Raya 2 Atau 3 hb Mei? Ini Penjelasan Dari Ahli Falak

Share

Semakin ramai bertanya kita meraikan sambutan aidilfitri bila? 2 hb atau 3 hb Mei 2022? Ini kerana sudah banyak negara mengumumkan meraikan aidilfitri seperti Makkah, Indonesai dan lain lagi pada Isnin bersamaan 2 hb Mei.

Bagi yang masih keliru tentang bagaimana kiraan ahli falak, perkongsian dari fb Akmal Irfan Ikmal Hisham yang juga seorang ahli falak berautoriti boleh membantu kita memahami bagaimana perkiraan keadah anak bulan ini dibuat.

Baca penjelasannya. Moga tiada yang terkeliru kelak.

Walaupun JAKIM, Dato’ Dr Azhari dan ramai lagi tok guru dan malim sarjana falak telah memberi ulasan, saya sedikit gusar kerana ada lagi orang awam dalam lingkaran sosial media saya yang bersungguh-sungguh mempertahankan untuk beraya pada 2 Mei 2022 hari Isnin. Bahkan mereka telah berazam untuk tidak berpuasa pada hari Isnin walau apa jua berlaku.

Ini merupakan tulisan ringkas saya yang diterbitkan dalam BH hari ini. Artikel ini ditulis pada awal minggu. Isinya umum sahaja. Dalam ruang ini, khas buat rakan-rakan terdekat, saya ingin membuat sedikit ulasan tambahan berdasarkan pemerhatian peribadi.

1. Umat Islam di Malaysia sejak bertahun lamanya telah selesa dengan takwim tahunan yang disediakan oleh pihak berkuasa agama. Mereka mengandaikan takwim itu tepat. Hakikatnya, ketepatan takwim itu, khasnya untuk bulan Ramadan, Syawal dan Zulhijjah, masih tertakluk kepada hasil rukyah yang akan diisytiharkan oleh Penyimpan Mohor Besar Raja-raja (PMBRR). Ini lebih muktamad.

2. Praktis di Malaysia adalah berdasarkan rukyah dan hisab imkanur rukyah, berasaskan panduan wahyu. Sama ada bilangan hari dalam sebulan 29 atau 30 hari, penentuannya adalah berasaskan rukyah dan hisab imkanur rukyah.

3. Walaupun disebut dalam nas, ulamak khilaf dalam memperincikan persoalan hisab, antaranya daripada skop penerimaan, sehinggalah kepada kriteria hitungan. Waima khilafnya, hisab ada disebut dalam nas.

4. Pada awal pemakaian imkanur rukyah di Malaysia, kriteria yang digunakan ialah 2-3-8 (iaitu ketika waktu Maghrib, syaratnya sama ada bulan berada pada ketinggian melebihi 2 darjah dan jarang lengkung 3 darjah ATAU umurnya antara ijtima’ dan maghrib melebihi 8 jam). Sejak bertahun-tahun, kriteria ini dinilai, dan didapati perlu ada ruang penambahbaikan.

5. Maka mulai tahun 2021, atau spesifiknya Muharam 1443, kerajaan Malaysia menerusi MKI telah menerima pakai kriteria baru yang dikenali sebagai 3-6-4. Umur jam tidak lagi menjadi kriteria, sebaliknya dinilai sekiranya bulan pada waktu maghrib melebihi ketinggian 3 darjah, dan jarak lengkung melebihi 6.4 darjah. Sekiranya sama atau lebih, esok diisytiharkan bulan baru. Sekiranya tidak, maka istikmal kepada 30 hari.

6. Maka tahun 2022 menyaksikan, buat kali pertama, kita boleh membuat perbandingan antara kriteria lama 2-3-8 dan kriteria baru 3-6-4. Prof Susiknan melaporkan hisab Muslim Hussein, bahawa antara tahun 1443-1488, akan berlaku 31 perbezaan hitungan kalendar antara kriteria lama dan baru, di mana Ramadan berbeza sebanyak 6 kali, dan Syawal sebanyak 11 kali, sementara Syawal 14 kali. Maka pada Syawal 1443, perbezaan ini dapat disaksikan, apabila kriteria jarak lengkung tidak ditepati pada nilai yang rendah (sekitar 6 darjah berbanding kriteria 6.4 darjah di Malaysia). Hisab menggunakan kriteria lama akan mencadangkan Raya pada 2 Mei 2022, sementara dengan kriteria baru akan mencadangkan Raya pada 3 Mei 2022.

7. Walaupun menimbulkan sedikit kegusaran termasuk dalam pengamal falak, tetapi hakikatnya perbezaan ini membawa kita kepada hukum asal dan polisi isbat hilal Malaysia, iaitu rukyah dan hisab imkanur rukyah.

8. Kehangatan turut disumbang apabila ada pihak yang, di saat menerima kriteria baru yang diterima kerajaan Malaysia, tetapi dalam membuat hitungan, mengambil sumber astronomi daripada pihak luar, dengan cara yang tidak transparen, kurang beritegriti, dan kaedah yang menimbulkan tanda tanya. Sepatutnya, semua pihak perlu menggunakan data daripada almanak falak syarie yang diiktiraf ulil amri, iaitu yang disediakan oleh JUPEM dan diiktiraf setelah semakan berulang kali oleh pakar teknikal JAKIM. Data ini transparen, dan telah diuji bagi tujuan cerapan hilal. Bahkan banyak kali hitungan dibuat dengan data ini dan juga perbandingan data luar lain, tetapi tiada yang menghasilkan perbezaan sudut jarang lengkung seperti yang didakwa.

9. Faktor kehangatan yang lain, ialah viral video hitungan yang masih lagi menggunakan kriteria lama. Sedangkan kita telah menggunakan kriteria baru.

10. Selain itu, ada juga yang suka dan senantiasa berbeza pandangan dengan ulil amri. Mungkin demi populariti (خالف تعرف). Ada yang sudah bertekad tidak mahu berpuasa pada hari Isnin 2 Mei waima apa jua hasil rukyah. Ada yang berbahas menggunakan imej bulan sabit tua. Aduhai, bersabarlah dan tunggu dahulu rukyah dan perisytiharan PMBRR.

11. Ada juga yang sengaja menghangatkan keadaan, dengan menyatakan mengapa kita tidak berhari raya pada hari Isnin 2 Mei, seperti di Makkah. Logik mereka, tarikh hari raya mesti sama dengan Makkah. Sebenarnya, orang yang sama (yang saya kesan), menggunakan logik akal bahawa kita solat Jumaat pada hari Khamis, kerana mengapa kita solat Jumaat dulu berbanding Arab Saudi – sepatutnya kita hanya boleh solat Jumaat selepas Makkah solat Jumaat, ujar logik mereka. Ini contoh pemikiran songsang. Demi kepentingan, tidak konsisten dalam berhujah.

12. Memang benar matahari terbit dari arah timur. Tetapi dalam bab penampakan hilal, negara di belah barat adalah lebih berpeluang untuk nampak lebih awal. Ini asas ilmu falak. Jangan terperangkap dengan peta dunia yang didatarkan (mercator projection). Ini disebabkan faktor pergerakan dan umur anak bulan yang semakin tinggi dan tua ke belah barat. Maka menjadi suatu perkara yang normal sekiranya Arab Saudi sudah beraya, tetapi Malaysia masih berpuasa pada tarikh yang sama. Normal juga sekiranya beraya pada tarikh yang sama. Tetapi agak tidak logik sekiranya Malaysia beraya lebih awal berbanding Arab Saudi.

13. Kehangatan topik ini turut disumbangkan dengan sikap suka membandingkan dengan negara lain. Contohnya, membandingkan dengan Australia (yang tidak diketahui manhaj isbat hilal yang jelas), dan Indonesia. Kemungkinan besar, Indonesia akan beraya pada 2 Mei, sehari awal berbanding kita, kerana berdasarkan kriteria baru 3-6-4 itu, wilayah barat Indonesia khasnya di belah Sumatera, mungkin akan nampak anak bulan. Demi wilayatul hukmi tempatan Indonesia, maka disyorkan mereka beraya pada 2 Mei. Sedangkan di Malaysia, setelah berkali-kali dibuat hitungan dengan kriteria baru, tiada kawasan di Malaysia yang mungkin nampak anak bulan. Soal saya kepada mereka ini, anda berada di mana? Di Indonesiakah? Di Arab Saudikah? Di Australiakah? Atau di Malaysia? Kalau di Malaysia, ikutlah hasil rukyah dan hisab serta data Malaysia.

14. Maka cerapan Syawal 1443 akan menjadi cerapan yang amat dinantikan. Doakan pasukan pencerap dapat menjalankan tugas mereka dengan dedikasi, tanpa tekanan.

15. Sementara orang awam, yakinlah bahawa praktis isbat hilal di Malaysia dilakukan tanpa sebarang kepentingan, hasil perkembangan dan data bertahun-tahun usianya. Prosesnya dikawal oleh ramai pemerhati, penyelidik dan pakar falak. Dokumentasi juga boleh diperolehi secara terbuka tanpa sembunyi.

16. Maka bersabarlah pada hari mencerap nanti, Ahad 1 Mei. Dengar dan taatlah apa jua yang diisytiharkan oleh Penyimpan Mohor Besar Raja-raja. Aidilfitri tetap jatuh pada 1 Syawal J.

Moga lerai segala kekusutan. Moga kita fokus kepada ibadah akhir Ramadan. Moga makin kurang kita ber’mira’, berbeza pandangan dan bertelagah dalam isu ini.
Irfan
AJK Falak Negeri Pahang

Published by
almaswa Haji Che Ros