Risau Aurat Isteri. Apa Hukumnya Doktor Lelaki Sambut Kelahiran Anak?

Share

Setiap pasangan memang teruja apabila bakal sambut kelahiran anak, apatah lagi ia merupakan cahayamata pertama. Pelbagai persiapan awal telah dibuat agar kelahiran berjalan lancar termasuklah menginginkan doktor wanita yang menyambut kelahiran anak itu nanti.

Namun kita hanya merancang, ada ketikanya ibu terpaksa terima hakikat doktor yang bertugas untuk menyambut kelahiran pada hari itu adalah seorang doktor lelaki. Mustahil untuk menunda kelahiran di saat genting ketika itu.

Artikel berkaitan: Adab Sambut Kelahiran Bayi Bukan Azan & Iqamat Sahaja, Ayah Please Take Note!

Artikel berkaitan: Amar Baharin Kongsi Ayat Dari Surah Al-Imran Mohon Isteri Jadi Wanita Solehah, Sempena Ulang Tahun Kelahiran

Tak kan nak halau doktor lelaki itu? Jadi bagaimana agaknya pandangan Islam? Kita ikuti penjelasan ustaz Dr. Irwan bin Mohd Subri

bagi meredakan keresahan ibu hamil yang ingin menjaga auratnya.

“Isu doktor wanita menyambut kelahiran kembali menggegar alam maya. Isunya ialah suami dan netizen tidak mahu doktor lelaki menyambut kelahiran dan tidak mahu doktor lelaki melihat, menyentuh apa tah lagi menyeluk (istilah tepat ialah pemeriksaan bukaan) faraj isteri,” ujarnya di awal coretan

Hukum asal atau yang dikatakan hukum azimah ialah haram melihat faraj wanita lain saja-saja (tanpa sebab kukuh). Dalam hal ini, ia terpakai kepada doktor lelaki dan wanita.

“Maksudnya orang lelaki yang bukan suami tidak boleh (haram) melihat faraj wanita lain termasuklah faraj mahramnya tanpa alasan kukuh. Begitulah juga orang wanita tidak boleh (haram) melihat faraj wanita lain saja-saja tanpa ada keperluan,”

Jika alasan bahawa doktor lelaki tidak boleh melihat faraj isteri ketika melahirkan anak, sepatutnya alasan sama digunakan juga terhadap doktor wanita; tidak boleh melihat faraj isteri ketika melahirkan anak. Ini kerana hukum azimah ialah tidak boleh melihat faraj wanita lain secara saja-saja. Sama ada doktor lelaki dan wanita sama sahaja hukumnya.

“Namun kita bercakap tentang proses melahirkan anak. Adalah satu keperluan untuk seseorang menyambut kelahiran tersebut. Seseorang itu sama ada seorang lelaki atau seorang wanita.

“Jadi, keadaan hukum asal azimah telah berubah menjadi hukum rukhsah, iaitu daripada hukum tidak boleh melihat faraj wanita lain secara saja-saja, kepada hukum “harus” bahkan terkadang menjadi “wajib” untuk melihat faraj wanita yang melahirkan anak”, ulasnya lanjut

Proses melahirkan anak telah menjadi hajat (keperluan) atau darurat (kecemasan) yang mana ia dinamakan rukhsah (keringanan) hukum. Hukumnya tidak lagi sama dengan keadaan hukum asal azimah.

Ketika berlaku situasi hajat atau darurat, pesakit (isteri) tidak berdosa kerana mendedahkan aurat farajnya kepada orang lain. Doktor sama ada wanita atau lelaki tidak berdosa melihat faraj wanita lain ketika sambut kelahiran. Kata kuncinya ialah hukum azimah dan hukum rukhsah. Begitu juga hajat dan darurat.

Dari segi awlawiyyatnya adalah lebih baik doktor atau jururawat wanita yang menyambut kelahiran. Sekiranya tiada doktor wanita bertugas, diharuskan kepada doktor lelaki untuk menyambut kelahiran. Sudah tentu, sama ada wanita atau lelaki yang menyambut kelahiran perlu mematuhi prinsip Syarak, antaranya ialah tidak melebihi had sepatutnya.
الضرورة تقدر بقدرها

Tuntutan supaya doktor O&G hanya dikhususkan kepada wanita sahaja demi menyelamatkan maruah faraj isteri adalah penyelesaian juz’ie (kecil atau sebahagian) sahaja. Penyakit-penyakit lain juga memerlukan pendedahan aurat selain faraj seperti barah payudara, tiroid, barah usus dan lain-lain.

Dalam keadaan tanpa alasan kukuh atau saja-saja (azimah), aurat selain faraj juga haram dilihat. Namun dalam situasi sakit (rukhsah), diharuskan untuk melihat dan menyentuhnya.

Berhujah dengan maqasid Syariah dalam pertembungan hifzu al-din (hukum aurat) dan hifzu al-nafs (nyawa/kesihatan) juga selalu disalahfaham. Ada situasi yang wajib didahulukan al-din seperti jihad.

Ada pula situasi yang wajib didahulukan al-nafs demi menjaga al-din seperti rawatan kesihatan khususnya yang melibatkan hidup mati pesakit. Sebab itulah imam al-Shatibi meletakkan satru al-awrah (tutup aurat) dalam kategori tahsiniyyat dan bukannya daruriyyat.

Wallahu A’lam bi al-Sawab.

Published by
Emma Masri