Qunut Nazilah, Doa Kita Untuk Palestin. Ini Cara Pelaksanaan & Bacaannya

Share

Rentetan serangan tentera Israel di Semenanjung Gaza, Palestin, kita diseru membuat solat hajat dan membaca Qunut Nazilah bagi kesejahteraan dan keselamatan saudara seagama kita.

Namun kalangan kita mungkin masih ada yang belum memahami tentang apa itu qunut nazilah yang dimaksudkan ini.

Apa itu Qunut Nazilah

Menurut mantan Mufti Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri, qunut pada asasnya merupakan suatu doa.

Terdapat dua jenis bacaan doa qunut iaitu Qunut Ratibah yang sering dibaca ketika solat Subuh pada iktidal rakaat kedua dan semasa solat sunat witir bermula pertengahan bulan Ramadan, ungkapnya.

“Satu lagi dikenali sebagai Qunut Nazilah. Inilah doa yang disunatkan untuk dibaca di dalam solat ketika berlaku sesuatu musibah atau bencana khususnya melibatkan Muslim,” katanya dipetik menerusi laman web maktabahalbakri.com.

Rasulullah membawa doa ini ketika berlaku perkhianatan

Dr Zulkifli kemudian mengemukakan sebuah hadis yang mana Rasulullah SAW membaca Qunut Nazilah ketika berlaku perkhianatan dan pembunuhan ke atas beberapa sahabat Baginda SAW.

Antaranya Anas bin Malik RA meriwayatkan bahawa: “Bahawasanya Ri’lan, Zakwan, Usaiyah dan puak Lahyan meminta bantuan daripada Nabi Muhammad SAW untuk menyediakan kepada mereka beberapa orang lelaki untuk memerangi musuh mereka.

Maka Baginda SAW menghantarkan kepada mereka 70 orang lelaki dari golongan Ansar yang dikenali sebagai al-Qura’ (penghafaz al-Quran). Maka mereka ini membantu untuk mengumpul katu api pada siang dan bermunajat kepada ALLAH pada waktu malam. Ketika mana mereka (golongan Ansar) sedang berada di lembah Ma’una, mereka dibunuh dan dikhianati. Apabila berita ini sampai kepada Rasulullah, Baginda membaca Qunut (Nazilah) selama sebulan dalam solat Subuh mendoakan (kecelakaan) ke atas puak Arab, Ri’lan, Zakwan, Usaiyah dan puak Lahyan.” (Hadis Riwayat al-Bukhari)

Berdasarkan nas dan perbahasan para ulama, Dr Zulkifli menjelaskan, diharuskan untuk kita membaca Qunut Nazilah ketika umat Islam ditimpa musibah besar yang boleh memudaratkan agama suci itu dan Muslim secara keseluruhan sama ada diperangi secara nyata atau dikhianati musuh.

Pelaksanaan Qunut Nazilah

Qunut Nazilah boleh dibaca pada setiap solat fardhu: Zohor, Asar, Maghrib, Isyak dan Subuh. Ia dibaca pada rakaat terakhir selepas bangun dari Rukuk untuk iktidal. Doa dibaca ketika berdiri untuk Iktidal.

Ada tiga cara membaca doa tersebut, iaitu kita boleh memilih salah satu dari cara-cara berikut:
-Membaca doa Qunut sepertimana yang biasa dibaca ketika solat Subuh.
-Membaca Qunut Nazilah sahaja
-Membaca Qunut subuh dan diikuti dengan Nazilah

Bacaan Qunut Nazilah

Sumber: Sinar Harian, Jabatan Kemajuan Islam Malaysia, Akuislam.com

 

Published by
Team Kashoorga