Pasti kita semua pernah mendengar kisah Qarun yang tenggelam dengan harta-hartanya. Kisah Qarun ada disebut dalam surah Al-Qasas ayat 76-82. Dek kerana sombong dengan harta diperolehnya kerana beranggapan itu usaha keras dan kebijaksanaannya, Allah memberi pengajaran buat kita agar setiap harta yang kita peroleh hari ini ada hak orang lain di dalamnya iaitu dengan membayar zakat. Masa yang sama kita diajar agar tidak ada perasaan riak dan sombong dengan harta sedia ada.
Sesungguhnya Qarun adalah dia dari kaum Nabi Musa, kemudian dia berlaku sombong dan zalim terhadap mereka dan Kami telah mengurniakannya dari berbagai jenis kekayaan yang anak-anak kuncinya menjadi beban yang sungguh berat untuk dipikul oleh sebilangan orang yang kuat sasa. (Dia berlaku sombong) ketika kaumnya berkata kepadanya: Janganlah engkau bermegah-megah (dengan kekayaanmu), sesungguhnya Allah tidak suka kepada orang-orang yang bermegah-megah. (seperti lagakmu itu) (Al-Qasas ayat 76).
“Dan tuntutlah dengan harta kekayaan yang telah dikurniakan Allah kepadamu akan pahala dan kebahagiaan hari akhirat dan janganlah engkau melupakan bahagianmu (keperluan dan bekalanmu) dari dunia dan berbuat baiklah (kepada hamba-hamba Allah) sebagaimana Allah berbuat baik kepadamu (dengan pemberian nikmatNya yang melimpah-limpah) dan janganlah engkau melakukan kerosakan di muka bumi; sesungguhnya Allah tidak suka kepada orang-orang yang berbuat kerosakan. (Al-Qasas ayat 77)
Dahulu sebelum menjadi kaya raya, Qarun asalnya ialah seorang cendekiawan pada zaman Nabi Musa, yang mendalami Kitab Taurat. Beliau adalah seorang yang miskin dan orang soleh dan masa yang sama amat suka membantu orang lain. Hinggalah orang-orang miskin lain begitu mengharapkan bantuannya dan Qarun merasakan adalah tanggungjawabnya untuk menjadi kaya dan membantu orang-orang miskin ini. Maka beliau berjumpa Nabi Musa dan meminta Baginda mendoakannya agar menjadi kaya. Begitu juga rakan-rakannya yang miskin mendoakan Qarun agar menjadi kaya.
Akhirnya Allah telah mengurniakan kekayaan, kemewahan yang tidak ada tolok banding kepada Qarun. Namun sayangnya, hasratnya untuk membantu orang lain telah bertukar. Qarun gelap mata dengan harta kekayaannya, malah tidak sedikitpun bersyukur atas kurniaan Allah.
Qarun menjawab (dengan sombongnya): Aku diberikan harta kekayaan ini hanyalah disebabkan pengetahuan dan kepandaian yang ada padaku. (Kalaulah Qarun bijak pandai) tidakkah dia mengetahui dan pandai memahami, bahawa Allah telah membinasakan sebelumnya, dari umat-umat yang telah lalu, orang-orang yang lebih kuat daripadanya dan lebih banyak mengumpulkan harta kekayaan ? Dan (ingatlah) orang-orang yang berdosa (apabila mereka diseksa) tidak lagi ditanya tentang dosa-dosa mereka, (kerana Allah sedia mengetahuinya). (Al-Qasas ayat 78)
Kemudian Qarun keluar kepada kaumnya dengan memakai perhiasannya. (Pada saat itu) berkatalah orang-orang yang semata-mata inginkan kesenangan kehidupan dunia: Alangkah baiknya kalau kita ada kekayaan seperti yang didapati oleh Qarun! Sesungguhnya dia adalah seorang yang bernasib baik.(Al-Qasas ayat 79)
Dan berkata pula orang-orang yang diberi ilmu (di antara mereka): Janganlah kamu berkata demikian, pahala dari Allah lebih baik bagi orang yang beriman dan beramal soleh dan tidak akan dapat menerima (pahala yang demikian) itu melainkan orang-orang yang sabar. (Al-Qasas ayat 80).
Lalu Kami timbuskan dia bersama-sama dengan rumahnya di dalam tanah, maka tidaklah dia mendapat sebarang golongan yang boleh menolongnya dari azab Allah dan dia pula tidak dapat menolong dirinya sendiri. (Al-Qasas ayat 81)
Dan orang-orang yang pada masa dahulu bercita-cita mendapat kekayaan seperti Qarun mulai sedar sambil berkata: Wah! Sesungguhnya Allah memewahkan rezeki bagi sesiapa yang dikehendakiNya dari hamba-hambaNya dan Dialah juga yang menyempitkannya kalau tidak kerana Allah memberi pertolongan kepada kita tentulah kita akan dibinasakan dengan tertimbus di dalam tanah (seperti Qarun). Aduhai! Sesungguhnya orang-orang yang kufurkan nikmat Allah itu tidak akan berjaya! (al-Qasas ayat 82).
Dalam hidup begitulah, jangan sesekali riak dengan harta sedia ada kerana semuanya milik Allah. Di saat kita menayang harta ada lagi orang terkesan dengan kehidupannya. Dan berdosa jika kita tidak membantu mereka dengan harta kita ada.