Rupanya Ini 4 Tahap Mendidik Anak Yang Diamalkan Rasulullah

Share

Tanggungjawab menjaga dan mendidik anak merupakan satu amanah yang sangat besar. Anak-anak adalah cerminan diri kita. Betul kita didik dan jaga, InsyaAllah hidup anak tidak tersasar kerana telah dilengkapi dengan ajaran agama oleh orang tuanya.

Dalam proses mendidik anak-anak ini, kita akan lebih mudah fokus dengan melihat perkembangan di setiap fasa kehidupan mereka. Fasa ini adalah berdasarkan amalan Rasulullah SAW dan kita ikuti setia fasa yang diringkas jelaskan oleh ustaz Ahmad Dusuki Abd Rani di bawah ini.

Artikel berkaitan : Norman Hakim  Abby Abadi Kongsi Tip Didik Anak-anak Istiqamah Dengan Al-Quran

Artikel berkaitan: 5 Cara Menghukum Anak Yang Dilarang Rasulullah

Umur anak-anak 0-6 tahun

Pada masa ini, Rasulullah s.a.w menyuruh kita untuk memanjakan, mengasihi dan menyayangi anak dengan kasih sayang yang tidak berbatas. Berikan mereka kasih sayang tanpa mengira anak sulung mahupun bongsu dengan bersikap adil terhadap setiap anak-anak. Tidak boleh dirotan sekiranya mereka melakukan kesalahan walaupun atas dasar untuk mendidik.

Kesannya, anak-anak akan lebih dekat dengan kita dan merasakan kita sebahagian masa membesar mereka yang boleh dianggap sebagai rakan dan rujukan yang terbaik. Anak-anak merasa aman dalam meniti usia kecil mereka kerana mereka tahu yang anda (ibubapa) selalu ada di sisi mereka setiap masa.

Umur anak-anak 7-14 tahun

Pada tahap ini kita mula menanamkan nilai DISIPLIN dan TANGGUNGJAWAB kepada anak-anak. Menurut hadis Abu Daud, “Perintahlah anak-anak kamu supaya mendirikan sembahyang ketika berusia tujuh tahun dan pukullah mereka kerana meninggalkan sembahyang ketika berumur sepuluh tahun dan asingkanlah tempat tidur di antara mereka (lelaki dan perempuan). Pukul itu pula bukanlah untuk menyeksa, cuma sekadar untuk menggerunkan mereka.

Janganlah dipukul pada bahagian muka kerana muka adalah tempat penghormatan seseorang. Allah SWT mencipta sendiri muka Nabi Adam.
Kesannya, anak-anak akan lebih bertanggungjawab pada setiap suruhan terutama dalam mendirikan solat.

Inilah masa terbaik bagi kita dalam memprogramkan sahsiah dan akhlak anak-anak mengikut acuan Islam. Terpulang pada ibubapa samada ingin menjadikan mereka seorang muslim, yahudi, nasrani ataupun majusi.

Umur anak-anak 15- 21 tahun

Inilah fasa remaja yang penuh sikap memberontak. Pada tahap ini, ibubapa seeloknya mendekati anak-anak dengan BERKAWAN dengan mereka. Banyakkan berborak dan berbincang dengan mereka tentang perkara yang mereka hadapi.

Bagi anak remaja perempuan, berkongsilah dengan mereka tentang kisah kedatangan ‘haid’ mereka dan perasaan mereka ketika itu. Jadilah pendengar yang setia kepada mereka.

Sekiranya tidak bersetuju dengan sebarang tindakan mereka, elakkan mengherdik atau memarahi mereka terutama dihadapan adik-beradik yang lain tetapi banyakkan pendekatan secara diplomasi walaupun kita adalah orang tua mereka.

Kesannya, tiada orang ketiga atau ‘asing’ akan hadir dalam hidup mereka sebagai tempat rujukan dan pendengar masalah mereka. Mereka tidak akan terpengaruh untuk keluar rumah untuk mencari keseronokkan memandangkan semua kebahagian dan keseronokkan telah ada di rumah bersama keluarga.

Umur anak 21 tahun dan ke atas

Fasa ini adalah masa ibubapa untuk memberikan sepenuh KEPERCAYAAN kepada anak-anak dengan memberi KEBEBASAN dalam membuat keputusan mereka sendiri. Ibubapa hanya perlu pantau, nasihatkan dengan diiringi doa agar setiap hala tuju yang diambil mereka adalah betul.

Bermula pengembaraan kehidupan mereka yang sebenar di luar rumah. Insha’Allah dengan segala disiplin yang diasah sejak tahap ke-2 sebelum ini cukup menjadi benteng diri buat mereka.

Ibubapa jangan penat untuk menasihati mereka, kerana mengikut kajian nasihat yang diucap sebanyak 200 kali terhadap anak-anak mampu membentuk tingkahlaku yang baik seperti yang ibubapa inginkan.

Sesungguhnya anak, merupakan amanah, semoga kita semua dapat memikul tanggungjawab sebagai ibu bapa dengan bijaksana

Published by
Emma Masri