Apa itu solat sunat Rawatib? Solat sunat rawatib ialah solat sunat yang dikerjakan sebelum dan selepas solat fardu sebagai pelengkap atau tambahan untuk menampung kekurangan semasa mengerjakan solat fardu.

Solat ini adalah sunat muakkad iaitu yang amat dituntut dan digalakkan. Sunat Rawatib ini didirikan secara bersendirian (munfarid) dan tidak didirikan secara berjemaah. Bacaannya juga boleh dari surah-surah lazim.

Solat rawatib juga dikenali dengan nama solat sunat Qabliyah (dilakukan sebelum solat fardu) dan solat sunat Ba’diyah ( didirikan selepas selesai solat fardu).

Bila solat sunat muakkad ini dilakukan?

Melalui riwayat Ibnu ‘Umar R.A pula menunjukkan jumlah rakaat solat rawatib adalah sepuluh. Beliau berkata:-

حَفِظْتُ مِنْ النَّبِيِّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ عَشْرَ رَكَعَاتٍ رَكْعَتَيْنِ قَبْلَ الظُّهْرِ وَرَكْعَتَيْنِ بَعْدَهَا وَرَكْعَتَيْنِ بَعْدَ الْمَغْرِبِ فِي بَيْتِهِ وَرَكْعَتَيْنِ بَعْدَ الْعِشَاءِ فِي بَيْتِهِ وَرَكْعَتَيْنِ قَبْلَ صَلاَةِ الصُّبْحِ.

Maksudnya: Aku telah menghafal (menjaga) dari Nabi SAW tentang sepuluh rakaat (iaitu solat sunat) iaitu dua rakaat sebelum solat Zohor dan dua rakaat sesudahnya, dua rakaat setelah solat Maghrib, dua rakaat setelah solat Isyak dan dua rakaat sebelum solat Subuh. Sahih al-Bukhari (1180).

Justeru, timbul satu pertanyaan mengenai solat sunat Ba’diyah yang mana ramai terus mengejar solat sunat tarawih dan membiarkan solat sunat ini selepas Isyak. Berikut adalah perkongsian dari Ketua Penolong Mufti, Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan Dr Syed Shahridzan Syed Mohamed mengenai hal ini.

IKLAN

Ramai Rugi Tinggalkan Solat Sunat Ba’diyah Selepas Isyak, Lebih Afdal Dari Kejar Tarawih
Assalamualaikum ustaz. Dalam video ada seorang ustaz indonesia cakap solat ba’diah Isyak lebih afdal dari solat sunat tarawih. Dia tegur kesalahan ramai orang yang tak solat ba’diah tapi terus solat tawarih. Apa pandangan ustaz?

JAWAPAN:-

1) Dalam mazhab Syafi’i piawaian dalam menentukan solat² sunat yang terafdal berdasarkan kedudukannya yang disunatkan secara berjemaah atau tidak. Secara umumnya solat² sunat yang disyariatkan berjemaah adalah lebih afdal daripada solat sunat yang tidak disunatkan berjemaah.

2) Oleh yang demikian Imam Nawawi menjelaskan kedudukan(ranking) solat² dari sudut afdaliah berdasarkan berjemaah, kata beliau di dalam “Raudah al-Tolibin”:

اعلم أن أفضل النوافل مطلقا العيدان، ثم الكسوفان، ثم الاستسقاء. وأما التراويح، فإن قلنا: لا يسن فيها الجماعة، فالرواتب أفضل منها، وإن قلنا: يسن فيها، فكذلك على الأصح.

IKLAN

Maksudnya: “Ketahuilah bahawa seafdal² solat sunat secara mutlak adalah solat sunat dua hari raya, kemudian solat dua gerhana(bulan dan matahari), seterusnya solat minta hujan. Manakala solat Tarawih, jika kami menyatakan ia tidak disunatkan berjemaah maka solat sunat rawatib lebih afdal darinya. Jika kami menyatakan ia disunatkan berjemaah, maka begitulah juga, iaitu rawatib lebih afdal menurut pendapat yang paling sahih.”

3) Berdasarkan kenyataan di atas, solat sunat rawatib kedudukannya lebih afdal berbanding solat sunat Tarawih menurut pendapat yang muktamad dalam mazhab Syafi’i, meskipun solat Tarawih disunatkan berjemaah.

4) Perkara yang sama juga dinyatakan oleh Imam al-Rafi’i yang menukilkan kalam Imam al-Haramain di dalam “al-Syarh al-Kabir:

قال والأصح أن الرواتب أفضل منها وإن شرعنا فيها الجماعة

IKLAN

Maknanya: “Beliau berkata; pendapat yang paling sahih bahawa rawatib lebih afdal daripada Tarawih, meskipun kita disyariatkan berjemaah padanya.”

5) Mengapa solat Rawatib lebih afdal sedangkan ia tidak disunatkan berjemaah dan Tarawih pula sebaliknya? Persoalan ini dijawab oleh Imam al-Rafi’i, kata beliau:

ووجهه بأن النبي صلى الله عليه وسلم لم يداوم على التراويح، وداوم على السُّنَنِ الرَّاتِبَةِ، وعلى هذا، فالقول بأن ما شرع فيه الجماعة أفضل غير مجرى على إطلاقه، بل صلاة التراويح مستثناة منه

Maksudnya: “Jalan hujahnya kerana Nabi ﷺ tidak berterusan dalam melaksanakan solat Tarawih dan Baginda ﷺ melaksanakan solat² sunat Rawatib secara berterusan. Oleh yang demikian, pandangan yang menyatakan bahawa solat yang disyariatkan lebih afdal bukanlah secara mutlak, bahkan solat Tarawih dikecualikan (sebagai lebih afdal dari rawatib).”

6) Jelas atas apa yang dinyatakan bahawa menurut pendapat yang muktamad di dalam mazhab Syafi’i solat² sunat Rawatib lebih afdal dari solat Tarawih. Ini kerana rawatib merupakan amalan yang dilakukan secara konsisten oleh Baginda ﷺ. Sehingga jika solat Rawatib tertinggalkan Baginda ﷺ akan mengqadanya.

7) Kesimpulannya, solat sunat Ba’diah Isyak salah satu daripada solat² sunat Rawatib. Jelas ia lebih afdal dari solat sunat tarawih menurut mazhab Syafi’i. Oleh itu, amat rugi seseorang yang mengejar pahala dan ganjaran di bulan Ramadan meninggalkan solat Ba’diah Isyak dan hanya menumpukan solat sunat Tarawih. Sedangkan kita digalakkan agar memberi keutamaan kepada amalan yang paling afdal.

Wallahu A’lam
Dr. Syed Shahridzan Ben-Agil
@ Abu Ruqayyah Ba ‘Alawi

Isian rohani buat semua peringkat umur, semoga kita KASHOORGA bersama.
Insya-Allah, kita download seeNI sekarang ya?

KLIK DI SEENI