Ternyata teaser drama Perempuan Itu yang dikongsi oleh pelakon Zul Ariffin semalam yang mempunyai adengan maksiat di mana lelaki dan perempuan berpelukan dan lagak bagai filem Barat serta bakal ditayangkan di bulan Ramadan yang bakal tiba tidak lama lagi mendapat perhatian dari Menteri Agama, Senator Idris Ahmad. Jelas Menteri Agama ini, Ramadan adalah bulan mulia dan tidak seharusnya dicemari dengan maksiat dan pihaknya bakal memanggil penerbit drama berkenaan untuk berbincang mengenainya.
Dalam satu perkongsian selepas teaser ini tular, Menteri Agama ini menulis di faceboknya.
Hela nafas panjang saya.
Apabila sebuah drama yang telah ditular untuk ditayangkan dalam bulan yang sepatutnya ditunggu oleh seluruh manusia yang beriman bagi mengejar taqwa, namun seolah dicemari dengan kegusaran yang saya kira melampui batas yang perlu ditegur.
Hiburan tidak dihalang dalam Islam.
Namun, tatacara hiburan dalam Islam pastinya terdapat disiplin yang tegas, apatah lagi melibatkan ikhtilat yang berlebihan dengan adegan yang ternyata mengundang maksiat.
Industri hiburan di Malaysia ini bukanlah perkara yang ingin saya halangi, tapi jika ianya mencemarkan fitrah dalam agama, saya tidak boleh membiarkan ianya berlaku tanpa dinasihati.
Saya akan menghubungi pihak yang terbabit untuk mendapatkan nasihat supaya perkara ini boleh ditegah dan diubah dengan hikmah.
Dalam masa yang sama, saya menyeru kepada seluruh umat Islam, tidak kira usia dan kedudukan, untuk bersiap menghadapi Ramadhan yang menjanjikan sejuta hikmah oleh Allah SWT.
Daripada Abu Hurairah RA, bahawa Nabi SAW bersabda:
مَنْ صَامَ رَمَضَانَ، إِيمَانًا وَاحْتِسَابًا، غُفِرَ لَهُ مَا تَقَدَّمَ مِنْ ذَنْبِهِ
Maksudnya: “Barangsiapa yang berpuasa di bulan Ramadhan dengan penuh keimanan dan pengharapan, maka akan diampunkan dosanya yang telah lalu.” [Riwayat al-Bukhari (38) dan Muslim (760)]
Persiapkan diri, pasangan, keluarga dan masyarakat sekeliling kita agar memeriahkan Ramadan dengan penuh pengharapan dan keinsafan. Jauhi perkara mendekatkan kita dengan maksiat, agar Ramadan kita tidak tercalar dan cacat cela.
Moga Allah terus memimpin kita.
#Ramadan
#TidakKepadaMaksiat
#NegarawanMuslim