SOALAN :
Setengah wanita hari ini menggunakan maskara untuk kecantikan matanya. Soalan saya apakah sah mengambil wuduk ketika memakai maskara ini?
JAWAPAN :
Maskara adalah salah satu bahan yang digunakan untuk menambahkan kecantikan mata dengan cara meletakkan suatu bahan ke atas bulu mata.
Biasanya maskara ini dibuat dari serbuk bercampur cecair atau lilin.
Tersebut pada Wikipedia :
Normally in one of three forms—liquid, powder, or cream—the modern mascara product has various formulas; however, most contain the same basic components of pigments, oils, waxes, and preservatives. https://en.wikipedia.org/wiki/Mascara.
Ertinya : “Biasanya maskara terdiri dari tiga jenis bahan yaitu cecair atau serbuk atau krim dan produk maskara zaman moden mengandungi pelbagai formula. Bagaimana pun kebanyakkan kandungannya adalah bahan pigmen dan minyak dan lilin dan bahan pengawet.”
Artikel Berkaitan: Rambut Terkeluar Ketika Solat, Hukumnya Kena Ulang Semula Atau Tak? Ini Penjelasan Ustaz Azhar Idrus!
Difaham dari sini bahawa apabila seorang wanita memakai maskara bermaksud bulu matanya diselaputi bahan-bahan yang telah disebut tadi.
Membasuh muka adalah salah satu rukun wuduk kerana firman Allah Taala :
يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا إِذَا قُمْتُمْ إِلَى الصَّلَاةِ فَاغْسِلُوا وُجُوهَكُمْ
Artinya : “Wahai orang-orang beriman apabila kamu hendak mendirikan solat maka basuhlah segala muka kamu..” (Al-Maidah : 6)
Maka diwajibkan membasuh akan segala yang ada dalam had muka dengan air sampai rata atas kulit dan segala bulu yang tumbuh di atas muka termasuklah bulu mata.
Artikel Berkaitan: Sendawa Tak Batalkan Solat, Tapi Hukumnya Jadi Makruh Kalau Hasilkan Bauan Ganggu Jemaah
Maka ketika membasuh tempat tumbuh bulu mata diwajibkan air sampai pada sekelian bulu matanya dari hujung ke pangkal dan sampai air pada kulit di bawah bulu mata itu.
Tersebut pada kitab Kifayatul Akhyar :
فالنادر الكثافة كالحاجبين والأهداب والشاربين والعذارين وهما المحاذيان لللأذنين بَين الصدغ والعارض فَيجب غسل ظَاهر هَذِه الشُّعُور وباطنها مَعَ الْبشرَة تحتهَا وَإِن كثف لِأَنَّهَا من الْوَجْه
Ertinya : “Maka ada pun bulu yang jaranglah tebal itu seperti dua bulu kening dan bulu mata dan misai dan dua ‘izar yaitu anak rambut yang tumbuh setentang dengan dua telinga maka wajiblah membasuh zahir sekelian bulu-bulu ini dan batinnya serta dengan kulit dibawahnya sekali pun ia tebal kerana ia adalah termasuk dalam sempadan muka.”
Dan berkata Syeikh Nawawi Al-Bantani :
وإذا كان على الوجه حائل وجبت إزالته ومنه الرمص في العين والوسخ الذي يكون في باب الأنف فلا بد من إزالة ذلك
Ertinya : “Dan apabila ada atas muka itu suatu yang menghalang nescaya wajib menghilangkannya. Dan setengah dari yang menghalang itu ialah kotoran pada mata dan suatu yang ada pada tepi lubang hidung. Maka mestilah menghilangkan yang demikian itu.” (Kitab Nihayah Zain)
Jelas disini kalau ada suatu yang menghalang air sampai kepada bulu atau kulit nescaya wajib dihilangkannya terlebih dahulu supaya rata air basuhan wuduk.
KESIMPULAN
Jika bahan dari masakara tersebut menghalang air basuhan wuduk daripada kena pada helaian bulu mata atau kulit dibawahnya maka wuduknya tidak sah.
Jika sampai air basuhan wuduk pada helaian bulu mata dan kulit di bawahnya maka sah wuduknya.
Jika ragu adakah masakara yang dipakainya menghalang air atau tidak nescaya sunat ditanggalkan terlebih dulu ketika hendak mengambil wuduk.
Wallahua’lam
Ustaz Azhar Idrus
Artikel Berkaitan: Hukum Wanita Solat Pakai Telekung Sutera, Sah Atau Tidak