Siapalah yang masih tidak mengingati tragedi menyayat hati tragedi pesawat MH17.
Bukan saja meninggalkan kesan pada seluruh masyarakat dunia, tetapi juga ahli keluarga.
Apatah lagi mereka ini kehilangan insan tersayang dalam sekelip mata dan tragedi yang sangat menyayat hati ini tidak akan dilupakan sampai bila-bila.
Namun kita yang hidup ini perlu teruskan hidup dan hanya berdoa mangsa akan ditempatkan dalam kalangan orang beriman.
Dan bagi memastikan saham akhirat mereka berkekalan, dengan iniasiatif keluarga mangsa telah membina sebuah masjid untuk kegunaan masyarakat islam seluruhnya.
Masjid Al-Ghazali di Jalan Depo Petra Jaya Sarawak rupanya telah dibina dengan sebahagian besar dibiayai menggunakan semua wang pampasan enam sekeluarga yang menjadi mangsa tragedi pesawat MH17.
Artikel Berkaitan: Saham Akhirat: Waris MH17 Wakafkan Semua Pampasan Bina Surau RM3.5 Juta
Menurut Sumardi Ghazalee yang merupakan adik bongsu kepada salah seorang mangsa, Ariza Ghazalee yang terkorban bersama suami, Tambi Jiee serta empat anak mereka, Muhammad Afif, 19, Muhammad Afzal, 17, Marsha Azmeena, 15, dan Muhammad Afruz, 13.
Dalam tragedi MH17 itu, Tambi Jiee yang juga jurutera petroleum dalam perjalanan pulang menaiki pesawat itu bagi menyambut Aidilfitri selain berpindah tugas dari Astana, Kazakhstan ke Kuala Lumpur.
Sumardi berkata, ibu mereka, Jamilah Noriah Abang Anuar mencadangkan pembinaan masjid itu menggunakan wang pampasan insiden berkenaan.
“Syukur Alhamdulillah, hasrat ibu kami yang mahu menggunakan wang pampasan disalurkan kepada perkara yang memberi manfaat kepada semua arwah sudah kami tunaikan.
“Masjid berwarna kelabu itu dibina dengan kos sebanyak RM3.5 juta dengan sebahagiannya menggunakan semua wang pampasan diterima sebelum ini,” katanya.
Dia memaklumkan, mereka sekeluarga berbincang dan sebulat suara bersetuju membina masjid itu walaupun kos melebihi pampasan diterima.
Bagi memastikan dana mencukupi, Sumardi berkata, mereka turut menerima sumbangan daripada orang awam yang berinfak dan mewakafkan serta sumbangan daripada Kerajaan Sarawak.
Artikel Berkaitan: Masjid Al-Ghazali Hasil Pampasan MH17 Siap Dibina, Jemaah Teruja Solat Tarawih
Selepas semuanya berjalan lancar dan pembinaannya siap mengikut jadual, Masjid Al-Ghazali dibuka kepada orang awam, bermula 13 Mei tahun lalu.
“Ibu gembira, kami sekeluarga pula lega kerana hasrat untuk membina masjid sebagai memperingati arwah kakak sekeluarga akhirnya terlaksana setahun yang lalu,” katanya.
Masjid serba moden yang mampu memuatkan sehingga 1,000 jemaah pada satu-satu masa itu adalah hasil reka bentuk Sumardi sendiri yang juga seorang arkitek.
Sumardi yang kini pengerusi masjid berkenaan berkata, sejak dibuka masjid yang terletak di tepi jalan yang menjadi laluan utama dari kawasan Semariang ke Jalan Tun Abdul Rahman Yakub sering menjadi persinggahan pengguna jalan raya untuk menunaikan solat,” katanya yang turut berhasrat membina sebuah dewan untuk kegunaan orang ramai nanti.
SUMBER: HARIAN METRO
Kashoorga: Boleh sedekah barangan seperti telekung atau sejadah gebu untuk kegunaan masjid di sini