Solat sunat tarawih semakin menghampiri penghujungnya. Pasti ramai rindu untuk melakukan ibadah yang hanya muncul setahun ini.
Di bandar Acheh, viral kemerduan suara seorang remaja, Muhammad Syauqi Dibran Pratama yang menjadi imam solat tarawih termuda di Bandar Acheh. Lebih membuatkan nama anak muda ini menjadi sebutan adalah hafalan Al-Qurannya sangat sempurna.
Ini bukan kali pertama dirinya menjadi imam solat tapi sudah beberapa tahun sebelum ini lagi dan dirinya sering dijemput menjadi imam tarawih di beberapa buah masjid.
Pada usianya 16 tahun, di saat ramai anak muda ada telefon bimbit sendiri, Dibran tidak pernah memiliki telefon pun. Malah apa yang berlaku di media sosial langsung tidak diketahuinya, bimbang hafalan Al-Qurannya rosak.
Kesuksesan Dibran menjadi penghafal Al-Quran 30 juz dan imam solat terdidik dari keluarganya yang sangat mementingkan Al-Quran dalam kehidupan mereka.
Dirinya mula dikenali selepas Doktor Zaidul Akbar juga pendakwah dan doktor perubatan terkenal di Indonesia memuat naik kisah adik Dibran di media sosialnya.
Kata pendakwah ini, imam muda dan hafiz ini merupakan seorang pemuda yang sangat dekat dengan Al-Quran.
“Indahnya hidup seseorang yang dekat dengan Al-Quran. Ini kerana mendampingi Al-Quran maka Al-Quran akan menjawab semua urusan dan masalah dalam hidup seseorang.
“Semoga kita dimudahkan Allah untuk semakin dekat dengan Al-Qur’an dan kitab ini benar-benar menjadi darah daging dalam diri kita di penghujung Ramadan ini,”tambah doktor terkenal ini.