Benarkah jika berkuasa, kita berhak menentukan segalanya termasuk menyalah gunakan kuasa yang ada. Jika kita memilih kehidupan merosakkan, maka menerima rasuah adalah jalan paling mudah untuk kaya raya. Namun ada ketika rasuah yang kita terima tidak menyelamatkan kita di dunia sebaliknya hanya mendapat aib bila hal tersebut terbongkar.
Dalil Pengharaman Rasuah
Pengharaman rasuah adalah jelas sama ada di dalam al-Quran dan al-Sunnah. Larangan rasuah dalam al-Quran diambil daripada celaan Allah SWT terhadap kaum Yahudi yang biasa mengambil rasuah. Allah SWT berfirman:
سَمَّاعُونَ لِلْكَذِبِ أَكَّالُونَ لِلسُّحْتِ
Maksudnya: Mereka sangat suka mendengar berita-berita dusta, sangat suka memakan segala yang haram (rasuah dan sebagainya)
Surah al-Maidah (42)
Imam al-Baghawi menjelaskan ayat ini dengan mengatakan: “(Ayat) ini turun berkenaan para hakim Yahudi, Ka’ab al-Asyraf dan yang sepertinya. Mereka menerima rasuah dan memutuskan hukum untuk memenangkan orang yang merasuah mereka.” (Lihat Ma’alim al-Tanzil, 3/58)
Begitu juga dengan firman Allah SWT:
وَلَا تَأْكُلُوا أَمْوَالَكُم بَيْنَكُم بِالْبَاطِلِ وَتُدْلُوا بِهَا إِلَى الْحُكَّامِ لِتَأْكُلُوا فَرِيقًا مِّنْ أَمْوَالِ النَّاسِ بِالْإِثْمِ وَأَنتُمْ تَعْلَمُونَ
Maksudnya: “Dan janganlah kamu makan (atau mengambil) harta (orang-orang lain) di antara kamu dengan jalan yang salah, dan jangan pula kamu menghulurkan harta kamu (memberi rasuah) kepada hakim-hakim kerana hendak memakan (atau mengambil) sebahagian dari harta manusia dengan (berbuat) dosa, padahal kamu mengetahui (salahnya).”
(Surah al-Baqarah: 188)
Al-Sobuni berkata: “Janganlah sebahagian kamu memakan sebahagian harta yang lain dengan cara yang tidak dihalalkan oleh Allah seperti kamu memberi rasuah kepada hakim-hakim.” (Lihat Sofwah al-Tafasir, 1/112)
Manakala dalam sebuah hadis yang diriwayatkan daripada Abdullah bin ‘Amr R.Anhuma, Rasulullah SAW bersabda:
لَعْنَةُ اللَّهِ عَلَى الرَّاشِي وَالْمُرْتَشِي
Maksudnya: “Laknat Allah kepada pemberi rasuah dan penerima rasuah.”
Riwayat Ahmad (6984) dan Ibnu Majah (2313)
Dalam hadis lain yang turut diriwayatkan daripada Abdullah bin ‘Amr R.Anhuma, beliau berkata:
لَعَنَ رَسُولُ اللَّهِ -صلى الله عليه وسلم- الرَّاشِىَ وَالْمُرْتَشِىَ
Maksudnya: “Rasulullah SAW melaknat pemberi rasuah dan penerima rasuah.”
Riwayat Ahmad (6532, 6778, 6830), Abu Daud (3582) dan al-Tirmizi (1337)
Memetik laporan Sinar Harian, Bekas Pengerusi Felda, Tan Sri Mohd Isa Abdul Samad dihukum penjara 54 tahun dan denda RM15.45 juta oleh Mahkamah Tinggi di sini pada Rabu selepas didapati bersalah atas sembilan pertuduhan kes rasuah RM3.09 juta berkaitan pembelian Merdeka Palace Hotel & Suites di Kuching pada tujuh tahun lalu.
Hakim, Mohd Nazlan Mohd Ghazali membuat keputusan itu selepas pihak pembelaan gagal menimbulkan keraguan munasabah terhadap pertuduhan tersebut.
Bagaimanapun, semua hukuman penjara itu diperintahkan berjalan secara serentak dan ini bermakna Mohd Isa atau lebih dikenali sebagai Isa Samad dipenjara selama enam tahun.
Mahkamah turut memerintahkan Isa Samad dihukum penjara 18 tahun jika gagal membayar denda.
Namun, mahkamah membenarkan bekas Pengerusi Felda untuk menangguhkan kesemua hukuman penjara dan denda sehingga rayuan dengan syarat iaitu jumlah jaminan dinaikkan daripada RM800,000 kepada RM1.5 juta dan ia perlu dilunaskan sebelum jam 2 petang, esok.
Ini sebab kenapa kempen #RasuahBusters dilakukan & semua pihak harus bergabung
Jangan Ambil, Jangan Beri! Dua tindakan ini mampu mengubah ekosistem rasuah yang parah di negara kita, dan tindakan itu bermula dari diri kita sendiri.
Ideaktiv turut terpanggil menyertai usaha membanteras rasuah yang dicetuskan oleh Pengerusi Kumpulan Media Karangkraf, Datuk Dr Haji Hussamuddin Yaacub menerusi kempen yang diperkenalkan beliau RasuahBusters.
Menerusi RasuahBusters, orang ramai dan organisasi diajak bersama-sama untuk tampil, berkongsi, membanteras dan sekali gus membasmi amalan rasuah dalam kalangan masyarakat di semua peringkat.
RasuahBuster menerusi media utama Sinar Harian membuka platform untuk orang ramai menyertai gelombang gerakan oleh rakyat demi rakyat, bagi menghapuskan budaya memberi atau menerima rasuah serta sebarang bentuk penyalahgunaan kuasa di negara ini.
Mendukung usaha tersebut, Ideaktiv mempergiat kempen berfasa bermula dengan kempen kesedaran tentang keburukan amalan rasuah untuk generasi masa kini dan akan datang. Ia diikuti dengan fasa seterusnya yang akan cuba menggerakkan orang ramai tentang tindakan yang boleh mengubah amalan rasuah secara menyeluruh.
Dengan matlamat membersihkan generasi rasuah kepada generasi bermaruah, kita berdiri bersama dan menjadi barisan hadapan RasuahBusters.
Ia boleh bermula dengan menyalurkan maklumat dan pertanyaan kepada:
rasuahbusters@gmail.com atau
(WA) : 019-3823635, 019-6680920