Hari ini merupakan kemuncak berkumpulnya umat Islam berwukuf di Padang Arafah. Bermakna, esok merupakan kemuncak sambutan hari raya aidiladha. Namun Malaysia dan beberapa negara Asean meraikan sambutan hari raya pada Ahad seperti diputuskan oleh pemerintah.
Timbul persoalan mengenai puasa Arafah yang ditunggu-tunggu oleh umat Islam kerana banyaknya fadilat di dalamnya termasuk dosa diampunkan setahun sebelum dan selepasnya.
Jadi bilakah puasa Arafah, Jumaat atau Sabtu. Ini penjelasan dari Ahli Dewan Negara, YB Senator Datuk Dr. Zulkifli Mohamad Al-Bakri yang juga merupakan bekas Menteri Agama.
Pada tahun ini, berlaku kenampakan anak bulan Zulhijjah di Arab Saudi awal sehari berbanding di Malaysia. Natijahnya, penentuan puasa hari Arafah berselisih sehari antara kita di Malaysia dengan penduduk di Arab Saudi.
Secara asasnya, matla’ negara Malaysia adalah berbeza dengan matla’ Arab Saudi kerana kedudukan kedua-dua negara ini adalah berbeza. Jarak antara Malaysia dan Arab Saudi adalah dianggarkan dalam 7000 kilometer dan jarak masa antara kedua negara ini adalah lebih kurang 5 jam.
Kedudukan Arab Saudi yang berada pada kedudukan yang lebih barat berbanding negara kita menyebabkan peluang untuk anak bulan kelihatan di negara berkenaan adalah lebih tinggi berbanding di negara kita. Justeru, ketika anak bulan dicerap pada waktu matahari terbenam di Arab Saudi, kedudukan anak bulan tersebut adalah lebih tinggi berbanding di Malaysia.
Oleh itu, kemungkinan peluang untuk anak bulan dapat dilihat adalah lebih tinggi di Arab Saudi berbanding di negara kita. Hal ini menyebabkan berlakunya perbezaan pada hari bermulanya Ramadhan, Syawal, Zulhijjah dan bulan-bulan yang lain.
Mazhab al-Syafie, Ishak Bin Rahawaih, Abdullah bin al-Mubarak dan Ibn Abbas R.Anhuma berpendapat: Setiap tempat yang berjauhan, mengikut ijtihad masing-masing dengan melihat anak bulan dan hisab. Dalilnya sebagaimana hadith Kuraib.
Al-Khatib al-Syarbini dalam Mughni al-Muhtaj menjelaskan bahawa apabila dilihat hilal di sesuatu negara maka wajiblah hukum yang sama bagi negara berhampiran sebagaimana kota Baghdad dengan kota Kufah, tidak bagi negara yang berjauhan seperti negara Hijaz dengan negara Iraq.
Tambahan pula, terdapat juga hadith riwayat Ummu Salamah R.Anha, bahawa Nabi SAW bersabda:-
إِذَا رَأَيْتُمْ هِلَالَ ذِي الْحِجَّةِ وَأَرَادَ أَحَدُكُمْ أَنْ يُضَحِّيَ، فَلْيُمْسِكْ عَنْ شَعَرِهِ وَأَظْفَارِهِ
Apabila kamu melihat anak bulan Zulhijah dan ada di kalangan kamu yang mahu berkorban maka hendaklah dia (orang yang hendak melakukan korban) jangan memotong rambut dan kukunya sehinggalah haiwan korbannya disembelih.”
Nabi SAW menyebut dengan kalimah; ‘Apabila kamu melihat’ menunjukkan hendaklah dilihat anak bulan awal Zulhijah bukan semata-mata di tempat berlakunya manasik haji. Nabi SAW menyebut ‘Anak bulan Zulhijah’ menunjukkan perintah untuk melihat anak bulan Zulhijah bagi menentukan tarikh Eid al-Adha atau Hari Raya Korban.
Sebagai kesimpulan, saya nyatakan bahawa puasa hari Arafah atau lebih tepat lagi 9 Zulhijah adalah berdasarkan kepada kelihatannya anak bulan setempat kerana isu matla’. Bagi meraikan perbezaan ini, marilah sama-sama kita berpuasa pada 8 Zulhijjah (puasa Tarwiyah) dan juga 9 Zulhijjah bagi meraikan hari Arafah yang berlaku di Makkah yang berbeza sehari dengan kita di Malaysia. Bahkan puasa yang dilakukan pada 8 Zulhijjah juga termasuk dalam ibadah dan amalan 10 hari awal Zulhijjah yang disukai Allah SWT. Wallahu a’lam.
Kupasan penuh di https://maktabahalbakri.com/1058-puasa-hari-arafah…/
Maktabah Al-Bakri
YB Senator Datuk Dr. Zulkifli Mohamad Al-Bakri
Ahli Dewan Negara