Rasa terhina dengan iklan raih simpati mohon sumbangan tahfiz, maahad mahupun masjid. ‘Macam Islam ini miskin sangat, tukarlah cara lain.’
Sebenarnya untuk memohon derma dan sumbangan tidak perlu meraih simpati atau merayu melalui cerita-cerita sedih atau kesusahan yang dilalui.
Sebaliknya ceritakan sesuatu yang lebih positif kerana pembinaan maahad, tahfiz dan masjid bukanlah sesuatu yang memalukan tetapi perkara yang cukup membanggakan sehingga sepatutnya orang lain berlumba-lumba untuk mengejar pahala.
Ikuti perkongsian Ustaz Nur Firdaus yang tidak selesa dengan cara mohon sumbangan sebegini kerana Islam bukan begini.
Artikel Berkaitan:
Maaf cakaplah. Saya secara peribadi tidak boleh terima cara mohon sumbangan maahad, pembinaan masjid dan tahfiz yang menggunakan NADA SEDIH serta RAIH SIMPATI dalam iklan mereka.
Tolonglah bangkit. Ingat kata-kata Abdullah bin Rawahah r.a ketika memberikan semangat kepada tentera Mu’tah,
“Kita berperang kerana Islam yang dengannya kita dimuliakan!”
Tolonglah bangkit. Bila kita bina sekolah, bermaksud kita sedang membina sebuah “pusat kecemerlangan dan pembentukan bakal-bakal penggerak dunia”.
Yang buka tahfiz, kamu sedang bina “pusat pembentukan pembawa kalam Allah, para penjaga Al-Quran”.
Malah, yang buka maahad, kamu sedang bina “pusat pembentukan ulama muda dan pakar syariah”.
Yang bina masjid, kamu sedang bina “pusat nukleus masyarakat untuk ibadah, pendidikan dan kebajikan.”
Mengapa guna nada sedih?
Mengapa ditonjolkan video keuzuran, runtuh, berlumut, anak-anak tidur atas lantai? Inikah rupa yang layak untuk pusat-pusat tersebut?
Gunakanlah nada semangat. Penerangan kena konstruktif, biar orang nampak jelas bahawa yang akan dibina ini bukan calang-calang tempat, tetapi tempat lahirnya bakal penjaga al-Quran, bakal ulama, bakal pakar-pakar bidang dan seumpamanya.
Terangkan visi dan misi betul-betul. Bagi orang faham bahawa sumbangan ini adalah untuk membangunkan agama dan anak-anak kita.
Jika guna nada sedih, maka ia lahirkan penderma yang selfish. Derma supaya lepas azab neraka. Derma supaya terbina mahligai di syurga. Itu yang jadi derma sekali sahaja. “Oklah tu, ustaz kata RM2.00 dapat satu bata di syurga.”
Bila kita terangkan matlamat dan nada motivasi, maka orang akan bersemangat untuk terus menderma sepanjang hayat, sebab dia tahu dari duit dialah akan lahirnya tokoh-tokoh di masa hadapan.
Kadang-kadang rasa terhina dengan sebahagian iklan yang terlalu mendayu raih simpati. Macam Islam ini miskin sangat.
Fikirlah betul-betul, orang lain akan anggap orang Islam tiada semangat membangunkan manusia, tapi sekadar untuk melepaskan akhirat masing-masing.
Pahala itu belum tentu kita dapat. Banyak juga ujian untuk kekalkannya.
Tapi kalau berniat untuk bangunkan agama dan bangsa, insyaallah lebih mudah menjaga keikhlasan dan di situlah sebenarnya jaminan pahalanya.
Harvard dan hampir semua university Ivy League terbina atas sistem waqaf (endowment). Berbilion dollar mereka ada, macam-macam mereka boleh buat. Sebab ada ramai yang menyumbang?
Sebabnya satu, kerana institusi ini sentiasa bentangkan visi mereka, apa yang mereka hendak capai dan lahirkan. Orang confident, orang terus fund.
Kita Islam. Lagilah ada satu kelebihan. Setiap yang kita fund itu ada nilaian akhirat, malah diganda-gandakan oleh Allah.
Tukarlah cara dan gaya kita.
Baca Di Sini:
‘Nak Sedekah, Jangan Bagi Saki-Baki.’ Dapat Gaji Terus Sedekah, Jangan Guna Dulu
Kashoorga: Nak minta orang buat baik tak perlu merayu-rayu mohon simpati.
Sumber: Ustaz Nur Firdaus
Follow kami di Facebook, Website, Instagram dan YouTube Kashoorga untuk mendapatkan info dan artikel-artikel menarik.