‘Rasa Ibadat Tak Sempurna.’ Qada Puasa 30 Hari Sebab Rasa Was-was, Ini Hukumnya

Share

‘Rasa ibadat tak sempurna.’ Qada puasa 30 hari sebab rasa was-was, ini hukumnya bila kita rasa ibadat puasa kita kurang sempurna. Sebenarnya perasaan was-was adalah hasutan syaitan.

Tapi sudah tentu hati tak tenteram bila merasakan ibadat puasa sepanjang Ramadan tak sempurna seperti yang diimpikan.

Ikuti perkongsian Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan dan ketahui hukumnya sama ada perlu qada atau tidak puasa tersebut.

Artikel Berkaitan:

Puasa Biar Sempurna Jangan Hanya Dapat Lapar Dan Dahaga

Rasa ibadat tak sempurna

Soalan:
Assalamualaikum ustaz. Bolehkah saya qada puasa disebabkan dari was-was terhadap puasa yang telah dilakukan pada Ramadan yang lepas.

Saya ingin qada manalah tahu kemungkinan ada kesalahan yang saya lakukan semasa puasa. Saya rasa puasa saya tidak sempurna dan apa yang saya buat setiap hari saya akan niat puasa qada sehinggalah cukup 30 hari.

Betul ke apa yang saya buat?. Mohon pencerahan dari ustaz menyelesaikan kekusutan saya ini.

Qada Puasa 30 Hari

Jawapan :
Qada puasa wajib dilakukan jika meninggalkan puasa secara sengaja atau melakukan perkara-perkara yang boleh membatalkan puasa. Ini berdasarkan perbuatan Aisyah yang diriwayatkan oleh Abu Salamah. Kata beliau :

كَانَ يَكُونُ عَلَيَّ الصَّوْمُ مِنْ رَمَضَانَ ، فَمَا أَسْتَطِيعُ أَنْ أَقْضِيَهُ إِلاَّ فِي شَعْبَانَ ، الشُّغْلُ مِنْ رَسُولِ اللهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ

Maksudnya :

‘Pernah ada puasa daripada bulan Ramadan yang sepatutnya aku ganti. Aku tidak mampu untuk menqada’nya kecuali pada bulan Sya’ban. Juga daripada (bersama) dengan Rasulullah saw.”
Riwayat Muslim (2657)
Ingin kami nyatakan, jika ragu-ragu atau was-was terhadap puasa yang telah dilakukan pada Ramadan yang lepas, maka tidak perlulah diganti.Ini kerana ianya tetap sah. Ini berdasarkan kaedah :

الأصل بقاء ما كان على ما كان

Maksudnya :
‘Asal (bagi satu hukum) adalah mengekalkan sepertimana ia.”

Kami juga menasihati agar jangan berlebih-lebih dan melampau-melampau walaupun melibatkan bab ibadat. Perkara ini telah diingatkan oleh Nabi saw yang diriwayatkan oleh Abdullah Bin Mas’ud :

هَلَكَ الْمُتَنَطِّعُونَ. قَالَهَا ثَلاَثًا

Maksudnya :
‘Hancurlah orang yang melampau-lampau. Nabi saw mengucapkannya sebanyak tiga kali.”
Riwayat Muslim (6955)

Sebab Rasa Was-was

Begitu juga, jauhilah sifat was-was dan ragu-ragu. Inilah hasil dari bisikan syaitan yang akhirnya menatijahkan kepayahan dan menyebabkan kehidupan seharian menjadi rumit. Bahkan ayah kita semua, Nabi Adam a.s pun tidak terlepas daripada bisikan syaitan.

Firman Allah :
فَوَسْوَسَ إِلَيْهِ ٱلشَّيْطَـٰنُ قَالَ يَـٰٓـَٔادَمُ هَلْ أَدُلُّكَ عَلَىٰ شَجَرَةِ ٱلْخُلْدِ وَمُلْكٍ لَّا يَبْلَىٰ

Maksudnya :
“Setelah itu maka Syaitan membisikkan (hasutan) kepadanya, dengan berkata:
“Wahai Adam, mahukah, aku tunjukkan kepadamu pohon yang menyebabkan hidup selama-lamanya, dan kekuasaan yang tidak akan hilang lenyap?”
(Surah Toha :120)

Penyakit was-was ini telah diingatkan oleh Nabi saw dan diberikan penyelesaian oleh Baginda. Sabda Nabi saw :

إِنَّ لِلشَّيْطَانِ لَمَّةً بِابْنِ آدَمَ وَلِلْمَلَكِ لَمَّةً فَأَمَّا لَمَّةُ الشَّيْطَانِ فَإِيعَادٌ بِالشَّرِّ وَتَكْذِيبٌ بِالْحَقِّ وَأَمَّا لَمَّةُ الْمَلَكِ فَإِيعَادٌ بِالْخَيْرِ وَتَصْدِيقٌ بِالْحَقِّ فَمَنْ وَجَدَ ذَلِكَ فَلْيَعْلَمْ أَنَّهُ مِنَ اللَّهِ فَلْيَحْمَدِ اللَّهَ وَمَنْ وَجَدَ الأُخْرَى فَلْيَتَعَوَّذْ بِاللَّهِ مِنَ الشَّيْطَانِ الرَّجِيمِ ثُمَّ قَرَأَ (الشَّيْطَانُ يَعِدُكُمُ الْفَقْرَ وَيَأْمُرُكُمْ بِالْفَحْشَاءِ)

Maksudnya :
Sesungguhnya syaitan ada bisikan kepada anak adam dan malaikat juga ada bisikan. Adapun bisikan syaitan, ia adalah bisikan keburukan dan memalsukan kebenaran.

Adapun bisikan malaikat adalah bisikan kebaikan dan membenarkan perkara yang hak. Barangsiapa yang terlintas akan bisikan kebaikan ketahuilah ia adalah daripada Allah. Maka pujilah Allah.

Sesiapa yang mendapat selain dari itu (iaitu bisikan keburukan) maka berlindunglah dengan nama Allah daripada syaitan yang direjam.

Ini Hukumnya

Kemudian Baginda membaca :

“Syaitan itu menjanjikan (menakut-nakutkan) kamu dengan kemiskinan dan kepapaan (jika kamu bersedekah atau menderma), dan ia menyuruh kamu melakukan perbuatan yang keji” [Surah al-Baqarah : 268]
Riwayat al-Tirmizi ( 3256) &al-Nasaie (11051) di dalam al-Sunan al-Kubra

Jika berlaku was-was, ucapkanlah أعوذ بالله من الشيطان الرجيم. Moga-moga kita diberikan kefahaman oleh Allah dan dijauhkan daripada bisikan-bisikan yang buruk sehingga membawa kepada was-was.

Baca Di Sini:

‘Usaha Abdikan Diri Pada Allah.’ Amalkan 5 Tip Ini Agar Terus Istiqamah Selepas Ramadan

Kashoorga: Semoga kita semua dijauhi daripada perasaan was-was serta bisikan syaitan.

Sumber: Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan

Published by
Syazwani Mehat