Kuat sungguh ujian yang menimpa keluarga ini. Bayangkan tiga orang cahaya mata ke semuanya menghidap autisme tahap teruk. Tidak tergambar kepayahan pasangan suami isteri ini memelihara anak-anak syurga yang tentunya memerlukan penjagaan yang rapi. Allahuakbar. Moga kedua pasangan suami isteri ini dikurniakan kesihatan yang baik untuk terus memelihara anak-anak syurga ini.
DIKEJI, DICACI DAN DISINDIR
Dikeji, dicaci dan disindir dengan pelbagai perkataan cukup menghiris hati amat berbekas kepada pasangan suami isteri ini hanya kerana dikurniakan semua tiga cahaya mata menghidap autisme tahap teruk.
Siti Aishah Abdul Rahim, 46 dan suaminya, Sulong Ibrahim, 53, bagaimanapun tabah melalui perjalanan sukar, penuh cabaran dan bertekad berkorban membesarkan tiga anak lelaki autisme yang kini sudah menginjak dewasa.
Muhammad Asraf, 24, Muhammad Faiz, 20 dan Muhammad Firdaus Hafizi, 12, dijaga umpama bayi kecil walaupun sudah remaja dengan fizikal dan bentuk tubuh lelaki bujang serta bersekolah di Pusat Pemulihan dalam Komuniti (PDK), Batu Arang, Selangor.
Makan, mandi, keperluan penjagaan diri lain semuanya perlu diurus dan dipantau Siti Aishah dan suami kerana mereka tiada keupayaan dan kebolehan bercakap walaupun sepatah ayat seperti anak lain.
Lebih menyedihkan, ketiga-tiga anaknya itu semakin agresif dan mudah melenting sejak usia menginjak dewasa terutama anak kedua yang juga penghidap Sindrom Fragile X, iaitu sejenis penyakit gangguan kognitif.
HAMPIR DI BALING SETERIKA
“Sejak dilahirkan mereka memerlukan perhatian dan kini kami perlu melalui pelbagai cabaran berbeza dan hebat sejajar dengan usia mereka yang sudah menginjak dewasa.
“Mereka sudah pandai mengamuk sehingga anak kedua, Muhammad Faiz pernah cuba membaling saya dengan seterika.
“Begitu juga dengan anak lain, mudah mengamuk, menjerit-jerit dan melempar objek yang ada di depan mata. Kunci atau objek kecil lain dibaling begitu saja jika mengamuk,” katanya mereka mula agresif sejak masuk usia remaja.
Saat paling sukar perlu menjaga mereka yang meningkat usia apabila perlu dikhatankan.
Siti Aishah turut berhadapan bebanan emosi untuk menerangkan kepada anak proses berkhatan adalah kewajipan yang perlu dilaksanakan.
“Semua anak dikhatankan ketika berusia tujuh tahun. Muhammad Firdaus Hafizi, contohnya sehingga sekarang seakan berdendam kerana menyangka saya menyebabkan kesakitannya ketika dikhatankan. Bayangkan pada hari pertama berkhatan, dia melompat seperti biasa kerana tidak faham keadaan diri,” katanya.
ANGGAP TAKDIR DAN DUGAAN
Lebih mencabar apabila beliau dan suami pernah disindir memiliki semua anak autisme disebabkan kifarah Allah.
“Saya menganggap ini takdir dan dugaan. Saya berharap masyarakat tidak memandang serong kepada kami,” katanya.
Segala kesukaran, cabaran dan pengorbanan membesarkan anak dilalui dengan ketabahan meskipun berendam dengan air mata hampir setiap hari kerana tidak boleh berdikari sama seperti anak normal lain.
“Jika sudah sampai ajal, saya mahu mati bersama anak-anak atau lebih awal dari saya kerana bimbang tiada siapa mampu menggalas tanggungjawab besar ini.
“Mereka tidak boleh berdikari. Mandi, cuci najis, kencing, makan dan segala-galanya saya yang lakukan bersama suami, ” katanya.
BEKAS PESAKIT KANSER PAYUDARA
Lantas Siti Aishah yang juga bekas pesakit kanser payudara dan suaminya, amat berharap kerajaan atau badan bukan kerajaan (NGO) menyediakan pusat jagaan khusus untuk anak austisme peringkat teruk.
Semakin meningkat remaja, ketiga-tiganya melalui fasa baharu dalam kehidupan mereka termasuk naluri untuk berkahwin walaupun tidak tahu makna sebenar erti perkahwinan.
“Mereka tidak minta mahu berkahwin tetapi apabila lihat adegan pernikahan di televisyen, mereka mahu melakukan perkara sama.
“Perkahwinan anak tiada dalam kamus hidup saya cuma sebagai manusia biasa, mereka ada naluri dan perasaan untuk disayangi dan dihormati masyarakat,” katanya.
Mereka sudah melalui proses biologi sebagai manusia biasa dan kematangan reproduktif sebagai anak bujang semakin hari semakin terserlah.
“Seperti remaja normal lain, anak ada naluri dan ‘keinginan’ sebaik saja akil baligh. Bezanya mereka tidak tahu segan dan lakukan apa saja tanpa tahu ia betul atau salah.
“Walaupun tidak faham perbuatan seperti onani itu salah, saya terangkan juga. Saya akan sentiasa bercakap dengan mereka seolah-olah mereka faham dan melarang perbuatan salah,” katanya.
TIDAK PERNAH KESAL
Beliau berkata, setiap hari ada perkara dan cabaran baharu yang perlu ditempuhi.
Siti Aishah mengalami kesukaran membawa anak keluar sama ada untuk temu janji ke hospital, aktiviti sosial lain dan apatah lagi bercuti atau berjalan ke pusat beli-belah.
“Saya pernah cuba tetapi gagal mengawal mereka yang diumpamakan seperti bom jangka kerana mengamuk tidak kira masa, tidak boleh melihat orang memandang atau ketawakan mereka.
“Ada juga yang takut nak bersalam kerana takut berjangkit pada anak mereka,” katanya.
Bukan saja berkorban masa dan tenaga membesarkan anugerah Ilahi ini, Siti Aishah dan suami juga lebih banyak menghabiskan masa di rumah berbanding di luar kerana bimbang anaknya mengasari dan melakukan perkara tidak disukai masyarakat.
“Saya dan suami sentiasa berdoa diberi kesihatan yang baik. Saya tidak kisah masa muda dan tua kami hanya untuk mereka, selain mahu orang sekeliling tidak memandang serong pada kami lagi,” katanya.
Beliau berkata, cukuplah pandangan serong orang terhadap keluarganya.
“Kami tidak kesal dikurniakan tiga anak istimewa dan mahu terus diberi kekuatan sampai ke hujung nyawa menunaikan tanggungjawab menjaga mereka,” katanya.
Sumber kredit: Berita Harian Online
VIDEO: