Seringkali kita mendengar nama Imam Bukhari di sebut atau membaca namanya tatkala ada penjelasan hal-hal tertentu memerlukan dalil Sunnah Rasulullah SAW.
Beliau merupakan cendekiawan Islam yang memiliki kebijaksanaan luar biasa dan mengingati lebih 200,000 hadis dan telah mengumpulkan hadis-hadis sahih dalam kitab Hadis al-Bukhari.
Beliau mempunyai pengaruh besar dalam penyebaran agama Islam dan telah meninggal dunia pada 1 Syawal 256 iaitu ketika berumur 62 tahun.
Sesungguhnya kematian insan hebat dan beramal soleh ini telah dimuliakan Allah, apabila makamnya menjadi tarikan orang ramai.
Setelah jasadnya dikebumikan di kota Samarkand, tiba tiba keluarlah bau harum dari kubur beliau. Semerbak bau harum tersebut berlangsung berhari hari dan dicium oleh ramai orang.
Orang ramai kemudian merasa hairan sekaligus takjub melihat fenomena itu, maka mereka pun silih berganti menziarahi kubur Imam Bukhari dan membawa sedikit dari tanah tersebut tabarukan atau mengambil berkat dengan keberkatan Imam Bukhari r.a.
Kerana khuatir akan kubur beliau disalahgunakan oleh orang ramai, maka pihak pengurusan makam telah menambah kembali kubur tersebut dengan tanah yang baharu di atasnya. Walaupun banyak tanah digunakan, tanah tersebut tetap mengeluarkan bau harum.
Berikutan itu, tiada pilihan lain bagi mengatasi haruman kubur Imam Bukhari, maka pihak pemakaman terpaksa membina seakan jalinan kayu yang kuat.
Suatu malam, seorang sahabat Imam Bukhari bermimpi berjumpa dengan Imam Bukhari, kemudian bertanya, “apa rahsia dari bau yang semerbak harum ini?”, Imam Bukhari kemudian menjawab,
“بكثرة الصيام و عدم الوقيعة في الناس”
“Dengan banyak berpuasa dan menjaga diri dari mencela dan merendahkan orang lain”.
Dan sesungguhnya tidak dinafikan bahawa Imam Bukhari sangat jarang berbicara atau mengeluarkan pendapat yang menjurus ke dalam celaan atau hinaan kepada seseorang, bahkan dalam penilaian Jarh kepada seorang rawi, sehingga lafaz terberat yang mungkin dilontarkannya ketika menjarh adalah “فيه نظر“..
Semoga kita dapat mencontohinya dalam menjaga hati dan lisan dari mencela, mencaci, merendahkan dan menghina seseorang, walaupun itu dalam keadaan ingin menasihati.
Artikel berkaitan:Wanita Dalam Iddah Lebih Elok Tinggal Di Rumah Dari Iringi Jenazah Suami Ke Kubur. Ini Penjelasan Mufti!
Artikel berkaitan:15 Minit Percubaan ‘Masuk’ Kubur Hidup-hidup, Amat Menginsafkan
Ringkasan Latar belakang:
Kita memang sudah biasa dengan nama Imam Bukhari kerana seringkali kita mendengar namanya disebut dan membaca namanya apabila ada hadis-hadis sahih diriwayatkan oleh beliau.
Nama penuh Imam Bukhari ialah Abu Abdullah Muhammad Bin Ismail Al-Bukhari. Dilahirkan pada 13 Syawal 194 Hijrah dan meninggal dunia pada 1 Syawal 256 Hijrah. Beliau terkenal sebagai pengarang kumpulan tradisi yang dikumpulkan dalam Sahih Bukhari, yang dianggap oleh Ahli Sunah Waljamaah sebagai hadis sahih daripada Nabi Muhammad SAW.
Beliau dilahirkan pada 13 Syawal 194 Hijrah di bandar Bokhara, di bahagian timur negeri Uzbekistan. Bapanya meninggal dunia semasa beliau masih kanak-kanak, dan ibunya membesarkan beliau bersendirian. Ibunya memelihara dan mendidiknya dengan penuh ihsan serta berkorban untuk memberikan pendidikan yang terbaik kepada beliau.
Beliau amat warak dan mempunyai daya ingatan yang luar biasa serta mempunyai kesungguhan dalam pelajarannya. Diriwayatkan bahawa ketika di dalam belasan tahun, beliau sudah menghafal 70,000 hadis Rasulullah SAW. Beliau meninggal dalam buangan dan dimakamkan di Samarkand, Uzbekistan.
Kashoorga: Sebagai satu contoh teladan mulia dan baik buat kita menjalani hidup dalam dunia fitnah hari ini. Kurangkan lah bercakap perkara-perkara yang tidak elok atau kurang penting. Lagi banyak kita bercakap, maka akan banyaklah nanti luahan kata-kata yang tidak sepatutnya dituturkan.
Sumber: Mualim