Pokok Lidah Jin Ini Memang Cantik Jadi Hiasan Dalam Rumah, Tapi Ini Bahaya Menakutkan Ramai Tak Tahu

Share

Sejak viral pokok ‘snake plant’ atau lidah jin atau dikenali juga dengan nama lidah mentua ini dilaman sosial, ramai mahu menjadikan pokok ini sebagai hiasan dekorasi di ruang kediaman masing-masing.

Tidak dinafikan pokok ini sangat cantik dan menarik menjadi hiasan di ruang dekorasi. Tetapi ramai tidak tahu bahaya pokok hiasan viral ini.

Menurut seorang ahli kimia, Dr Fatimah Salim melahirkan kebimbangan penyimpanan pokok dengan nama saintifik Sansevieria Trifasciata di dalam rumah lebih-lebih lagi jika ditanam dalam bekas menggunakan tanah boleh membiakkan mikroorganisma seterusnya menjejaskan kesihatan golongan tertentu.

Sumber: Google

Menurut Felo Penyelidik di Institut Penyelidikan Sebatian Semulajadi Atta-ur-Rahman (AuRIns), Universiti Teknologi Mara (UiTM) Kampus Puncak Alam, Selangor itu, tanah adalah tempat paling kondusif untuk mikroorganisma bermandiri kerana kandungan bahan organik, inorganik dan mineral yang tinggi.

“Setiap jenis tanah didiami mikroorganisma yang berbeza seperti bakteria, alga, kulat, protozoa, actinomycetes dan ciliata.

“Setiap satu gram tanah yang subur mengandungi 10 bilion sel mikroorganisma terutama berdekatan dengan akar pokok (rhizosphere).

“Sebab itu tanah tidak sepatutnya di simpan dalam rumah, apa lagi untuk individu yang lemah sistem imuniti kerana akan mudah terkesan dengan kehadiran mikroorganisma ini,” katanya kepada Bernama di sini, baru-baru ini.

Dr Fatimah yang juga pensyarah kanan kimia, Pusat Asasi UiTM, Dengkil, Selangor berkata terdapat alternatif kepada tanah jika ingin menyimpan pokok itu di dalam rumah antaranya tanah liat yang dikembangkan atau Leca, sabut kelapa, sekam padi, ‘perlite’ iaitu sejenis mineral hasil letusan gunung atau menggunakan kaedah hidroponik.

“Boleh juga gunakan air sahaja namun harus rajin menukarnya untuk elak nyamuk bertelur dan mengurangkan mikoorganisma bermandiri.

“Aktiviti mikoorganisma mudah dikesan iaitu dengan kehadiran bau kurang menyenangkan daripada bekas atau bahagian yang terendam seakan berlumut,” jelasnya.

Sementara itu, Pusat Racun Negara pada 7 Jun lalu memuat naik status di laman Facebook rasmi menasihati orang ramai terutama jika mempunyai anak kecil agar berwaspada kerana pokok tersebut mengandungi bahan aktif dikenali sebagai Saponin yang boleh menyebabkan gejala ringan seperti muntah, cirit birit dan ruam jika termakan.

Selain itu, ia juga mungkin menyebabkan gejala lebih teruk kepada haiwan peliharaan seperti anjing atau kucing antaranya pengeluaran air liur berlebihan, kurang selera makan, lesu dan muntah-muntah.

“Dalam keghairahan menanam pokok tular ini di dalam rumah, pastikan anda berwaspada khususnya jika mempunyai anak-anak kecil, mereka mungkin terdedah pada bahan aktif Saponin yang berisiko menyebabkan keracunan,” menurut status itu.

Sumber: Facebook Pusat Racun Negara

Sumber: Astro Awani

Published by
Siti Zurina Mat Saman