Seakan menjadi kebiasaan bagi ramai baik lelaki mahu pun wanita, waktu malam selesai Isyak kita duduk berkumpul, melepak dan bersembang kosong. Sama ada di rumah atau di restoren, ia boleh berlangsung hingga berjam-jam lamanya.

Hakikatnya mungkin ramai yang tidak mengetahui bahawa Nabi Muhammad SAW sendiri sebenarnya melarang kita dari berkumpul dan bersembang selepas waktu Isyak.

Ia berdasarkan hadis yang diriwayatkan oleh Abdullah Ibn Mas’ud R.A, Rasulullah S.A.W bersabda:

لاَ سَمَرَ إِلاَّ لِمُصَلٍّ أَوْ مُسَافِرٍ

Maksudnya: Tidak ada perbualan pada waktu malam melainkan untuk orang yang menunaikan solat atau bermusafir. Riwayat Al-Tirmizi (2730)

Perkara ini dikongsi dalam portal Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan, yang turut memberi penjelasan tentang hadis ini.

Perbuatan berjaga malam untuk berbual tidak dibolehkan kecuali

Syeikh Muhammad bin Abd al-Rahman Al-Mubarakfuri Rahimahullah dalam mensyarahkan maksud perkataan سَمَرَ beliau berkata: Ia adalah perbuatan berbual-bual pada waktu malam. Lihat Tuhfah Al-Ahwazi, Al-Mubarakfuri (1/433).

Ads

Berdasarkan hadis ini, perbuatan berjaga malam untuk berbual-bual selepas solat Isyak adalah tidak dibolehkan kecuali bagi orang yang solat ataupun sedang bermusafir.

Larangan ini secara lebih jelas dapat dilihat berdasarkan hadis yang diriwayatkan turut diriwayatkan oleh Ibn Mas’ud bahawa Rasulullah S.A.W bersabda:

جَدَبَ لَنَا رَسُولُ اللَّهِ ـ صلى الله عليه وسلم ـ السَّمَرَ بَعْدَ الْعِشَاءِ

Maksudnya: Rasulullah S.A.W melarang kami dari perbuatan berjaga malam (berbual-bual) selepas dari solat isya’. Riwayat Ibn Majah (703)

Ads

Imam Ibn Majah dalam komentar ringkasnya terhadap maksud perkataan جَدَبَ beliau berkata: ‘’Iaitu memberi amaran dan melarang kami’’.

Namun larangan di dalam beberapa riwayat di atas ini tidaklah datang dalam bentuk yang mutlak. Ini kerana terdapatnya beberapa riwayat yang menunjukkan bahawa Rasulullah S.A.W dan para sahabat sendiri melakukan hal ini (berjaga malam) iaitu dengan adanya hajat keperluan dan juga manfaat.

Antaranya adalah seperti yang ditunjukkan oleh sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Umar bin Al-Khattab R.A beliau berkata:

Ads

كَانَ رَسُولُ اللَّهِ صلى الله عليه وسلم يَسْمُرُ مَعَ أَبِي بَكْرٍ فِي الأَمْرِ مِنْ أَمْرِ الْمُسْلِمِينَ وَأَنَا مَعَهُمَا

Maksudnya: Rasulullah S.A.W pernah berbual-bual pada waktu malam bersama dengan Abu Bakar bagi membincangkan urusan-urusan umat Islam dan aku turut serta bersama mereka berdua. Riwayat Al-Tirmizi (169)

Kesimpulannya berjaga malam dengan tujuan untuk kebaikan seperti berbincang tentang sesuatu yang boleh mendatangkan maslahah untuk ummah, menuntut ilmu, menunaikan tanggungjawab kerja, dan selainnya adalah diharuskan.

Sebaliknya, berjaga malam untuk mencuri, melakukan maksiat, dan pelbagai kejahatan lain adalah haram hukumnya.

Manakala berjaga sehingga lewat malam untuk berbual-bual kosong, menonton wayang gambar (movie), melihat perlawanan bola sepak, dan seumpamanya sekiranya ia membawa kepada pengabaian terhadap solat subuh, maka ia membawa hukum makruh.

Sumber: Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan

Isian rohani buat semua peringkat umur, semoga kita KASHOORGA bersama.
Insya-Allah, kita download seeNI sekarang ya?

KLIK DI SEENI