
Tak salah isteri berdikari tetapi biarlah berpada-pada, jangan sampai pasangan lepas tangan tentang tanggung jawab yang hakiki.
Fitrah lelaki lebih suka dihormati dan rasa dihormati apabila wanita bergantung harap kepada kekuatan dan kepimpinannya.
Allah melantik suami sebagai imam yang membuat keputusan dalam rumah tangga serta diwajibkan isteri mentaatinya.

Apabila berdepan situasi isteri terlalu berdikari, menyebabkan hubungan hormat dan kebergantungan kepada suami akan jadi lebih longgar. Dan tentunya ia tidak ‘sihat’ untuk rumah tangga.
Ikuti perkongsian Firdaus Shakirin mengenai topik ini.
Dilema seorang isteri…
Bila isteri terlalu berdikari, suami jadi tak bertanggungjawab…
“Awak, jap g ambik anak, saya blk lmbt, nk g main badminton jap…awk, nnt sya nk kluar jumpa kwn jap…awk, ujung minggu ni, sya dh janji dgn Ali, nk ikut dia g cari barang kereta dia…awk, beras dah nk hbis kan, sblum smpai umh, awk sggah beli…minggu depan cuti sekolah, klu awk nk blk kg, blk la dgn anak2”
Bila mana seorang isteri itu mampu menguruskan anak2 dgn sendirinya, mampu pergi ke mana2 dgn sendirinya, mampu beli itu ini dgn sendirinya…lama kelamaan, serba serbi dia kena buat SENDIRI…


Dlm rumahtangga, peratusan utk MEMBERI tu perlu seimbang…kita xbleh bagi all out, 100%…perlu simpan sedikit, mgkin memberi sekadar 50% sahaja, dan selebihnya 50% dari pasangan…atau 30% dr isteri, 70% dari suami…sama utk suami, suami xbleh buat semua sendiri, ada juga perkara yg perlu ajar dan suruh isteri utk buat, supaya kalau jadi sesuatu kpd diri kita, sekurang2nya isteri ada asas utk menapak meneruskan hidup…
Bila % lebih dari isteri, isteri yg byk memberi, lama kelamaan dia akan mengungkit disebabkan dia dah letih…terlalu byk yg dia dah sumbang dan buat utk rumah tangga tu sehinggakan suaminya menjadi selesa, lepas tgn dan menjadi tak bertanggungjawab…
Isteri berdikari utk kebaikan BERSAMA, bukan utk suaminya menjadi SELESA….
Sumber Kredit: Facebook: Firdaus Shakirin
Insya-Allah, kita download seeNI sekarang ya?
KLIK DI SEENI
‘Kurang Peka Cara Lupuskan Al-Quran, Tergamak Buang Ke Longkang.’ Kitab Suci Sepatutnya Dijunjung

Isi Kandungan
Toggle‘Kurang peka cara lupuskan Al-Quran, tergamak buang ke longkang.’ Kitab suci sepatutnya dijunjung dan dimartabatkan, bukannya sesuka hati buang merata-rata.
Ternyata, terdapat sesetengah pihak masih kurang peka soal melupuskan naskhah al-Quran dengan betul apabila memilih longkang sebagai tempat pembuangan kitab suci itu.
Artikel Berkaitan:
Tular Kubur Suami Isteri Mengajar Al Quran Bau Harum Semerbak Ketika Kerja Alih Kubur Projek Lebuhraya Segamat

Kurang Peka
Hujung minggu lalu, seluruh umat Islam di Malaysia gempar apabila tular sebuah video di media sosial memperlihatkan sebanyak 13 naskhah al-Quran ditemui di dalam longkang di Taman Sri Murni Jinjang, Kuala Lumpur berhampiran Pasar Borong Selayang.
Jelas kelihatan, kesemua kitab tersebut diletakkan di dalam sebuah beg biru dan ditemui seorang pengunjung wanita di kawasan riadah di situ.’
Setelah diteliti beg berkenaan, terdapat salah satu al-Quran dalam keadaan terbuka menyebabkan wanita berkenaan meminta bantuan orang awam untuk mengutip kesemua al-Quran tersebut.
Lantas kesemua Al-Quran tersebut telah disimpan di Masjid Annas Kampung Selayang Lama.

Cara Lupuskan Al-Quran
Sehingga kini, tidak pasti apa motif sebenar pelaku, sama ada dengan niat melupuskan atau sengaja mencetuskan provokasi, namun pihak polis telah membuka dua kertas siasatan berhubung kejadian itu.
Hasil siasatan awal mendapati sebanyak 13 naskhah al-Quran yang dijumpai di dalam longkang itu sengaja dibuang di situ oleh orang yang tidak bertanggungjawab.
Kes disiasat di bawah Seksyen 295 Kanun Keseksaan kerana membinasakan kitab suci dengan tujuan untuk mengaibkan agama.
Kes turut disiasat di bawah Seksyen 298A Kanun Keseksaan kerana mendatangkan mudarat ke atas keharmonian agama.
Dalam masa yang sama, pihak polis menasihatkan orang ramai supaya tidak membuat sebarang spekulasi berhubung kejadian itu kerana dikhuatiri boleh menimbulkan kebimbangan awam.
Tergamak Buang Ke Longkang
Kejadian ini mendapat perhatian Mufti Pulau Pinang, Datuk Seri Dr Wan Salim Wan Mohd Noor yang menyifatkan perbuatan tersebut sebagai satu penghinaan terhadap kitab suci dan telah mencetuskan kemarahan umat Islam.
Menurutnya, al-Quran adalah sebuah kitab suci yang diwahyukan oleh ALLAH SWT ke atas Rasul dan Nabi-Nya untuk dibaca, difahami serta dijadikan panduan hidup oleh setiap umat Islam.
Katanya, mencampakkan al-Quran ke tempat sedemikian merupakan satu penghinaan yang tidak dapat diterima walau atas apa alasan sekali pun. Ujar beliau, menghina al-Quran dengan sengaja boleh menyebabkan seseorang murtad dan wajib bertaubat.
Kitab Suci Sepatutnya Dijunjung
Isu al-Quran ini sensitif kerana martabatnya begitu tinggi. Orang dulu-dulu mengajar kita meletakkan kitab suci ini di tempat paling tinggi, biasanya di atas almari dan tidak boleh dilangkah-langkah apatah lagi dibuang dalam longkang.
Cara orang dulu-dulu juga, tidak suka-suka buang al-Quran lama. Mereka akan simpan walaupun keadaannya sudah lusuh seperti kertas pembalut belacan.
Berbeza dengan orang sekarang, akses mendapatkan al-Quran semakin mudah. Boleh diperoleh pada harga murah adalah antara faktor sikap menghargainya kian kurang.

Cara Terbaik
Begitupun, terdapat beberapa cara untuk melupuskan al-Quran antaranya merendam dalam air sehingga semua tulisannya hilang. Kaedah ini agak susah dan mengambil masa.
Cara kedua adalah dengan menanam al-Quran di tempat bukan laluan utama supaya tidak dipijak orang seperti di pergunungan.
Kini, seiring dengan perkembangan semasa, institusi agama seperi Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (Jawi) sendiri telah menyediakan pusat pelupusan al-Quran yang sistematik.
Pusat Pelupusan
Ia dikenali sebagai Pusat Pemuliaan al-Quran Darul Kalam yang beroperasi di Raudhatul Sakinah, Taman Selasih, Batu Caves, Selangor yang berupaya melupuskan 150 kilogram naskhah al-Quran yang rosak dalam masa sehari.

Setelah dilupuskan melalui proses pembakaran, abu al-Quran ini akan dihanyutkan di tengah laut atau sungai.
Carian di internet turut menemui terdapat tiga lagi pusat pelupusan al-Quran di Lembah Klang iaitu di Cheras, Rawang dan Kuang.
Baca Di Sini:
“Makin Lancar Baca Al-Quran, Yasin & Jadi Bilal.’ Isma Halil Fokus Amal Ibadat Dalam Penjara
Sebaiknya al-Quran yang tidak mahu lagi digunakan diberikan kepada golongan yang lebih memerlukan. Jika memang sudah tidak boleh digunakan, orang awam boleh menggunakan kemudahan tersebut untuk melupuskannya dengan adab yang betul.
Rasulullah SAW bersabda, bacalah al-Quran maka ia akan datang pada hari kiamat sebagai syafaat bagi orang yang membacanya. (Hadis Riwayat Muslim).
Kashoorga: Sebaiknya sebagai umat Islam, kita martabatkan kitab suci al-Quran, bukannya membuang sesuka hati.
Sumber : Sinar Harian
Follow kami di Facebook, Website, Instagram dan YouTube Kashoorga untuk mendapatkan info dan artikel-artikel menarik.
Insya-Allah, kita download seeNI sekarang ya?
KLIK DI SEENI
Membentengi diri daripada talbis iblis

Iblis telah melakukan berbagai-bagai tipu daya terhadap anak cucu nabi Adam a.s tanpa mengira kedudukan mereka, baik yang bergelar ulama, ahli ibadah, mahupun orang-orang awam biasa.
Maka sudah menjadi kewajipan kepada umat Islam memperlengkapkan diri mereka dengan benteng dan perisai yang benar-benar kukuh, agar mereka tidak mudah menjadi mangsa kepada tipu daya dan talbis Iblis (putar belit dan penyamaran Iblis) dan juga bala tenteranya.
Penyediaan perisai dan benteng tersebut perlu dilakukan setiap masa dan ketika dan diiltizam dengan penuh istiqamah kerana talbis Iblis dan bala tenteranya juga berlaku setiap saat dan ketika dan dilakukan pula oleh mereka dengan penuh istiqamah. Bahkan perisai tersebut perlu dilakukan sehingga seseorang menghembuskan nafas yang terakhir di muka bumi ini. Apalagi Iblis pernah berjanji untuk melakukan talbis terhadap anak cucu nabi Asam a.s semenjak dahulu lagi. Al-Quran menceritakan hal ini.
Maksudnya: Iblis menjawab: “Demi kekuasaan Engkau aku akan menyesatkan mereka semuanya” ( Sad 38: 82).
Perisai dan benteng yang boleh digunakan untuk berdepan dengan talbis begitu banyak sekali dan telah digunakan oleh para ulama dan umat Islam zaman berzaman. Ia melibatkan pesanan-pesanan manusia yang paling pakar tentang karenah dan talbis iblis terhadap generasi manusia dan mereka yang menggunakannya benar-benar berjaya mengelakkan diri daripada terjatuh ke dalam perangkap talbis iblis dan segala jaring yang berkaitan dengannya. Antaranya ialah:
a. Menuntut ilmu-ilmu agama dan mengamalkannya
Ilmu agama merupakan ilmu penawar dalam hidup setiap manusia. Tanpa ilmu ini manusia amat sukar untuk merawat penyakit yang dialami terutama penyakit-penyakit batin, yang menjadi pemusnah dalaman nombor satu dalam hidup manusia itu sendiri. Rasulullah s.a.w menyifatkan menuntut dan mendalami ilmu agama sebagai kebaikan yang tidak ada tolok bandingnya yang diinginkan Allah SWT kepada seseorang manusia. Sabda baginda dalam hadis yang diriwayatkan oleh al-Bukhari menerusi Mu’awiyah r.a:
Maksudnya: Sesiapa yang diinginkan Allah dengan kebaikan, diperdalamkan orang itu dengan ilmu agama. ( al-Bukhari, al-Sahih, Kifab al-Ilmi, Bab Man Yuridillahu Bihi Khayran Yufaqqihhu fi al-Din, hadis no:69).
Ilmu agama yang terdiri daripada ilmu-ilmu tentang akidah, ibadah dan juga akhlak, sebenarnya adalah imam kepada amalan. Ia merupakan kayu pengukur yang mampu membezakan di antara kebenaran dengan kepalsuan. Dengan memiliki dan mengamalkannya seseorang dapat membezakan di antara yang benar dengan yang batil. Ia juga dapat membezakan apa yang terlintas dalam hati, sama ada bertepatan dengan agama ataupun bercanggah dengannya. Ia juga dapat membezakan sama ada yang terlintas dalam hati itu merupakan ilham daripada malaikat ataupun was-was syaitan. Ia merupakan formula agung yang mana sesiapa berpegang teguh dengannya, tidak akan sesat selama-lamanya, kerana ia melibatkan ilmu-ilmu yang digali dan disimpulkan oleh ulama daripada al-Kitab dan juga al-Sunnah. Rasulullah s.a.w bersabda dalam hadis yang diriwayatkan oleh Imam Malik dalam al-Muwatta’:
Maksudnya: Aku tinggalkan kepada anda semua dua perkara dan anda semua tidak akan sesat selama-lamanya jika anda semua berpegang teguh dengan kedua-duanya iaitu Kitab Allah dan sunnah nabiNya. ( Malik, al-Muwatta’, Kitab al-Jami’, Bab al-nahyi Ani al-Qawli Bi al-Qadar, hadis no;3338. Hadis di atas dinilai sebagai hasan oleh al-Albani dalam Misykah al-Masabih, hadis no:186)
Semakin kuat kefahaman dan amalan seseorang terhadap ilmu-ilmu agama, akan menyebabkan semakin sukar kepada syaitan untuk memperdayakannya. Sebaliknya semakin jahil seseorang itu terhadap ilmu-ilmu agama, semakin mudah dia menjadi bahan permainan Iblis dan talbisnya yang tidak berkesudahan.
Mukjizat al-Quran sebenarnya adalah mukjizat ilmu dan mukjizat ini kekal abadi sehingga ke hari kiamat. Ia telah membawa pembaharuan dan perubahan yang begitu ketara dalam hidup orang-orang Arab Badawi, sehingga mereka menjadi pejuang-pejuang Islam yang tulen yang membawa obor-obor kebenaran ke seluruh pelosok dunia.
b. Memperkukuhkan akidah Islam dalam diri
Akidah Islamiyah merupakan tonggak yang penting dalam kehidupan setiap orang Islam. Tanpanya kehidupan orang-orang Islam menjadi tidak bermakna, kerana mengheret mereka kepada kekufuran, sedangkan kekufuran membuatkan seseorang tidak ada nilai sedikitpun amalan kebaikan yang dilakukannya di dunia. Firman Allah SWT:
Maksudnya: Katakanlah: “Apakah akan Kami beritahukan kepadamu tentang orang-orang yang paling merugi perbuatannya?” Iaitu orang-orang yang telah sia-sia perbuatannya dalam kehidupan dunia ini, sedangkan mereka menyangka bahawa mereka berbuat sebaik-baiknya. Mereka itu orang-orang yang telah kufur terhadap ayat-ayat Tuhan mereka dan (kufur terhadap) perjumpaan dengan Dia[896], maka hapuslah amalan- amalan mereka dan kami tidak mengadakan suatu penilaian bagi (amalan) mereka pada hari kiamat. ( al-Kahfi 18: 103-105)
Pemantapan akidah berteraskan kepada al-Quran dan al-sunnah, mampu mengelakkan seseorang daripada terperangkap dengan talbis Iblis dan kuncu-kuncunya. Jika terperangkap sekalipun mereka mudah menyedari di mana kesilapan mereka dan seterusnya bertaubat. Firman Allah SWT:
Maksudnya: Sesungguhnya orang-orang yang bertakwa bila mereka ditimpa was-was daripada syaitan, mereka ingat kepada Allah, Maka ketika itu juga mereka melihat kesalahan-kesalahannya. Al-A’raf 7: 201).
Berdasarkan kepada akidah Islam, iblis dan kuncu-kuncunya tidak dapat mengapa-apakan manusia apalagi orang-orang yang beriman. Mereka hanya mampu menabur janji-janji manis sahaja kepada manusia, terutama kepada orang-orang yang menjadi para pengikutnya, namun mereka sama sekali tidak mampu memudaratkan mahupun memanfaatkan manusia. Yang mampu memudaratkan dan memanfaatkan manusia hanyalah Allah SWT sahaja.
Firman Allah SWT:
Maksudnya: Dan berkatalah syaitan tatkala perkara (hisab) telah diselesaikan: “Sesungguhnya Allah telah menjanjikan kepadamu janji yang benar, dan akupun telah menjanjikan kepadamu tetapi aku menyalahinya. Sekali-kali tidak ada kekuasaan bagiku terhadapmu, melainkan (sekadar) aku menyeru kamu lalu kamu mematuhi seruanku, oleh sebab itu janganlah kamu mencerca aku akan tetapi cercalah dirimu sendiri. aku sekali-kali tidak dapat menolongmu dan kamupun sekali-kali tidak dapat menolongku. Sesungguhnya aku tidak membenarkan perbuatanmu mempersekutukan aku (dengan Allah) sejak dahulu”. Sesungguhnya orang-orang yang zalim itu mendapat seksaan yang pedih. ( Ibrahim 14: 22)
Firman Allah SWT:
Maksudnya: Ibrahim berkata: Maka Mengapakah kamu menyembah selain Allah sesuatu yang tidak dapat memberi manfaat sedikitpun dan tidak (pula) memberi mudharat kepada kamu?” Ah (celakalah) kamu dan apa yang kamu sembah selain Allah. Maka Apakah kamu tidak memahami? ( al-Anbiya’ 21: 66-67).
c. Sentiasa mengikhlaskan diri dalam melakukan semua amalan kebaikan dan kebajikan
Ikhlas merupakan senjata dalaman yang paling kuat dan paling ampuh bagi setiap orang Islam. Meskipun ia merupakan sesuatu yang pahit untuk ditelan pada peringkat awal namun pada akhirnya sesuatu yang sangat manis dan membuahkan kejayaan yang ditunggu-tunggu. Meskipun kadang-kadang orang-orang yang ikhlas itu menjadi bahan permainan sesetengah orang, namun pada akhirnya ia berjaya dalam hidup. Iblis sendiri sudah membuat perakuan yang dia tidak dapat memperdayakan orang-orang yang benar-benar ikhlas dalam melakukan ibadah kepada Allah SWT: Firman Allah SWT:
Maksudnya; Iblis menjawab: “Demi kekuasaan Engkau aku akan menyesatkan mereka semuanya, kecuali hamba-hamba-Mu yang mukhlis di antara mereka. (Sad 38: 82-83).
Kekuatan keikhlasan dalam perjuangan menegakkan Islam yang ditunjukkan oleh Rasulullah s.a.w dan para sahabat telah berjaya mewujudkan sebuah negara Islam yang kuat yang disegani oleh kawan mahupun lawan, meskipun Rasulullah s.a.w dan para sahabat, hidup dalam serba sederhana. Pada zaman Khulafak al-Rasyidun, kekuatan keikhlasan dalam menegakkan Islam dan menyebarkan dakwah telah berjaya menarik penduduk semenanjung tanah Arab dan di luarnya untuk menerima Islam sebagai manhaj hidup mereka, bahkan kekuatan keikhlasan yang dimiliki oleh para mujahidin Islam zaman Khulafak al-rasyidun itu jugalah yang telah berjaya menumbangkan dua kuasa besar dunia pada masa itu iaitu kuasa Rom dan juga Parsi.
d. Selalu bergaul dengan para ulama Rabbani
Para ulama yang benar-benar menuntut ilmu, mengamal, dan mengajarkannya kepada masyarakat adalah merupakan ulama rabbani dan juga merupakan ulama pewaris nabi s.a.w. Firman Allah SWT:
Maksudnya: Tidak wajar bagi seseorang manusia yang Allah berikan kepadanya Al Kitab, Hikmah dan kenabian, lalu Dia berkata kepada manusia: “Hendaklah kamu menjadi penyembah-penyembahku bukan penyembah Allah.” akan tetapi (dia berkata): “Hendaklah kamu menjadi orang-orang rabbani, karena kamu selalu mengajarkan Al kitab dan disebabkan kamu tetap mempelajarinya. ( Ali Imran 3: 79)
Rasulullah s.a.w bersabda dalam hadis yang diriwayatkan oleh al-Tirmidhi menerusi Qais bin kathir r.a:
Maksudnya: Sesungguhnya ulama itu adalah pewaris para nabi s.a.w . Sesungguhnya para nabi tidak mewariskan wang Dinar mahupun Dirham, sebaliknya mewariskan ilmu. Sesiapa yang mengambilnya bererti telah mengambil bahagian yang banyak. ( al-Tirmidhi, al-Sunan, Kitab al-Ilmi An Rasulillah s.a.w , Bab Ma Ja’a Fi Fadli al-Fiqh ‘Ala al-‘Ibadah, hadis no; 2606. Hadis di atas dinilai sebagai sahih oleh al-Albani dalam sahih al-Jami’, hadis no:6297)
Ulama sebegini menghabiskan hidupnya dalam membimbing manusia dengan ajaran-ajaran yang terdapat dalam kitab Allah dan sunnah Rasulullah s.a.w dan memberi amaran kepada mereka tentang berbagai-bagai tipu daya dan talbis baik yang dilakukan oleh syaitan manusia mahupun syaitan jin, yang boleh memesongkan mereka daripada tugas mereka yang sebenar sebagai khalifah di muka bumi.
Dengan itu bergaul dengan mereka, dapat menyelamatkan seseorang daripada menjadi mangsa talbis Iblis. Kerana itu para ulama rabbani sama sekali tidak boleh dipandang hina dan dipinggirkan dalam kehidupan kerana peranan mereka begitu besar dalam membimbing manusia dan menyelamatkan mereka daripada menjadi mangsa Iblis dan bala tenteranya. Rasulullah s.a.w pernah bersabda dalam hadis yang diriwayatkan oleh Ahmad menerusi ‘Ubadah bin al-Samit r.a:
Maksudnya: Bukan termasuk ke dalam erti kata umatku, orang yang tidak tahu menghormati orang tua kita, tidak menunjukkan belas kasihan kepada kanak-kanak kita dan tidak mengenali hak orang alim kita. (Ahmad, al-Musnad, Kitab Baqi Musnad al-Ansar, Bab hadis Ubadah bin al-Samit r.a, hadis no; 21693. Hadis di atas dinilai oleh al-Albani sebagai hasan dalam Sahih al-Jami’, hadis no: 9574)
e. Sentiasa berlindung diri dengan Allah SWT:
Memohon perlindungan kepada Allah dilakukan antaranya untuk mengelakkan daripada gangguan syaitan.
Firman Allah SWT:
Maksudnya; Oleh itu, apabila engkau membaca Al-Quran, maka hendaklah engkau terlebih dahulu) memohon perlindungan kepada Allah dari hasutan Syaitan yang kena rejam. ( al-Nahli 16: 98 ).
Firman Allah SWT: Maksudnya; Dan katakanlah: “Wahai Tuhanku, aku berlindung kepadaMu dari hasutan Syaitan-syaitan”Dan aku berlindung kepadaMu, wahai Tuhanku, supaya Syaitan-syaitan itu tidak menghampiriku”). ( al-Mukminun 23: 97-98 ).
Memohon perlindungan juga dilakukan kepada Allah, bagi mengelakkan kejahatan nafsu dan amalan. Rasulullah s.a.w bersabda di dalam hadis yang diriwayatkan menerusi ibn Mas’ud RA:
Maksudnya; Segala puji bagi Allah. Kita memohon pertolongan dan keampunan daripadaNya. Kita berlindung dengan Allah daripada kejahatan nafsu kita. Sesiapa yang diberi petunjuk oleh Allah, tidak akan ada yang menyesatkannya dan sesiapa yang disesatkan Allah, tidak ada siapa yang mampu memberi petunjuk kepadanya. Saya naik saksi tidak ada tuhan yang berhak disembah melainkan Allah dan saya naik saksi bahawasanya Muhammad adalah hamba dan pesuruhnya yang Allah utuskan untuk membawa kebenaran dan juga membawa berita gembira dan menakutkan pada saat hampir berlaku kiamat. Sesiapa yang taat kepada Allah dan rasulnya, sesungguhnya telah mendapat petunjuk dan sesiapa yang derhaka kepada keduanya, tidak dapat memudaratkan melainkan dirinya sendiri dan sekali-kali tidak memudaratkan Allah. (Abu Dawud, Sunan Abi Dawud, Bab, al-Rajulu Yakhtubu Ala Qawsin, hadis nombor 925. Al-Tirmizi, Sunan al-Tirmizi, Bab Khutbah al-Nikah, hadis nombor 1023. Hadis ini adalah sebuah hadis Sahih).
Nafsu yang tidak terkawal atau nafsu Lawwamah atau Ammarah, menjadi penghalang seseorang di dalam perjalanannya menuju kepada keredaan Allah. Seseorang tidak mungkin dapat menuju kepada keredaan Allah melainkan setelah membersihkan nafsu dan meninggalkan segala kebiasaan yang dikehendaki oleh nafsu tersebut. Allah SWT memuji orang yang membersihkan nafsunya.
FirmanNya.
Maksudnya: Sesungguhnya berjayalah orang yang menjadikan dirinya – yang sedia bersih – bertambah-tambah bersih (dengan iman dan amal kebajikan), Dan sesungguhnya hampalah orang yang menjadikan dirinya – yang sedia bersih – itu susut dan terbenam kebersihannya (dengan sebab kekotoran maksiat). ( al-Syamsi 91: 9-10 ).

Dalam kehidupan ini, manusia sebenarnya terdiri daripada dua golongan sahaja iaitu yang berjaya membersihkan dan mengontrol nafsunya di mana nafsunya tunduk kepada landasan syarak dan yang dikawal dan dikontrol oleh nafsunya, di mana segala perlakuan dan tutur kata menurut runtunan nafsu sepenuhnya. Allah SWT memuji golongan manusia yang berjaya mengawal dan mengekang hawa nafsunya supaya berjalan selaras dengan tuntutan syarak. Firman Allah SWT:
Maksudnya; Maka (dapatlah masing-masing mengetahui kesudahannya); adapun orang yang melampau (perbuatan derhakanya), -Serta ia mengutamakan kehidupan dunia semata-mata, -Maka sesungguhnya neraka Jahanamlah tempat kediamannya. Adapun orang yang takutkan keadaan semasa ia berdiri di mahkamah Tuhannya, (untuk dihitung amalnya), serta ia menahan dirinya dari menurut hawa nafsu, -Maka sesungguhnya Syurgalah tempat kediamannya.(Al-Nazi’at 79: 37-41).
Secara tidak langsung, melakukan isti’azah bererti memantapkan tauhid, pergantungan dan tawakal seseorang kepada Allah dan membuatkan seseorang sentiasa berada di dalam perlindungan Allah dari segala gangguan syaitan, jin, manusia, nafsu, hutang, dosa, azab kubur, fitnah kehidupan dan kematian dan sebagainya.
f. Selalu melakukan muhasabah diri
Setiap orang Islam perlu mempunyai masa bagi bermuhasabah dan mencela dirinya bagi mengelakkan kejahatan dan mengawal hala tuju dirinya itu sendiri. Banyak dalil-dalil daripada al-Kitab dan al-Sunnah dan juga amalan salafus salih berkaitan dengan muhasabah ini. Antaranya firman Allah SWT;
Maksudnya; Wahai orang-orang Yang beriman! bertaqwalah kepada Allah (dengan mengerjakan suruhanNya dan meninggalkan laranganNya); dan hendaklah tiap-tiap diri melihat dan memerhatikan apa Yang ia telah sediakan (dari amal-amalnya) untuk hari esok (hari Akhirat). dan (sekali lagi diingatkan): bertaqwalah kepada Allah, Sesungguhnya Allah amat meliputi pengetahuannya akan Segala Yang kamu kerjakan. (al-Hasyr 59: 18)
Tentang ayat di atas ibn Kathir menyatakan ia menjelaskan tentang keperluan melakukan muhasabah sebelum seseorang dihisab di hadapan Allah SWT pada hari kiamat kelak. Ia juga menjelaskan tentang keperluan menyimpan amalan salih untuk hari kebangkitan dan pembentangan amalan di hadapan Allah SWT ( Ibn Kathir, Tafsir ibn Kathir, jil. 4, hlm. 365-366).
Firman Allah SWT;
Maksudnya; Bahkan manusia itu, (anggotanya) menjadi saksi terhadap dirinya sendiri. Walaupun ia memberikan alasan-alasannya (untuk membela diri).( al-Qiyamah 75: 14-15).
Manusia dapat melihat kelemahan-kelemahan dirinya sendiri. Jika dia berdebat bagi mempertahankan kelemahan-kelemahan dirinya sendiri, itu sedikitpun tidak mendatangkan manfaat kepadanya pada hari kiamat kelak. Ini merujuk kepada kepentingan melakukan muhasabah jiwa dan membongkar kelemahan-kelemahannya sebelum luput masa untuk berbuat demikian. ( Ahmad Farid, Manhaj al-Islam Fi Mazkiyyah al-Nafs, jil. 1, hlm. 338).
Imam al-Tirmizi meriwayatkan daripada Abu Yu’la Syaddad bin Aws, katanya: Rasulullah s.a.w bersabda;
Maksudnya; Orang yang pintar itu adalah orang yang sentiasa memuhasabah diri dan beramal untuk menghadapi kematian, manakala orang-orang yang lemah adalah orang-orang yang memaksa dirinya mengikut hawa nafsu dan bercita-cita untuk mendapatkan balasan yang besar dari sisi Allah SWT( al-Tirmizi, Bab Minhu hadis no: 2383 dan hadis ini dinilai sebagai hasan oleh al-Tirmizi )
Kata Hasan al-Basri; Jangan anda bertemu dengan orang mukmin kecuali yang mencela dirinya sendiri; Apakah yang saya inginkan daripada ucapan saya?. Apakah saya inginkan daripada makanan saya? Apakah yang saya inginkan daripada minuman saya?. Orang yang lemah adalah orang berjalan dalam keadaan tidak mencela dirinya sendiri. ( Ibn al-Qayyim, Ighathah al-Lahafan, jil. 1, hlm. 78).
Hasan al-Basri juga mengatakan; Seseorang itu sentiasa berada dalam keadaan baik selagi mana dia mempunyai penasihat kepada dirinya dan muhasabah pula sentiasa berada dalam himmahnya. ( Ibid).
Cara-cara muhasabah diri bermula dengan:
Memuhasabah amalan-amalan fardu. Jika dilihat terdapat kekurangan, hendaklah ditampung kekurangan itu dengan segera sama ada dengan cara mengqadaknya semula atau memperbaiki kekurangan yang berlaku.
Bermuhasabah diri terhadap perkara-perkara yang dilarang. Jika diketahui seseorang itu ada melakukan perkara-perkara yang dilarang, hendaklah mengatasinya dengan cara bertaubat, beristighfar dan melakukan kebaikan-kebaikan yang boleh menghapuskan keburukan yang dilakukannya.
Bermuhasabah diri di atas kelalaian. Jika seseorang mendapati dirinya lalai dari melaksanakan matlamat dia diciptakan di muka bumi, hendaklah ditampung kelalaian itu dengan zikir dan menumpukan perhatian kepada Allah SWT dalam setiap perkara.
Bermuhasabah setiap percakapan yang dikeluarkan, setiap langkah yang dilangkahi oleh kaki, setiap huluran yang dihulurkan oleh tangan dan setiap pendengaran yang didengari oleh telinga. Apakah saya inginkan dengan melakukan ini? Untuk siapa saya melakukan demikian? Apakah bentuk yang sepatutnya saya lakukan?. Seseorang perlu menyedari setiap pergerakan dan ungkapan yang dikeluarkan akan dibentangkan dua dewan iaitu untuk siapa anda lakukan perkara itu? Bagaimana anda melakukan perkara itu? Soalan yang pertama adalah soalan tentang keikhlasan, manakala soalan yang kedua ialah soalan yang berkaitan dengan ikutan terhadap sunnah Rasulullah s.a.w. (Ibn Qayyim, Ighathah al-Lahafan Min Masayid al-Syaitan, jil. 1, hlm. 83).
Kesimpulan
Oleh kerana serangan dan perdayaan Iblis berlaku setiap masa dan ketika, setiap orang Islam juga dikehendaki membentengi diri mereka setiap masa dan juga ketika. Antara benteng yang paling berkesan ialah mempelajari dan mendalami ilmu-ilmu agama dan mengamalkannya, memperkukuhkan akidah, sentiasa mengikhlaskan diri dalam melakukan amalan kebaikan dan kebajikan, sentiasa berlindung diri dengan Allah SWT, sentiasa melakukan muhasabah diri dan lain-lain.
Artikel ini diadaptasi daripada beberapa tajuk yang terdapat dalam buku penulis iaitu Terpedaya Dan Cara-Cara Rawatannya, Pembersihan Jiwa Menurut Al-Qur’an Al-Sunnah Dan Amalan Salafus Salih Dan Segera Beribadah Sebelum Terlambat.
Insya-Allah, kita download seeNI sekarang ya?
KLIK DI SEENI
Ini Hukumnya Pasang Love Lock Sebagai Doa Kekal Jodoh, Trend Cinta Masa Kini

Love Lock atau turut disebut Love Padlock adalah mangga yang ditulis nama pasangan, kemudian diletakkan di tempat-tempat tertentu seperti jambatan, pagar, monumen atau tempat yang dikatakan menjadi simbol cinta. Kebiasaanya ditulis nama pasangan sebagai harapan cinta mereka akan kekal.
Dalam menjawab persoalan ini, marilah kita mentadabbur ayat yang sering kita bacakan di dalam solat lima waktu setiap hari. Selain membacanya, marilah kita memahami inti patinya:
إِيَّاكَ نَعْبُدُ وَإِيَّاكَ نَسْتَعِينُ
Maksudnya: Engkaulah sahaja (Ya Allah) Yang Kami sembah, dan kepada Engkaulah sahaja kami memohon pertolongan. (Surah al-Fatihah: 5)
Imam Ibn Kathir menerangkan bahawa lafaz “iyyaka” diletakkan di permulaan ayat dan diulang penggunaanya untuk menekankan bahawa hanya kepada Allah SWT kami menyembah, hanya kepada Allah kami bertawakkal menyerahkan segala urusan, dan tidak akan sesekali kami bertawakkal melainkan kepada Allah SWT.
Maka, jelaslah dalam kehidupan kita seharian, kita diajar untuk sentiasa memohon segalanya kepada Allah SWT dan bertawakkal dalam setiap urusan. Selain itu, terdapat begitu banyak dalil daripada al-Quran yang menunjukkan rahmat Allah SWT kepada hambanya yang memohon doa daripadanya, antaranya:
Firman Allah SWT:
لِّلرِّجَالِ نَصِيبٌ مِّمَّا اكْتَسَبُوا ۖوَلِلنِّسَاءِ نَصِيبٌ مِّمَّا اكْتَسَبْنَ ۚ وَاسْأَلُوا اللَّـهَ مِن فَضْلِهِ ۗ
Maksudnya: (Kerana telah tetap) orang-orang lelaki ada bahagian dari apa yang mereka usahakan, dan orang-orang perempuan pula ada bahagian dari apa yang mereka usahakan; (maka berusahalah kamu) dan pohonkanlah kepada Allah akan limpah kurnianya. (Surah al-Nisa’: 32)
Firman Allah SWT:
إِذْ تَسْتَغِيثُونَ رَبَّكُمْ فَاسْتَجَابَ لَكُمْ أَنِّي مُمِدُّكُم بِأَلْفٍ مِّنَ الْمَلَائِكَةِ مُرْدِفِينَ
Maksudnya: (Ingatlah) ketika kamu memohon pertolongan kepada tuhan kamu, lalu Ia perkenankan permohonan kamu (dengan firmanNya): “Sesungguhnya Aku akan membantu kamu dengan seribu (bala tentera) dari malaikat yang datang berturut-turut.
Imam al-Qurtubi dalam menafsirkan ayat ini, mengatakan bahawa ayat ini turun selepas Rasulullah SAW berdoa kepada Allah untuk membantu tentera Islam ketika peperangan badar. Keresahan Rasulullah SAW tampak apabila Baginda melihat bilangan tentera musyrik berjumlah seribu orang, sementara tentera Islam hanya 315 orang sahaja. Selesai doa Baginda, lalu diturunkan ayat ini.
Firman Allah SWT:
وَقَالَ رَبُّكُمُ ادْعُونِي أَسْتَجِبْ لَكُمْ ۚ إِنَّ الَّذِينَ يَسْتَكْبِرُونَ عَنْ عِبَادَتِي سَيَدْخُلُونَ جَهَنَّمَ دَاخِرِينَ ﴿٦٠﴾
Maksudnya: Dan Tuhan kamu berfirman: “Berdoalah kamu kepada-Ku nescaya Aku perkenankan doa permohonan kamu. Sesungguhnya orang-orang yang sombong takbur daripada beribadat dan berdoa kepadaKu, akan masuk neraka Jahannam dalam keadaan hina.
Jelaslah berdasarkan ayat-ayat di atas, bahawa Allah SWT Maha kaya, lagi Maha luas rahmatnya. Tidak ada yang lebih layak untuk diminta pertolongan, rezeki atau memohon untuk diselamatkan melainkan daripada Allah SWT. Hal ini sebagaimana yang diajarkan oleh Baginda Nabi SAW di dalam hadis yang diriwayatkan oleh Ibn ‘Abbas RA:
إِذَا سَأَلْتَ فَاسْأَلِ اللَّهَ وَإِذَا اسْتَعَنْتَ فَاسْتَعِنْ بِاللَّهِ
Maksudnya: Apabila kamu meminta, maka minta kepada Allah, dan apabila kamu memohon pertolongan, mohonlah pertolongan daripada Allah. Riwayat al-Tarmizi (2516)
Selain itu, dalam membahaskan persoalan ini, perlu untuk kita berhati-hati agar tidak menjadi orang yang melakukan perbuatan khurafat.
Sesungguhnya, Allah SWT Maha berkuasa dalam menentukan segalanya. Tidak ada yang mampu menjamin kebahagiaan atau dapat lari daripada kesengsaraan melainkan semuanya dengan kehedendak Allah SWT.
Firman Allah SWT:
وَإِن يَمْسَسْكَ اللَّـهُ بِضُرٍّ فَلَا كَاشِفَ لَهُ إِلَّا هُوَ ۖ وَإِن يُرِدْكَ بِخَيْرٍ فَلَا رَادَّ لِفَضْلِهِ ۚ يُصِيبُ بِهِ مَن يَشَاءُ مِنْ عِبَادِهِ ۚ وَهُوَ الْغَفُورُ الرَّحِيمُ ﴿١٠٧﴾
Maksudnya: Dan jika Allah mengenakan engkau dengan sesuatu yang membahayakan, maka tiada sesiapa pun yang akan dapat menghapuskannya melainkan Dia; dan jika Ia menghendaki engkau beroleh sesuatu kebaikan, maka tiada sesiapapun yang akan dapat menghalangi limpah kurniaNya. Allah melimpahkan kurniaNya itu kepada sesiapa yang dikendakiNya dari hamba-hambaNya, dan Dia lah yang Maha Pengampun lagi Maha Mengasihani. (Surah Yunus: 107)
Umat Islam juga hendaklah menjauhi semua amalan khurafat, yang menyatakan apabila meletakkan kunci di pagar atau tempat-tempat tertentu akan mengekalkan perhubungan dan cinta. Ini jelas seperti mana yang diriwayatkan daripada Abdullah bin Mas’ud R.A,

Rasulullah SAW bersabda:
الطِّيَرَةُ شِرْكٌ، الطِّيَرَةُ شِرْكٌ ، ثَلاَثًا ، وَمَا مِنَّا إِلاَّ وَلَكِنَّ اللَّهَ يُذْهِبُهُ بِالتَّوَكُّلِ.
Maksudnya: “Al-Tiyarah adalah syirik, al-Tiyarah adalah syirik (Baginda menyebutnya tiga kali) dan setiap orang pasti (pernah terlintas dalam hatinya sesuatu dari hal ini). Hanya sahaja Allah SWT menghilangkannya dengan tawakkal.” Riwayat Abu Daud (3910), Ibn Majah (3538) dan al-Tirmizi (1614)
Istilah tatayyur atau tiyarah berasal daripada perkataan al-tayr (الطير) iaitu bermakna burung. Dalam kepercayaan masyarakat Arab Jahiliyah, apabila mereka akan mengadakan perjalanan, mereka akan terlebih dahulu melepaskan burung. Sekiranya burung itu terbang ke kanan, maka ia dikenali sebagai sa’ih, mereka akan gembira dan perjalanan dibolehkan. Sebaliknya, jika ke kiri barih, ia bermakna sial dan mereka akan bersedih kerana ia memberi petanda musibah akan menimpa lantas mereka akan menangguhkan pemergian. (Lihat Miftah Dar al-Sa’adah, m. 584-585)
Begitulah juga, apabila seseorang meletakkan harapan dan kepercayaan ke atas sesuatu yang sebenarnya tidak mampu memberi apa-apa jaminan untuk kebahagiaan.
KESIMPULANNYA
Berdasarkan nas dan hujah di atas, kami berpendapat bahawa Love Lock apabila diletakkan untuk tujuan mengharapkan jodoh, atau minta dikekalkan jodoh dengan mengunci mangga, adalah haram.
Ini kerana kami berpendapat konsepnya hampir sama dengan al-Tiyarah yang mengharap dan meletakkan kepercayaan ke atas sesuatu perkara yang hakikatnya tidak dapat memberi manfaat. Selain itu, sudah jelas daripada dalil-dalil di atas bahawa untuk meminta sesuatu hanyalah kepada Allah SWT.
Semoga Allah memberi kita taufiq untuk memahami dan mempratikkan syariat Islam. Aamiin.
Sumber kredit: Mufti Wilayah Persekutuan. Sahibus Samahah Datuk Seri Dr. Zulkifli Mohamad Al-Bakri
Insya-Allah, kita download seeNI sekarang ya?
KLIK DI SEENI