Cuti sekolah ini ramai yang membawa keluarga pergi bercuti termasuklah ke luar negara. Meski pun berhasrat memuat naik gambar percutian di akaun sosial media sendiri tapi membatalkan hasrat berbuat demikian kerana bimbang dilabel sebagai riak oleh rakan-rakan.
Hal yang sama bila anak-anak memperoleh kejayaan, ada ibu bapa yang tidak mahu memuat naik gambar ini sebagai kenangan kerana bimbang dikatakan riak.
Hakikatnya menurut Ustaz Azhar Idrus ramai yang salah faham tentang maksud riak. Memuat naik gambar percutian dengan keluarga atau kejayaan anak-anak bukanlah sesuatu perbuatan riak.
Jelas beliau riak itu adalah apabila kita melakukan amalan akhirat seperti membaca al-Quran, solat, berpuasa dan membayar zakat tapi dengan tujuan menunjuk-nunjuk dan meraih pujian. Inilah maksud riak.
“Ramai salah faham maksud riak. Muat naik gambar bercuti dengan famili, bergambar dengan anak yang berjaya bukan riak. Ia bukan bukan termasuk dalam amalah akhirat, bukan amal soleh. Hukumnya harus.”
“Riak itu adalah apabila kita melakukan amalan akhirat seperti membaca al-Quran, solat, berpuasa dan membayar zakat tapi dengan tujuan menunjuk-nunjuk dan meraih pujian. Inilah maksud riak,”jelasnya.
Beliau turut memberi contoh lain tentang perbuatan yang bukan bermaksud riak dan perbuatan yang sememangnya riak.
“Seorang membeli kereta MyVi dan memperolehnya setelah lapan bulan menunggu. Selepas kereta sampai, dia teruja dan muat naik dalam akaun Facebook. Ini bukan riak.
“Riak ini bila kita malas sembahyang, duduk saja dalam masjid tapi bila ada orang datang kita pun bangun sembahyang sebab nak menunjuk kepada orang, ini baru riak.
“Atau seseorang baca al quran supaya nak orang puji suara sedap, ini riak kerana ia adalah amalan akhirat.
“Post gambar percutian, beli motor bukan riak,”ujar beliau dalam satu video soal jawab yang dikongsi Siti Hadijah.