‘Rapat, saling menyayangi & taat agama.’ Seluruh keluarga terkejut insiden tragis 2 beradik berebut tempat duduk hingga membuatkan salah seorangnya hilang nyawa.
Tentu saja, ahli keluarga lebih mengenali kedua beradik ini. Oleh yang demikian mereka sukar untuk mempercayai apa yang telah berlaku. Kejadian yang berlaku sekelip mata ini tentu saja mengubah kehidupan keluarga ini secara total.
Tak dapat bayangkan, dari isu yang kita anggap remeh dan kecil mampu menjadi besar hingga nyawa tergadai. Semoga Allah mempermudahkan urusan mereka sekeluarga.
Artikel Berkaitan: Dalam Adik Beradik Bukan Semua Sekepala! Gaduh Bab Apa Pun, Jangan Putuskan Silaturahim. Tak Cium Syurga
Kedua-dua beradik yang terbabit dalam insiden tragis di Kampung Ulu Pulai, Ulu Choh, di sini, petang semalam, amat rapat, saling menyayangi dan taat pada agama.
Ahli keluarga yang enggan identitinya didedahkan berkata, seluruh keluarganya terkejut dan tidak percaya insiden menyayat hati itu menimpa mereka.
Katanya, kedua beradik itu dididik dalam keluarga dengan penuh kasih sayang dan ketakwaan dengan keluarga mereka amat rapat dan saling menyayangi.
“Kedua-dua beradik berkenaan adalah anak yang baik dan sangat bijak kerana sering mencatatkan keputusan cemerlang dalam peperiksaan, selain menjadi harapan keluarga.
“Mangsa yang berusia 16 tahun adalah bekas pelajar Maahad Pontian sebelum berpindah ke sebuah sekolah menengah di Gelang Patah.
“Manakala kakaknya belajar di Tingkatan Enam sekolah yang sama. Mereka berdua serta tiga lagi adik, adalah anak yang sangat baik dan dididik untuk saling berkasih sayang.
“Mereka juga dididik untuk tidak meninggalkan solat dan taat pada perintah agama. Apabila menerima berita mengenai insiden malang ini, saya enggan percaya kerana ia sangat tragis dan menyayat hati,” katanya ketika ditemui.
Sebelum ini, media melaporkan seorang seorang pelajar Tingkatan Empat di Kampung Ulu Pulai, Ulu Choh, di sini, disahkan meninggal dunia pada jam 2.30 petang semalam, dipercayai tertusuk pisau dibaling kakaknya.
Kejadian berkenaan dipercayai berpunca daripada perselisihan faham akibat berebut tempat duduk dalam kereta ketika pulang dari sekolah.
Dalam pada itu, ahli keluarga berkenaan berkata, ibu bapa mangsa trauma dan amat tertekan dengan insiden malang yang menimpa anak sulung dan anak kedua mereka.
Baca Di Sini:
Mak Ayah Didik Cara Old School, RAHSIA Kejayaan 10 Adik Beradik Graduan UIAM
“Mereka amat sedih dan tidak keluar rumah sejak kejadian itu petang semalam apatah lagi insiden tragis itu tular sejak malam tadi,” katanya.
Tinjauan dilakukan di rumah keluarga mangsa di Kampung Ulu Pulai mendapati, sanak saudara dan penduduk kampung berada di situ bagi menziarahi keluarga itu.
Bagaimanapun, anggota keluarga rapat enggan ditemubual dan memohon media memberi ruang untuk keluarga berkenaan bertenang.
Kashoorga : Berat ujian keluarga, mereka hilang dua anak sekaligus. Seorang meninggal dunia dan seorang lagi belum tentu nasibnya. Allahuakbar. Semoga Allah permudahkan urusan mereka dan mengurniakan kesabaran untuk melalui dugaan ini.
Sumber : myMetro
Follow kami di Facebook, Website, Instagram dan YouTube Kashoorga untuk mendapatkan info dan artikel-artikel menarik.