Kerohanian

Puasa Ganti Tapi Sengaja Batalkan, Berdosa Besar Hukumnya

Share

Puasa ganti tapi awal pagi ada pula kawan nak belanja makan-makan, terus tak jadi puasa.

Situasi ini mungkin pernah kita lakukan kerana tidak tahu hukumnya.

Sebenarnya adalah tidak boleh untuk kita memutuskan atau membatalkan puasa ganti ini secara sengaja malah berdosa besar sekiranya melakukannya.

Tidak boleh batalkan puasa ganti dengan sengaja

Perkara ini dijelaskan dalam Al-Kafi #1802: Apakah Hukum Membatalkan Puasa Ganti Ramadan yang dipetik melalui laman web Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan.

Ini kerana hukum menggantikan puasa yang ditinggalkan pada bulan Ramadan adalah wajib. Oleh itu, tidak boleh untuk membatalkannya dengan sengaja tanpa uzur yang disyariatkan oleh syarak.

Ini seperti hadis yang diriwayatkan oleh Ummu Hani’ RA, katanya:

يَا رَسُولَ اللَّهِ، لَقَدْ أَفْطَرْتُ، وَكُنْتُ صَائِمَةً، فَقَالَ لَهَا: «أَكُنْتِ تَقْضِينَ شَيْئًا؟»، قَالَتْ: لَا، قَالَ: «فَلَا يَضُرُّكِ إِنْ كَانَ تَطَوُّعًا»

Maksudnya: Wahai Rasullullah, sesungguhnya aku telah berbuka sedangkan aku berpuasa”. Maka Rasulullah SAW berkata kepadanya: “Adakah kamu sedang mengqadhakan sesuatu (puasa)”. Beliau berkata: “Tidak”. Sabda Rasulullah SAW: “Maka tidak memudaratkan kamu (tidak berdosa) sekiranya ia puasa sunat.” Riwayat Abu Daud (2456)

Dalam hadis ini Rasulullah meminta penjelasan dari Ummu Hani’ sama ada beliau berpuasa qadha tertentu dan setelah dijelaskan ianya adalah berpuasa sunat maka Rasulullah SAW menjawab bahawa tidak berdosa untuk sengaja berbuka bagi puasa sunat. Ini bererti jika puasa qadha maka adalah tidak dibenarkan untuk berbuka dengan sengaja .

Puasa ganti Ramadan wajib

Puasa ganti Ramadan merupakan fardu ain yang diwajibkan ke atas mereka yang meninggalkannya. Oleh itu memutuskannya atau membatalkannya dengan sengaja adalah haram bahkan ia menyebabkan dosa yang besar. Syeikh Jamal menyebut di dalam hasyiahnya bahawa:

(قَوْلُهُ: وَحَرُمَ قَطْعُ فَرْضٍ عَيْنِيٍّ) وَهُوَ مِنْ الْكَبَائِرِ كَمَا ذَكَرَهُ أَئِمَّةُ الْأُصُولِ

Maksudnya: (Menurut Imam Zakarian al-Ansari: haram membatalkan fardhu ain) sebahagian dari dosa besar sepertimana yang disebut oleh para ulama usul fiqh.

Sumber: Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan

 

Published by
Team Kashoorga