Rejab Bulan Yang Mulia, Bacalah Doa Ini Agar Kita Sempat Sampai Ke Ramadan

Share

Semalam bermulalah permulaan hari bagi bulan Rejab, 2 Februari 2022. Dikatakan, ia satu malam yang mustajab doa. Walau sudah berlalu namun doa ini masih boleh dibaca agar usia kita dapat sampai ke bulan Ramadan, bulan penuh keberkatan.

Apabila bermulanya Rejab, insya Allah jika dipanjangkan usia, kita akan memasuki ke bulan Sya’aban dan seterusnya Ramadan.

Para Sahabat dan Salaf As-Soleh dahulu telah melakukan persiapan untuk bertemu Ramadan beberapa bulan sebelumnya lagi. Kita pula bagaimana? Sudahkah bersedia untuk menyambut kedatangan bulan yang mulia ini?

Sabda Rasulullah Sallahu ‘alaihi wa sallam :-

والله إني لاستغفر الله وأتوب إليه في اليوم أكثر من سبعين مرة

“Demi Allah, aku beristighfar kepada Allah dan bertaubat kepadaNya lebih daripada 70 kali dalam sehari.” (Riwayat Imam Al-Bukhari)

Dan dalam hadis yang lain :

طوبى لمن وجد في صحيفته استغفاراً كثيراً

“Beruntunglah bagi yang didapati lembarannya itu istighfar yang banyak.” (Riwayat Imam An-Nasai’ dan Imam Ibn Majah).

Kata para ulama’ :-

“Rejab bulan Istighfar, Sya’aban bulan Selawat, Ramadan bulan Al-Qur’an.”

Hikmah :-

Dimulakan dengan Istighfar adalah kerana sebelum kita menerima limpahan cahaya dan nafahat serta rahsia-rahsia Al-Qur’an pada bulan Ramadan, maka hendaklah kita mempersiapkan hati kita dengan membersihkannya terdahulu iaitu dengan istighfar. Kerana cahaya itu tidak masuk ke hati yang tertutup dengan kegelapan.

Bulan Sya’aban pula dikhaskan untuk banyak berselawat adalah kerana untuk memperbaiki hubungan kita dengan Rasulullah. Sesungguhnya tanpa melalui lisan Rasulullah As-Syarif, kita tidak akan dapat menikmati nikmat Al-Qur’an itu.

Perbanyakkan berdoa malam ini. Moga-moga Allah menerima permintaan-permintan kita.

اللَّهُمَّ بَارِكْ لَنَا فِى رَجَبٍ وَشَعْبَانَ وَبَلِّغْنَا رَمَضَانَ
.
Ya Allah, berkatilah kami di bulan Rejab dan Sya’aban, serta sampaikanlah kami dengan bulan Ramadan.”

Rejab antara bulan yang mulia.

Dalam kalendar bulan islam terdapat 12 bulan. Dan dalam 12 bulan tersebut terdapat 4 bulan yang dimuliakan. Iaitu Zulkaedah, Zulhijjah, Muharam dan Rejab. Secara ringkas, dalam ke empat-empat bulan tersebut kita dilarang melakukan perkara-perkara yang dilarang seperti peperangan, penganiayaan dan lain-lain perbuatan yang diharamkan.

Bacalah doa bulan Rejab ini( dalam rumi) :-

Allahumma bariklana fii rajab, wasya’baan, wabaalighna ramadhan

Maksudnya:-
Ya Allah Ya Tuhanku, berkatilah kami pada bulan rejab, dan Sya’ban dan sampaikan (hidupkanlah) kami ke bulan Ramadan.

Kenapa rejab dikatakan bulan mulia?

Rejab secara bahasa bermaksud mengagungkan atau memuliakan. Bulan Rejab merupakan bulan yang ke tujuh dalam kalendar hijrah. Ia dinamakan Rejab kerana orang-orang Arab pada zaman jahiliah memuliakan bulan ini lantas mengharamkan apa jua bentuk peperangan pada bulan ini. Di antara kabilah Arab yang ekstrem dalam mengagungkan bulan Rejab ini adalah bani Mudhar.

Di dalam kalendar umat Islam terdapat dua belas bulan yang mana Allah S.W.T. telah memuliakan empat bulan darinya. Firman-Nya:-

“Sesungguhnya bilangan bulan-bulan di sisi (hukum) Allah ialah dua belas bulan, (yang telah ditetapkan) dalam Kitab Allah semasa Dia menciptakan langit dan bumi, di antaranya empat bulan yang dihormati. Ketetapan yang demikian itu ialah agama yang betul lurus, maka janganlah kamu menganiaya diri kamu dalam bulan-bulan yang dihormati itu (dengan melanggar larangan-Nya); dan perangilah kaum kafir musyrik seluruhnya sebagaimana mereka memerangi kamu seluruhnya; dan ketahuilah sesungguhnya Allah beserta orang-orang yang bertaqwa.” (al-Tawbah (9) : 36)

Imam al-Qurthubi berpendapat tafsiran : Maka janganlah kamu menganiaya diri kamu-di dalam ayat di atas bermaksud jangan seseorang itu menjadikan apa yang diharamkan pada bulan ini halal dan janganlah mengharamkan apa yang halal.

Jika firman-Nya di atas hanya menunjukkan terdapat empat bulan yang dihormati dalam setahun maka sabda Nabi SAW ini memperincikan lagi tentang nama bulan-bulan tersebut:

Sesungguhnya zaman itu akan terus berlalu sebagaimana saat Allah menciptakan langit dan bumi. Setahun itu ada dua belas bulan. Empat di antaranya ialah bulan-bulan yang haram, tiga di antaranya ialah berturut-turut, iaitu bulan-bulan Dzulqaedah, Dzulhijjah dan Muharram. Bulan Rejab adalah bulan Mudhar (nama satu kabilah) yang terletak di antara Jamadilakhir dan Sya’ban. (Hadis riwayat Imam al-Bukhari, no: 4662).

Sumber : Kisah Zakat Malaysia

Published by
almaswa Haji Che Ros