Putus Tunang Tanpa Sebab, Ini Hukum Pihak Lelaki Menuntut Semula Hadiah Hantaran

Share

Putus tunang tanpa sebab, ini hukum pihak lelaki menuntut semula hadiah hantaran. Sebenarnya dibenarkan atau tidak pihak lelaki meminta pihak perempuan pulangkan kembali hadiah hantaran kerana pihak sana yang mumutuskan tali pertunangan.

Apatah lagi terputusnya ikatan tanpa sebab yang diketahui. Islam menggariskan panduan yang jelas berkaitan isu ini.

Ikuti penjelasan panjang lebar Pejabat Mufti Wilayah Persetujuan sama ada haram atau tidak bersikap “buruk siku”.

Artikel Berkaitan:

‘Bila Ramai Burukkan Kita Kerana Status Janda, Putus Tunang @ Diceraikan.’ Pekakkan Telinga, Ingat Allah Selalu Ada

Putus Tunang

Soalan:
Saya telah bertunang dengan seorang wanita. Selepas sebulan majlis pertunangan, pihak perempuan ingin memutuskan pertunangan atas sebab yang saya sendiri tidak tahu. Bolehkah saya mengambil kembali hadiah hantaran pertunangan yang telah saya berikan?

Jawapan:
Pertunangan merupakan perkara yang dianjurkan oleh Islam sebagaimana sabda Nabi SAW:

انظرْ إليها فإنَّه أحْرى أنْ يؤدمَ بينكُما

Maksudnya:
“Lihatlah perempuan itu dahulu kerana ia akan lebih mengekalkan kasih sayang antara kamu berdua.’- Riwayat al-Tirmizi.

Tanpa Sebab

Telah menjadi adat di kalangan masyarakat Melayu untuk bertukar cincin, membawa dulang ke rumah si perempuan dan lain-lain dalam majlis pertunangan yang dipanggil ‘hantaran’ dan ini adalah merupakan adat yang harus dan tidak bercanggah dengan Islam.

Ia hanya sebagai simbolik dan tanda keseriusan untuk menjadikan perempuan tersebut sebagai isteri. Selagi mana adat tersebut tidak berlanggar dengan syarak maka ianya adalah perkara yang harus.

Mengenai hukum mengambil semula hantaran yang telah diberikan, secara asasnya hukum meminta semula hadiah atau pemberian yang telah diberikan kepada seseorang adalah haram melainkan pemberian dari seorang bapa kepada anaknya.

Sabda Nabi SAW:
العائدُ في هِبَتِهِ كالعائدِ في قَيْئِهِ
Maksudnya:
“Orang yang meminta semula hibahnya sama seperti orang yang memakan semula muntahnya.”- (Riwayat al-Bukhari)

Ini Hukum Pihak Lelaki

Dalam riwayat yang lain Nabi SAW bersabda:

لا يَحِلُّ لرجُلٍ أن يُعطِيَ عَطيَّةً، أو يهَبَ هِبَةً، فيرجِعَ فيها، إلَّا الوالدَ فيما يُعطِي وَلَدَهُ، ومثَلُ الَّذي يُعطِي العَطيَّةَ ثمَّ يرجِعُ فيها كمثَلِ الكَلْبِ يأكُلُ، فإذا شبِع قاء ثمَّ عاد في قَيْئِهِ
Maksudnya:
“Tidak halal bagi seorang laki-laki yang memberi suatu pemberian kemudian mengambilnya kembali, kecuali orang tua mengambil apa yang ia berikan kepada anaknya. Bandingan orang yang memberi suatu pemberian kemudian mengambilnya seperti anjing yang makan, maka setelah kenyang ia muntah kemudian menelan muntahannya kembali.”
(Riwayat al-Tirmizi)

Walau bagaimanapun ulama mazhab Syafi’i berpendapat bahawa hadiah yang diberikan semasa pertunangan boleh untuk diminta kembali sekiranya mereka tidak jadi untuk berkahwin kerana tujuan dari pemberian tersebut ialah untuk perkahwinan.

Oleh itu, apabila perkahwinan tidak berlaku maka pemberian tersebut berhak untuk diambil kembali.

Namun disyaratkan pemberian tersebut mestilah dengan tujuan untuk pernikahan. Manakala jika pemberian tersebut bukan dengan niat untuk pernikahan tetapi semata-mata sebagai hadiah maka tidak dibenarkan untuk mengambilnya kembali kerana ia termasuk dalam larangan hadis Nabi SAW di atas.

Menuntut Semula Hadiah Hantaran

Dalam pada itu sebahagian ulama mazhab Syafi’i memperincikan bahawa jika pembatalan perkahwinan tersebut berpunca dari keluarga perempuan dibenarkan pihak lelaki untuk menuntut kembali pemberiannya namun jika pembatalan disebabkan oleh pihak lelaki maka pihak lelaki tidak berhak untuk menuntut semula hadiah yang telah diberikan.

Seksyen 15 Akta Undang-Undang Keluarga Islam (Wilayah-Wilayah Persekutuan) 1984 menyatakan bahawa:

“Jika seseorang telah mengikat suatu pertunangan mengikut Hukum Syarak, sama ada secara lisan atau secara bertulis, dan sama ada secara bersendirian atau melalui seorang perantaraan, dan kemudiannya enggan berkahwin dengan pihak yang satu lagi itu tanpa apa-apa sebab yang sah manakala pihak yang satu lagi bersetuju berkahwin dengannya, maka pihak yang mungkir adalah bertanggungan memulangkan pemberian pertunangan, jika ada, atau nilainya dan membayar apa-apa wang yang telah dibelanjakan dengan suci hati oleh atau untuk pihak yang satu lagi untuk membuat persediaan bagi perkahwinan itu, dan yang demikian boleh dituntut melalui tindakan dalam Mahkamah.”

Kesimpulannya, hadiah yang diberikan sebagai hantaran untuk pertunangan boleh untuk diambil kembali sekiranya mereka tidak jadi untuk berkahwin.

Pemberian tersebut boleh dipulangkan sama ada dengan memberikan kembali pemberian tersebut atau jika tidak ada maka boleh digantikan dengan nilainya. Selain itu, tuntutan semula hadiah tersebut boleh dibuat di mahkamah.

Baca Di Sini:

‘Nak Pikat Hati Tunang, 10 Ke 15 Kali Imran Aqil Hafal Doa Nabi Musa.’ Baru Hafal, Belum Amal Pun Allah Dah Bagi CASH

Kashoorga: Tidak menjadi masalah untuk menuntut semula, apatah lagi majlis pernikahan yang dirancang tidak menjadi kenyataan.

Sumber: Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan

Follow kami di Facebook, Website, Instagram dan YouTube Kashoorga untuk mendapatkan info dan artikel-artikel menarik.

Published by
Syazwani Mehat