Kerohanian

Sah Solat Walaupun Pakaian Dibasahi Air Banjir & Terkena Selut

Share

Bagi yang terlibat dalam banjir agak sukar untuk memastikan keadaan sekitar sentiasa bersih. Pakaian sudah tentunya sentiasa basah dek air banjir dan juga selut.

Dalam hal ini adakah sah solat yang dilakukan dengan pakaian sebegini. Ini kerana ramai mangsa banjir yang tinggal sehelai sepinggang sewaktu berpindah ke tempat selamat. Situasi yang sama juga kepada sukarelawan yang membantu.

Mantan Mufti Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri menjawab persoalan ini dengan menerangkan hukum asal tanah dan air banjir

Menurut beliau hukum asal tanah adalah suci. Hal ini kerana Allah SWT menjadikan di setiap permukaan bumi sebagai tempat sujud (untuk mendirikan solat) di atasnya dan menjadikan tanahnya suci untuk bertayammum jika sekiranya ketiadaan air bagi umat Baginda SAW. Rasulullah SAW bersabda:

وَجُعِلَتْ لِي الأَرْضُ مَسْجِدًا وَطَهُورًاً فَإيما رجل مِنْ أُمَّتِي أَدْرَكَتْهُ الصَّلَاةَ فَلْيُصَلِّ

Maksudnya: “Dijadikan kepada aku bumi sebagai tempat sujud dan tanahnya untuk bersuci. Oleh itu, di mana sahaja seseorang itu mendapati waktu solat, maka hendaklah dia mendirikan solat.” Riwayat al-Bukhari (438)

Begitu juga dengan air banjir. Hukum asalnya adalah suci dan menyucikan kerana ia termasuk dalam air mutlak. Air mutlak ialah air yang suci lagi menyucikan iaitu air yang kekal dengan sifat asal kejadiannya yang telah dijadikan Allah SWT.

Air tersebut masih dikatakan air mutlak walaupun ia sudah berubah disebabkan lama terbiar, disebabkan tanah, lumut dan tempat bertakung atau tempat mengalirnya mengandungi belerang.

Lebih-lebih lagi, air banjir kebiasaannya adalah limpahan air daripada air sungai, air laut, air hujan atau seumpamanya, yang termasuk dalam kategori air yang boleh digunakan untuk bersuci.

Oleh itu seseorang yang mendirikan solat dengan pakaiannya yang berlumpur dan basah disebabkan oleh air banjir adalah sah selagi mana pakaian tersebut tidak ada tanda yang jelas terkena najis kerana hukum asal sesuatu itu adalah suci bersih sehinggalah ternyata kenajisannya.

Walau bagaimanapun, jika ada kesempatan adalah lebih baik seseorang itu dapat memakai pakaian yang lebih elok, bersih dan sesuai kerana ia lebih memberi keselesaan dan mendatangkan kekusyukkan. Hal ini kerana tujuan solat adalah untuk mengabdikan diri kepada Allah SWT dengan penuh khusyuk dan tawaduk bagi menzahirkan sifat kehambaan kepada-Nya.

Published by
Team Kashoorga