Soalan:
Apa hukum membasuh kain dengan menggunakan mesin basuh?
Asal sesuatu pakaian yang bersih dimasukkan oleh seseorang ke dalam mesin basuh tidak dikira bernajis melainkan terbukti kenajisannya.
Pakaian dicuci dengan menggunakan air yang bersih dan bahan-bahan yang boleh membersihkan. Setelah sesuatu pakaian itu dicuci dengan satu proses penyucian sehingga tiada lagi kesan najis sama ada bau, rasa dan warna, maka dikira pakaian itu bersih. Tidak diperintahkan oleh syara’ untuk kita membebani diri meneliti sesuatu proses pembersihan jika sudah terbukti cucian yang berlaku menghilangkan segala kesan najis.
Jika terbukti masih terdapat kesan najis selepas proses pembersihan menggunakan mesin basuh maka pakaian terbabit dikira masih bernajis. Namun jika kesan itu terlalu sukar untuk dihilangkan dan hanya sedikit seperti kesan warna darah atau warna najis yang tidak dapat dihilangkan maka dimaafkan.
Bagi mengelakkan kesan najis di dalam penggunaan mesin basuh maka digalakkan seseorang memastikan pakaian yang dimasukkan itu dihilangkan najis yang jelas yang akan menyebabkan pakaian lain terkena najis tersebut dan memberi kesan kepada bau, warna dan rasa.
Diperakukan dalam Mesyuarat
Majlis Agama Islam dan
Adat Istiadat Melayu Perlis
Bil 5/2019 pada 5 September 2019
Artikel Berkaitan: Senyum Dalam Solat, Tak Batalkan Sembahyang. Tapi Lain Pula Hukumnya Bila Ketawa!
SUMBER: Mufti Perlis