Solat sunat yang paling dituntut antara solat-solat sunat rawatib yang lain adalah dua rakaat solat sunat fajar atau solat sunat sebelum Subuh
Ini kerana terdapat banyak kelebihan buat mereka yang menjadikan solat sunat ini sebagai rutin. Ia berdasarkan sebuah hadis;
Daripada Aisyah RA, bahawa Nabi SAW bersabda:
لَمْ يَكُنِ النَّبِيُّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ عَلَى شَيْءٍ مِنَ النَّوَافِلِ أَشَدَّ مِنْهُ تَعَاهُدًا عَلَى رَكْعَتَيِ الفَجْرِ
Maksudnya: “Tidak pernah dilihat Nabi SAW begitu mengambil berat berkaitan solat-solat sunat sebagaimana Baginda SAW mengambil berat tentang dua rakaat fajar”. [Riwayat al-Bukhari (1116)]
Daripada Aisyah RA, bahawa Rasulullah SAW bersabda:
رَكْعَتَا الْفَجْرِ خَيْرٌ مِنَ الدُّنْيَا وَمَا فِيهَا
Maksudnya: “Dua rakaat fajar adalah lebih baik daripada dunia dan seisinya”. [Riwayat Muslim (725)]
Panduan solat sunat sebelum Subuh
Hanya dua rakaat tapi ganjarannya cukup besar, lebih baik seisi dunia. Justeru adalah amat rugi jika tidak merebut ganjaran ini.
Berikut adalah panduan untuk melaksanakan solat sunat sebelum subuh yang paling ringkas.
Niat
Niat adalah seperti yang berikut:
Usolli sunnatal fajri rak’ataini lillahi taala
Maksudnya: “Sahaja aku menunaikan solat sunat fajar dua rakaat kerana Allah Taala”
Cara solat
Pergerakan melakukan solat sunat sebelum subuh ini adalah sama seperti solat fardu subuh. Cumanya, ia tidak mempunyai bacaan doa qunut pada rakaat kedua.
Bagi bacaan surah selepas surah Al-Fatihah, dicadangkan membacakan surah Al-Kafirun pada rakaat pertama dan surah Al-Ikhlas pada rakaat kedua.
Doa selepas solat
Boleh juga membaca doa ini selepas solat sunat sebelum subuh
Boleh qadha jika terlewat
Sekiranya tidak berkesempatan melakukan solat sunat subuh kerana terlewat atau kerana imam mengerjakan solat subuh berjemaah terlalu cepat, disunatkan untuk menggantikannya (qadha solat)
Solat sunat ini dapat digantikan dalam dua waktu:
1. Sebaik sahaja selepas selesai mengerjakan solat fardu subuh.
2. Lebih utama dilakukan selepas terbit fajar.
Sumber: AkuIslam, Mufti Wilayah Persekutuan
Insya-Allah, kita download seeNI sekarang ya?
KLIK DI SEENI
Amalan ‘Mengambil Berkat’ Dalam Islam, Kena Tahu Bezakan Antara Berkat Yang Dibenarkan & Berkat Yang Salah
Baru-baru ini banyak diperkatakan tentang perbuatan ‘mengambil berkat’ dilakukan oleh ahli sebuah pertubuhan Islam yang dikaitkan dengan ketaksuban terhadap pemimpin mereka.
Ada yang dilihat keterlaluan malah menjijikkan bila sanggup meminum air rendaman janggut dan air basuhan badan pemimpin. Ada yang memandang serius hal ini malah tak kurang yang menjadikan ia satu bahan lawak.
Tapi perlu dijelaskan dalam Islam hukumnya perlakukan mengambil berkat atau bertabarruk ini dan adakah dalil yang mengharuskan ‘mengambil berkat’ ini.
Pencerahan tentang perkara ini dibuat oleh Ustaz Wadi Annuar dalam satu hantaran beliau di media sosial.
Kena tahu makna mengambil berkat
Berkaitan dengan mengambil berkat dengan seseorang atau sesuatu, umat Islam mesti mempunyai ilmu untuk membezakan mengambil berkat yang dibenarkan, mengambil berkat yang salah dan boleh tersesat. Untuk memahaminya, kita kena tahu makna mengambil berkat.
Mengambil berkat bermaksud: mengharapkan berkat daripada Allah ﷻ dengan perantara sesuatu. Setiap orang Islam perlu memahami bahawa keberkatan itu datangnya dari Allah ﷻ. Keberkatan tidak datang dari mana-mana benda atau individu.
Dalam al-Quran Allah ﷻ berfirman:
Maksudnya: “Dan (Tuhan berfirman lagi): Sekiranya penduduk negeri itu, beriman serta bertaqwa, tentulah Kami akan membuka kepada mereka (pintu pengurniaan) yang melimpah-limpah berkatnya, dari langit dan bumi. Tetapi mereka mendustakan(Rasul Kami), lalu Kami timpakan mereka dengan azab seksa disebabkan apa yang mereka telah usahakan.”(Surah al-A’raf: 96)
Al-Allamah Raghib al-Asfahani berkata di dalam kitabnya al-Mufradat fi Gharib al-Quran: Yang dinamakan berkat kerana kebaikannya yang tetap pada perkara yang diberkati seumpama tetapnya air dalam bekas.
Hukum Bertabaruk Dengan Orang-Orang Soleh
Terdapat perbezaan pandangan ulama mengenai hukum bertabaruk dengan orang soleh. Sebahagian ulama berpandangan bahawa hukumnya adalah harus manakala sebahagian lagi tidak membenarkannya.
Jumhur ulama dalam kalangan ulama empat mazhab membenarkan untuk bertabaruk dengan orang soleh. Perbahasan mengenai bertabaruk dengan orang soleh dibincangkan pada pelbagai bab dalam kitab fiqah.
Dalil-dalil keharusan bertabaruk dengan orang-orang soleh:
- Al-Quran
Maksudnya: “Dan Nabi mereka, berkata lagi kepada mereka: “Sesungguhnya tanda kerajaan Talut itu (yang menunjukkan benarnya dari Allah) ialah datangnya kepada kamu peti Tabut yang mengandungi (sesuatu yang memberi) ketenteraman jiwa daripada Tuhan kamu, dan (berisi) sebahagian dari apa yang telah ditinggalkan oleh keluarga Nabi-Nabi Musa dan Harun; peti Tabut itu dibawa oleh malaikat. Sesungguhnya peristiwa kembalinya Tabut itu mengandungi satu tanda keterangan bagi kamu jika betul kamu orang-orang yang beriman”. (Surah al-Baqarah: 248)
Disebutkan dalam kitab al-Futuhat al-Ilahiyyah karangan Syeikh Sulaiman al-Jamal bahawa Bani Israel memiliki sebuah berkas yang akan diletakkan di hadapan mereka ketika mereka ingin berperang. Mereka mengharapkan kemenangan melaluinya. Dalam bekas tersebut mengandungi antaranya serban Nabi Harun AS dan selipar serta tongkat Nabi Musa AS.
- Hadis
Maksudnya: “Beberapa orang bayi dibawa kepada Baginda lalu Nabi mendoakan keberkatan dan mentahnikkan mereka. Kemudian seorang bayi dibawa kepada Nabi lalu bayi itu terkencing (di atas riba Nabi ﷺ). Nabi meminta air lalu Nabi membersihkan kencing tersebut tanpa membasuhnya.”(Riwayat Muslim)
Imam al-Nawawi ketika menjelaskan makna hadis ini berkata:
Maksudnya: “Pada hadis ini terdapat beberapa pengajaran, antaranya: mentahnikkan kanak-kanak yang baru lahir dan ia merupakan suatu yang disunatkan berdasarkan ijmak para ulama, antaranya lagi mentahnikkan oleh seorang yang soleh sama ada lelaki atau perempuan dan juga mengambil berkat dengan peninggalan, air liur atau apa sahaja daripada orang-orang yang soleh.” .
Antara hujah yang lain, iaitu satu riwayat hadis yang berbunyi:
Maksudnya: “Nabi ﷺ mengubati dirinya ketika baginda sakit yang menyebabkan baginda wafat dengan membaca muawwizat (surah al-Ikhlas, al-Falaq dan al-Nas). Manakala ketika Nabi ﷺ dalam keadaan gering aku membacakan muawwizat dan meniupkannya serta menyapu dengan tangan Baginda kerana keberkatannya.”(Riwayat al-Bukhari)
Ibn Hajar al-Asqalani menerangkan bahawa hadis ini menunjukkan keharusan bertabaruk dengan orang yang soleh begitu juga dengan seluruh anggotanya khususnya tangan yang kanan.
Dalam sebuah riwayat yang lain disebutkan bahawa:
Maksudnya: “Ketika Abu Bakar r.a dilantik sebagai khalifah beliau menulis surat mengenai kadar zakat, adalah ukiran cincin memiliki tiga baris Muhammad sebaris, Rasul sebaris dan Allah sebaris.” (Riwayat al-Bukhari)
Ibn Hajar al-Asqalani dalam hal ini juga berkata:
Maksudnya: “Hadis ini menunjukkan keharusan menggunakan peninggalan atau memakai pakaian orang soleh untuk tujuan tabaruk dan mengambil kebaikan daripadanya.”
Isunya pada ajaran sesat, mereka mensistemkan amalan tabarruk dan memaksa bertabaruk sebagai syarat ketaatan atau bertabarruk bukan pada orang yang sepatutnya.
Pemaksaan seorang pemimpin agar pengikut mensucikannya atau mengambil berkat darinya adalah perbuatan melampau atau ghuluw di dalam Islam yang boleh membawa kepada syirik kepada Allah.
Keadaan ini boleh terjadi terutama apabila semua ramalan yang dibuat oleh pemimpin tersebut menjadi kenyataan yang menyebabkan pengikut percaya bahawa mereka mempunyai kuasa yang ajaib dalam menentukan sesuatu itu boleh terjadi dengan hanya mengucapkan ungkapan tentang sesuatu. Walhal ia hanya istidraj iaitu keajaiban yang diberi untuk lebih menyesatkan mereka.
Kesimpulan Hukum
Jumhur ulama dari kalangan mazhab yang empat mengharuskan amalan bertabaruk dan ada juga sebahagian ulama lain yang tidak mengharuskannya. Setiap perbuatan bertabaruk dengan sesuatu hendaklah disertai dengan keimanan bahawa tiada apa yang dapat memberi manfaat atau mudarat selain Allah ﷻ dan kepada-Nya sahaja kita berharap dan memohon pertolongan.
Bagi ulama yang mengharuskan terdapat batas-batas yang perlu dipatuhi seperti iktikad terhadap Allah ﷻ dan bukannya terhadap barang atau individu, serta tidak meletakkan kaifiat-kaifiat tertentu yang tiada asas dalil.
Bertabaruk adalah bersifat peribadi dan tidak seharusnya memuat naik gambar atau video di media sosial, kerana boleh mengundang fitnah kepada mereka yang tidak memahaminya. Berpada-pada dalam melakukan sesuatu perkara adalah amalan yang terbaik.
Sumber: Ustaz Wadi Annuar
Insya-Allah, kita download seeNI sekarang ya?
KLIK DI SEENI
Ustaz Wadi Annuar Kongsi Kelebihan Belanja Ahli Keluarga Pada Hari Asyura. “Allah Lapangkan Rezekinya…
Hari ini 10 Muharram adalah hari Asyura, hari yang digalakkan berpuasa mengikut sunnah Nabi Muhammad SAW. Kata Ibn Abbas R.Anhuma apabila ditanyakan mengenai puasa ‘Asyura, beliau berkata :
مَا رَأَيْتُ النَّبِيَّ صلى الله عليه وسلم يَتَحَرَّى صِيَامَ يَوْمٍ فَضَّلَهُ عَلَى غَيْرِهِ، إِلاَّ هَذَا الْيَوْمَ يَوْمَ عَاشُورَاءَ
Maksudnya : Aku tidak pernah melihat Rasulullah SAW mengejar satu hari yang fadhilatnya lebih berbanding hari hari yang lain melainkan hari ini – iaitu hari ‘Asyura –Riwayat al-Bukhari
Dalam pada itu kelebihan mereka yang berpuasa Asyura juga disebut dalam satu hadis.
Dari Abu Qatadah : Seorang lelaki bertanya kepada Rasulullah SAW tentang puasa ‘Asyura, maka kata Baginda SAW :
أَحْتَسِبُ عَلَى اللَّهِ أَنْ يُكَفِّرَ السَّنَةَ الَّتِي قَبْلَهُ
Maksudnya : Aku berharap ke atas Allah agar ia dapat mengampunkan dosa setahun yang berlalu. Riwayat Muslim (1162).
Kelebihan belanja keluarga pada hari Asyura
Namun bukan itu saja kelebihan hari Asyura, dalam satu perkongsian Ustaz Wadi Annuar selain berpuasa, pada hari Asyura sediakanlah makanan istimewa untuk ahli keluarga kerana Allah akan melapangkan rezeki mereka sepanjang tahun itu.
“Kalau selalu beri RM10 hari Asyura istimewakan hidangan, layanan untuk ahli keluarga pada hari asyura kerana Allah akan meluaskan dan memewahkan rezekinya sepanjang tahun itu.
“Siapa yang menggembirakan ahli keluarganya pada hari asyura, dia sediakan makanan yang istimewa untuk ahli keluarganya Allah akan menyenangkan, memudahkan meluaskan rezekinya sepanjang tahun itu,”katanya.
@iman4life_ Belanja keluarga pada Hari Asyura, Allah akan murahkan rezekinya sepanjang tahun itu, Masha Allah ❤️ #hariasyura #hariasyura10muharram #bulanmuharram #maalhijrah1446h #ustazwadiannuar #videodakwah #salammaalhijrah #bulanmulia #tahunbaruislam ♬ bunyi asal – Meliza
Ia berdasarkan satu sabda Rasulullah;
“Barangsiapa yang meluaskan (belanja) kaum keluarganya pada hari ‘Asyura’, maka Allah akan melapangkannya pada tahun tersebut seluruhnya”.
Dalam satu riwayat: “Barangsiapa yang meluaskan nafkah kaum keluarganya pada hari ‘Asyura’, maka Allah akan melapangkannya sepanjang tahun tersebut”.
Maksud belanja
Dalam satu perkongsian Ustaz Ahmad Farkhan Daie, maksud melapangkan belanja dalam hadis tersebut ialah meluaskan belanja, tak berkira-kira dalam berbelanja pada hari Asyura untuk diri & keluarga.
“Ada ulama yang menyebutkan belanja yang agak istimewa sedikit hari ini dengan tidak berkira-kira dan tidak pula berbelanja pada hari ini sehingga tahap membazir.
“Pergi berbelanja untuk barang dapur & sebagainya pada hari ini sangat baik. Utamakan berbelanja tanpa berkira-kira pada hari ini untuk diri dan keluarga dahulu. Boleh juga belanja untuk orang lain termasuklah beri makan, bantulah juga keluarga yang terdekat yang diketahui kehidupannya susah,”terangnya dalam satu hantaran di Facebook.
Sumber: iman4life & Ustaz Ahmad Farkhan Daie
Insya-Allah, kita download seeNI sekarang ya?
KLIK DI SEENI
Selain Azam Untuk Kurus & Cari Jodoh, Jangan Lupa Azam Untuk Dekatkan Diri Dengan Allah
Setiap kali awal tahun, masing-masing menanam azam sempena tahun baru. Antara azam yang popular ialah untuk menurunkan berat badan, menabung, cari pasangan hidup dan sebagainya. Namun ramai yang ‘terlupa’ untuk menanam azam agar lebih ‘rapat’ dengan Allah.
Melalui perkongsian Zuan Azmi melalui Facebooknnya, dia berkongsi azam yang juga peringatan sempena kedatangan 2019.
Peringatan 2019 buat diriku dan kawan-kawan:
1) Jangan tinggal solat sunat qobliah subuh sekalipun bangun jam 6:45 pagi kerana Nabi SAW ada bersabda bahawa ganjaran solat ini adalah lebih baik dari dunia dan seisinya.
2) Zikir Subhnanallah, Alhamdhulillah, Allahu Akbar, 33 kali jangan ditinggalkan setiap kali lepas solat. Kerana inilah zikir khas buat menantu Nabi SAW sebagai zikir istiqamah penguat semangat.
3) Berusahalah sedaya upaya untuk solat subuh berjemaah di rumah-rumah Allah, @ paling kurang berjemaah dengan anak isteri di rumah, kerana ganjaran solat subuh berjemaah adalah sama seperti berqiamullail sepanjang malam.
4) Jangan dilepaskan peluang berdoa selepas azan sebelum iqomah setiap waktu solat kerana disana di antara waktu-waktu mustajabnya doa.
5) Pelajari serta hayati setiap bait-bait bacaan dalam setiap solat, bawa ia setiap kali solat, seolah-olah kita berbisik-bisik mengadu hal dengan Robbul Jalil setiap kali kita solat, agar dengan yang demikian hati kita sentiasa berada dalam solat, mudah-mudahan dengan asbab itu jugalah hati kita tidak lalai setiap kali solat. (memang itu pun di antara tujuan 5 kali sehari kita bersolat) dan itu janji Allah bahawa solat yang sedemikianlah punyai roh untuk menjaga kita dari berbuat keji & mungkar.
6) Jangan dilepaskan al-Quran setiap hari terutama selepas solat subuh, bacalah apa juga Surah, selain jadikanlah amalan 3 surah ini setiap hari iaitu, 10 awal & akhir surah Al Kahfi, surah Al Waqiah, juga surah Al Mulk. Asbab kepada sabda nabi: Bacalah Al Quran. Sesungguhnya al-Quran itu akan memberi syafaat (pertolongan) pada sahabat-sahabatnya.
7) Jangan ditinggalkan solat-solat sunat qobliyyah ba’diyyah, witir, dhuha kerana solat sunat itu menambah asbab kepada redanya Allah pada kita.
8 ) Sentiasalah istiqamah solat di awal waktu. Golongan wanita, bersedia, ternanti-nanti masuknya waktu solat manakala lelaki berusaha istiqamah solat berjemaah di rumah-rumah Allah kerana ia adalah sunnah Nabi kita SAW yang utama.
9) Lazimi menjaga wuduk setiap masa kerana orang yang punyai wuduk akan didampingi para malaikat-malaikat Allah.
10) Amalkan sentiasa bawa ke mana-mana kayu sugi untuk bersugi kerana ada 70 kelebihan orang-orang yang sentiasa bersugi; antaranya, Zikir & bacaan ayat-ayat Al Quran orang yang bersugi lebih 70 kali disukai Allah berbanding bacaan orang-orang yang tak bersugi.
Dua rakaat solat orang yang bersugi juga lebih disukai Allah vs 70 rakaat solat orang yangg tak bersugi, dan juga syaitan benci pada golongan-golongan mereka yang istiqamah bersugi.
Riwayat Aisyah.. Bahawa aku tidak bisa mengira berapa kalikah dalam sehari Rasulullah SAW bersugi. Dikatakan juga perkara terakhir yang Rasulullah SAW lakukan sebelum ajalnya sampai adalah baginda SAW sempat bersugi. Saya pernah terbaca dalam artikel tulisan ulama tersohor bahawa nyawa orang yang sentiasa bersugi mudah keluar ketika di datangi sakaratulmaut.
12) Sentiasalah melazimi lidah untuk berzikir seperti selawat @ kalimah-kalimah taubat @ kalimah-kalimah tauhid asbab kita bersugi dikatakan mulut kita ringan untuk tujuan itu.
13) Lazimi berpagi-pagi dgn kurma dan ambillah juga ia sebelum tidur kerana khasiat makanan sunnah ini sudah cukup sempurna bagi menjana hormon-hormon perangsang kesihatan & kecergasan tubuh & juga minda kita untuk menjurus kepada sentiasa berfikir yang positif setiap hari.
KESIMPULAN:
Berusahalah menyantuni akan setiap perkara-perkara sunnah serta perkara-perkara ma’ruf setiap masa kerana itu semua akan mengundang reda Allah kepada kita.. Asbab bertambahnya reda Allah pada kita maka janji Allah.
“Wahai jiwa-jiwa yang sentiasa tenang, kembalilah kepada tuhanmu dalam keadaan engkau reda dan aku reda. Dan berkumpullah kalian dalam kalangan orang-orang yang berbahagia dan masuklah kalian ke dalam syurga.”
Ini adalah ayat sakaratul maut.. Kalau lah seluruh manusia mengetahui akan ini lah tujuan utama kenapa kita hidup di dunia ini (hanya nak dapatkan redha Allah) ketika mana saat kematian menjemput kita.. nescaya sepanjang masa seluruh manusia akan sentiasa khusyuk lagi tawaduk dalam berusaha untuk mengejarnya.
Sumber kredit: Via FB Zuan Azmi
Insya-Allah, kita download seeNI sekarang ya?
KLIK DI SEENI