
Isi Kandungan
Toggle‘Promo tinggikan hidung serendah RM350.’ Ciptaan Allah maha sempurna, mana mungkin manusia mampu tandingi untuk upgrade kepada bentuk yang lebih baik.
Setiap wanita dikurniakan sepasang mata, alis, bibir dan hidung sepadan antara satu sama lain. Jika salah satunya diubah mengikut kehendak pasti akan tampak janggal.
Apa lagi perubahan atau pembedahan yang dibuat hanya bersifat sementara, setahun kemudian hidung yang mancung kembali ke bentuk asal.
Artikel Berkaitan:
China Cipta MATAHARI Buatan! Mampukah Manusia Mengubah Ciptaan Allah?
‘Promo Tinggikan Hidung Serendah RM350.’
Kadang-kadang sakit kepala dengan trend anak muda sekarang hingga sampai di satu titik mereka pinggirkan agama demi mengikut arus.
Ikuti perkongsian Dzuriasikim Dzulkefli ini dan hadam baik-baik apa yang disampaikan.
Saya terjumpa posting ini di TikTok. Ianya adalah perkongsian umum (Public) yang boleh di tonton oleh semua pengguna TikTok.
Seorang wanita pergi mendapatkan rawatan meninggikan “hidung raya” sebelum raya. Dan ada promosi tinggikan hidung sebelum raya.
Menurut perkongsian pada video ini, wanita itu datang dari Kedah ke Setapak dan pulang pada hari yang sama selepas mendapatkan “rawatan” kecantikan.
Ciptaan Allah Maha Sempurna
Saya hanya ingin memberitahu kepada semua sahabat yang masih belum merubah wajah…. Agar tidak melakukan apa-apa perubahan pada wajah anda. Biar sahaja wajah anda asli.
Kerana:
1. Jika kamu berasa pasangan mu bakal tertawan melihat wajah yang telah dirubah, ianya adalah kerana hidung “palsu” mu. Bibir “palsu” mu. Pipi “palsu” mu. Wajah “palsu” mu.
2. Andai kata kamu menikah. Maka anak-anak yang lahir bakal mengikut wajah asal mu.
3. Bayangkan jika kamu jatuh cinta pada lelaki yang telah merubah hidungnya, dagunya, pipinya…. Adakah kamu tidak merasa tertipu.
4. Ketahuilah bahawa, lelaki lebih menyukai wajah asli.
5. Ciptaan Allah itu kan Maha Sempurna kerana Allah Maha Menciptakan. Tidak mungkin ada manusia yang dapat menandingi apa sahaja yang Allah jadikan.
(Melainkan jika wajah mu jadi kurang sempurna kerana kemalangan. Lalu ianya harus diperbetulkan agar tidak mengerikan atau membuat orang jadi kurang selesa).
Mana Mungkin Manusia Mampu Tandingi
6. Merubah wajah adalah sama seolah kamu tidak menerima pemberian Tuhan kepada mu.
7. Apa sahaja benda asing yang dimasukkan ke wajah mu belum tentu baik untuk tempoh yang lama. Bahkan ia boleh merosakkan.

8. Tuhan menciptakan wajah kita, sesuai dengan bentuk hidung yang unik, mata yang unik, bibir yang unik. Bayangkan semua wajah yang ada tidak satu pun serupa. Bahkan kembar pun hanya seiras….
9. Yang kamu rasakan cantik, belum tentu cantik pada pandangan orang. Sekilas pandang pun sudah boleh diketahui apabila ianya tidak asli. Itulah yang menjadikan wajah sudah tidak asli dan pelik.
10. Teknologi sentiasa berubah. Bentuk hidung yang dipasang suatu hari nanti bakal ketinggalan. Jadi “outdated”. Sedangkan ciptaan Allah sentiasa cantik dan “evergreen”. Alangkah ruginya…
Jadilah wanita yang bijak.
Baca Di Sini:
Misteri Tubuh Manusia! Tahukah Allah Jadikan Kita Bernafas Melalui Satu Lubang Hidung Saja
Kashoorga: Bersyukurlah dengan setiap anugerah Allah, dalam agama sendiri terang-terang melarang mengubah setiap ciptaan Allah.
Sumber : Dzuriasikim Dzulkefli
Insya-Allah, kita download seeNI sekarang ya?
KLIK DI SEENI
Hamil Lepas 2 Tahun Kahwin, Wanita Ini Kongsi Petuanya Hanya Amalkan Minum Air Rebusan Buah Zaitun

Isi Kandungan
ToggleKehadiran anak dianggap sebagai penyeri dalam kehidupan berumahtangga. Lebih-lebih lagi jika baru berkahwin sudah disahkan hamil.
Pastinya berita itu akan menggembirakan pasangan dan juga seisi keluarga. Namun begitu, bagaimana pula perasaan bagi yang belum lagi dikurnia anak.
Pastinya pelbagai cara dan ikhtiar dilakukan untu menimang cahaya mata.

Pelbagai cara dilakukan sama ada kaedah tradisional atau rawatan moden. Salah satu perkongsian di laman sosial tiga tahun dulu oleh seorang pengguna Facebook Nurul Balqis yang menggunakan petua tertentu sehingga disahkan hamil setelah dua tahun berkahwin.
Ayuh, ikuti perkongsian ini dan boleh dijadikan panduan bagi pasangan yang masih belum mempunyai anak walaupun setelah lama berkahwin.
PETUA YANG QIS AMALKAN SEHINGGA BERJAYA HAMIL.
Selamat petang semua. Qis ada janji ngan korang untuk share petua dan cara yang Qis amalkan sehingga berjaya dapatkan zuriat setelah 2tahun mendirikan rumah tangga. Harini Qis akan kongsikan petua yang Qis amalkan.
Alhamdulillah dan syukur kepada Allah s.w.t setelah 2 tahun Qis dan suami usaha untuk mendapatkan zuriat, akhirnya kami berjaya. Tempoh 2tahun mungkin sekejap bagi mereka yang ambil masa lebih lama dari kami. Tapi bagi kami, dua tahun tu tempoh yang lama untuk menunggu kehadiran roh dalam rahim ini.
Jom baca perkongsian Qis, InshaAllah dengan izin Allah s.w.t awak semua yang masih tertunggu-tunggu juga akan berjaya. Yang penting kita percaya dengan rezeki-Nya. InshaAllah. Qis berani kongsi, kerana petua ni betul-betul berjaya dan sesuai dengan mereka yang mempunyai masalah sama seperti Qis.
Semoga perkongsian ini dapat memberi motivasi kepada korang yang senasib seperti kami untuk teruskan berjuang tanpa mengalah. Chewahh. Hehe
Selepas setahun kami berkahwin, Qis dan suami membuat keputusan untuk berusaha mendapatkan zuriat. Bermacam-macam cara kami lakukan, makan suplemen, pergi mengurut dengan 3orang bidan, makan acid folic, ubat moden, ubat tradisional semua kami dah ambil. Namun, tetap juga tak berjaya. Masalah Qis tetap tak berubah. Setahun hanya dua kali dapat merasa datangnya darah haid. Akhirnya, kami pergi ke klinik untuk berjumpa doktor dan mendapatkan nasihat dari yang pakar. Kata-kata doktor amat menyedihkan dan menghampakan kami. Doktor ada bagitahu, masalah macam Qis ni memang susah nak dapatkan zuriat kalau tak dirawat.
Pada tahun kedua, kami menerima berita gembira. Kawan baik Qis, yang senasib dengan Qis memberitahu yang dia dah berjaya hamil hanya sebulan mengamalkan minum air rebusan buah zuriat. Dan dia suggestkan kat Qis untuk usaha benda yang sama. Kebetulan pula, kawan Qis ada pergi ke Mekah dan sudi carikan Qis buah zuriat dekat sana. Alhamdulillah.
Apa buah zuriat ni? Apa kelebihannya?
Ada juga yang panggil buah zuriat ni, buah Adam dan Hawa. Buah ni, pokoknya dekat Mekah dan Madinah (tanah arab) sangat banyak. Kelebihan buah zuriat ni pula:-
-Merawat masalah kesuburan sperma lelaki dan ovum wanita.
-Menambah kepekatan air mani lelaki, menguatkan dinding rahim wanita. Sangat sesuai untuk wanita yang pernah keguguran, mandul, dan tidak pernah mempunyai zuriat lagi.
-Mengaktifkan sel darah yang baru, muda dan hormon yang subur tanpa menjejaskan sel-sel lama.
Alhamdulillah, dengan izinNya setalah sebulan Qis amalkan minum air rebusan buah zuriat ni, Qis juga telah berjaya hamil pada bulan seterusnya.
Bagaimana cara nak amalkan, cara nak rebus, cara nak kopek buah yang terlalu keras ni. Qis ada terangkan dekat setiap gambar dekat bawah ni
Semoga pasangan yang senasib dengan kami juga berjaya merasa saat-saat yang dinantikan ini. Terima kasih juga kepada mereka yang sentiasa doakan kami. Sekarang kandungan Qis dan cecah 4bulan. Doakan kandungan Qis sihat dan selamat sehingga dia keluar ye
Cuma pesan Qis satu je, Jangan mudah mengalah & teruskan usaha. Allah menduga hambanya kerana Allah tahu hambanya kuat menghadapi dugaan itu.
Kawan-kawan boleh la share petua ni, agar ramai yang senasib dengan Qis dan kita sama-sama merasakan peluang ini. Qis doakan korang juga dapat merasakan saat-saat indah ini
Qis izinkan awak semua share post ni. Terima kasih
Beginila rupa buah zuriat sebelum dibuang kulitnya. Ya Allah kulitnya, tersangatlah keras dan memerlukan kesabaran untuk mengambil isinya kat dalam. Siapa yang kena buat semua ni? Mestila suami kita. Hehe *mesti guna 2biji ye.
Nampak macam senangkan? Suami qis siap guna tukul dan ulu lesung lagi. Habis berpeluh satu badan nak siapkan ni. Hehe.
Mula-mula buang dulu lapisan pertama. Kopek kulitnya yang paling luar.
Sehingga keluar tempurungnya. Tempurung buah zuriat ni, sangat keras tau. Tempurungnya sama dangan tempurung kelapa, tapi ni lagi keras dari tempurung kelapa.
Setelah itu, pecahkan tempurungnya. Ambil isi dalam sahaja.
Tadaaaa ni la isi buah zuriat tu.

Kemudian belah dua macam ni.
Selepas tu, belah lagi kecil-kecil macam ni.
Masukkan tiga cawan air dan rebus sehingga airnya jadi kekuningan macam air teh seperti dalam gambar kat atas tu
Rebus sampai agak-agak kita akan dapat dua cawan air.
Buah tu jangan buang, kita simpan je dalam periuk tu dan guna lagi untuk esok dan esok dan esok sampailah air die dah jernih. Nanti baru ganti dengan buah yang baru. Tapi qis dapat guna dua biji ni sehingga sebulan tau
Haaa dah siap, dah boleh minum. Waktu bila kita patut minum. Sebenarnya tak kisah pon waktu bila-bila. Yang penting mesti konsisten minum setiap hari pada waktu yang sama.
Suami isteri dua-dua kena minum. Macam Qis, qis minum selepas isyak tiap-tiap malam sehingga sebulan.
Satu lagi sebelom qis terlupa, minum pada hari pertama period ye.
Alhamdulillah, hanya sebulan sahaja. Ada juga pasangan yang amalkan ni sampai 2bulan dan 3bulan. Atas rezeki masing-masing
Sumber gambar dari Encik google, Qis tak sempat nak snap pic sendiri. Hehe.
Semoga bermanfaat.
Insya-Allah, kita download seeNI sekarang ya?
KLIK DI SEENI
Kajian Terbaru Dapati COVID-19 Boleh Tersebar Melalui Asap Vape, Ini Hukum Hisap Vape Dari Sudut Agama

Kala ini satu dunia diuji dengan musibah COVID-19. Jumlah jangkitan mencecah jutaan orang dengan kadar kematian yang tinggi. Ia jelas satu angka cukup menakutkan di mana dunia diuji dengan virus ini.
Di saat dunia masih bergelut dengan pandemic ini selain isu vaksin, kajian terbaru dibuat oleh beberapa doktor pakar mendapati penghisap vape yang dijangkiti Covid-19 berupaya menjangkiti individu lain yang sihat melalui hembusan asap vape.
Astro Awani dalam laporan berita berkata, satu kajian terbaharu mendapati pengguna vape yang dijangkiti COVID-19 lebih mudah menyebarkan virus itu kepada orang sekeliling dengan cara hembusan.
Portal Daily Mail UK yang memetik kajian oleh pakar dari Mexico, Itali dan New Zealand dipetik sebagai berkata hembusan asap vape boleh menyebarkan ribuan partikel virus ke arah individu berhampiran.
Ia juga mampu menyebarkan virus COVID-19 sehingga 2 meter jaraknya, melepasi peraturan penjarakan fizikal United Kingdom (UK) iaitu 1 meter.
“Pakar tersebut menggesa pengguna vape agar tidak melakukan aktiviti berkenaan ketika beratur, di perhentian bas, atau mana-mana kawasan awam yang orang ramai mempunyai risiko berada dalam kepulan asap alat berkenaan.
“Mereka berkata walaupun sukar menghentikan aktiviti itu di rumah, tetapi ia sesuatu yang masuk akal untuk melarang penggunaan alat berkenaan di tempat-tempat awam,” menurut portal itu lagi.
Kajian tersebut telah dimuat naik di portal kesihatan MedRxiv, tetapi masih belum dikaji semula dan disahkan oleh saintis lain.
Bagaimanapun kajian Kesihatan Awam Ontario mendapati individu yang menggunakan vape mempunyai risiko yang lebih tinggi untuk menghidap COVID-19.
Menurut kajian mereka, bukti sebelum ini telah menunjukkan kesan negatif vaping ke atas paru-paru, sekali gus meningkatkan risiko pengguna.
Selain itu, kajian tersebut turut menyebut aerosol yang terhasil oleh produk vape boleh menyebabkan penyebaran virus apabila individu itu berada dalam jarak dekat dengan pesakit COVID-19.
“Pertubuhan Kesihatan Sedunia telah pun mengenal pasti tindakan dari tangan ke mulut melalui penggunaan vape boleh meningkatkan risiko jangkitan.
"Pusat Kawalan Penyakit Berjangkit British Columbia juga menyarankan agar pengguna vape menjarakkan diri sejauh 2 meter daripada orang lain, selain tidak menggunakan vape di kawasan awam,” menurut laporan itu lagi.
Sementara itu, portal itu turut melaporkan sekumpulan saintis yang memghasilkan model bagaimana virus itu boleh tersebar dalam kepulan asap nipis vape, bagaimana ia masuk ke dalam paru-paru, seterusnya ke mulut, dan dihembuskan semula.
Mereka turut membuat model yang sama menggunakan kepulan asap tebal vape yang meningkatkan risiko sekitar 5 hingga 17 peratus.
Dr Roberto Sussman dari Universidad Nacional Autonoma de Mexicor dalam artikel yang sama berkata bahan kimia dalam asap vape didapati tidak mampu membunuh virus berkenaan.

Berikut adalah penjelasan Mufti Wilayah Persekutuan mengenai hukum hisap vape
Apakah hukum menghisap rokok elektronik dan vapor?
JAWAPAN
Alhamdulillah, dalam Irsyad Fatwa pada kali ini, kami seupaya mungkin cuba menekuni isu yang berkaitan dengan penggunaan rokok elektronik dan vapor atau vape yang sekarang ini begitu berleluasa digunakan masyarakat termasuk daripada kalangan remaja perempuan dengan pelbagai alasan. Antara alasan paling popular adalah alat ini sebagai pengganti kepada rokok sebenar untuk ditinggalkan dan berhenti secara perlahan-lahan atau tadarruj. Alasan seperti ini seolah-olah menghalalkan cara dan penggunaan rokok elektronik dengan berleluasa. Justeru, Irsyad Fatwa pada kali ini merasa terpanggil untuk membincangkan isu dan hukum berkaitan dengan rokok elektronik ini.
Alhamdulillah, pada tanggal 21 Disember 2015, Muzakarah Khas Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam Malaysia telah memutuskan bahawa penggunaan rokok elektronik dan vape ini adalah haram.
Definisi Rokok Elektrik
Rokok Elektronik (Elecronic Nicotine Delivery Systems atau e-Cigarette) adalah sebuah inovasi dari bentuk rokok konvensional menjadi rokok moden. Pada masa kini, rokok elektrik juga dikenali sebagai vape atau vapor. Perkataan 'vape' berasal daripada perkataan Inggeris daripada perkataan ‘vaporization’ yang membawa maksud proses pengewapan, dan juga merujuk kepada 'vaporizer' iaitu alat yang digunakan untuk menghisap ganja, tembakau dan campuran rokok lain. Kamus Oxford telah menambah perkataan vape sebagai kata nama baru dalam kamus itu pada Ogos 2014.[1] Kamus tersebut mendefinisikan vape sebagai “an act of inhaling and exhaling the vapour produced by an electronic cigarette or similar device” (perbuatan menyedut dan menghembuskan wap yang dihasilkan oleh rokok elektronik atau peranti yang seumpamanya). Perkataan vape juga boleh merujuk kepada alat peranti elektronik yang digunakan.[2]

Pendapat Pakar
Dinyatakan di sini beberapa pendapat pakar berkenaan dengan penggunaan rokok elektronik, antaranya :-
- Jumlah nikotin yang terdapat di dalam rokok elektronik ini berbeza bergantung kenyataan tertulis pada labelnya. Ia boleh mengandungi antara 6–8 mg dalam setiap 1 ml cecair (mg/ml), yang dilabelkan berkepekatan rendah. Ada juga yang mengandungi 16–18 mg/ml (berkepekatan tinggi) atau 24-36mg/ml (berkepekatan ekstra tinggi). Namun harus diketahui bahawa jika semua 60 mg nikotin diserap dalam darah, ia berpotensi untuk membunuh seorang dewasa yang tidak merokok. Jumlah ini bersamaan dengan 30-40 batang rokok konvensional.
- Saintis dari Bahagian Penilaian Farmaseutikal US Food and Drug Administration (USFDA) telah menguji 19 jenis e-rokok yang telah dikeluarkan oleh dua pengeluar (NJoy dan Smoking Everywhere). Mereka mendapati terdapat bahan ‘tobacco-specific nitrosamines’ (TSNAs), yang boleh menyebabkan kanser dalam kedua-dua jenama e-rokok itu. Malah kepekatan nikotin yang terdapat dalam e-rokok tidak sama dengan nilai yang ditulis pada label. Terdapat sedikit nikotin dalam e-rokok yang dikatakan “nicotine-free”.
- Pada September 2008, World Health Organization telah mengeluarkan kenyataan: “Tiada kajian yang sahih menunjukkan e-rokok ini selamat dan berkesan sebagai rawatan penggantian niklotin. Oleh itu, pihak pengeluar haruslah melakukan kajian yang mendalam untuk menyokong dakwaan mereka bahawa e-rokok boleh digunakan untuk mengurangkan tabiat merokok”. [3]
- Menurut kenyataan yang telah dikeluarkan oleh American Lung Association (ALA), pihak ALA menyatakan kegusaran mereka terhadap penggunaan rokok elektronik kerana kajian awal telah mendapati bahawa rokok elektronik bukan sahaja mengandungi nikotin bahkan terdapat juga bahan-bahan kimia lain yang berbahaya seperti carcinogens [4]. Selain itu, kajian juga menunjukkan bahawa rokok elektronik yang menggunakan voltage yang tinggi dan mempunyai kandungan formaldehyde yang tinggi. Formaldehyde juga merupakan bahan kimia yang merbahaya kepada tubuh manusia. [5]
- Pihak FDA (Food and Drug Administration) Amerika Syarikat telah menjalankan uji kaji makmal terhadap kandungan rokok elektronik dan di dalam satu sampel kajian, mereka telah mendapati bahan diethylene glycol iaitu bahan yang digunakan di dalam proses anti-beku dan ianya sangat berbahaya kepada tubuh manusia. [6]
- Menurut Dr. Daniel Lee, Pakar Perubatan dan Pernafasan di Pusat Perubatan Prince Court, dakwaan yang mengatakan asap yang terhasil dari rokok elektronik adalah dari cecair biasa dan bukannya dari nikotin adalah salah sama sekali. Hakikatnya, rokok elektronik mempunyai nikotin yang mana boleh meningkatkan kadar denyutan nadi dan pengaliran hormon ‘adrenalin’ serta melembapkan sistem urat saraf. Selain itu, nikotin juga mengakibatkan denyutan nadi yang luar biasa, penyempitan saluran nadi, peningkatan tekanan darah, serangan jantung, angin ahmar dan ulser perut dan usus.
- Ketua Pegawai Perubatan Pusat Saringan Kanser Persatuan Kanser Kebangsaan Malaysia (NCSM), Dr. Dalilah Kamaruddin ketika dihubungi mengatakan proses pengewapan cecair nikotin yang dihasilkan oleh rokok elektronik, akan disedut oleh pengguna, dan wap nikotin ini mempunyai sifat yang sama dengan asid nitrik. Tambah beliau lagi, asid nitrik merupakan bahan kimia pemangkin kepada berlakunya kanser di dalam tubuh manusia. Selain itu, cecair nikotin, walaupun sukatannya sedikit, dikhuatiri resapannya ke dalam saluran darah akan mengubah kandungan efisien dalam badan kerana selain nikotin, cecair itu juga mengandungi gliserin. [7]
- Presiden Persatuan Perubatan Malaysia (MMA), Dr. Ashok Zachariah Philip juga berpendapat bahawa rokok elektronik boleh membawa kemudharatan kepada penggunanya. Tambah beliau lagi, kebanyakan bahan kimia yang terkandung di dalam asap rokok kenvesional juga terdapat di dalam rokok elektronik walaupun kadarnya lebih rendah. Beliau juga melalui persatuan menggesa agar Kementerian Kesihatan mempertimbang untuk mengharamkan penggunaan rokok elektronik melihat kepada kemudaratan yang bakal berlaku. [8]
- Pakar Bedah Jantung dan Paru-Paru Pusat Perubatan Universiti Kebangsaan Malaysia (PPUKM), Dr. Khairulfaizi Haron berkata, walaupun peratusan untuk pengguna vape mendapat penyakit tersebut terlalu rendah, mereka perlu berwaspada dan berhati-hati. Beliau juga menegaskan bahawa sangkaan menggunakan rokok elektronik adalah lebih selamat berbanding rokok adalah tidak benar. [9]
- Timbalan Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr. Helmi Yahya dalam satu kenyataan mengatakan bahawa di dalam rokok elektronik terdapat nikotin dan propylene glycol, dan apabila dipanaskan (dalam cecair) melebihi lima volt, kombinasi bahan cecair itu akan bersifat seperti bahan pengawet. Bahan pengawet inilah yang meningkatkan kemungkinan kanser dalam tubuh badan. [10]
- Menurut Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), fenomena penggunaan vape ini bertentangan dengan dasar dan polisi KKM untuk menjadikan Malaysia sebagai sebuah negara yang bebas dari sebarang bentuk amalan rokok. Ia juga tidak selari dengan perjanjian WHO Framework Convention on Tobacco Control (WHO FCTC) yang telah ditandatangani oleh Malaysia semenjak tahun 2005. KKM telah menubuhkan satu Jawatankuasa Teknikal Bagi Mengkai Kesan Rokok Elektronik Dan Shisha Terhadap Kesihatan pada bulan Ogos tahun 2013. Jawatankuasa ini mengambil masa selama setahun empat bulan untuk membuat penetapan kerana ketika itu kurang kajian-kajian saintifik berkaitan rokok elektronik dan vape. Jawatankuasa ini telah meneliti beberapa kertas kajian saintifik dan laporan-laporan terutama daripada WHO FCTC dan International Union Against Tubercolosis and Lung Disease.
- Negara-negara yang telah mengharamkan penjualan peranti alat rokok elektronik mengandungi nikotin ialah:
- Australia
- Belgium
- Canada
- Finland
- Hong Kong
- Japan
- New Zealand
- Norway
- Afrika Selatan
- Negara-negara yang telah mengharamkan sepenuhnya penjualan rokok elektronik dan vape adalah:
- Argentina
- Brazil
- Thailand
- Singapura
- Brunei
- Oman
- Panama
- Jordan
- Mexico
- Qatar
- China Taipei
- Turki
- Emiriah Arab Bersatu
Dalil Pengharaman Perkara yang Memudaratkan
Pertama: Firman Allah Ta`ala:
وَلَا تُلۡقُواْ بِأَيۡدِيكُمۡ إِلَى ٱلتَّهۡلُكَةِ وَأَحۡسِنُوٓاْۚ إِنَّ ٱللَّهَ يُحِبُّ ٱلۡمُحۡسِنِينَ
Maksudnya: Dan janganlah kamu sengaja mencampakkan diri kamu ke dalam bahaya kebinasaan.
(Surah al-Baqarah, 2:195)
Walaupun ayat ini diturunkan berkenaan dengan perbelanjaan infāq fī sabīlillāh tetapi keumuman ayat ini merangkumi segala bentuk perbuatan yang membawa kepada kebinasaan, sebagaimana dijelaskan oleh al-Shawkani:
وَالحَقُّ أَنَّ الاِعْتِبَارَ بِعُمُوْمِ اللَّفْظِ لاَ بِخُصُوْصِ السَّبَبِ فَكُلُّ مَا صَدَقَ عَلَيْهِ أَنَّهُ تَهْلُكَةٌ فِيْ الدِّيْنِ أَوْ الدُنْيَا فَهُوَ دَاخِلٌ فِي هَذَا وَبِهِ قَالَ ابْنُ جَرِيْرِ الطَّبَرِيُّ
Maksudnya: “Dan yang sebenarnya ialah pengajaran itu diambil melalui keumuman lafaz, bukan melalui sebab penurunan (ayat) secara khusus. Maka setiap perkara yang menepati maksud kebinasaan sama ada terhadap agama atau dunia, maka ia termasuk dala umum ayat ini. Dan ini jugalah yang dipegang oleh Ibn Jarir al-Tabari.
Rujuk Fathul Qadir (1/222)
Kedua: Firman Allah Ta`ala:
وَلَا تَقۡتُلُوٓاْ أَنفُسَكُمۡۚ إِنَّ ٱللَّهَ كَانَ بِكُمۡ رَحِيمٗا
Maksudnya: Jangan kamu membunuh diri kamu, sesungguhnya Allah sentiasa mengasihani kamu.
(Surah al-Nisa’, 4:29)
Menurut al-Jassas, ayat tersebut mengandungi larangan daripada melakukan pembunuhan sama ada terhadap orang lain atau terhadap diri sendiri. Rujuk Ahkam al-Quran (3/127).
Ketiga: Sabda Rasulullah SAW:
لاَ ضَرَرَ وَلاَ ضِرَارَ
Maksudnya: “Tiada kemudaran (dalam Syariat Islam) dan tidak harus mengenakan kemudaratan (tanpa hak)”
Riwayat Ahmad (22778) dan Ibn Majah (2340)
Hadis ini juga menunjukkan pengharaman melakukan kemudaratan secara umum sehingga nas hadis ini dijadikan salah satu kaedah fiqh.
Keempat: Sabda Nabi SAW:
وَمَن تَحَسَّى سُمًّا فَقَتَلَ نَفْسَهُ فَسُمُّهُ فِي يَدِهِ يَتَحَسَّاهُ فِيْ نَارِ جَهَنَّمَ خَالِداً فِيْهَا أَبَداً
Maksudnya: “Sesiapa yang meneguk racun lalu membunuh dirinya, maka racunnya akan sentiasa di tangannya sambal meneguknya dalam neraka Jahannam, berkekalan selama-lamanya.”
Riwayat al-Bukhari (5778) dan Muslim (109)
Hadis ini menjadi ancaman balasan neraka dan siksaan yang dahsyat bagi orang yang melakukan tindakan yang membinasakan diri sendiri. Secara umumnya, dalil tersebut mengharamkan segala bentuk tindakan yang membunuh dirinya.
Hukum
Berdasarkan daripada kenyataan di atas dan juga nas yang dinyatakan maka kami berpendapat bahawa penggunaan rokok elektronik juga hukumnya adalah HARAM. Ini kerana seperti yang kami‘illahkan atau nyatakan sebab terhadap hukum merokok terpakai untuk isu rokok elektronik ini bahkan kami nyatakan sekali lagi beberapa alasan antaranya:
- Qiyas kepada rokok sebenar. [11] Antaranya:
- Memudaratkan agama nyawa, akal, harta dan keturunan;
- Mengandungi bahan-bahan beracun seperti nikotin cecair tulen, propylene glycol, vegetable glycerin dan alkohol;
- Membawa kepada ketagihan dan mengkhayalkan;
- Membawa kepada pelbagai penyakit seperti kanser, kecacatan janin, dan lain-lain;
- Memudaratkan kesihatan orang sekeliling dan mencemarkan alam sekitar.
- Kenyataan pakar menunjukkan ia mudarat bahkan boleh jadi lebih mudarat daripada merokok itu sendiri. Ini merupakan asas pertimbangan yang amat kuat kerana mafsadahnya tidak boleh disangkal lagi serta mudaratnya telah diperakui oleh pakar dan badan-badan berautoriti.
- Pembaziran yang berlaku sama ada pada alat vape itu sendiri mahupun bahan cecair yang menjadi hisapannya. Dikatakan bahawa harga alat tersebut berharga sekitar ratusan ringgit dan bagi sesetengah jenis, ianya mampu mencecah hingga ribuan ringgit.
- Meniru budaya yang bukan Islam.
- Dilihat tidak bermaruah.
- Sad al-Zari’ah (menutup jalan menuju kerosakan). Pihak polis kini sedang menggiatkan tinjauan dan siasatan terhadap lokasi-lokasi yang dikesan cuba mengadun sendiri perisa ganja dan ketum bagi memenuhi permintaan segelintir pengguna rokok elektronik.[12] Laporan dari pihak berkuasa juga menunjukkan bahawa penggunaan dadah sintetik di kalangan remaja sedang meningkat dan ini akan lebih memburukkan keadaan jika penggunaan rokok elektronik juga terdapat unsur-unsur dadah di dalamnya.[13] Langkah-langkah pencegahan perlulah dilakukan agar masalah ini tidak membarah di kalangan masyarakat Malaysia terutamanya buat para remaja.
Terdapatnya fatwa ulama’ yang menyokong tentang pengharaman rokok elektronik ini. Justeru, kami berpendapat seperti itu juga dengan alasan yang diberikan di atas. Untuk ulasan pengharaman, sila rujuk Bayan Linnas Siri-18.[14]
Fatwa Ulama’& Pendapat Ilmuan Islam
Kami nyatakan di sini fatwa yang dikeluarkan menyatakan hukumnya sama seperti hukum rokok biasa. Justeru, hukumnya adalah HARAM.[15]
- Sheikh Muhammad Saalih al-Munajjid di dalam jawapan beliau terhadap isu penggunaan rokok elektronik mengatakan bahawa rokok elektronik hukumnya adalah sama seperti rokok tradisional iaitu haram. Padanya tidak ada kebaikan bagi mereka-mereka yang ingin cuba meninggalkan amalan menghisap rokok beralih dari rokok tradisional kepada rokok elektronik kerana mudaratnya juga sama seperti rokok biasa berdasarkan laporan dari pakar.[16]
- Sheikh Uthman al-Khamis juga berpendapat bahawa rokok elektronik adalah haram kerana ianya memudaratkan.[17] Setiap yang memudaratkan, maka Islam terlebih dahulu akan menolaknya demi menjaga maslahah sekalian umat.
Penggunaan Vape daripada Sudut Maslahah Ammah
Pihak berkuasa juga hendaklah mengambil keputusan pengharaman vape jika terdapat maslahah ammah. Ini berdasarkan epada tanggungjawab pemerintah yang terungkap dalam kaedah fiqh:
تَصَرُّفُ الإِمَامِ عَلَى الرَعِيَّةِ مَنُوْطٌ بِالمَصْلَحَةِ
Maksudnya: “Tindakan pemerintah terhadap rakyatnya hendaklah bergantung kepada maslahah.”
Rujuk Bahr al-Muhit fi Usul a-Fiqh (1/309)
Jika sekiranya wujud maslahah ammah yang sebenar dalam pengharaman vape, maka adalah menjadi kewajipan semua rakyat untuk mematuhinya, sebagaimana sesetengah pemerintah pada zaman dahulu pernah membuat larangan rokok berdasarkan kepada maslahah ammah dan ulama mewajibkan rakyat mematuhinya.
Al-Syarwani seorang ulama dalam mazhab Syafie ketika membicarakan berkenaan kewajipan mentaati pemerintah dalam perkara yang melibatkan maslahah ammah telah memberi contoh larangan merokok berdasarkan maslahah ammah, “Jika pemerintah membuat arahan supaya tidak menghisap rokok yang dikenali pada zaman ini, maka wajib ke atas mereka (rakyat) untuk mentaatinya. Pada waktu yang lalu, Timbalan Pemerintah pernah mengeluarkan arahan di Mesir supaya tidak merokok di jalan-jalan dan kafe-kafe, lalu ramai yang menginkarinya, maka mereka adalah pelaku maksiat”. Rujuk Hashiah al-Syarwani (3/69)
Sejarah tersebut menunjukkan bahawa pengharaman rokok berdasarkan kepada maslahah ammah adalah suatu yang pernah berlaku pada masa lalu, dan ulama mengiktiraf ia sebagai larangan yang wajib dipatuhi. Justeru, pengharaman rokok elektronik atau vape boleh dikuatkan dengan kewujuduan elemen maslahah ammah.
Penentuan seseuatu itu sebagai maslahah ammah dalam perkara yang melibatkan hukum-hakam adalah peranan para ulama dan mujtahid, sebagaimana Abdussalam al-`Abbad menjelaskan ketika membicarakan berkenaan maslahah ammah, “kepastian wujudnya syarat-syarat ini pada setiap maslahah secara kes demi kes adalah tugas para mujtahidin yang mempunyai kelayakan berijtihad dan memenuhi syarat-syaratnya” . Rujuk Nas` al-Milkiyyah al-Khassah li al-Manfa`ah al-`Ammah (2/995)
Penutup
Dalam isu ini, ramai juga berpendapat bahawa ia adalah salah satu cara untuk menolong penghisap rokok agar berhenti daripada merokok. Justeru itu, mereka menggunakan rokok elektronik sebagai alternatif kepada cara berhenti merokok. Sebenarnya anggapan ini adalah menyimpang daripada asas kerana dikatakan ada juga bahan nikotin yang asalnya daripada bahan yang boleh menyebabkan ketagihan dan mudarat kepada kesihatan manusia. Kami sepertimana isu merokok juga menyeru kepada khalayak umat Islam untuk meninggalkan penggunaan rokok elektronik atau vapor berdasarkan kepada kenyataan-kenyataan di atas. Alangkah baiknya duit yang kita gunakan untuk membeli rokok atau vapor, kita masukkan ke tabung masjid, menyantuni anak-anak yatim, memberi makan kepada fakir miskin serta membantu keperluan mereka. Semoga Allah kurniakan kepada kita taufiq dan hidayah dan berikan kepada kita kesihatan yang baik. Amin.
Akhukum fillah,
S.S. Datuk Dr. Zulkifli Mohamad Al-Bakri
Mufti Wilayah Persekutuan
Dikemaskini pada 22 Disember 2015 bersamaan 10 Rabiulawal 1437H
Nota hujung:
[1] http://blog.oxforddictionaries.com/2014/11/oxford-dictionaries-word-year-vape/
[2] http://www.oxforddictionaries.com/definition/english/vape
[3] http://www.who.int/mediacentre/news/releases/2008/pr34/en/index.html
[4] Carcinogens merupakan bahan pemangkin berlakunya kanser dalam tubuh manusia
[5] http://www.lung.org/stop-smoking/tobacco-control-advocacy/federal/e-cigarettes.html
[6] http://ukhealthcare.uky.edu/Claims-of-e-cigarette-safety-unproven-at-best-experts-say/
[7] http://www.astroawani.com/gaya-hidup/rokok-elektronik-vapor-dikhuatiri-penyebab-kanser-69773
[8] http://www.bharian.com.my/node/75419
[9] http://www.utusan.com.my/berita/nasional/kandungan-cecair-vape-bahaya-1.124146
[10] http://www.bernama.com/bernama/v8/bm/ge/newsgeneral.php?id=1181415
[11] Qiyas digunakan kerana terdapat persamaan sebab (ittihad ‘illah) di dalam pengharaman merokok
[12] http://www.utusan.com.my/berita/jenayah/siasat-seluruh-negara-1.124151
[13] http://www.utusan.com.my/berita/jenayah/penggunaan-dadah-sintetik-meningkat-1.125191
[14] http://muftiwp.gov.my/index.php?option=com_content&view=article&id=266
[15] http://fatwa.islamweb.net/fatwa/index.php?page=showfatwa&Option=FatwaId&Id=129680
[16] http://islamqa.info/en/201512 & http://islamqa.info/ar/170999
[17] http://www.almanhaj.com/vb/showthread.php?t=23522
Insya-Allah, kita download seeNI sekarang ya?
KLIK DI SEENI
Dajjal, Kenapa Namanya Tidak Disebutkan Dalam Al-Quran

Soalan
Ramai yang tahu tentang Dajjal. Tapi namanya langsung tidak disebut di dalam Al-Quran.Hanya ada dalam hadis. Pada hal fitnah Dajjal disebut paling gelap, paling hina dan paling keji. Tapi kenapa kisah Dajjal tidak ditulis di dalam Quran sebagaimana kisah Firaun?
Jawapan
Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga baginda SAW, sahabat baginda SAW serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah baginda SAW.
Irsyad al-Hadith pada kali ini akan menerangkan secara ringkas berkaitan Dajjal menurut perspektif sebenar mengikut al-Qur’an dan al-Hadith. Sebagaimana yang kita ketahui, Dajjal merupakan fitnah yang paling dahsyat dan ia akan berlaku di akhir zaman. Untuk itu, Nabi SAW sentiasa memberi pesanan kepada umatnya agar berjaga-jaga dengan fitnah ini. Bagi menjawab persoalan di atas, sudi bagi kami untuk menyatakan terlebih dahulu berkaitan definisi Dajjal.
Definisi Dajjal
Dajjal dari sudut bahasa bermaksud menutup akan sesuatu. Ini kerana, Dajjal antara sifatnya adalah al-Kazib (pendusta) dan pendustaan adalah menyembunyikan atau menutupi akan sesuatu. Selain itu, Dajjal juga bermaksud menyembunyikan kebenaran dan membuat tipudaya terhadap manusia serta menampakkan kecantikan pada perkara yang bathil. Dajjal juga datang dalam sighah (acuan) mubalaghah (melampau) iaitu “فَعَّال” kerana Dajjal ini banyak melakukan pendustaan dan tipudaya.
Manakala dari sudut istilah pula, Dajjal boleh dikenali dengan beberapa sifat yang dikhabarkan oleh Baginda SAW melalui hadith-hadithnya. Antaranya ialah:
- Seorang manusia.
- Rambutnya kerinting dan kusut masai.
- Sebelah daripada matanya buta.
- Tertulis antara dua matanya كفر (kufur).
Persoalan-Persoalan Berkaitan Dajjal
Antara persoalan-persoalan berkaitan Dajjal adalah:
Soalan: Mengapakah tidak disebut lafaz Dajjal di dalam al-Qur’an?
Jawapan: Bagi menjawab persoalan ini, kami ingin memetik jawapan daripada sebuah kitab yang membincang berkaitan tanda-tanda Kiamat. Para ulama’ telah menjawab persoalan ini dengan beberapa jawapan. Antaranya:
Pertama: Dajjal disebut atau terkandung di dalam beberapa ayat al-Qur’an. Contohnya:
Firman Allah SWT:
يَوْمَ يَأْتِي بَعْضُ آيَاتِ رَبِّكَ لَا يَنفَعُ نَفْسًا إِيمَانُهَا لَمْ تَكُنْ آمَنَتْ مِن قَبْلُ أَوْ كَسَبَتْ فِي إِيمَانِهَا خَيْرًا
Maksudnya: “Kedatangan sebahagian daripada tanda-tanda Tuhanmu (yang menjadi tanda-tanda Hari Kiamat). Pada hari datangnya sebahagian daripada tanda-tanda Tuhanmu itu, tidak berfaedah atau bermanfaat lagi iman seseorang yang tidak beriman sebelum itu atau yang tidak berusaha mengerjakan kebaikan mengenai imannya”. [al-An’am:158]
Di dalam ayat ini, tidak disebut lafaz Dajjal secara jelas tetapi tanda-tanda (آيات) yang dimaksudkan di dalam ayat ini adalah Dajjal, terbit matahari dari barat dan juga al-Dabah (الدابة). Ini disebut di dalam kitab-kitab tafsir.
Selain itu di dalam riwayat Muslim terdapat sebuah hadith yang menjelaskan berkaitan makna ayat di atas dan ini adalah antara tafsiran yang terbaik iaitu menafsirkan ayat al-Qur’an dengn hadith Nabi SAW. Hadith tersebut adalah:
- Daripada Abu Hurairah RA, bahawa Nabi SAW bersabda:
ثَلَاثٌ إِذَا خَرَجْنَ لَا يَنْفَعُ نَفْسًا إِيمَانُهَا لَمْ تَكُنْ آمَنَتْ مِنْ قَبْلُ، أَوْ كَسَبَتْ فِي إِيمَانِهَا خَيْرًا: طُلُوعُ الشَّمْسِ مِنْ مَغْرِبِهَا، وَالدَّجَّالُ، وَدَابَّةُ الْأَرْضِ
Maksudnya: “Tiga perkara apabila ia keluar tidak akan memberi manfaat akan iman seseorang itu yang sebelumnya mereka itu tidak beriman atau sebelumnya mereka tidak berusaha untuk melakukan kebaikan pada imannya. (Tiga perkara tersebut adalah) terbitnya matahari dari barat, keluarnya Dajjal dan juga al-Dabah yang melata di bumi”. [Riwayat Muslim (158)]
Kedua: Al-Qur’an telah menyebut Nabi Isa AS dan Nabi Isa AS yang akan membunuh Dajjal. Maka dengan itu, sudah memadai menyebut Nabi Isa AS yang membawa kepada hidayah daripada menyebut Dajjal yang menyeru kepada kesesatan. Sudah menjadi adat (kebiasaan) orang arab adalah sudah memadai menyebut salah satu daripada perkara yang berlawanan.
Ketiga: Al-Qur’an tidak menyebut Dajjal bagi menghina atau memperkecilkannya. Ini kerana, Dajjal apabila turun ke dunia akan mendakwa ketuhanan (uluhiyyah) dan ketuannan (rububiyyah)sedangkan dia adalah manusia biasa. Oleh sebab itu, Allah SWT tidak menyebut namanya di dalam al-Qur’an bagi menghina dan memperlekehkannya. Persoalan yang timbul, mengapa al-Qur’an menyebut Firaun sedangkan Firaun juga mendakwa dirinya sebagai Tuhan. Jawapannya adalah kerana Firaun zamannya telah berlalu dan berakhir. Di samping itu juga, agar kita mengambil iktibar dan pengajaran daripada kisah tersebut. Adapun Dajjal kisahnya belum berlaku dan akan berlaku apabila tiba waktu dan ketikanya.
Setelah melihat beberapa pendapat di atas, pendapat yang pertama adalah lebih tepat dan betul berbanding pendapat-pendapat yang lain. Walaupun lafaz Dajjal tidak disebut secara jelas di dalam al-Qur’an tetapi Allah SWT telah mengutuskan Nabi Muhammad SAW untuk menjelaskan berkaitan hal tersebut.
Soalan: Di manakah Dajjal akan keluar?
Jawapan: Dajjal akan keluar dari arah timur iaitu dari Khurasan (Khurasan adalah satu tempat yang luas, terletak di sebelah timur dan ia terdiri daripada beberapa daerah, antaranya Naisabur). Kemudian Dajjal akan mula berjalan di bumi dan tidak akan ditinggalkan satu tempat pun melainkan dia akan memasukinya kecuali Makkah dan Madinah.
Dajjal tidak dapat memasuki Makkah dan Madinah kerana terdapat malaikat yang menjaga kedua tanah suci itu. Selain itu juga, Imam Ibn Hajar mengatakan bahawa Dajjal ini pasti akan muncul dari arah timur. [Lihat: Fath al-Bari, ] Kenyataan ini disandarkan atau dikuatkan lagi dengan beberapa buah hadith yang sahih, antaranya:
- Daripada Abu Bakar RA, bahawa Nabi SAW bersabda:
الدَّجَّالُ يَخْرُجُ مِنْ أَرْضٍ بِالمَشْرِقِ يُقَالُ لَهَا: خُرَاسَانُ
Maksudnya: “Dajjal akan keluar ke bumi dari arah timur, dikatakan tempat tersebut adalah Khurasan”. [Riwayat al-Tirmizi (2237)][Imam al-Tirmizi menilai hadith ini sebagai Hasan Gharib dan Syeikh Ahmad Syakir mengatakan sanad hadith ini adalah sahih]
Soalan: Bilakah muncul atau keluarnya Dajjal?
Jawapan: Muncul atau keluarnya Dajjal adalah satu kepastian dan kita tidak boleh sama sekali mengingkarinya. Akan tetapi waktu yang sebenar atau tepat keluarnya Dajjal ini tidak diketahui tetapi apa yang pasti keluarnya Dajjal adalah salah satu tanda besar Kiamat. Tambahan pula, ini termasuk dalam perkara-perkara ghaib yang tidak diketahui melainkan Allah SWT. Allah SWT juga menyembunyikan kepada kita bila akan berlakunya Kiamat berdasarkan firman-Nya:
- Firman Allah SWT:
يَسْأَلُونَكَ عَنِ السَّاعَةِ أَيَّانَ مُرْسَاهَا ۖ قُلْ إِنَّمَا عِلْمُهَا عِندَ رَبِّي ۖ لَا يُجَلِّيهَا لِوَقْتِهَا إِلَّا هُوَ
Maksudnya: “Mereka bertanya kepadamu (wahai Muhammad) tentang hari kiamat: “Bilakah masa datangnya?” Katakanlah: “Sesungguhnya pengetahuan mengenainya hanyalah ada di sisi Tuhanku, tidak ada sesiapa pun yang dapat menerangkan akan kedatangannya pada waktunya melainkan Dia (Allah SWT)”. [al-A’raf:186]
Soalan: Apakah terdapat golongan yang mengingkari akan kewujudan Dajjal ini?
Jawapan: Terdapat sebahagian individu mendakwa bahawa Dajjal ini hanyalah simbol kejahatan sahaja dan ia akan hilang dengan terdiri syariat di atas muka bumi ini. Dalam masa yang sama, mereka ini menafikan bahawa Dajjal adalah seorang manusia sebagaimana yang dinyatakan di dalam hadith. Antara dalil yang menguatkan hujah mereka adalah, hadith-hadith berkaitan Dajjal diriwayatkan dengan berbeza-beza seperti tempat keluarnya Dajjal, peribadi Dajjal itu sendiri dan lain-lain lagi. Ini menunjukkan bahawa Dajjal adalah simbol kepada kejahatan semata-mata dan dia bukanlah seorang manusia seperti yang kita fahami.
Bagi menjawab persoalan ini, hakikatnya tidak ada pertentangan dalam riwayat-riwayat berkaitan Dajjal ini dan ia telah dijelaskan oleh ulama’ sebelum ini apabila mereka cuba menghimpunkan riwayat-riwayat ini dan menjelaskan setiap riwayat tersebut. Hakikatnya, Dajjal adalah seorang manusia dan dia bukanlah simbol sebagai yang didakwa oleh golongan tersebut. Selain itu juga, kita dapat mengetahui akan sifat-sifat Dajjal sebagaimana yang diceritakan di dalam hadith-hadith yang sahih.
Soalan: Siapakah Ibn Shayyad (ابن صياد) itu Dajjal?
Jawapan: Dalam masalah ini, para ulama’ telah berbeza pendapat dalam menentukan samada Ibn Shayyad itu Dajjal ataupun tidak. Ini kerana, terdapat hadith yang menunjukkan bahawa dia adalah Dajjal. Namun begitu, terdapat juga hadith lain yang menunjukkan sebaliknya. Berikut adalah beberapa pendapat dalam masalah ini:
Pertama: Imam al-Qurthubi berkata: “Pendapat yang sahih bahawa Ibn Shayyad adalah Dajjal, berdasarkan dalil-dalil yang telah lalu (yang ada) dan tidak mustahil bahawa dia telah ada di pulau tersebut pada waktu itu dan dia juga berada di hadapan para Sahabat pada waktu yang lain”.
Kedua: Imam al-Nawawi pula berkata: “Para ulama telah berkata bahawa Kisahnya sukar difahami dan perkaranya juga tidak jelas. Apakah dia adalah al-Masih al-Dajjal yang dikenali atau selain daripadanya?. Akan tetapi tidak diragukan bahawa diajuga adalah Dajjal di antara para Dajjal”.
Kami berpendapat bahawa Ibn Shayyad bukanlah Dajjal yang dimaksudkan iaitu yang akan keluar di akhir zaman. Selain itu juga, Ibn Shayyad hanyalah seorang Dajjal daripada para Dajjal iaitu dengan memiliki sifat-sifat seorang Dajjal tetapi dia bukanlah Dajjal yang akan keluar di akhir zaman nanti. Pendapat kami ini adalah selaras dengan hadith Tamim al-Dari atau dikenali dengan hadith al-Jassasah (الجساسة) yang diriwayatkan oleh Fatimah bin Qais. Ini juga merupakan pendapat Imam Ibn Hajar al-Asqalani apabila beliau cuba untuk menggabungkan antara dua riwayat yang zahirnya dilihat bercanggah.
Beliau berkata:
وَأَقْرَبُ مَا يُجْمَعُ بِهِ بَيْنَ مَا تَضَمَنَّهُ حَدِيثُ تَمِيم وَكَون بن صَيَّادٍ هُوَ الدَّجَّالُ أَنَّ الدَّجَّالَ بِعَيْنِهِ هُوَ الَّذِي شَاهده تَمِيم موثقًا وَأَن بن صَيَّادٍ شَيْطَانٌ تَبَدَّى فِي صُورَةِ الدَّجَّالِ فِي تِلْكَ الْمُدَّةِ إِلَى أَنْ تَوَجَّهَ إِلَى أَصْبَهَانَ فَاسْتَتَرَ مَعَ قَرِينِهِ إِلَى أَنْ تَجِيءَ الْمُدَّةُ الَّتِي قَدَّرَ اللَّهُ تَعَالَى خُرُوجَهُ فِيهَا وَلِشِدَّةِ الْتِبَاسِ الْأَمْرِ فِي ذَلِكَ سَلَكَ الْبُخَارِيُّ مَسْلَكَ التَّرْجِيحِ فَاقْتَصَرَ عَلَى حَدِيثِ جَابِرٍ عَنْ عُمَرَ فِي بن صَيَّادٍ وَلَمْ يُخْرِجْ حَدِيثِ فَاطِمَةَ بِنْتِ قَيْسٍ فِي قِصَّةِ تَمِيمٍ وَقَدْ تَوَهَّمَ بَعْضُهُمْ أَنَّهُ غَرِيبٌ فَرُدَّ وَلَيْسَ كَذَلِكَ فَقَدْ رَوَاهُ مَعَ فَاطِمَةَ بِنْتِ قَيْسٍ أَبُو هُرَيْرَةَ وَعَائِشَةُ وَجَابِرٌ
Maksudnya: “Cara yang paling dekat adalah dengan menggabungkan makna yang terkandung di dalam hadith Tamim dan keberadaan Ibn Shayyad sebagai Dajjal.
Sesungguhnya Dajjal yang sebenarnya adalah yang disaksikan oleh Tamim dalam keadaan terikat. Sedangkan Ibn Shayyad adalah syaitan yang menampakkan dirinya dalam bentuk Dajjal pada ketika itu, sehingga dia pergi ke Ashbahan, lalu bersembunyi bersama qarinnya (temannya) sehingga sampai masa yang ditakdirkan oleh Allah SWT untuk keluar padanya. Disebabkan kesamaran dalam masalah ini, maka Imam al-Bukhari memilih jalan tarjih (iaitu menentukan riwayat yang paling kuat di antara dua riwayat), maka beliau hanya memilih hadith Jabir daripada Umar berkaitan Ibn Shayyad dan beliau tidak meriwayatkan hadith daripada Fatimah binti Qais berkenaan kisah Tamim. Selain itu juga, sebahagian orang menyangka bahawa hadith tersebut adalah gharib (ganjil) maka sangkaan mereka ini ditolak dan ia bukanlah seperti yang disangka itu. Telah meriwayatkan hadith ini bersama Fatimah binti Qais RA adalah Abu Hurairah RA, Aisyah RA dan Jabir RA”. [Lihat: Fath al-Bari, 328/13]

Soalan: Apakah kesudahan daripada fitnah Dajjal ini?
Jawapan: Setelah Dajjal melata di seluruh muka bumi melainkan Makkah dan Madinah dengan menyebarkan fitnah-fitnah kepada manusia pada waktu itu. Di samping itu juga, ramai daripada kalangan manusia telah terpedaya dengan fitnah Dajjal ini, lalu mereka telah bersama dengan Dajjal dan menjadi pengikutnya. Tambahan pula, tidak ramai daripada umat manusia yang berjaya daripada fitnah itu. Pada waktu itulah, Allah SWT menurunkan Nabi Isa AS ke dunia bagi membunuh Dajjal. Ketika Nabi Isa AS turun ke dunia, Dajjal sedang menuju ke Bait al-Maqdis (palestin). Kemudian, mereka bertemu di sebuah pintu yang dinamakan pintu Lud (لد). Apabila Nabi Isa AS melihat Dajjal, beliau terus membunuhnya dengan menggunakan pedang sambil berkata:
إِنَّ لِي فِيكَ ضَرْبَةً، لَنْ تَسْبِقَنِي بِهَا
Maksudnya: “Sesungguhnya bagiku kepada engkau satu pukulan yang mana dengan pukulan ini kamu tidak akan dapat melepaskan diri daripadaku”. [Riwayat Ibn Majah (4077)][Syeikh al-Arnaouth mengatakan sanadnya dhaif dan al-Albani menilai hadith ini sebagai dhaif]
Dengan kematian Dajjal itu, berakhirlah fitnah yang besar itu dan berjayalah orang-orang yang beriman daripada kejahatan Dajjal dan daripada kejahatan pengikutnya disebabkan oleh Nabi Isa AS.
Petunjuk Nabi SAW dalam menghadapi fitnah Dajjal
Di dalam sebuah hadith yang diriwayatkan oleh Imam Muslim, daripada Abu Darda’ RA, bahawa Nabi SAW bersabda:
مَنْ حَفِظَ عَشْرَ آيَاتٍ مِنْ أَوَّلِ سُورَةِ الْكَهْف عُصِمَ مِنَ الدَّجَّالِ
Maksudnya: “Sesiapa yang menghafal 10 ayat daripada awal surah al-Kahfi akan terselamat daripada fitnah Dajjal”. [Riwayat Muslim, kitab solat bagi orang musafir dan mengqasarkannya, bab kelebihan surah al-Kahfi dan ayat al-Kursi, no. Hadith 1342]
Ini kerana, Imam al-Suyuthi mengatakan pada awal surah tersebut menceritakan akan keajaiban-keajaiban dan tanda-tanda maka sesiapa yang mengtadabburnya (membaca serta memahami maknanya) tidak akan terkena fitnah Dajjal dan begitu juga di akhirnya (akhir surah al-Kahfi). [Lihat: Al-Dibaj ala Muslim, 2:403]
Cara Menghadapi Fitnah Dajjal
Antara cara lain untuk berdepan dengan fitnah Dajjal adalah:
- Berpegang dengan petunjuk daripada al-Qur’an dan al-Hadith.
- Memperbanyakkan berdoa kepada Allah SWT agar diselamatkan daripada segala fitnah serta memperbanyakkan amalan soleh.
- Beruzlah (menjauhkan atau mengasingkan diri) daripada fitnah yang berlaku.
- Menyertai dan sentiasa bersama dengan Jemaah Islam yang ada pada waktu itu.
- Memperbanyakkan istighfar dan memohon ampun kepada Allah SWT.
- Dajjal tidak boleh memasuki Makkah dan Madinah.
- Memperbanyakkan zikrullah (zikir kepada Allah SWT) dan sentiasa ingat kepada-Nya berdasarkan hadith di atas.
Penutup
Kesimpulannya, kita telah berada di akhir zaman di mana manusia sudah mula jauh daripada ajaran al-Quran dan al-Sunnah. Untuk itu, menjadi tanggungjawab kita untuk sentiasa mempersiapkan diri kita agar kita tidak terjerumus ke dalam fitnah yang boleh meruntuhkan tahap keimanan kita. Kami menutup perbincangan ini dengan sebuah doa:
اللهُمَّ إِنِّي أَعُوذُ بِكَ مِنْ عَذَابِ جَهَنَّمَ، وَمِنْ عَذَابِ الْقَبْرِ، وَمِنْ فِتْنَةِ الْمَحْيَا وَالْمَمَاتِ، وَمِنْ شَرِّ فِتْنَةِ الْمَسِيحِ الدَّجَّالِ
Maksudnya: “Ya Allah, sesungguhnya aku berlindung kepada-Mu daripada azab kubur, daripada azab neraka Jahannam, daripada fitnah kehidupan dan setelah mati serta daripada kejahatan fitnah al-masih al-Dajjal”. [Riwayat Muslim (588)]
Doa ini disunatkan kepada kita untuk membacanya ketika selesai membaca tahiyyat akhir sebelum daripada salam sepertimana yang disebut di dalam hadith. Akhirnya, semoga Allah SWT memelihara iman kita dan menyelamatkan kita daripada segala fitnah terutamanya fitnah Dajjal. Amin.
Wallahua’lam
Insya-Allah, kita download seeNI sekarang ya?
KLIK DI SEENI