Rajin-Rajinlah Mengaji Al-Quran Bersama Pasangan, Ilmu Dapat, Hubungan Suami Isteri Pun Jadi Lebih Harmoni

Share

Selain solat berjemaah, mengaji Al-Quran bersama pasangan juga membawa kepada hubungan harmoni dalam rumahtangga.

Betapa indahnya jika anda berdua dapat mengalunkan kalam ALLAH ini dengan baik.

Di samping itu, ajarkanlah al-Quran kepada anak-anak. Semaikan semangat cintakan al-Quran dalam diri anak-anak sejak mereka kecil lagi.

Jika boleh, biarlah al-Quran sentiasa ada dalam diri mereka. Mudah-mudahan mereka mampu menghafaz al-Quran.

Jangan jadikan alasan sibuk untuk tidak mengaji al-Quran. Jika tidak mampu mengaji satu juzuk, mengajilah separuh juzuk.

Jika tidak mampu, 10 muka surat cukuplah. Jika tidak mampu juga, mengajilah satu muka surat. Jika tidak juga berkemampuan, mengajilah sekurang-kurangnya satu ayat al-Quran sehari. Begitulah pentingnya al-Quran dalam hidup kita.

Carilah masa. Masa paling sesuai ialah selepas mendirikan solat fardu maghrib. Selepas solat, duduk sebentar di atas sejadah dan bukalah al-Quran.

Mengajilah bersama pasangan anda. Anda pasti terasa harmoni dalam hati. Malah suasana kediaman anda juga pasti lebih tenang apabila penghuninya selalu mengaji al-Quran.

Tip mudah mengaji:

  1. Jadikan mengaji sebagai amalan setiap hari. Jadi jika tidak mengaji anda akan rasa kekurangan.
  2. Beli al-Quran kecil supaya mudah dibawa ke mana-mana sahaja. Misalnya ke destinasi percutian. Jadi tiada alasan untuk tidak mengaji jika berada di luar rumah.
  3. Beli al-Quran yang ada terjemahan supaya anda faham maksud ayat yang dibaca.
  4. Beli al-Quran yang ada panduan tajwid supaya anda membaca mengikut tajwid yang betul.
Published by
wan erni