Adakah poligami itu membawa kebaikan atau penganiayaan bagi kaum wanita?
Pertamanya saya menyedari, setiap kali persoalan poligami ini diutarakan, pasti ada dua pandangan yang mendominasi. Walaupun, kedua-dua kumpulan ini tidak mengharamkan poligami, tetapi satu pihak dilihat agak longgar sehingga seakan-akan menggalakkannya sementara satu pihak lain kelihatan sangat rigid dan menetapkan syarat-syarat yang ketat pula sehingga memperlihatkan bahawa poligami ini adalah lebih baik dijauhkan!
Oleh itu, saya berpandangan, adalah baik kedua-dua sudut pandang ini ditanggapi sebagai sesuatu yang menjadi ‘check and balance’ kepada perlaksanaan poligami sehingga ia tidak disalahguna oleh kaum lelaki yang tidak berkelayakan dan tidak pula menyekat golongan lelaki yang memerlukan serta layak berpoligami dengan usaha untuk berlaku adil, memiliki kemampuan fizikal, material dan sebagainya.
Kedua, saya berkeyakinan, setiap sesuatu yang dihalalkan dalam syari’at ALLAH SWT, pasti mengandungi hikmah dan kebaikan, cuma bagaimana untuk mendapatkan kebaikan itu tetap tergantung kepada siapa dan bagaimana jalan melaksanakannya.
Kes-kes poligami yang berantakan sehingga berlaku perceraian, anak-anak hidup merana dan sebagainya, demikian itu bukan kerana pensyari’atan poligami. Akan tetapi, punca utamanya adalah kegagalan individu-individu yang menjalani poligami tersebut. Ia tidak jauh berbeza dengan kes-kes penganiyaan berkait pernikahan bukan poligami seperti kecurangan suami/isteri, keluarga yang kucar kacir, tanggungjawab yang tidak dilaksana, anak-anak menderita dan sebagainya; penyebab utama adalah individu yang bersangkutan, bukan kerana kelemahan syariat pernikahan.
Justeru itu, perkahwinan, sama ada poligami mahu pun bukan poligami, kedua-duanya merupakan syariat ILAHI yang mulia. Pihak yang mencemari ‘kemuliaan’ itu adalah para pengamal yang menjalaninya. Jika benar pelaksanaan poligami sebagaimana yang diwahyukan ILAHI dan dituntun Nabi, kebaikan yang ada padanya pasti menyerlah dan penganiyaan kepada kaum perempuan dan anak-anak sebagaimana yang sering digembar-gemburkan dapat dipadam.Demikian juga, walaupun, rata-rata artikel, ruang forum dan komen berkait poligami yang pernah saya baca banyak mengenengahkan sisi buruk pengalaman mereka yang berpoligami, akan tetapi sudah pasti di sana, ada sejumlah pengamal poligami yang menjalani keidupan dalam suasana penuh harmoni; Cuma sahaja kisah kebahagiaan mereka tidak diuar-uarkan.
Oleh itu, pada saya, bukan suatu keadilan bagi seorang muslimah lagi beriman yang benar-benar memiliki akal yang waras kurniaan TUHAN, memandang isu poligami ini hanya dari sisi negatif semata-mata dek ‘termakan’ dengan kisah-kisah keburukan poligami di sekitar tanpa lebih dulu menambah ilmu dan maklumat tentang kemuliaan yang pasti ada di sebalik pensyariatannya.
Bagaimana untuk hindari fitnah setelah poligami?
Saya berpandangan baitul muslim adalah asas yang sangat penting bagi melahirkan masyarakat Islam yang kuat dan cemerlang. Oleh itu sekiranya poligami berlaku dalam sesebuah keluarga, pihak-pihak yang terlibat harus sama-sama bersinergi bagi menjayakannya. Jika tidak, dibimbangi bukan pahala yang dapat diraih daripada poligami, sebaliknya ia mengundang fitnah dan padah yang menggugat harmoni.
1) Di pihak suami :
a. Berusaha semampu mungkin untuk bersikap adil dalam semua perkara dari sekecil-kecilnya sehingga kepada yang besar. Jauhi sikap pilih kasih apatah lagi berat sebelah dalam tindakan atau ketika membuat sebarang keputusan. Ini termasuk dalam memberikan pujian yang seadilnya kepada para isteri dan anak-anak; juga menegur secara bijaksana dan saksama jika mereka melakukan kesilapan.
b. Tidak bercerita kelebihan seorang isteri di hadapan isteri yang lain, sehingga menimbulkan kecemburuan yang amat, permusuhan dan rasa persaingan yang kurang sihat untuk merebut perhatian suami.
c. Sentiasa mengingatkan para isteri agar berlaku adil antara mereka dalam menceritakan kebaikan yang ada pada diri isteri yang lain, tanpa diselubungi kecemburuan yang merosakkan dan dengki yang menghancurkan. Utamakan niat melakukan kebaikan bukan untuk menarik kecintaan suami, tetapi sebaliknya mendahulukan reda dan kecintaan ALLAH.
d. Sentiasa berazam untuk memperolehi barakah dalam kehidupan berpoligami dengan mengingatkan diri sendiri, isteri dan anak-anak bahawa kuantiti bukan penentu bahagia, tetapi kualiti dalam menjayakan sakinah, mawaddah wa rahmah itulah ukuran bahagia. Hanya dengan barakah,walau bukan tujuh hari dapat bersama sentiasa, tetapi bilangan hari yang kurang dari itu juga mampu menyamai kualiti tujuh hari perkahwinan monogami. Ia tidak mustahil, tetapi perlu diusahakan tanpa mengkesampingkan permohonan kepada ar Rahman.
2) Di pihak isteri pertama/sedia ada :
a. Memberi kerelaan untuk suami menikahi wanita lain, bukanlah sesuatu yang mudah, namun jika dilakukan untuk mendapatkan keredaan-NYA, sementelah suami pula seorang yang bertanggungjawab kepada keluarga, maka tanamkanlah ketakwaan kepada ALLAH dengan mengutamakan kesabaran atas apa yang telah ditaqdirkan. “Fa iza ‘azamta fatawakkal ‘alallah’.
b. Tidak memburukkan suami dan madu sama ada di depan atau di belakangnya. Bersikap adil dalam menilai kebaikan mereka dan diharapkan sikap yang mulia ini mampu menjadi teladan kepada wanita-wanita yang memandang negatif kepada syariat poligami ini.
c. Jauhi dari mendengar kata-kata yang bertujuan buruk bagi memecahbelahkan hubungan antara suami dan isteri dan perlu mengambil sikap ‘tabayyun’ ( meneliti dan mencari maklumat dari sumber/individu yang diyakini akhlak dan agamanya ) jika sampai sesuatu berita yang kurang menyenangkan.
d. Mengusahakan persaudaraan ( ukhuwwah ) antara anak-anaknya dengan madu serta anak-anaknya bagi menjamin keharmonian keluarga. Sikap ini sangat membantu suami dalam melaksanakan amanah dan tanggungjawabnya kepada keluarga.
e.Teruskan memberi khidmat bakti yang sebaik-baiknya kepada suami dengan memperbaiki kelemahan dan menambahbaik kelebihan sedia ada.
3) Di pihak isteri yang baru dinikahi :
a. Bukan mudah untuk seorang wanita melakukan pengorbanan dengan mengahwini lelaki yang sudah beristeri. Justeru, pohon sentiasa kepada ALLAH Subhanahu wa ta’ala agar pengorbanan ini beriring ketakwaan dan kecintaan kepada-NYA.
b. Menggunakan waktu terluang bagi menambah amalan yang diredai-NYA, memperkaya ilmu dan mempertingkat kemahiran rumahtangga.
c. Bersedia menghulurkan bantuan kepada dan madu dan anak-anaknya apabila mereka memerlukan pertolongan kerana ini menggambarkan sikap ihsan yang tinggi demi mencari keredaan ALLAH Subhanahu wa taala serta mencambah sifat kasih sayang di antara satu sama lain.
d. Bersedia dan berlapang dada untuk mengalah dalam sesuatu urusan keluarga; tidak memburuk-burukkan madu di hadapan orang lain, lebih-lebih lagi suami demi mendapatkan perhatiannya. Mengalah bukan beerti kalah, bahkan ia banyak menghadirkan kebaikan kepada diri kelak.
Isu Poligami secara senyap dan rahsia. Apa pandangan ustazah?
Saya adalah salah seorang individu yang berpegang bahawa poligami yang terbaik lagi menurut sunnah adalah poligami yang dilakukan dalam pengetahuan isteri pertama. Oleh itu, amat tidak digalakkan ‘sorok-sorok’ dalam poligami, demikian kefahaman saya.
Walaupun, menurut enekmen undang-undang Syariah dankeluarga Islam di Malaysia, keizinan isteri tidak dipelukan untuk berpoligami, tetapi bertindak memberitahu isteri terlebih dahulu adalah satu penghormatan kepadanya. Tambahan pula, ia bertepatan dengan salah satu Maqasid Shariah (objektif Syariah) poligami itu sendiri, iaitu untuk menuntut pengorbanan perasaan isteri pertama selain isteri kedua. Pengorbanan perasaan yang berat ini jika dilakukan kerana Islam dan untuk meraih kebaikan, adalah amat besar ganjarannya di sisi Islam.
Justeru, tindakan menyembunyikannya bakal menyebabkan isteri kedua sahaja yang terpaksa berkorban perasaan, manakala isteri pertama tidak tercabar dengan ujian ini.
Selain itu, tindakan tidak menyembunyikan perkara ini juga menjadi kayu ukur kepada kemampuan seorang suami bagi mendapatkan persetujuan isteri pertama; ia satu ‘kemahiran’ dan ilmu yang membuktikan kelayakannnya untuk membantu wanita Islam lain dengan mengahwininya. Ini menunjukkan kewibawaannya dalam menangani dua isteri secara terbuka. Kelayakan ini juga pasti akan menyumbang kepada kebijaksanaannya membahagikan peranannya sebagai suami kepada dua orang keluarga.
Selanjutnya, saya berpandangan, berterus terang tentang hasrat berpoligami ini, merupakan tanda keikhlasan dan kasih sayang suami kepada isteri pertama. Tiada wanita yang rela dirinya dibohongi, kerana mengetahui setelah berlaku poligami sangat menyakitkan berbanding ‘sakit’ dan berada dalam tempoh bertenang sebelum poligami dijalani.
Apakah yang dimaksudkan dengan bersikap adil dalam berpoligami?
Kebenaran Allah kepada mana lelaki yang ingin berpoligami adalah dengan syarat MAMPU ADIL. Jika tidak mampu cukup memadai dengan seorang isteri.
Adil dalam poligami bukan bermaksud sama rata, tetapi sesuai, tepat dan munasabah dengan keadaan. Ringkasnya, keadilan ialah setiap pihak mendapat haknya sesuai keperluannya; oleh itu, suami tidak dituntut/perlu menyediakan segala kelengkapan isteri-isterinya sama sahaja daripada bentuk, rupa, jenis, nilai dan seumpamanya antara satu sama lain, tetapi hendaklah mengikut kesesuaian isteri-isteri berkenaan dalam menunaikan hak mereka dari sudut nafkah zahir seperti rumah, pakaian, perbelanjaan harian, hak giliran ( bermalam ) dan bermusafir bersama.
Jika isteri pertama memiliki anak yang ramai, maka kereta yang disediakan mungkin daripada jenis MPV, tetapi bagi isteri kedua yang memiliki anak seorang atau belum memiliki anak lagi, kereta sedan sudah memadai.
Adapun, adil dari sudut perasaan ( kecenderungan hati suami dalam menyintai isteri ) tidaklah dituntut. Walaupun begitu ini tidak bererti suami boleh mengabaikan perasaan isteri lain kerana dia lebih menyayangi isteri seorang lagi. Dan, pada saya, kemampuan suami untuk mengawal emosi isteri-isteri juga adalah termasuk dalam adil yang dimaksudkan. Jangan sampai, emosi isteri yang lebih disayangi diambil perhatian berat sedangkan emosi isteri lain, ditanggapi sambil lewa.
Firman Allah Taala di dalam surah an-Nisa’ ayat 129: Maksudnya: “Dan kamu tidak akan dapat berlaku adil di antara isteri-isteri kamu sekalipun kamu bersungguh-sungguh (hendak melakukannya); oleh itu janganlah kamu cenderung Dengan melampau (berat sebelah kepada isteri Yang kamu sayangi) sehingga kamu biarkan isteri Yang lain seperti benda Yang tergantung (di awan-awan); dan jika kamu memperbaiki (Keadaan Yang pincang itu), dan memelihara diri (daripada perbuatan Yang zalim), maka Sesungguhnya Allah Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani.”
Mengapa Poligami dibenarkan?
Sebelum saya menjawab soalan ini, ada satu kaedah penting yang harus diperhatikan oleh setiap individu beriman dalam menyikapi berbagai permasalahan hidup, termasuk poligami ini, iaitu menerima segala syariat dan ketetapan ALLAH Subhanahu wata’ala dan Rasul Sallallahu ‘alaihi wasallam dengan lapang dada; berbaik sangka kepada syariat- Nya, tanpa berbelah bahagi sedikit pun di dalam hati. Individu sebegini tidak mendahulukan perasaan, logik akal, ataupun hawa nafsu atas segala ketetapan Allah Subhanahu wata’ala dan Rasul-Nya.
Firman ALLAH SWT : “Dan tidaklah patut bagi laki-laki yang mukmin dan tidak (pula) bagi perempuan yang mukmin, apabila Allah dan rasul-Nya telah menetapkan suatu ketetapan, akan ada bagi mereka pilihan (yang lain) tentang urusan mereka. Dan barang siapa mendurhakai Allah dan rasul-Nya maka sungguhlah dia telah sesat dengan kesesatan yang nyata.” (al-Ahzab: 36)
Antara sebab-sebab yang merupakan hikmah dari pensyari’atan poligami ialah:
1) Isteri sedia ada sakit, tidak mampu melahirkan zuriat dan melayani kehendak batin suami. Maka dengan berpoligami, suami dapat memenuhi kehendaknya tanpa menceraikan isteri sedia ada.
2) Suami sendiri memiliki kemampuan tenaga batin yang tinggi sehingga isteri yang seorang tidak mampu memenuhinya. Oleh itu, perkahwinan seterusnya dapat mengisi keperluan ini dan menghindari suami dari terjebak dalam dosa dan maksiat dalam memenuhi keperluan tersebut.
3) Jika isteri sedia ada tidak memiliki apa-apa kekurangan pun, tetapi suami memiliki kemampuan untuk berkahwin lain dan berlaku adil dalam memenuhi nafkah zahir dan batin. Justeru, dengan mengahwini wanita lain sebagai isteri, menjadi satu kemuliaan baginya kerana dapat melindungi wanita tersebut, mendidiknya dan bersama-sama dalam membangun keluarga bahagia bersama isteri dan anak-anak sedia ada.
4) Memperbanyak zuriat yang soleh dengan mengahwini lebih dari seorang wanita yang solehah, juga adalah tujuan dari pensyari’atan poligami.
Kelebihan isteri yang terpaksa berpoligami?
Saya pernah mendengar cerita suami yang minat dengan sukan tenis. “Jika melihat Roger Federer bermain dengan melakukan pukula-pukulan yang hebat, maka kita terasa amat kagum. Namun, kekaguman itu akan menjadi lebih lagi, sekiranya kita sendiri bermain dan cuba melakukan pukulan sebagaimana yang dilakukannya. Ia ternyata sukar dan tidak mudah! Dan tatkala kita berusaha mencontohi corak permainannya, juga kehebatan pukulan tersebut, maka kita pasti akan menjadi bertambah kagum mengenangkan kesungguhan dia berlatih sehingga akhirnya melayakkan dirinya diangkat sebagai pemain terbaik dunia dalam sukan tenis.”
Saya mengambil kata-kata suami ini sebagai satu inspirasi, iaitu bagaimana wanita hari ini yang selalu berbicara tentang kehebatan para isteri Nabi, ketabahan, kesabaran mereka menempuh kehidupan bersama seorang suami yang ranjau hidupnya bukan sedikit dan menjadikan mereka contoh teladan terbaik sepanjang zaman, maka poligami adalah satu usaha ke arah itu.
Maksud saya, apabila seorang wanita menempuh hidup berpoligami, yakinlah bahawa mereka sebenarnya sedang merasakan bagaimana hebatnya isteri-isteri Nabi melalui kehidupan ‘berkongsi’ ini. Mereka cemburu, namun kecemburuan tersebut tidak pernah menghalang mereka dari menjadi antara muslimah terbaik dunia dengan kualiti ilmu, akhlak dan keperibadian yang membanggakan. Sebagai contoh, Sayyidatina Aisyah radiyallahu’anha yang sehingga kini dikenali sebagai ilmuwan unggul wanita, memiliki pelbagai cabang ilmu pengetahuan dalam usia yang masih muda walau menjalani hidup berpoligami. Demikian juga isteri-isteri Rasulullah Sallallahu’alaihiwasallam yang lain yang tidak kurang hebatnya.
Justeru, nasihat saya kepada para isteri yang sedang dipoligami, rawatlah rasa keterpaksaan itu dengan mempertingkatkan kualiti diri. Tiada kerugian pada menanggapi poligami sebagai ujian yang mampu membawa diri kepada satu tingkat pencapaian diri yang lebih baik, bukan sahaja untuk dunia, malah terlebih lagi untuk bekalan di akhirat sana.
Adakah poligami ini satu pilihan atau takdir?
Pada saya pertanyaan ini sebaiknya dijawab oleh wanita atau isteri yang telah menjalani hidup berpoligami atau sedang dihadapkan dengan pilihan untuk dipoligami. Hanya mereka yang mampu menjawabnya dengan tepat. Dan tentunya masing-masing memiliki jawapan yang berbeza sesuai dengan kondisi dan keadaan daripada mereka sendiri.
Hanya sahaja, saya meyakini saya bahawa hidup, mati dan jodoh, semua itu telah ditentukan oleh-NYA. Manusia hanya dituntut berikhtiar dan bertawakal kepada-NYA. Layanan istimewa dan khusus yang diberikan buat seorang suami selama perkahwinan berlangsung, seharusnya bukan untuk menjauhkannya dari ruang keizinan berpoligami; akan tetapi semua itu adalah tanggungjawab dan curahan bakti yang sewajarnya dilaksanakan oleh seorang isteri sebagaimana yang diperintahkan Ilahi.
Saling memberi dan menerima dalam ikatan rumahtangga bahagia. Bukan atas alasan saling memiliki, tetapi lebih kepada atas dasar menyintai kerana ILAHI. Apa yang pasti, pada saat ini, anda adalah seorang isteri dan ibu. Usah terlalu memikirkan kemungkinan yang belum pasti tentang suami akan berpoligami terutama apabila mendengar berita rakan atau saudara terdekat anda mengalaminya. Yakinlah, apabila ALLAH menentukan sesuatu ketetapan maka tiada siapa dapat menghalangnya walaupun manusia di seluruh dunia bersatu untuk berbuat demikian. Sebaliknya, tiada sebarang kuasa pun yang dapat mengadakan sesuatu melainkan apa yang diizinkan oleh-NYA. Lalu mengapa harus sibuk memikirkan sesuatu yang tidak pasti dan meninggalkan sesuatu yang memang pasti di dalam hidup ini?
Adakah poligami itu dianggap sebagai hak kepada para suami?
Saya lebih suka menggunakan ayat, poligami adalah peruntukan yang diharuskan kepada para suami. Kalaupun, perkataan hak digunapakai, dengan mengambilkira keharusannya sebagaimana dalam ayat 3 Surah an Nisa’, namun saya juga mahu menegaskan, bukan semua lelaki layak menjalaninya. Syarak menetapkan bahawa seseorang lelaki itu dibenarkan berpoligami dengan syarat bahawa ia mampu berlaku adil kepada isteri-isterinya.
Untuk itu, saya suka mengenengahkan bahawa, ramai wanita merasa ‘alergik’ dengan perkataan poligami kerana kelemahan lelaki juga. Poligami selalu dijadikan bahan lawak jenaka, bahkan ada suami yang menjadikannya sebagai ugutan kepada isteri. Paling menggusarkan, wujud juga golongan anak muda yang mensyaratkan kepada bakal isteri agar menerima poligami.
Lelaki tidak perlu berbangga kerana boleh berpoligami!
Nasihat saya, usah bermain dengan perkataan poligami untuk menundukkan wanita. Sebaliknya, tunjukkan sifat berhemah, lemah lembut dan perhatian serta jalani kehidupan berumahtangga bersama seorang isteri terlebih dahulu dengan penuh amanah dan tanggungjawab. Setelah itu, barulah anda wajar untu memikirkan untuk berkahwin lain atau tidak. Wanita yang beriman, bukanlah sewenang-wenangnya menolak poligami, apatah lagi apabila suaminya seorang yang amat bertanggungjawab kepada kehidupan mereka selama ini.
Sesungguhnya kehidupan Rasulullah s.a.w bermonogami selama 25 tahun dan berpoligami selama 10 tahun telah meletakkannya sebagai suri tauladan yang sempurna. Majoriti umatnya yang bermonogami boleh belajar bagaimana menghadapi seorang isteri dengan penuh kesetiaan. Manakala minoriti umatnya yang berpoligami juga boleh meneladani Rasulullah dalam meratakan keadilan di kalangan isteri-isterinya.
Rasulullah s.a.w bersabda yang bermaksud: “Sesungguhnya orang yang paling baik antara kamu semua adalah orang yang paling baik terhadap isterinya dan aku adalah orang yang terbaik antara kamu semua (dalam membuat kebaikan) terhadap isteriku.” – hadis riwayat al-Tirmizi.
Wallahu’alam.
Ingin POLIGAMI tapi TIDAK MAMPU….
Ketidakmampuan seorang suami dalam mengisi keperluan nafkah zahir dan batin serta melunaskan tanggungjawab kepada isteri dan anak-anak boleh diketegorikan sebagai haram. Kerana itu, syarat adil menjadi asas utama keharusan berpoligami. Bagaimana seorang suami yang mengabaikan isteri dan anak-anak sedia ada dapat menjadi lelaki bertanggungjawab kepada wanita yang lain pula?
Tidak berpoligami bagi lelaki tidaklah salah, tetapi mengabaikan tanggungjawab dalam poligami boleh mengundang dosa dan fitnah!
………….
Ustazah Noraslina Jusin
Merupakan seorang penulis dan juga pendakwah. Mendapat pendidikan Islam di Akademi Pengajian Islam Universiti Malaya dan beliau boleh dilawati di laman http://www.ummuhusna99.blogspot.com.