Ramai Kagum Abang Grab Sempat Baca Quran Atas Motor, Kata Ulama Belilah Akhiratmu Dengan Duniamu

Share

Teruja mengejar dunia jangan sampai lupa akhirat. Teruja mengejar akhirat pula jangan sampai tinggalkan dunia. Dunia dan akhirat saling melengkapi, sebagaimana ilmu fardu ain dan fardu kifayah.

Kewajipan setiap Muslim adalah sentiasa menjaga adab dirinya seperti muraqabah (merasakan kehadiran Allah), muhasabah (menghisab diri), mujahadah (melawan hasutan nafsu) dan mu’ahadah (mengingat perjanjian dengan Allah).

Firman Allah dalam surah al Insyiqaq ayat 6 yang bermaksud:-

“Hai manusia, sesungguhnya kamu telah bekerja dengan sungguh-sungguh menuju Tuhanmu, maka pasti kamu akan menemui-Nya.”

Seperti kata ulama, belilah akhiratmu dengan duniamu. Jangan membeli dunia hingga akhiratmu tergadai.

Dikongsikan dari akaun Tik Tok @Mzaffarshah semalam, kelihatan dirinya merakam perbuatan baik seorang penghantar makanan Grab yang sempat membaca Al-Quran di persimpangan lampu isyarat. Mungkin memikirkan masa yang ada tidak dibuang begitu sahaja sementara menunggu lampu bertukar warna, kelihatan abang Grab sempat membaca al-Quran tanpa sedar gambarnya dirakam.

Ramai memuji tindakan Brother ini yang mengambil masa seminit dua untuk membuka Al-Qurannya. Bahkan ada netizen mengakui terasa malu kerana hanya duduk di rumah saja tapi tak mengaji pun.Malah ia bagaikan satu “tamparan kecil” bagi mengingatkan diri kita bahawa Ramadan bukan sekadar menahan lapar dan dahaga tapi bulan ibadah yang digandakan pahalanya beribu bagi yang berbuat kebaikan seperti ini.

Benarlah, ada hikmah yang kadang kala kita tidak sedar.

Manusia itu adakalanya terlalai oleh sifat lupa dan malas sebagaimana yang berlaku pada Nabi Adam A.S yang melanggar perintah Allah hingga dicampakkan dari syurga ke dunia.

Allah SWT juga berfirman dalam surah Adh-Dhariyat ayat 56-58 yang bermaksud:-

“Dan aku tidak menciptakan jin dan manusia melainkan supaya mereka mengabdi kepada-Ku. Aku tidak menghendaki rezeki sedikitpun dari mereka dan Aku tidak menghendaki supaya mereka memberi-Ku makan. Sesungguhnya Allah Dialah Maha pemberi rezeki yang mempunyai kekuatan lagi sangat perkasa.”

Apa yang penting, Allah S.W.T tidak memerlukan apa-apa dari manusia kerana kekuasaannya melebihi yang kita ada tetapi manusialah yang memerlukan Allah S.W.T.

Published by
almaswa Haji Che Ros