) selama sebulan, apakah aku perlu tunaikan untuknya? Lalu baginda berkata: “sekiranya ibumu mempunyai hutang, apa kau akan bayar hutang untuknya?” Lelaki itu berkata: “Ya”. Maka berkata Nabi SAW: “Hutang kepada Allah lebih berhak untuk ditunaikan” Riwayat Muslim (1148)
Kami mengambil kesempatan di sini untuk menoktahkan beberapa perkara berkaitan hutang:
Jangan berhutang kecuali amat memerlukan. Elakkan hutang menjadi hobi atau kebiasaan seperti nasihat sahabat Nabi SAW yang bernama Uqbah ibn Amir R.A, antara lain katanya: Jangan kamu berhutang sekalipun kamu terpaksa pakai kain bulu.”
Jika perlu berhutang, maka berhutanglah pada kadar yang minimum serta dalam kadar kemampuan untuk melangsaikannya.
Hendaklah menulis hutang yang dilakukannya berserta saksi sebagaimana irsyad daripada nas Ilahi:
Firman Allah SWT:
يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا إِذَا تَدَايَنتُم بِدَيْنٍ إِلَىٰ أَجَلٍ مُّسَمًّى فَاكْتُبُوهُ
Maksudnya: Wahai orang-orang yang beriman! Apabila kamu menjalankan sesuatu urusan dengan hutang piutang yang diberi tempoh hingga ke suatu masa yang tertentu maka hendaklah kamu menulis (hutang dan masa bayarannya) itu (Surah al-Baqarah: 282)
Ibn Kathir menerangkan, “Ayat ini merupakan panduan daripada Allah SWT kepada hambaNya yang mukmin untuk menulis atau merekod sekiranya bermuamalah dengan cara bertangguh (berhutang). (Rujuk Tafsir Ibn Kathir, 1/411) Imam al-Sa’di menyatakan ayat ini mengandungi hukum yang besar dan bermanfaat dari aktiviti merekod hutang bagi mengelakkan mudharat yang lebih besar. (Rujuk Tafsir al-Sa’di, 1/118).
Imam al-Maraghi menyebut, suruhan seperti ini lebih kepada menyuruh hambanya yang mukmin untuk menjaga hutang piutang mereka merangkumi akad pinjaman dan salam.” (Rujuk Tafsir al-Maraghi, 1/551)
Hendaklah berniat dengan sungguh-sungguh untuk melangsaikannya dengan secepat mungkin. Daripada Maimunah binti al-Harith, Rasulullah SAW bersabda:
مَنْ اسْتَدَانَ دَيْنًا يَعْلَمُ اللَّهُ عَزَّ وَجَلَّ مِنْهُ أَنَّهُ يُرِيدُ أَدَاءَهُ أَدَّاهُ اللَّهُ عَنْهُ
Maksudnya: “Sesiapa yang berhutang dan Allah tahu bahawa dia ingin menunai dan melangsaikannya, nescaya Allah memudahkan baginya.” Riwayat Ahmad (25840)
Mafhum daripada hadis ini menunjukkan kehendak untuk membayar hutang adalah diberi pertolongan oleh Allah berdasarkan niat yang baik. Bahkan dengan kehendaknya jua, kadang-kadang sekalipun berlaku halangan, tetapi tetap disampaikan oleh Allah berkenaan dengan bayaran tersebut. Dalam sebuah hadith yang masyhur, daripada Abu Hurairah R.A, daripada Rasulullah SAW bahawa beliau pernah mengisahkan:
أَنَّهُ ذَكَرَ رَجُلًا مِنْ بَنِي إِسْرَائِيلَ سَأَلَ بَعْضَ بَنِي إِسْرَائِيلَ أَنْ يُسْلِفَهُ أَلْفَ دِينَارٍ فَقَالَ ائْتِنِي بِالشُّهَدَاءِ أُشْهِدُهُمْ فَقَالَ كَفَى بِاللَّهِ شَهِيدًا قَالَ فَأْتِنِي بِالْكَفِيلِ قَالَ كَفَى بِاللَّهِ كَفِيلًا قَالَ صَدَقْتَ فَدَفَعَهَا إِلَيْهِ إِلَى أَجَلٍ مُسَمًّى فَخَرَجَ فِي الْبَحْرِ فَقَضَى حَاجَتَهُ ثُمَّ الْتَمَسَ مَرْكَبًا يَرْكَبُهَا يَقْدَمُ عَلَيْهِ لِلْأَجَلِ الَّذِي أَجَّلَهُ فَلَمْ يَجِدْ مَرْكَبًا فَأَخَذَ خَشَبَةً فَنَقَرَهَا فَأَدْخَلَ فِيهَا أَلْفَ دِينَارٍ وَصَحِيفَةً مِنْهُ إِلَى صَاحِبِهِ ثُمَّ زَجَّجَ مَوْضِعَهَا ثُمَّ أَتَى بِهَا إِلَى الْبَحْرِ فَقَالَ اللَّهُمَّ إِنَّكَ تَعْلَمُ أَنِّي كُنْتُ تَسَلَّفْتُ فُلَانًا أَلْفَ دِينَارٍ فَسَأَلَنِي كَفِيلَا فَقُلْتُ كَفَى بِاللَّهِ كَفِيلًا فَرَضِيَ بِكَ وَسَأَلَنِي شَهِيدًا فَقُلْتُ كَفَى بِاللَّهِ شَهِيدًا فَرَضِيَ بِكَ وَأَنِّي جَهَدْتُ أَنْ أَجِدَ مَرْكَبًا أَبْعَثُ إِلَيْهِ الَّذِي لَهُ فَلَمْ أَقْدِرْ وَإِنِّي أَسْتَوْدِعُكَهَا فَرَمَى بِهَا فِي الْبَحْرِ حَتَّى وَلَجَتْ فِيهِ ثُمَّ انْصَرَفَ وَهُوَ فِي ذَلِكَ يَلْتَمِسُ مَرْكَبًا يَخْرُجُ إِلَى بَلَدِهِ فَخَرَجَ الرَّجُلُ الَّذِي كَانَ أَسْلَفَهُ يَنْظُرُ لَعَلَّ مَرْكَبًا قَدْ جَاءَ بِمَالِهِ فَإِذَا بِالْخَشَبَةِ الَّتِي فِيهَا الْمَالُ فَأَخَذَهَا لِأَهْلِهِ حَطَبًا فَلَمَّا نَشَرَهَا وَجَدَ الْمَالَ وَالصَّحِيفَةَ ثُمَّ قَدِمَ الَّذِي كَانَ أَسْلَفَهُ فَأَتَى بِالْأَلْفِ دِينَارٍ فَقَالَ وَاللَّهِ مَا زِلْتُ جَاهِدًا فِي طَلَبِ مَرْكَبٍ لِآتِيَكَ بِمَالِكَ فَمَا وَجَدْتُ مَرْكَبًا قَبْلَ الَّذِي أَتَيْتُ فِيهِ قَالَ هَلْ كُنْتَ بَعَثْتَ إِلَيَّ بِشَيْءٍ قَالَ أُخْبِرُكَ أَنِّي لَمْ أَجِدْ مَرْكَبًا قَبْلَ الَّذِي جِئْتُ فِيهِ قَالَ فَإِنَّ اللَّهَ قَدْ أَدَّى عَنْكَ الَّذِي بَعَثْتَ فِي الْخَشَبَةِ فَانْصَرِفْ بِالْأَلْفِ الدِّينَارِ رَاشِدًا
Maksudnya: Bahawa terdapat seorang daripada Bani Israil yang meminjam wang seribu dinar kepada seorang Bani Israil. Orang yang meminjamkan berkata, “Datangkanlah saksi-saksi! Aku ingin mempersaksikan peminjaman ini kepada mereka.” Peminjam berkata, “Cukuplah Allah sebagai saksinya.” Orang yang meminjamkan berkata lagi, “Datangkanlah seorang penjamin.” Peminjam berkata, “Cukuplah Allah sebagai penjamin.” Orang yang meminjamkan berkata, “Kamu benar.”
Kemudian dia memberikan wang itu dalam tempoh tertentu. Kemudian orang yang meminjam wang itu pergi ke laut untuk memenuhi hajatnya. Dia pun mencari perahu untuk dinaikinya bagi menghantar wang pinjamannya yang sudah sampai tempoh pembayarannya. Namun dia tidak mendapatinya. Kemudian dia mengambil kayu dan membuat lubang padanya. Lalu dia memasukkan ke dalamnya wang sebanyak seribu dinar bersama secarik tulisan yang ditujukan kepada pemilik wang. Kemudian dia melapisinya agar tidak terkena air. Lalu dia membawa kayu tersebut ke laut.
Dia berkata, “Ya Allah, sesungguhnya Engkau mengetahui bahawa aku telah meminjam wang seribu dinar kepada si fulan. Dia meminta penjamin daripadaku, kemudian aku katakan bahawa cukuplah Allah sebagai penjamin, dan dia pun rela. Dia memintaku mendatangkan saksi, lalu aku katakan bahawa cukuplah Allah sebagai saksi, dan dia pun rela. Sesungguhnya aku telah berusaha untuk mendapatkan perahu yang akan aku gunakan untuk menghantarkan wangku kepadanya, namun aku tidak mendapatkannya. Kini, kutitipkan wang itu kepada-Mu.” Kemudian dia melemparkan kayu itu hingga tenggelam. Dia pun pergi. Walaupun demikian, dia tetap berusaha mencari perahu yang menuju ke negerinya.
Orang yang meminjamkan wang pergi untuk menanti, barangkali ada perahu datang membawa piutangnya. Tiba-tiba dia menemui kayu yang berisi wang itu. Dia membawanya pulang sebagai kayu api untuk isterinya. Apabila dia membelahnya, dia menemui sejumlah wang dan secarik tulisan pesanan.
Sementara itu, si peminjam pun datang membawa seribu dinar. Dia berkata, “Demi Allah, sebelum aku datang sekarang, aku sentiasa berusaha untuk mencari perahu bagi menghantarkan wangmu kepadamu, namun aku tidak mendapat satu perahu pun sebelum aku tiba dengan menaiki perahu yang aku tumpangi ini.” Orang yang meminjamkan berkata, “Apakah kamu mengirimkan sesuatu kepadaku?” Peminjam berkata, “Aku telah sampaikan kepadamu bahawa aku tidak menemukan perahu, sebelum aku mendapatkannya sekarang ini?” Orang yang meminjamkan berkata, “Sesungguhnya Allah telah menghantarkan pinjamanmu yang kau letak dalam kayu. Maka gunakanlah wangmu yang seribu dinar itu dengan baik, maka bawalah kembali seribu dinarmu itu.” Riwayat al-Bukhari (2291)
Sentiasa berdoa kepada Allah untuk dimudahkan membayar hutang. Daripada Abu Said al-Khudri RA katanya: “Rasulullah SAW telah memasuki masjid. Tiba-tiba terdapat seorang sahabat bernama Abu Umamah RA sedang duduk di sana. Beliau bertanya: “Wahai Abu Umamah, kenapa aku melihat kau sedang duduk di dalam masjid sedangkan bukan waktu solat?” Abu Umamah menjawab: “Dukacita dan hutang menyelubungiku wahai Rasulullah!” Rasulullah menjawab: “Mahukah kamu aku ajarkan kepada kamu satu doa jika kamu membacanya, Allah akan menghilangkan rasa dukacitamu dan melangsaikan hutangmu.” Abu Umamah menjawab: “Sudah tentu, wahai Rasulullah.” Maka Baginda bersabda: “Ucapkanlah pada waktu pagi dan petang bacaan ini:
اللَّهُمَّ إِنِّي أَعُوذُ بِكَ مِنْ الْهَمِّ وَالْحَزَنِ وَأَعُوذُ بِكَ مِنْ الْعَجْزِ وَالْكَسَلِ وَأَعُوذُ بِكَ مِنْ الْجُبْنِ وَالْبُخْلِ وَأَعُوذُ بِكَ مِنْ غَلَبَةِ الدَّيْنِ وَقَهْرِ الرِّجَالِ
Maksudnya: “Ya Allah, sesungguhnya aku berlindung kepada Engkau dari kedukaan dan kesedihan. Aku berlindung kepada Engkau dari sifat lemah dan malas. Aku berlindung kepada Engkau dari sifat pengecut dan bakhil. Dan aku berlindung kepada Engkau dari bebanan hutang dan penindasan manusia.”
Abu Umamah RA berkata: “Setelah membaca doa tersebut, Allah menghilangkan kedukaanku dan melunaskan hutangku.” Riwayat Abu Daud (4/353)
Semoga Allah selamatkan kita daripada sifat berhutang dan memudahkan untuk kita melangsaikan hutang. Amin
Sumber: Mufti Wilayah Persekutuan
Tonton video Ustaz Abdul Somad tentang hutang.
Insya-Allah, kita download seeNI sekarang ya?
KLIK DI SEENI